Panduan Serta Tips 8 Langkah Untuk Membeli Kereta

Borong Online dari China
Teringin nak berkenderaan sendiri? Mahu mempunyai kereta sendiri? Dah fikir masak-masak kereta apa yang mahu dibeli? Sebelum anda buat keputusan untuk memiliki kereta sendiri, elok anda baca panduan yang akan saya berikan ini, in Sha Allah ia akan bantu anda untuk buat keputusan membeli kereta dengan lebih baik.

Perkara penting dalam membuat pilihan untuk membeli kereta, ialah mengetahui samada ia keperluan anda yang benar-benar sesuai. Memiliki kereta pada setengah orang dianggap sebagai aset, tetapi jika anda membuat pinjaman untuk memiliki sebuah kereta, ia sebenarnya satu liabiliti atau tanggungan. Maka, mahu membeli kereta, mesti ada panduan, perlu tahu kesesuaian dan paling penting jangan sampai ia menjadi beban.

Panduan Serta Tips Untuk Membeli Kereta - Ikuti 8 Langkah Berikut ..

Tips Serta 8 Langkah Sebelum Pilih dan Beli Kereta
Bagaimana untuk mencari kereta yang betul-betul sesuai dengan keperluan anda selama bertahun-tahun akan datang? Untuk mereka yang membeli secara tunai mungkin tidak terlalu terbeban jika tersalah pilih kerana anda boleh menjual semula, tetapi untuk mereka yang membuat pinjaman?

Setakat ini, di Malaysia ... tempoh pinjaman pembelian kereta paling maksima adalah 9 tahun. Dengan kaedah pinjaman kereta selama 9 tahun ini, pembeli boleh memiliki sebuah kereta baru tanpa perlukan cagaran, dan dengan bayaran bulanan pinjaman yang rendah.


Ia mungkin memudahkan buat sesetengah orang, tetapi jika dikira-kira balik, ia boleh membebankan, terutama andai pemilihan kereta itu adalah salah, hingga menyebabkan kerugian apabila kereta yang telah dibeli mula mendatangkan masalah. 

Dah miliki hampir 4-5 tahun, masuk tahun keenam, enjin kereta mula buat hal, banyak barang kena ganti, dan macam-macam lagi. Dah la kena bayar ansuran tetap setiap bulan, lepas tu kena keluarkan belanja untuk selesaikan masalah kereta. Tepuk kepala nanti ....

Oleh itu anda memerlukan sedikit penyelidikan dan perancangan. Langkah-langkah berikut akan membantu anda membuat pilihan untuk mendapatkan kenderaan yang terbaik untuk anda. Justeru itu, anda boleh membuat keputusan sama ada anda mahu membeli sebuah kereta baru, atau membeli sebuah kereta yang terpakai.

1. Nilai Bersandarkan Keperluan Anda

Kadangkala, kita impikan berbagai-bagai kelebihan dan kehebatan yang ada pada sebuah kereta, tetapi adalah lebih baik jika kita fikirkan sesuatu yang lebih praktikal berdasarkan keperluan kita – bukan sahaja untuk jangka masa singkat, tetapi untuk jangka masa panjang dan untuk tahun-tahun yang mendatang. 

Berikut adalah beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira:
  • Berapa ramai penumpang yang akan menggunakan kereta anda? Adakah anda akan berkeluarga atau akan kekal bujang untuk tempoh yang lama?
  • Apakah jenis pemanduan yang anda selalu lalui dan hadapi setiap hari? Adakah anda kerap gunakan lebuhraya? Adakah anda akan selalu gunakan di jalan-jalan kampung yang tidak berturap?
  • Adakah anda akan memandu di kawasan sejuk seperti Cameron Highlands atau Bukit Fraser atau mungkin kawasan sekitar Janda Baik? Adakah kereta anda akan sentiasa berdekatan dengan tepi pantai atau berada di atas pulau? Atau kawasan yang panas seperti di dalam bandar?
  • Adakah anda memerlukan kenderaan yang jimat minyak kerana banyak melakukan perjalanan yang jauh?
  • Adakah anda perlu all-wheel drive, 4wd atau 2wd?
  • Apakah ciri-ciri keselamatan penting dan wajar ada pada kereta anda, yang anda betul-betul gunakan dan perlukan?
  • Adakah anda memerlukan ruang penyimpanan bagasi yang luas?
  • Berapa banyak garaj atau ruang letak kereta yang anda miliki untuk kereta baru anda?
  • Apakah tujuan utama untuk memiliki kereta? Sekadar untuk pergi bekerja? Atau dijadikan kenderaan untuk tujuan kerja seperti menghantar barang atau sebagai kenderaan UBER?

2. Menetapkan Bajet Untuk Beli Kereta

Melainkan anda membayar tunai untuk kereta anda, anda perlu berfikir tentang pembiayaan pinjaman kenderaan anda. Berapa jumlah yang benar-benar anda mampu bayar setiap bulan?

Tips yang boleh anda guna ialah secara umumnya, jumlah bajet untuk bayaran ansuran sesebuah kenderaan sebulan mestilah tidak lebih daripada 20 peratus daripada gaji tetap diterima setiap bulan. Lebih baik lagi, anda kiralah bahet anda daripada 20 peratus gaji bersih iaitu selepas tolak komitmen lain, termasuklah simpanan tetap.
[post_ads_2]

3. Bayar Tunai atau Menerusi Pinjaman

Anda perlu fikirkan samada mahu membeli kereta samada secara tunai atau menerusi pinjaman bank. Dua-dua kaedah ada kelebihan dan kekurangannya. Jika anda mahu beli secara tunai, anda mestilah mempunyai wang simpanan yang cukup. Selalunya, beli kereta secara tunai banyak dilakukan oleh mereka yang mahu membeli kereta pertama tanpa mahu terbeban dengan hutang dan juga kadar faedah bank.


Selalunya pembeli akan memilih beli kereta secara tunai untuk kenderaan terpakai di mana tempoh penggunaannya mungkin untuk sementara sebelum membeli kereta yang lebih baik atau baharu.

Berikut adalah beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan semasa membuat keputusan ini:

Tunai

  • Anda tidak perlu memikirkan wang yang perlu dikeluarkan untuk bayaran bulanan.
  • Anda boleh trade-in kereta anda terus walaupun baru sahaja membeli.
  • Tidak perlu membayar interest/faedah bank, hanya membayar harga kereta sahaja. 
  • Dapat elakkan dari terjebak dalam masalah riba seandainya gunakan jenis pinjaman konvensional.

Pinjaman

  • Anda boleh trade-in kereta lama anda tanpa perlu membayar penuh harga kereta tersebut.
  • Anda boleh membeli kereta yang lebih baik atau kereta baharu berdasarkan kelulusan bank.
  • Tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar semasa mula membeli kereta anda.
  • Anda hanya mengeluarkan belanja yang sedikit setiap bulan dan akan memiliki kereta anda selepas habis membuat bayaran pinjaman i.e pinjaman tempoh 9 tahun.

4. Membuat Perbandingan Jenis Kereta

Seandainya anda sudah mempunyai pilihan tersendiri, jangan terus membeli atau bertindak terburu-buru mendapatkannya. Adalah lebih baik anda membuat perbandingan sebelum membeli.

Fikirkan jenis kereta dalam kelas yang sama, atau mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan apa yang telah anda impikan. Elok tidak terlepas pandang terhadap peluang lain yang mungkin lebih baik, dengan harga kenderaan yang sama.

Caranya, buatlah satu senarai yang akan menyenaraikan kereta yang terdapat di pasaran mengikut kategori yang menjadi keutamaan anda. Contohnya kelas sedan, atau hatchback. Lihat pada promosi yang diberikan, ia mungkin memberikan lebih banyak kelebihan untuk anda.
[Baca Juga] 5 Fakta Mengenai Pinjaman Kereta Sewa-Beli Harus Tahu
Setelah anda mendapat senarai kenderaan yang menjadi pilihan, anda dengan mudah dapat melakukan kajian berdasarkan maklumat terperinci mengenai harga, spesifikasi dan ciri-ciri mengikut kehendak anda. Anda juga boleh membandingkan kenderaan anda memilih untuk lebih mudah bezakan ciri-ciri dan spesifikasi kereta.

5. Pertimbangkan Kos Selepas Membeli

Pelanggan selalu terlepas pandang bahagian ini, iaitu kos selepas membeli. Kemungkinan kos selepas membeli lebih tinggi daripada harga kereta tersebut. Mengapa? Walaupun dua buah kereta bernilai kira-kira yang sama ketika dibeli, kedua-dua kenderaan tersebut mungkin berbeza jumlah kos yang perlu ditanggung selepas pembelian.

Antara kos tersebut adalah kos penyelenggaran berkala. Kereta atau kenderaan yang diselenggara dengan baik dan mengikut jadual akan menjamin jangka-hayat serta tempoh jaminan yang lebih lama.


Selain itu, kos-kos selepas membeli yang lain adalah kos susut nilai kereta tersebut seandainya mahu dijual atau trade-in. Kos lain yang perlu difikirkan ialah kos insurans setiap tahun serta kos bahan api untuk penggunaan setiap bulan.

Pertimbangan anda yang bijak akan membantu anda menjimatkan beribu-ribu ringgit sepanjang hayat kereta tersebut.

Sayugia juga saya nak beritahu, kereta dengan rekabentuk yang cantik ataupun dari jenama terkenal belum tentu mempunyai kualiti ataupun menjadi pilihan yang terbaik untuk anda.

6. Mencari Kereta Pilihan Anda

Kini, anda boleh membuat tempahan kereta pilihan anda secara online. Anda tidak perlu lagi ke mana-mana pusat jualan atau pameran untuk membeli kereta pilihan anda. Dengan beberapa klik sahaja, anda sudah boleh membuat pra-tempahan dengan mudah, malah pihak jualan akan menghubungi anda untuk urusan selanjutnya tanpa perlu anda keluar rumah pun.


Anda boleh layari beberapa laman web untuk mencari kereta pilihan anda, samada yang baharu mahupun terpakai. Malah, ia akan bantu anda untuk menilai, membanding selain membuat pengiraan kasar mengenai bajet untuk kereta pilihan anda.

Apapun, daripada pengalaman saya, adalah lebih baik anda melihat kenderaan atau kereta yang ingin dibeli, kerana anda perlu tahu jenis, spesifikasi, dan rupa-bentuknya dari dekat. Anda kena ada feel sebelum anda ambil keputusan setuju untuk membeli.

7. Buat Keputusan Untuk Membeli

Membuat keputusan yang tepat adalah penting, tetapi anda perlu tahu, tidak ada satu pun kenderaan yang dibina sempurna. Walaubagaimanapun, kereta hari ini adalah lebih selamat berbanding kereta terdahulu, malah lebih baik.

Jika dibandingkan dengan jenis atau spesifikasi kereta terdahulu, kereta terkini adalah lebih jimat dari segi penggunaan minyak atau petrol. Kos penyelenggaraan juga adalah lebih murah darpada kenderaan dahulu.

Syor saya, dapatkan review daripada penulis-penulis blog bebas yang pernah merasai pengalaman dengan kereta idaman anda itu. Ia akan bantu anda untuk membuat keputusan membeli dengan lebih baik, in Sha Allah.

8. Waktu Untuk Membeli atau Buat Tempahan

Jika anda telah mengikuti langkah 1-7, anda mungkin telah menemui kereta idaman anda. Maka, bersedialah dengan dokumen yang diperlukan untuk membeli kereta idaman anda. Dokumen anda perlu lengkap untuk mengelakkan daripada proses pembelian atau tempahan jadi tergendala atau hadapi masalah.
Tips Serta 8 Langkah Sebelum Pilih dan Beli Kereta
Penyediaan dokumen amat penting terutama seandainya anda membeli secara pinjaman. Jika dokumen anda ada kecacatan, impian anda untuk memiliki kereta sendiri mungkin terbantut atau ambil proses yang lambat. Jenuh tunggu nanti, malah akan memakan kos lain pula.

Dapatkan Agen Bertauliah

Tips utama daripada saya, cuba dapatkan agen jualan bertauliah yang ada pengalaman untuk bantu anda dalam proses pembelian kereta. Selalunya, agen jualan kereta akan bantu anda sehabis baik untuk membolehkan kereta terjual.

Semoga perkongsian di atas dapat bantu anda dalam membuat keputusan untuk memilih dan membeli kereta anda.

Kredit Gambar - Syazelyn Perodua - Sale Adviser Perodua Manjung


Samsung Galaxy Note 9

Post a Comment

2 Comments

  1. Alhamdulillah beli axia bulanan 304 je tp suami wat partime grabcar .1hari boleh cecah 100rgt..mmg balik modal nk bayar kete..hehe..minyak pon jimat..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, syukur .. memang terbaiklah. Zaman skrang memang kena panjang akal sikit untuk ketuk dan buka pintu rezeki. Beli keter cara pinjaman bank pun leh buat duit kan?

      Delete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.