Sejarah Kesultanan Melayu Johor

DYMM Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke 16, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj adalah merupakan keturunan di Raja Johor.

Baginda Permaisuri Agong diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor Baginda merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche' Besar Hajah Kalsom Abdullah dan dibesarkan oleh Tunku Zanariah Tengku Ahmad. Ini bermaksud baginda Permaisuri Agong juga adalah adinda kepada Sultan Johor terkini, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Sejarah dan Asal-Usul Kesultanan Melayu Johor

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Ramai rakyat jelata yang sememangnya ada keinginan tinggi untuk tahu mengenai sejarah dan latar belakang baginda Permaisuri. Apatah lagi, baginda sangat disenangi rakyat terutama rakyat negeri Pahang sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Kenapa Gelaran Tengku Ampuan Pahang diberikan kepada baginda Tunku Hajah Azizah, dan bukan Sultanah Pahang?

Seperti disebutkan di awal tadi, ianya disebabkan oleh darah keturunan yang ada pada baginda Tunku Hajah Azizah.

Asal usul kerajaan kesultanan Johor


Baginda Permaisuri diijabkabul dengan DYMM Agong 16 - Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986. Setelah Al-Sultan Abdullah menjadi Sultan Pahang ke 6, gelaran Tengku Ampuan Pahang diberikan kepada baginda Tunku Hajah Azizah.

Gelaran tersebut adalah gelaran khas untuk sultanah Pahang berdarah raja, ia berlandaskan kepada Perkara 12A. (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang berbunyi: ‘Raja pemerintah boleh melantik isterinya menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang dengan syarat bahawa dia adalah seorang daripada bangsa Melayu, yang berdarah raja, yang beragama Islam dan perkahwinannya dengan raja pemerintah adalah sah menurut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa perkahwinan itu dilangsungkan.

Hubungkait Kesultanan Johor dan Pahang

Sekarang, kita jejaki salasilah keturunan di Raja Kesultanan Melayu Johor yang ada hubung-kait dengan Raja Permaisuri Agong ke 16 yang sebelumnya adalah Tengku Ampuan Pahang.

Sejarah perkaitan antara dua Kerajaan Kesultanan Johor dan juga Pahang memang lama, anda boleh lihat pada gambarajah di bawah, dan boleh nampak perkaitannya secara ringkas (klik untuk paparan lebih jelas)

Asal usul kerajaan kesultanan Johor

Sejarah Kesultanan Melayu Kerajaan Johor

Pada tahun 1528 Sultan Alauddin Riayat Shah dari keturunan kesultanan Melaka telah membuka Johor dan bertapak di Johor Lama. Dinasti ini memerintah Johor sehingga tahun 1699 iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood yang dikatakan dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bintan).

Sultan Mahmood tidak mempunyai waris yang sah dan oleh itu pengurusan dan pentadbiran Johor berpindah kepada Dinasti Bendahara iaitu menteri-menteri yang membantu Dinasti Kesultanan Melaka.

Menerusi Dinasti Bendahara inilah juga wujudnya pula Kesultanan Melayu Pahang.

Ini bermaksud hubungan diraja dan kesultanan antara negeri Johor dan Pahang dah lama wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi!

Titik Permulaan Dinasti Temenggong Memerintah Johor

Oleh sebab perperangan dan bagi mengekalkan kuasa perdagangan, ibu negeri Johor berpindah sebanyak 20 kali di sepanjang Sungai Johor termasuk pada akhirnya di Kepulauan Riau.

Dalam tahun 1769 Sultan Mahmood lll diangkat sebagai Sultan Johor Riau. Baginda melantik Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor. Inggeris mengiktiraf Temenggong Abdul Rahman Ibni Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor Singapura. Perlantikan ini merupakan titik permulaan Dinasti Temenggong memerintah Johor.


Inggeris seterusnya melantik Sultan Husain anakanda Sultan Mahmood sebagai Sultan Johor Singapura pada tahun 1819. Anakanda Temenggong Abdul Rahman iaitu Temenggong Daeng Ibrahim dilantik Temenggong Johor selepas kemangkatan ayahanda nya pada 1825. Perlantikan Baginda disahkan 14 tahun selepas kemangkatan ayahanda Baginda disebabkan keengganan Inggeris dan keraguan Sultan Husain.

