Salam Kemerdekaan. Saya pasti ada di antara anda yang telah melihat kehebatan Malaysia menerusi perarakan Hari Kemerdekaan. Perarakan ini adalah satu budaya tahunan di mana-mana negara yang telah mencapai kemerdekaan. Ini mempamerkan pencapaian, kebanggaan dan kekuatan sesebuah negara.

31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat negara di bawah Persekutuan Tanah Melayu menerima kemerdekaan daripada pemerintahan Kerajaan British. Ketika itu, negara ini masih dikenali secara rasmi dengan Malaya atau Tanah Melayu, sebelum diwartakan secara rasmi sebagai Malaysia pada 16 September 1963.

Fakta Hangat Berkaitan Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Sejarah Ringkas Kemerdekaan 1957

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Sebenarnya masih banyak perkara dan fakta berkaitan kemerdekaan Malaysia yang ramai tidak tahu. Walaupun pihak Arkib Negara dan Perbadanan Muzium Negara telah menerbitkan dan menyediakan pelbagai sumber sebagai rujukan masyarakat dan generasi terkini, masih ada dalam golongan ini yang terkurang info dan pengetahuan berkaitannya.

Antara perkara yang ramai tidak tahu adalah mengenai Perjanjian Kemerdekaan itu sendiri.

Ok. Jom kita ulangkaji bab sejarah kemerdekaan negara kita ya .. :)

Sejarah Menuntut Kemerdekaan Sepenuhnya Persekutuan Tanah Melayu

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian ini juga disebut sebagai Perjanjian London.

Perjanjian ini ditandatangani di antara Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, sebagai bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia


Mengikut perjanjian ini, kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Mungkin ramai yang tidak tahu, pihak Bristish sebenarnya telah ditekan oleh dunia ketika itu untuk membubarkan sebarang bentuk penjajahan atau penaklukan. Empayar British dimestikan untuk memberi kemerdekaan kepada negara-negara yang dianggap sebagai jajahan takluknya.

Pun begitu, negara-negara ini diletakkan atau diberikan satu kesatuan baharu yang dinamakan Negara-negara Komanwel.

Menurut beberapa veteran kemerdekaan negara, sebenarnya Tanah Melayu telah lama diberikan kemerdekaan, dengan menganggap bahawa Tanah Melayu adalah milik orang Melayu ketika itu.

Itu sebab, masyarakat Melayu diberikan tempat dalam pentadbiran kerajaan British seperti menjadi budak pejabat dan kerani, berbanding dengan kaum lain yang dibawa ke Tanah Melayu sebagai buruh dan pekerja - dalam sektor perlombongan dan perladangan.

[Dah Baca?] 10 Tahun Sebelum Merdeka - Apa Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Draft mengenai Perjanjian Kemerdekaan telah lama disediakan, tetapi mensyaratkan bahawa Tanah Melayu diletakkan di bawah pentadbiran Malayan Union - satu bentuk 'penjajahan' versi baharu pada ketika itu.

Penentangan Terhadap Malayan Union atau Persekutuan Malaya

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Malayan Union telah ditentang habis-habisan oleh orang Melayu ketika itu, terutama sekali oleh golongan kerabat dan keturunan Sultan dan Raja. Orang Melayu rasa diancam dan menganggap bahawa Malayan Union akan meletakkan mereka dalam keadaan diperintah dan menidakkan ketuanan Melayu yang sudah lama bertapak.

Menerusi Malayan Union, kedaulatan dan kuasa sultan Tanah Melayu terancam. Kuasa raja-raja Melayu dikurangkan dan pentadbiran diambil alih oleh Gabenor yang mempunyai kuasa veto. Akibat raja-raja kehilangan kuasa, orang Melayu bimbang tentang masa hadapan untuk menghadapi persaingan daripada kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh British.

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Menerusi Malayan Union juga, Gabenor Malayan Union akan menjadi Pengerusi Majlis Islam dan ini menjatuhkan maruah dan kesucian agama Islam kerana orang bukan Islam menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam. Orang Melayu bimbang sultan akan kehilangan kuasa politik dan hak keistimewaan.

Orang Melayu tidak rela melihat Sultan mereka dilucutkan kuasa politik. Kehilangan kuasa sultan akan menyebabkan status Tanah Melayu menjadi Tanah Jajahan British. Hal ini, telah menimbulkan semangat nasionalisme yang membara dikalangan orang Melayu pada ketika itu.

Faktor kedua ialah pemberian taraf kerakyatan. Prinsip kerakyatan berdasarkan jus soli telah menebalkan perasaan kebencian orang Melayu kepada kaum lain.

Syarat kerakyatan yang longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan orang Melayu. Orang Melayu meragui kesetiaan orang Cina dan orang India. Masakan tidak, kerana mereka bukannya lahir di Tanah Melayu, malah dibawa masuk sebagai warga buruh secara besar-besaran oleh pihak British.

