Kebaikan, Bahaya Ketagihan dan Risiko Minum Teh Panas

Saya adalah peminat teh. Saya suka mengambil minuman teh, samada teh o atau teh susu. Teh susu di Malaysia lebih dikenali sebagai teh tarik dan menjadi antara minuman kegemaran rakyat Malaysia amnya di waktu pagi dan juga lewat petang. Malah, teh adalah minuman popular di Asia termasuk India, Cina dan juga Jepun.

Cara penyediaan dan pengambilan minuman ini juga berbeza mengikut negara dan juga budaya. Biasanya ianya ditambah dengan gula atau susu. Ada yang menyediakannya tanpa gula. Ada pula yang menyediakannya dengan mencampurkan bahan-bahan lain seperti lemon, limau, pudina dan juga madu.

Teh - Sejarah, Kebaikan serta Risiko Meminumnya

kelebihan dan risiko minum teh
Sejarah teh sebenarnya sangat lama. Ada banyak cerita dan kisah yang dibawa oleh minuman yang dihasilkan daripada daun ini. Malah, meminum teh juga boleh membawa kepada ketagihan dan boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius.

Jom sama-sama selongkar beberapa fakta hangat dan menarik mengenai teh ini. Apakah yang menyebabkan ia dianggap sebagai minuman yang berisiko dan apakah bahaya yang dibawa jika terlebih mengambil minuman ini?

Sejarah dan Cerita Tentang Teh

kelebihan dan risiko minum teh


Teh adalah minuman yang mempunyai kafein dan dihasilkan daripada daun atau pucuk pokok renek Camellia sinensis atau Camellia thea. Ia boleh dijadikan sebagai minuman panas atau minuman sejuk selain diperbuat daripada cara rendaman atau campuran.

Semasa saya pergi bercuti bersama famili ke Cameron Highlands, kami pernah ke kilang pemprosesan teh Boh di Habu, Ringlet, Cameron Highlands. Di situ, jika anda pergi, boleh lihat sendiri bagaimana teh itu dipetik, diasingkan, dikeringkan dan kemudian dibungkus. Ada banyak gred untuk teh ini, dan setiapnya disesuaikan dengan cara penyediaannya.

Cara pemprosesannya melibatkan pengoksidaan, pemanasan dan pengeringan. Dalam pada itu juga, ia kebiasaannya dicampurkan dengan pelbagai jenis herba, rempah, bunga atau buah untuk memberi rasa yang unik dan menarik.

Jika ditelusuri dari aspek sejarahnya, teh adalah minuman terkenal bangsa Cina sejak 5,000 tahun dahulu. Pun begitu, awal kewujudannya masih lagi merupakan satu legenda yang misteri.

Cerita Rakyat China Mengenai Teh

kelebihan dan risiko minum teh
Ada satu cerita rakyat tentang seorang Kaisar yang bernama Shen Nung. Dikatakan pada suatu hari, ketika beliau ingin minum air panas, beberapa daun luruh dari sebatang pohon yang menjuntai tertiup angin lalu jatuh ke cawan air panas beliau dan menyebabkan warnanya berubah.

Disebabkan oleh perasaan ingin tahu, beliau pun mencuba rasa larutan air tersebut. Apa yang mengejutkan adalah beliau sangat suka akan rasa air tersebut.

Cerita Rakyat India Mengenai Teh

kelebihan dan risiko minum teh
Ada satu lagi cerita rakyat daripada India yang menghubungkan penemuan teh dengan biarawan Bodhidharma. Dikatakan setelah bertapa dan bermeditasi selama 7 tahun lamanya, beliau rasa sangat keletihan.

Dalam keadaan yang sangat terdesak, beliau terpaksa mengunyah beberapa helai daun yang tumbuh di sekitar tempat itu. Apa yang mengejutkan adalah beliau mula rasa segar kembali.

Teh Mula Dikenali di Jepun

Pada awal abad ke-9, seorang biarawan Jepun bernama Dengyo Daishi yang baru sahaja pulang dari pengembaraannya, membawa benih tanaman teh dari Cina. Sejak itu, minuman ini mula dikenali di negara Jepun.

[Dah Baca?] Rumah Teh Jepun di Bukit Tinggi, Pahang

Minuman Teh Bertapak di Eropah

Pada awal abad ke-17 pula, pedagang dari bangsa Portugis dan Belanda mula memperkenalkan minuman ini ke Eropah. Mereka membawanya melalui jalan darat dari Cina menggunakan kereta yang ditarik oleh unta. Antara bangsa yang menjadi penggemar awal minuman ini adalah bangsa Rusia.


Pun begitu, dari mana sebenarnya asal minuman ini adalah tidak dapat dipastikan ekoran terlalu banyak cerita mengenainya. Apa yang lebih penting adalah minuman ini adalah minuman yang sedap dan menyegarkan selain ia dapat memberi kita tenaga dan khasiat.

Khasiat Minuman Teh

kelebihan dan risiko minum teh
Umum tahu, dari beberapa kajian serta petua orang lama, minuman teh ada beberapa kelebihan serta khasiat baik untuk kesihatan. Minuman ini telah menjadi pilihan utama bagi kebanyakan individu di dunia dan sangat terkenal di benua Asia.

Rasa yang sedap dan menyegarkan menjadikannya minuman terbaik pada permulaan hari. Jom semak apakah khasiat yang ada pada minuman yang berasaskan daun tumbuhan ini.

1. Mengandungi Antioksidan

Antioksidan berfungsi melawan radikal bebas yang dihasilkan oleh sel-sel di dalam tubuh badan. Radikal bebas ini akan berkumpul dan mampu merosakkan sel-sel di dalam tubuh badan sebagai sebahagian daripada proses penuaan.

Antioksidan mampu melawan dan melambatkan proses penuaan. Selain itu, mengurangkan radikal bebas turut menurunkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan juga strok.


2. Meningkatkan Sistem Imun

Terdapat kajian yang menyimpulkan bahawa minuman ini boleh merangsang sistem imun dan membuatkan sel-sel imun bekerja dengan lebih baik dan efisien. Secara amnya, ia membantu mengurangkan jangkitan dan keradangan.

3. Mengurangkan Masalah Penghadaman

Minuman ini telah sekian lama menjadi herba dan ubat tradisional bagi masalah penghadaman. Teh chamomile khususnya sangat baik bagi mereka yang mengalami sindrom usus rengsa di mana kerap cirit-birit dan sembelit. Teh halia pula membantu mengurangkan rasa mual.

[Dah Baca?] Cara Menyediakan Teh Tarik Sihat Tanpa Guna Susu Pekat Manis

Ketagihan Kafein Dalam Teh

kelebihan dan risiko minum teh
Pun begitu, terdapat beberapa kajian dan pendapat yang mengatakan bahawa minuman ini mampu menyebabkan ketagihan yang melampau dan akhirnya akan memberi risiko kepada tahap kesihatan anda.

Sejauh manakah kebenarannya?

Menurut kajian yang dilakukan oleh The Tea Association of the USA., Inc, manusia mengambil minuman ini lebih banyak berbanding minuman yang lain. Walaupun ia mempunyai beberapa khasiatnya yang tersendiri, jumlah besar kafein yang terdapat di dalam minuman ini mungkin tidak begitu baik untuk kesihatan anda.

Berdasarkan cara dan berapa kerap anda meminumnya, jenis kafein ini mungkin boleh membawa banyak kesan positif atau negatif, bergantung kepada individu.

Sekiranya diambil dalam jumlah yang sederhana, ia mungkin boleh membuatkan fikiran dan tumpuan anda lebih kuat serta boleh menambah tenaga anda. Sebaliknya, jika anda meminumnya terlalu kerap atau dalam kuantiti yang luar biasa untuk masa yang lama, anda mungkin menjadi ketagih kepada kafein. Ini pula adalah satu masalah berat yang tidak boleh dipandang ringan oleh anda.

Ketagihan Kafein

Kafein adalah perangsang kepada sistem saraf pusat. Penggunaannya yang teratur tidak akan menyebabkan pergantungan fizikal yang sederhana. Kafein dalam minuman ini tidak akan memberikan sebarang risiko terhadap fizikal anda seperti yang berlaku kepada ketagihan dadah.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda ketagih kafein secara fizikal, anda mungkin perasan bahawa pergantungan kepada kafein adalah tidak begitu ketara.

Hakikatnya, badan anda sudah terbiasa dengan kafein di dalam sistem tubuh badan anda. Disebabkan itu, tubuh badan anda akan sentiasa meminta anda untuk mengambil lebih banyak lagi kafein bagi mendapatkan kesannya, seperti kecerdasan atau kecergasan, yang anda rasakan sebelum ini.

Individu yang ketagih kafein boleh mengalami insomnia jika minum minuman ini terlalu banyak kurang daripada 6 jam sebelum tidur. Di samping itu, individu yang lebih sensitif mungkin bukan sahaja akan sukar untuk tidur tetapi juga mempunyai kesan sampingan kafein seperti kegelisahan dan gangguan gastrousus.

Tingkatkan Risiko Kanser Esofagus!!

kelebihan dan risiko minum teh
Minum teh panas mampu meningkatkan risiko kanser esofagus?

Pakar menyatakan bahawa meminum air pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada, secara konsistennya dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser esofagus melalui kajian yang dijalankan ke atas 50,000 individu.

Pakar juga menemui bahawa dengan meminum 700 ml minuman ini setiap hari (sekitar 3 cawan) pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada itu mampu meningkatkan risiko kanser esofagus dengan 90% lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Nasihat Pakar Tentang Minuman Teh Panas

kelebihan dan risiko minum teh
Penulis utama kajian tersebut, Dr. Farhad Islami menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin meminum minuman ini supaya membiarkan minuman tersebut untuk sejuk sedikit terlebih dahulu sebelum meminumnya untuk mengurangkan risiko mendapat kanser tersebut.

Kanser esofagus adalah sejenis kanser yang memberi kesan terhadap saluran atau laluan di mana makanan melaluinya daripada mulut ke bahagian perut atau dikenali dengan nama esofagus.

Kajian yang bertajuk “A Prospective Study of Tea Drinking Temperature and Risk of Esophageal Squamous Cell Carcinoma” yang baru diterbitkan oleh International Journal of Cancer pada 20 Mac 2019 tersebut mengkaji tabiat minum 50,045 individu yang berumur antara 40 hingga 75 tahun di bahagian timur laut Iran.

Kajian terbaharu tersebut dijalankan di Iran memandangkan Iran merupakan antara kawasan atau negara yang mana penduduknya menikmati teh dengan suhu yang amat panas, termasuklah penduduk-penduduk di negara China dan Amerika Selatan. Manakala, penduduk-penduduk di Amerika Syarikat dan Eropah menikmati teh mereka pada suhu yang lebih rendah.

Terdapat juga kajian lepas yang menyokong kajian terbaharu ini. Pada tahun 2018, kajian yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine yang bertajuk “Hot Tea Consumption and Its Interactions With Alcohol and Tobacco Use on the Risk for Esophageal Cancer: A Populatin-Based Cohort Study” yang dijalankan di China mendapati, dengan meminum teh yang amat panas bersama-sama dengan merokok dan meminum alkohol boleh meningkatkan risiko “squamous cell carcinoma” atau juga dikenali sebagai “squamous cell cancer” di bahagian esofagus; kanser yang bermula daripada sel squamous.


Pada tahun 2016, agensi kanser bagi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), the International Agency fro Research on Cancer telah membuat pengkelasan bahawa meminum minuman panas dengan suhu melebihi 65 darjah Celsius boleh menjadi carcinogen; bahan yang mampu menyebabkan kanser dalam tisu hidup.

kelebihan dan risiko minum teh
Kajian tersebut berdasarkan yang dijalankan terhadap Mate (gambar atas), sejenis teh yang diminum secara tradisional dengan suhu yang amat panas terutamanya di Amerika Selatan, Asia dan Afrika.

Dalam kajian tersebut juga mereka menegaskan bahawa suhu yang amat panas memainkan peranan terhadap pembentukan kanser berbanding jenis minuman ini yang diminum memandangkan hasil kajian turut digunakan ke atas jenis-jenis yang lain.

Saintis dan pengkaji percaya bahawa mekanisma asas yang menyebabkan pembentukan kanser akibat daripada tabiat meminum minuman dengan suhu yang amat panas adalah disebabkan oleh kecederaan jangka masa panjang kepada sel yang melapisi esofagus.

Biarkan Teh Sejuk Dahulu

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membiarkan minuman panas anda untuk sejuk terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada tisu dalaman tubuh sekali gus mengelakkan sebarang peningkatan risiko kanser esofagus memandangkan telah terdapat pelbagai kajian yang menyokong pernyataan ini.

Orait, daripada beberapa fakta yang telah dikongsikan di dalam post ini, saya dan anda dah tahu, walaupun teh diketahui umum sejak zaman-berzaman mempunyai khasiat dan kelebihannya tersendiri, namun ... ada juga risiko terhadap kesihatan seandainya cara pengambilan dan meminumnya agak keterlaluan.

Awas dengan ketagihan kafein yang sangat banyak dalam dalam minuman ini. Awas juga dengan pengambilan teh dicampur dengan susu pekat manis kerana boleh datangkan risiko penyakit kencing manis.

Dan terbaru, elakkan mengambil minuman ini ketika terlalu panas. Ini kerana terdapat kajian yang mengatakan bahawa ia mampu meningkatkan risiko kanser esofagus.

Mudah-mudahan perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.

Sumber: Hello Doktor, Good House Keeping, Independent 

Bisnes Kambing

Post a Comment

1 Comments

  1. teh o panas sedap.. tapi mama tak reti minum panas.. suam2 boleh kan

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com