Pada 10 Mac 1855 Sultan Johor iaitu Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan keseluruhan kerajaan dan negeri Johor melainkan jajahan Kesang kepada Temenggong Ibrahim melalui satu perjanjian.

Kemangkatan Sultan Ali pada 20 Jun 1877 menandakan tamat pemerintahan Dinasti bendahara di Johor!

Setelah mempunyai ketuanan Johor, Temenggong Daeng Ibrahim membuka Bandar Iskandar Puteri di Tanjong Puteri pada tahun 1855. Bermula dari tarikh itu zahirlah pentadbiran kesultanan Johor moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim dan diperkasa dan diperkukuhkan oleh Sultan Abu Bakar.

Temenggong Daeng Ibrahim

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Daeng Ibrahim menggantikan ayahanda Baginda Temenggong Abdul Rahman yang telah mangkat pada 8 Disember 1825 sebagai Temenggong Johor. Dengan kebijaksanaan Baginda di samping mendapat kepercayaan penuh daripada Inggeris, pemerintahan Johor diserah kepada Temenggong Daeng Ibrahim daripada Sultan Ali melalui Persetiaan 10 Mac 1855.

Dengan ini bermulalah Kesultanan Johor moden dibawah pemerintahan Dinasti Temenggong.

Hasrat British yang ingin menjadikan Johor sebagai kawasan pedalaman yang banyak membantu pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa, telah membolehkan Temenggong Ibrahim menjadikan Johor sebagai pusat pengeluaran lada hitam dan gambir melalui Sistem Kangchu Cina dan Sistem Buruh Kontrak Jawa.

Tahun 1855 merupakan titik permulaan pemodenan Johor, Temenggong Ibrahim membuka Iskandar Puteri sebagai Pusat Pemerintahan Johor dengan mendirikan balai polis, mahkamah dan jabatan-jabatan lain secara berperingkat. Usaha untuk memajukan Johor bermula dengan mewujudkan keamanan dengan menghapuskan kegiatan pelanunan dan memajukan pelajaran anak-anak Melayu.

Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan dimakamkan di Makam Temenggong di Teluk Belanga, Singapura.

Sultan Abu Bakar

Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 apabila Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 1862, Abu Bakar dilantik sebagai Dato’ Temenggong Sri Maharaja Johor, dan pada tahun 1868 dipendekkan kepada gelaran Maharaja sesuai dengan taraf Baginda dikalangan antarabangsa.

Baginda berjaya mengukuhkan kedaulatan dan ketuanan Johor apabila secara rasmi apabila Kesang diletakkan di bawah pemerintahan Baginda pada tahun 1877.

Melalui Perjanjian Setia 1885, Maharaja Abu Bakar dan waris-waris Baginda yang menyusuli diiktiraf oleh Inggeris memakai gelaran Sultan Johor. Berikutan Perjanjian Setia, Baginda menubuhkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Terdahulu dari itu pada tahun 1866, Baginda menukarkan nama bandar Iskandar Puteri kepada Johor Bahru. Pada tahun 1871, Baginda mereka semula bendera Negeri Johor serta bendera peribadi raja.

Bandar Johor Bahru dan Negeri Johor terus dimajukan, dan Dato’ Jaafar Muhammad dilantik sebagai Menteri Besar Johor pertama.

Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar memasyhurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang merupakan Negeri Melayu pertama mengadakan undang-undang itu.

Baginda telah dimahkotakan pada tahun 1886 dengan memakai mahkota yang Baginda sendiri ilhamkan. Dalam istiadat itu Baginda menzahirkan Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota Johor. Mahkota dan darjah kebesaran itu menjadikan Johor negeri pertama berbuat demikian.

Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim diputerakan pada 17 September 1873 bersamaan 25 Rejab 1290 di Istana Bidadari Singapura. Sejak kecil Baginda telah diberi penuh asuhan dan pimpinan sebagai bakal raja. Ketika berusia 17 tahun, Baginda mula didedahkan dengan pengetahuan dunia luar oleh ayahanda Baginda Sultan Abu Bakar dan menitahkan Baginda berangkat ke Eropah pada Jun 1890.

Sultan Ibrahim ditabalkan menjadi Sultan Johor pada 7 September 1895. Untuk meluaskan pengetahuannya sebagai pemerintah Johor, baginda berulang kali berangkat ke Eropah, Jepun, China dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 1908 ketika pemerintahan Baginda, jalan kereta api merentasi Negeri Johor dapat disiapkan, sementara Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura, telah siap dibina pada tahun 1924.


Baginda Sultan Ibrahim sangat mengambil berat hal pendidikan dengan menitahkan pelajaran wajib kepada semua kanak-kanak melalui Enakmen Pelajaran Wajib 1902. 

Pendidikan Agama Islam dimajukan dengan membina sekolah agama dan masjid. Pada 2 Februari 1900, Masjid Abu Bakar dirasmikan pembukaannya. Lagu ‘Bangsa Johor’ dijadikan lagu rasmi negeri yang dinyanyikan dalam majlis rasmi dan di sekolah.

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Baginda mangkat di London pada hari Jumaat, 8 Mei 1959 dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah Johor Bahru.

Sultan Ismail

Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Pada 7 September 1895, Baginda dilantik menjadi Tunku Mahkota Johor, dan dimasyhurkan perlantikannya sebagai Sultan Johor apabila Paduka Ayahandanya mangkat di London pada 8 Mei 1959.

Baginda telah dimahkotakan pada 10 Februari 1960. Sultan Ismail mula menerima pendidikan Melayu dan Inggeris di Johor Bahru dan kemudian meneruskan pendidikan Baginda di England bersama dua orang adindanya dan Onn Jaafar pada tahun 1904. Pada tahun 1910 Baginda kembali ke Johor meneruskan pelajarannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada 1913, sekali lagi Baginda berangkat ke London untuk mempelajari tentang pentadbiran negeri.

Sebelum ditabalkan menjadi sultan, Baginda telah beberapa kali dilantik menjadi Pemangku Raja dan berupaya melaksanakan pemerintahan dan tugas penting .

Baginda telah merasmikan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru yang membawa kepada penubuhan UMNO. Sultan Ismail telah menerima tabik hormat perarakan raksasa menyambut kemenangan Inggeris memerintah semula Tanah Melayu pada 8 Jun 1946 di Jalan Ibrahim, Johor Bahru, setelah Jepun menyerah kalah.

Ketika menjadi Sultan, Baginda sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan Negeri Johor, antaranya ialah Penubuhan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Projek Johor Barat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pelabuhan Pasir Gudang.

Baginda mangkat pada 10 Mei 1981 bersamaan 6 Rejab 1401 H dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah Johor Bahru.

Sultan Iskandar

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Al-marhum Sultan Iskandar adalah ayahanda kepada DYMM Raja Permaisuri Agong ke 16, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Iskandar pada zaman muda baginda juga dikenali sebagai Mahmud Iskandar. Sultan Iskandar adalah anak ketiga Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim bersama Sultanah Ungku Tun Amina binti Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad, dan diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru dan pendidikan menengah di English College, Johor Bahru. Pada tahun 1952, Baginda berangkat ke Australia untuk melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School. Setelah tamat persekolahan menengah Baginda meneruskan pelajaran tinggi di Isle of Wight, United Kingdom. Pada Mei 1959 Baginda dilantik menjadi Tunku Mahkota Johor.

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Sultan Iskandar dimasyhurkan menjadi Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Pada 12 Disember 1981, Baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Pada 9 Februari 1984 hingga 1989, Baginda dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia kelapan.

Baginda mangkat pada 22 Januari 2010 dan dimakamkan pada 23 Januari 2010 di Makam DiRaja Mahmoodiah, Johor Bahru.

Sultan Ibrahim

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Tunku Ibrahim dilantik sebagai waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta Kerajaan Johor dan dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.

Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. Raja Zarith Sofiah ialah puteri kepada Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah. Baginda Sultan Ibrahim dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

Asal usul kerajaan kesultanan Johor
Baginda juga adalah kekanda kepada DYMM Raja Permaisuri Agong ke-16, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mendirikan rumahtangga bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah.

Begitulah serba sedikit berkaitan Ketuanan dan Kerajaan Kesultanan Melayu Johor yang disumberkan dari laman web Kemahkotaan Sultan Johor dan juga Wikipedia.

Anda boleh juga baca blog ini untuk tahu lebih lanjut - http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/tun-seri-lanang.html



Bisnes Kambing

Post a Comment

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com