Semangat dan nilai jati diri orang Cina dan orang India pada ketika itu masih tebal pada negara asal mereka iaitu China dan India. Apatah lagi, mereka masih ada keluarga dan sanak-saudara di tempat asal mereka.

Lagipun, peluang memang banyak di Tanah Melayu. 

Tanah Melayu ketika itu memang sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi, bukan setakat bijih timah dan juga getah, tetapi juga emas, arang batu dan banyak lagi. Ia ibarat lubuk kemewahan, apatah lagi dalam revolusi industri yang sedang giat berlaku di negara-negara barat.

Menerusi Malayan Union,  hak istimewa dan kedudukan politik orang Melayu akan tergugat. Semestinya, keadaan ini amat berbahaya untuk kedudukan politik, ekonomi dan masa hadapan orang Melayu.

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Faktor yang ketiga ialah cara Mac Michael medapatkan tandatangan sultan. Mac Michael merupakan seorang pentadbir dalam kerajaan British. Sebelum kedatangan Mac Michael, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi Mandat British Palestin.

Mac Michael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan bagi persetujuan pembentukan Malayan Union. Cara beliau tidak disenangi kerana cuba mendapatkan persetujuan sultan Melayu dengan cara paksaan. Malah, beliau mengugut akan melucutkan jawatan sultan kerana telah bersubahat dengan Jepun.

[Dah Baca?] Nama Malaysia Telah Wujud Sejak Tahun 1826 Lagi ..

Mac Michael tidak memberi masa dan peluang kepada sultan-sultan untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri dan pembesar masing-masing. Malah, butiran lengkap berkaitan Malayan Union juga tidak didedahkan. Orang Melayu marah kerana Mac Michael tidak menerangkan kepada sultan-sultan tentang syarat-syarat gagasan Malayan Union secara terperinci sebelum sultan menandatangani perjanjian tersebut.

Pemimpin-pemimpin pula marah dan berasa terhina dengan keangkuhan British yang tidak mempedulikan kepentingan orang Melayu. Mereka menganggap tindakan British sebagai tidak berpelembagaan dan tidak demokratik.

Penentangan telah dilakukan oleh orang Melayu!

Penentangan telah dilakukan menerusi akhbar oleh pemimpin-pemimpin untuk menyeru bangsa Melayu untuk menubuhkan Barisan Bersatu menentang Malayan Union. Akhbar-akhbar Melayu seperti Warta Negara dan Utusan Melayu telah memuatkan rencana yang mengingatkan orang Melayu tentang bahaya Malayan Union.

Desakan akhbar telah menyebabkan pemimpin pertubuhan bersatu padu dan menyuarakan tentangan terhadap Malayan Union.

Penentangan juga dilakukan dengan tunjuk perasaan. Antara tunjuk perasaan yang telah diadakan ialah pada 15 Disember 1945, satu demontrasi telah diadakan oleh Persatuan Melayu Kelantan semasa kedatangan Mac Michael tiba di istana Sultan Kelantan.

Pada 19 Januari, Persatuan Melayu Kedah mengadakan demonstrasi di Alor Setar dan disertai kira-kira 50 000 orang. Pada 1 Februari 1946, Persatuan Melayu Kelantan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan di Kota Bharu. Pada 10 Februari 1946, satu lagi tunjuk perasaan disertai oleh 15 000 orang Melayu termasuk wanita diadakan di Johor.

Muncul Tokoh Politik Tempatan Orang Melayu

Waktu ini, muncullah nama-nama tokoh politik Melayu yang sehingga kini masih gah dan dikenang oleh rakyat Malaysia.

Misalnya, Dato' Onn Jaafar.

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Dato' Onn b. Ja’afar dan Persatuan Melayu Selangor telah berusaha mengadakan Kongres Melayu Se-Malaya.

Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu SeMalaya telah mengadakan mesyuarat tergempar dan beberapa persetujuan telah dicapai. Antaranya ialah, orang Melayu mesti bersatu padu menentang Malayan Union, Raja-raja Melayu, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan orang Melayu akan memulaukan upacara pengisytiharan Malayan Union dan Kongres sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan parti politik yang kuat untuk menentang Malayan Union.

Akhir sekali, Kongres mahu kerajaan British menarik balik Malayan Union dan mengekalkan Tanah Melayu seperti sebelum tahun 1941.

Ramai rakyat negara ini tidak tahu, penentangan terhadap Malayan Union juga datang daripada bekas-bekas pegawai British, namun hampir tiada langsung daripada masyarakat Cina dan India. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina dan India berasa selesa dengan Malayan Union yang akan memberikan kerakyatan mudah kepada mereka.

Antara bekas-bekas pegawai-pegawai British yang tidak bersetuju dengan Malayan Union adalah seperti Frank Swettenham, George Maxwell, Ronald Bradell, Cecil Clementi dan R.O. Winstedt.

Mereka bersimpati dengan nasib orang Melayu apabila Malayan Union dilaksanakan. Mereka telah menulis dalam akhbar Times menyatakan kekesalan mereka terhadap pengenalan Malayan Union yang tidak sesuai untuk Tanah Melayu.

Secara keseluruhannya, sebab-sebab orang Melayu menentang Malayan Union adalah kerana takut kedaulatan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu akan lenyap. Oleh itu, berlakunya penentangan daripada pemimpin-pemimpin Melayu yang ingin membela nasib orang Melayu. Banyak persatuan-persatuan berjuang bersama. Akhirnya, Malayan Union tidak dilaksanakan dan kerajaan British telah memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu 1948.


Negara Telah Merdeka Pada 1948?

Secara amnya, negara ini telah menerima kemerdekaannya daripada British apabila terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang membatalkan Malayan Union yang diisytihar oleh British pada 1 April 1946. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.

Mungkin ada yang tidak tahu, ada juga pihak yang menyokong kewujudan Malayan Union. Mereka adalah dari:
  • Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai oleh presiden pertamanya, Mokhtaruddin Lasso, Ketua Rejimen 10 Melayu, dari Parti Komunis Malaya.
  • Angkatan Pemuda Insaf (API),
  • Angkatan Wanita Sedar (AWAS)
  • Barisan Tani Malaya (BATAS)


Walaupun Malayan Union dibubarkan, negeri-negeri di dalam Persekutuan masih lagi menjadi negeri atau negara di bawah naungan British dan dinamakan sebagai sebahagian daripada Negara-Negara Komanwel.

Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

Penciptaan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bermula pada Julai 1946 dengan penubuhan Jawatankuasa Kerja untuk mencadangkan rangka perlembagaan baru bagi menggantikan Malayan Union.

Keahlian Jawatankuasa Kerja ini mewakili pihak berkuasa politik diiktiraf secara rasmi pada waktu itu iaitu British, Raja-Raja Melayu dan parti politik UMNO. Oleh itu, tidak seperti Malayan Union yang telah secara unilateral dikenakan ke atas Raja-Raja Melayu oleh British, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu adalah direka bersama Anglo-Melayu.

Selain itu, dengan menggunakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor sebelum peperangan Perang Dunia Kedua sebagai templat, mereka juga turut merangka satu model Perlembagaan Negeri.

Daripada templat inilah, akhirnya terhasil Perlembagaan Kemerdekaan yang menjurus kepada tuntutan kemerdekaan negara sepenuhnya daripada pihak British. Iaitu, menuntut daripada British untuk sebuah kerajaan yang ditadbir sepenuhnya oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu tanpa campur tangan daripada British.

Inilah yang telah dituntut oleh YTM Tunku Abdul Rahman, iaitu pemerintahan sendiri di Tanah Melayu.

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara Raja-raja Melayu dengan Sir Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak baginda Queen Elizabeth II pada 5 Ogos 1957.

Upacara bersejarah ini telah berlangsung di King's House, Kuala Lumpur menyaksikan seramai 15 orang penandatangan utama yang terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, lapan orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani perjanjian ini.

Perjanjian ini telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 salinan dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan pena khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957.

Menurut Artikel 3 perjanjian ini, menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat akan ditubuhkan menjadi satu Persekutuan Melayu baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu atau dalam Bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya.

Perjanjian ini mula berkuatkuasa ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 apabila Duke of Gloucester dengan rasminya mengugurkan kuasa dan wibawa penjajah British.


Antara perkara-perkara lain yang tercatat dalam Perjanjian Kemerdekaan ini ialah perubahan berkaitan dengan Kementerian dan jabatan bagi Persekutuan Tanah Melayu serta pemansuhan jawatan Penasihat British.

Detik Akhir Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Fakta mengenai Kemerdekaan Malaysia
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957.

Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.

Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.

Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan ‘MERDEKA' sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku'.

Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, bebas daripada jajahan pemerintahan British sepenuhnya.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Begitulah serba ringkas berkaitan beberapa fakta penting mengenai Kemerdekaan Malaysia.

Mungkin ia fakta yang tidak berapa lengkap kerana tidak memasukkan beberapa fakta lain terutama waktu negara ini perlu berhadapan dengan darurat bermula Julai 1948 serta ancaman keganasan dari Komunis. Untuk pengetahuan, tempoh darurat negara kerana ancaman komunis ini berlarutan sehingga ke tahun 1960, iairu selepas Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan penuh dari pihak British.

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement