Jika anda mengikuti saya di Facebook dan Instagram, tentu dah maklum yang saya adalah seorang yang minat memancing. Dan tentu juga tahu yang sekitar November 2019, saya telah pergi memancing di Tasik Kenyir bersama dua orang sahabat yang sama-sama belajar di SEMESTI dulu.

Ia sebenarnya aktiviti yang tidak dirancang dari awal. Saya menerima ajakan dari sahabat saya, yang sebelum ini turut bersama semasa masuk ke Taman Negara Pahang untuk mencari Kelah Merah. Kiranya, ini adalah aktiviti yang dirancang secara ad-hoc (buat sayalah).

Perkhemahan Untuk Memancing di Tasik Kenyir

Perkhemahan Memancing Kelah di Tasik Kenyir
Kenyir. Saya dah beberapa kali ke tasik buatan manusia ini yang terletak di Hulu Terengganu. Tetapi ini kali pertama saya masuk ke dalam kawasan Tasik Kenyir untuk memancing ikan Kelah.

Sebelum ini, saya pernah bercuti bersama keluarga dan menginap di Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) Tasik Kenyir. Saya ada ceritakan dalam blog ini dan secara amnya, memang best menginap di RPP yang jauh daripada orang. Tenang dan damai.

Itulah kali terakhir saya ke Kenyir iaitu sekitar tahun 2014.

Bila sahabat saya whatsApp ajak saya untuk masuk ke Kenyir mencari Kelah... saya tak teragak-agak menerima jawapan. Apatah lagi bila isteri saya pun support pemergian saya.

Tak Naik Houseboat Tetapi Pilih Berkhemah di Hulu Kenyir

Kebiasaan, orang yang nak memancing akan sewa rumah bot (houseboat) dan naik di Jeti Gawi. Tetapi untuk trip saya ni, saya dan sahabat-sahabat saya tidak menyewa houseboat, tetapi memilih untuk berkhemah di Tasik Kenyir.

Lokasi sebenar adalah di Kenyir 2. Laluan masuk ke kawasan ini adalah menerusi jalan masuk ke rumah rakit di laluan Gua Musang - Felda Aring jika dari arah Cameron Highlands. Ia tidak melalui Jeti Gawi.


Tak ramai yang tahu akan lokasi ini disebabkan ia jauh ke dalam Hulu Terengganu. Hanya penduduk setempat sahaja yang akan akses ke Tasik Kenyir menerusi jalan masuk rumah rakit ini. Ini adalah kerana laluannya adalah laluan berliku dan sekali pandang hanya sesuai untuk kenderaan 4x4.

Malah, ketika saya dan sahabat saya masuk ke jalan masuk sini, ada banyak taik gajah yang masih baharu yang menunjukkan bahawa kawasan ini sangat jauh dari kehidupan manusia.

Agak merisaukan juga pada awalnya bila ternampak bekas tapak kaki dan najis gajah... huhu.

Nak cari spot terbaik punya pasal .. saya gagahkan juga. Okeh. Tawakal kepada Allah. Lagipun ada dua orang Otai dari penduduk tempatan yang bersama dengan trip Kenyir kali ini.

Amnya memang diketahui ramai bahawa Tasik Kenyir merupakan destinasi kegemaran buat kaki pancing. Terdapat pelbagai jenis baka ikan yang boleh ditemui di sungai dan anak sungai di tasik ini, antaranya adalah Kelisa, Kelah, Toman, Baung, Sebarau dan Lampam.

Jika naik menerusi Jeti Gawi, pemancing-pemancing biasanya akan pergi memancing di tempat-tempat yang telah dikhususkan seperti Pulau Cacing, Leban, Petuang, Saok, dan Terenggan. Mereka akan menaiki samada menyewa bot kecil ataupun menyewa rumah bot.

Tetapi untuk trip kali ini, kami mengambil kesempatan menyewa sebuah bot kecil sebagai pengangkutan utama untuk masuk ke dalam Hulu Kenyir dari tempat perkhemahan kami.

Kawasan perkhemahan kami agak jauh daripada tempat kami 'simpan' kereta. Perjalanan menerusi bot dari 'jeti' rumah rakit mengambil masa dalam 1 jam. Sempat nak lelapkan mata.

Cari Lokasi Perkhemahan Mudah Jika Air Tasik Surut

Kalau ikutkan lokasi tapak perkhemahan kami ni tidak wujud jika air Tasik Kenyir berada pada kapasiti biasa.

Perkhemahan Memancing Kelah di Tasik Kenyir
Aha .. anda cuma boleh berkhemah dan mencari tapak perkhemahan yang selesa andai kedalaman air Tasik Kenyir tidak terlalu dalam. Pada ketika air tidak dalam, ada banyak tebing luas yang muncul sebagai lokasi mendirikan khemah.

Alhamdulillah, kami dapat satu lokasi yang sangat bagus. Ianya bersebelahan dengan anak sungai yang jernih, sebagai sumber utama kami untuk bekalan air selain mandi-manda. Malah, ada banyak tempat untuk kami menguji lubuk yang ada.



Trip kali ini, saya membawa satu khemah kecil yang boleh memuatkan 1-2 orang. Saya beli khemah ini menerusi Shopee, alhamdulillah ia sampai sebelum tarikh trip .. malah, saya sempat mendapatkan tukaran khemah baharu disebabkan khemah yang dihantar oleh Seller Shopee tu ada sedikit kerosakan.

Oh ya.

Naik ETS

Disebabkan hanya saya seorang dari utara, saya ambil keputusan untuk naik ETS ke Kuala Lumpur dan masuk ke Kenyir menerusi laluan KL - Karak. Sahabat saya dah siap dengan kenderaan 4x4 semasa saya tiba di KL Sentral, dan terus ke Terengganu pada jam 11 malam hari Khamis.

Ini bukan kali pertama saya naik ETS dengan set peralatan memancing. Jadi, saya dah siap-siap pilih tempat duduk yang membolehkan saya letak set memancing saya dengan selamat dan tidak mengganggu pengguna yang lain.

Kami semuanya berlima, masuk ke Tasik Kenyir selepas sholat Jumaat. Kami menunaikan sholat di masjid perkampungan berdekatan, dan berehat di salah sebuah rumah orang kampung yang turut serta dalam trip ini.

Tapak Perkhemahan

Nah .. inilah kawasan perkhemahan kami semasa berada di bahagian hulu Tasik Kenyir ...

Perkhemahan di Hulu Tasik Kenyir
Perkhemahan di Hulu Tasik Kenyir
Perkhemahan di Hulu Tasik Kenyir Mencari Kelah Merah
Umpan utama nak memancing di sini tentunya umpan sawit peram. Alhamdulillah, kami tak ada masalah untuk mendapatkan umpan yang cukup. Saya juga dapat beberapa nak ikan seluang yang besar-besar, hanya tangkap menggunakan periuk dan lampu suluh sahaja.

Ketika kami berada di sini, air tasik memang kering. Jadi lubuk ikan jadi berkurangan kerana kedalaman air yang kurang.

Kebanyakkan spot memancing adalah di kawasan lebih hulu daripada tempat kami berkhemah. Perjalanan dalam 10 hingga 30 minit untuk tiba ke lubuk Kelah.

Rahsia Memancing Kelah Merah

Mengikut petua orang yang sering menaikkan ikan Kelah Merah, jika nak menaikkan ikan ini, pemancing tidak perlu bising. Suasana kena senyap.

Umpan Sawit Peram

Umpan perlu ditabur terlebih dahulu untuk memanggil si Kelah Merah berkerumum di lubuk. Mata kail pula bersaiz besar, sesuai dengan saiz umpan sawit peram yang digunakan.

Hari pertama, sahabat saya hampir dapat menaikkan ikan Kelah Merah bersaiz mega. Dah elok berada di tepi boat, namun rezeki kami tidak kesampaian .. hanya mampu melihat sahaja. Tak berjaya dinaikkan kerana terlupa membawa sauk ... akhirnya ikan Kelah Merah terlepas.


Malam.

Malam memang sunyi. Selama bermalam dua hari di Tasik Kenyir, hujan turun agak lebat bermula jam 11 malam. Nasib baik khemah mampu bertahan dengan angin yang tidak terlalu kuat. Alhamdulillah.

Agak mengejutkan, tak ada nyamuk pun semasa berkhemah dan bermalam di Tasik Kenyir.

Waktu malam, aktiviti memancing lebih tertumpu di kawasan tempat perkhemahan. Kawasan landai yang lapang memang memudahkan kami nak memasang pancing. Banyak juga ikan-ikan kecil yang dapat dinaikkan.

Hasil Memancing di Kenyir

Hasil memancing hari pertama ...

Perkhemahan Memancing Kelah Merah Tasik Kenyir
Hasil memancing kami jadikan lauk-pauk untuk makan makan, makan tengahari dan juga sarapan pagi. Rezeki dapat makan ikan segar dari Tasik Kenyir. Alhamdulillah, ulam-ulaman hutan pun senang nak dapat sebagai penambah selera.

Ini pula hasil memancing hari kedua....

Hasil Memancing Tasik Kenyir

Kami dapat beberapa ekor ikan Lampam Jawa bersaiz agak besar. Jadilah, daripada tak dapat apa-apa ye tak?

Rezeki tak ada kali ini untuk menaikkan ikan Kelah Merah. Kesilapan besar adalah tiadanya sauk sebagai alat utama untuk naikkan ikan buruan. Buruan dah berada depan mata, tepi bot .. tapi itulah, Allah S.W.T mengaturkan kali ini ...  kami tak akan bawa pulang si Kelah Merah.

Mungkin lain kali.

Hmm ..

Ketika post ini ditulis, saya dan sahabat saya dah pun merancang untuk masuk ke Tasik Kenyir sekitar bulan April sebelum tibanya bulan Ramadan 2020.

In Sha Allah, hasil mungkin berlainan dengan trip ini. Doakan sahaja.



6 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. sedapnya ikan kelah bakaq cicah ayaq asam. nyummmm ^_^

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tu la .. kalau dapat Kelah memang bestlah ... huhu

      Padam
  2. Wah.. seronoknya bila memancing dapat hasil macam nie, banyak juga tu Tuan. Tak apa lah nanti next trip mungkin ada rezeki nak naikkan Kelah Merah pula.. mana tau kan.. hehehe..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tgh plan ni .. tp nampaknya macam susah je nak dapatkan tarikh cantik untuk tahun 2020 ni.

      Padam
  3. wkwkw jadi inget dulu di kampung gan

    BalasPadam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement