Panduan Temuduga Kerja Kerajaan
Satu waktu dahulu, ketika saya berkhidmat di Kampus Tronoh, USM .. saya pernah menjawat secara sementara untuk tempoh lebih kurang sebulan sebagai seorang Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan. Ia satu pengalaman yang menarik dan diingati sehingga sekarang.

Peluang dan pengalaman tersebut saya peroleh apabila salah seorang rakan sekerja saya ketika itu yang merupakan anak Penghulu, telah menawarkan jawatan kosong Penyelia Banci kepada saya.

Pengalaman Menjadi Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan Negara

Pengalaman Menjadi Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan

Pertama kali menerima tawaran tersebut, saya memang tak tahu satu benda pun mengenai Banci Penduduk dan Perumahan Negara. Apatah lagi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Penyelia Banci.

Jadi, saya memang terujalah apabila dapat tahu bahawa kerja tersebut akan melibatkan saya mengetuai sekumpulan pembanci menjalankan aktiviti banci dari rumah ke rumah.

Pada awal tugasan untuk menjawat jawatan ini, saya dimestikan untuk menghadiri satu temuduga ringkas dengan Ketua Penyelia Banci Daerah.

Daerah yang dipertanggungjawabkan dalam bancian adalah daerah Kinta. Memang luaslah daerah Kinta ini, melibatkan Ipoh, Batu Gajah, Tambun, Pusing, Papan, Menglembu, Hulu Kinta dan beberapa lagi bandar dan mukim.

Pengalaman Menjadi Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan

Saya diberikan jawatan untuk menyelia petugas banci di kawasan Batu Gajah, melibatkan beberapa kawasan perumahan dan juga perkampungan.

Penyelia dan Pembanci akan menghadiri satu taklimat dan kursus ringkas tentang bagaimana untuk melaksanakan bancian dari rumah ke rumah. Soalan apa yang perlu ditanya dan soalan apa yang boleh diperoleh daripada penelitian.

Banyak perkara kena ambil tahu dan perlu peka.

Yang paling penting, kena study mengenai borang banci yang dibekalkan.

Dalam taklimat, yang terlibat akan diberikan latihan bagaimana untuk menanyakan soalan-soalan yang tersedia di dalam borang banci. Ini adalah penting kerana bukan semua penduduk faham apa yang dimaksudkan banci ni.

Malah, dari pengalaman saya sendiri, ramai isi rumah yang tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris, walaupun ada anak yang bersekolah.

Jadi, dalam kumpulan banci, mesti ada kaum lain yang terdiri dari kaum Cina atau India untuk memudahkan urusan banci terutama jika kawasan bancian melibatkan penduduk yang ramai dari kaum tersebut.

Saya telah diberikan seramai 7 orang Pembanci yang terdiri dari 5 orang perempuan dan 2 orang lelaki. Semuanya masih fresh habis belajar peringkat SPM.

Alhamdulillah, kesemua Pembanci di bawah seliaan saya tahu melakukan kerja dengan betul, dan menyerahkan dokumen banci dengan lengkap dan tersusun.


Tugas penyelia adalah memeriksa dan memastikan setiap rumah dibanci dan dokumen banci yang berkenaan dilengkapkan seluruhnya tanpa ada satu ruang atau bahagian yang tertinggal. Semua rumah dan bangunan termasuk struktur ditinggalkan perlu didokumen dalam borang bancian.

Jika tidak, penyelia bersama pembanci perlu membuat lawatan semula untuk melengkapkan data yang ingin diperoleh atau diisi. Malah, seandainya Ketua Penyelia mengesyaki ada data yang meragukan, penyelia dan pembanci perlu membuat bancian ulangan.

Perkara Biasa Berlaku Jika Menjadi Pembanci


Walaupun nampak mudah, namun ada juga beberapa insiden yang berlaku dalam tempoh melakukan tugasan bancian. Antara yang saya masih ingat ialah:
  • Perlu masuk ke dalam semak samun untuk menanda sebuah pondok. Dah lah pondok tersebut jauh daripada orang.
  • Membuat banci di rumah kongsi. Ramai pendatang warga asing yang takut mahu memberikan maklumat, malah ada yang lari menyorok ketika Pembanci datang. Yang kelakarnya, Pembanci cun melecun lawa pun derang lari ketakutan.
  • Ada rumah Cina yang tak faham soalan ditanya, terpaksa cari jiran Cina yang lain untuk bantu proses bancian.
  • Dilamar oleh keluarga yang dibanci. Mungkin mereka ingat Pembanci adalah pegawai kerajaan berpangkat. Dah la segak kacak .. yang perempuan pula cantik lawa.
  • Dijamu makan minum .
  • Dikejar lembu dan anjing.
  • Dihalau oleh tuan rumah.

Yang seronok menjadi pembanci ini ialah dapat kenal dengan pelbagai jenis orang. Malah, secara kasar dapat mengetahui latar mereka. Ada kaya, miskin, ada yang ditinggalkan isteri, ditinggalkan suami, sebatang kara, ada yang menganggur, ada yang bekerja luar negara dan macam-macam lagilah.


Dapat penghuni yang ok, memang oklah. Dapat penghuni yang sukar nak berikan kerjasama, memang terpaksa meminta bantuan dari Penyelia atau Pembanci lain.

Ketika saya jadi Penyelia Banci, ada Pembanci yang tiada kenderaan, terutama yang perempuan. Jadi, terpaksalah saya meneman mereka. Ada waktu, jika bancian dilakukan di kawasan perumahan, mereka sukarela menaiki bas sahaja.

Bukan apa, mereka tidak mahu ganggu saya yang ada kerja hakiki di USM.

Sebagai Penyelia, saya akan kutip dokumen yang telah siap selang dua hari. Jadi, bukan hari-hari saya akan menyelia kerja-kerja bancian ini. Maka, kena rekodlah waktu di mana kerja bancian dibuat untuk pembayaran upah.

Jadinya, perlu jujurlah. Jika hari tak buat kerja bancian, memang tak boleh nak claim upah. Haram weihh ambil upah tapi tak buat kerja...huhu.

Boleh Buat Tuntutan Perjalanan dan Elaun Harian/Makan

Selain daripada upah harian, penyelia dan pembanci boleh claim elaun perjalanan. Syaratnya perlu sediakan resit petrol, tiket bas dan sebagainya. Elaun harian juga diberikan jika kerja bancian dibuat lebih daripada 8 jam.

Biasanya ia akan berlaku jika penghuni kediaman hanya akan berada di rumah selepas waktu kerja, iaitu jam 4:30 atau 5:00 petang. Jadi, bagi memastikan data tepat diperoleh, memang menjadi tugas Pembanci untuk datang semula dan dapatkan data dari penghuni kediaman.

Senarai Tugas Seorang Penyelia Banci


Antara tugas Penyelia Banci:
  • Memastikan dokumen bancian dilengkapkan.
  • Memastikan tugas bancian dibuat dengan betul oleh Pembanci.
  • Menguruskan tuntutan elaun Pembanci.
  • Menyusun dokumen banci mengikut kod-kod kawasan.
  • Membantu Pembanci seandainya terdapat masalah.
  • Melaporkan tugasan bancian yang telah dibuat kepada Ketua Penyelia.
  • Bertanggungjawab ke atas keselamatan setiap Pembanci di bawah seliaan.

Bancian Penduduk dan Perumahan bukannya perkara baharu. Ianya telah bermula sejak tahun 70an lagi.

Dulu, Bancian dilakukan secara temuramah bersemuka. Tetapi sekarang, selaras dengan peredaran dan perkembangan teknologi, ia sudah mula dilaksanakan secara dalam talian menerusi e-Census.

Ok. Saya nak kongsi sedikit fakta hangat mengenai Banci Penduduk dan Perumahan ini ...

  • 1970 - Banci Perumahan dan Penduduk dijalankan secara berasingan. Banci perumahan telah dilaksanakan pada 27 Julai 1970 manakala pada 25 Ogos 1970 pula, Banci penduduk dijalankan secara temuramah bersemuka.
  • 1980 - Banci Perumahan dan Penduduk dijalankan secara berasingan. Banci perumahan telah dilaksanakan pada 17 Mei 1980 manakala pada 11 Jun 1980 pula, Banci penduduk dijalankan secara temuramah bersemuka.
  • 1991 - Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan secara serentak pada 14 Ogos 1991 dengan mod pembancian temuramah bersemuka.
  • 2000 - Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan serentak pada 5 Julai 2000 dengan mod pembancian temu ramah bersemuka.
  • 2010 - Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan serentak pada 6 Julai 2010 dengan mod pembancian temu ramah bersemuka, DOPU & e-Census.
  • 2020 - Banci Penduduk dan Perumahan dijalankan dalam 2 fasa. Fasa 1 dijalankan pada 7 Julai 2020 – 30 September 2020 dengan mod pembancian e-Census manakala Fasa 2 dijalankan pada 7 Oktober 2020 – 24 Oktober 2020 secara bersemuka.

Samada anda sedar atau tidak, Banci hanya dilakukan setiap 10 tahun.

Hari Banci Malaysia


7 hb Julai 2020 telah ditetapkan sebagai Hari Banci. Ia kini sedang berjalan secara e-Census, iaitu bancian secara atas talian di mana hanya mereka yang menerima 'undangan' sahaja yang akan menggunakan perkhidmatan ini.

Manakala, mulai 7 Oktober 2020, bancian secara bersemuka akan dilakukan di setiap kediaman dan perumahan yang ada di Malaysia.


Maka, sebagai warganegara dan penduduk di negara ini, seharusnyalah memberikan kerjasama dalam memberikan data tepat yang diperlukan. Dengan data yang betul, benar dan tepat, barulah kerajaan mampu merancang pembangunan di sesuatu kawasan; selain merangka projek untuk membantu rakyat di masa akan datang.

Nak terlibat dengan proses bancian secara online? - https://ecensus.mycensus.gov.my/landing

10 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**

  1. Menarik kartun tu..Pengalaman mendewasakan kita

    ReplyDelete
  2. Dah dapat kad di peti surat untuk ecensus, best pulak rasa buat melalui online tu:)

    ReplyDelete
  3. Laju-laju saya apply dan buat. hahaha

    ReplyDelete
  4. sangat menarik kisah begini..

    tidak semua orang ada peluang untuk menjadi pembanci.

    bukan sekadar untuk mendapat duit...yang lebih utama ialah pengalaman itu sendiri

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, pengalaman menjadi pembanci memang susah nak dapat ..

      Delete
  5. Sy sebagai petugas pembanci..pengalaman 10tahun yg lalu..Masih lg sy ingt..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tentu banyak pengalaman manis kan? kerja yang membantu menimba penglaman berhadapan denagn pelbagai masyarakat

      Delete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**

Bisnes Tudung Online
Sebelumnya Seterusnya

Dropship USD