25 Tips (Tambahan) Untuk Rangsang Otak Anak Agar Menjadi Anak Bijak

Mengenai anak lagi. Siapa yang ada anak memang saya syor anda baca artikel yang akan dikongsikan ini. Ia merupakan artikel tambahan atau lanjutan untuk post sebelum ini iaitu 25 Tips dan Cara Tingkatkan Rangsangan Anak Untuk Jadi Lebih Bijak. Memang benar, ada banyak cara dan kaedah untuk merangsang perkembangan otak bayi dan anak kecil. Maka, terserah pada kebijaksanaan ibubapa memilih yang bersesuaian.

Saya dan isteri memang mempraktikkan sebahagian besar daripada tips diberikan ini untuk membantu merangsang otak anak-anak kami semenjak bayi. Alhamdulillah, kami dapat lihat kesan positif dan anak-anak kami membesar dengan potensi terbaik.

25 Tips (Tambahan) Rangsangan Otak Minda Anak Untuk Jadi Lebih Bijak

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan
Mahu mempunyai anak yang bijak serta otak yang berkembang dan merangsang dengan baik, maka bolehlah praktikkan tips rangsangan yang diberikan. Baca baik-baik ye, mudah-mudahan ia dapat bantu para ibubapa terutama yang masih di awal perkahwinan untuk membina keluarga yang hebat.

Dengan tips diberikan ini, anda tidak perlu keluar belanja untuk dapatkan benda lain seperti permainan kad imbas atau produk makanan tambahan untuk rangsangkan minda dan otak bayi atau anak kecil anda.

1. Buat Muka Lawak

Antara cara paling mudah dan senang nak dilakukan bagi membantu perkembangan otak anak. Apa yang boleh anda lakukan ialah dengan kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda.

Simple je kan? Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka. Ia satu aktiviti yang menyeronokkan.

2. Rasai Suasana Sekeliling Anda

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan


Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

3. Ceritakan Kisah Dongeng

Kita ada banyak kisah dongeng yang boleh diceritakan kepada anak-anak. Anda boleh pilih mana yang sesuai, samada kisah dongeng tempatan atau antarabangsa. Cuba dapatkan kisah yang disukai atau yang menampakkan reaksinya. Jadikan ia satu pilihan kegemarannya.

Apabila dah ada, anda bolehlah cuba menukar watak dalam kisah dongeng tersebut, bersesuaian dengan keluarga anda.

4. Bayangan Wajah

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

Ini antara cara rangsangan yang anda boleh lakukan hampir setiap masa, terutama ketika selepas mandi atau ketika mahu memakaikan pakaian.

5. Biarkan Anak Jadi Boss (Sesekali)

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

6. Goyangkan Badan

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina. Anda boleh sahaja jadikan tarian Baby Shark dalam YouTube sebagai rujukan. Biar mereka tahu bahawa tubuh badan mereka boleh lakukan sesuatu yang menyeronokkan.

Ketika aktiviti dibuat, ia bukan sekadar merangsang otak tetapi juga membolehkan otot-otot tubuh bertindak-balas dan bergerak luar dari kebiasaan.

7. Jadilah Taman Permainan

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan aktiviti seperti ini adalah lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

Malah, hubungan anda dengan anak akan jadi lebih rapat. Anda menjadi kawannya untuk bermain.

8. Kira Semuanya

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

Anda sedang merangsang otak bayi dan anak kecil anda mengenai matematik. Ia mungkin tidak kenal nombor tetapi setidaknya anak anda sudah boleh tahu nilai mengenai angka atau bilangan.

[Ads] Dapatkan Produk Dengan Harga Potongan Menarik di Watson. Beli Sekarang!

9. Gunakan Masa Bercerita Sepenuhnya

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?" sehinggalah ke soalan konkrit "Pernah tak adik nampak kucing putih?"

Kaedah ini mungkin agak sukar pada awalnya. Yelah, kadangkala anak hilang minat untuk melihat gambar yang dah biasa mereka lihat. Jadi, kena cari waktu yang sesuai dan lakukan dengan sabar.

[Dah Baca?] 20 Petua Anak Saya Berjaya Capai 6A UPSR

10. Tutup TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang. Maka tutuplah TV untuk elakkan dari gangguan dan interaksi 'palsu' dari kaca TV. Anda tutup TV dan pastikan interaksi dan tumpuan adalah pada anda.

11. Tukar Pemandangan

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yang lain. Ia satu cara yang mudah untuk anda lakukan. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

Anda sedang merangsang otaknya dengan cara paling mudah tanpa perlu beli apa-apa dari Shopee atau Lazada .. huhu.


12. Main Permainan Memori Wajah Famili

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai-padan. Tak perlu beli pun kan?

Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya). Cubalah ya.

[Dah Baca?] Simpan Emas Untuk Masa Depan Anak

13. Rakam Video Untuknya

Hanya gunakan smartphone pun dah cukup. Saya sering rakam video mengenai anak kecil saya dan kemudian tunjukkan video tersebut kepadanya. Anda akan seronok melihat reaksinya dan tindak-balas yang diberikan.

Anda tunjukkan ketika waktu nak tidur atau semasa sedang bersenang-senang di ruang tamu. Ceritakan apa yang berlaku di dalam video tersebut. Anda juga boleh rakam video memori yang lain melibatkan anggota keluarga. Dengan cara ini, ia membantu otak si anak kenal keluarga besarnya.

14. Main Hujan

Sesetengah ibubapa melarang aktiviti main hujan ini, tetapi percayalah ia boleh memberikan impak positif untuk perkembangan otak anak-anak anda. Lakukan aktiviti main hujan seperti melompat ke dalam lopak air yang besar atau duduk di atas rumput basah.

15. Menangkap Serangga

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

Salah satu tempat best yang boleh bawa bayi dan anak-anak anda untuk bermain dengan serangga adalah seperti Taman Rama-Rama di Cameron Highlands. Ada banyak tempat menarik di Cameron Highlands yang boleh berikan pendedahan mengenai serangga ini kepada anak.

Anda bukan sekadar memperkenalkan serangga secara nyata, boleh juga ambil gambar dan jadikan ia 'kad imbas' untuk anak anda nanti.

16. Bergurau-Senda

Ada banyak cara nak bergurau-senda dengan bayi dan anak anda. Lakukan sekerap mungkin kerana ia bukan sekadar merangsang otak tetapi juga ia satu terapi untuk anda legakan tekanan. Bergurau-senda seperti tunjukkan aksi kelakar atau memek muka sudah cukup memadai.

17. Bermain Dengan Pakaian

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

18. Ajar Anak Mengenai Isipadu

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

19. Hasilkan Album Keluarga

Smartphone ada kamera yang bagus? Jadi gunakan sebaiknya untuk rakam gambar ahli keluarga. Boleh dilakukan ketika kenduri-kendara, waktu percutian atau ketika pulang ke kampung. Ambil gambar saudara mara jauh dan dekat.

Bila dah ada gambar, maka selalulah anda tunnjukkan kepada anak anda untuk melihatnya. Bina memori mengenai wajah keluarga.

Untuk kesan lebih baik, anda boleh cetak gambar dari smartphone dan jadikan ia sebuah album fizikal. Jadi, ketika neneknya menelefon, boleh ditunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

Anda boleh hasilkan album gambar dengan mudah menerusi Photobook atau Pixajoy.

[Ads] Dapatkan Potongan Harga Print Gambar di Photobook. Klik Sini.

20. Minta Anak Anda Buat Kerja

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain. Selain itu, boleh juga minta anak kecil anda untuk susun barang atau menyimpan alat mainannya.

Otaknya akan dirangsang untuk menyusun dengan baik atau mencari cara menyimpan mainan di tempat sepatutnya.

21. Pergi ke Perpustakaan

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

22. Contohi Cara Rancangan Sesame Street

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur. Inilah cara yang dibuat oleh rancangan Sesame Street, memperkenalkan SATU atau DUA huruf pada setiap rancangannya. Ia tak tunjukkan semua sekali.

Paparan secara ulangan ini akan bantu rangsang otak anak untuk mengingati. Memori anak kecil pada awalnya adalah berkaitan visual. Jadi, gunakan tips ini sebaiknya.

23. Main Berulangan

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

Jika nak lagi hebat, perkenalkan permainan berbentuk puzzle seawal usia bayi anda 2 tahun. Dengan cara ulangan, anak kecil anda dapat selesaikan dengan mudah puzzle tersebut yang membuatkan anda tergamam dan kagum.

24. Main Tiru-Meniru

Salah satu aktiviti mudah dan tak perlukan sebarang peralatan pun. Anda boleh merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Atau anda boleh main kejar-kejar dengan karektor tertentu seperti Singa, Batman, Naga dan sebagainya.

Kemudian, minta anak anda tiru aksi anda dengan tukar karektor tersebut. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

25. Bercakap Tentang Perasaan

Tips jadikan anak lebih bijak dengan pelbagai rangsangan
Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi.

Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia sudah meningkat dewasa kerana interaksi anda dengan anak sangatlah penting, bukan sekadar ketika mereka masih bayi atau kecil.

Semoga perkongsian ini akan dapat berikan manfaat terbaik dalam perjalanan anda sebagai ibubapa membesarkan anak-anak. Mulakan sejak dari mereka masih bayi, masih kecil di mana waktu inilah waktu paling afdal mencorakkan diri mereka.

In Sha Allah, semoga segalanya dipermudahkan dalam memastikan anak-anak bijak dunia akhirat.


Post a Comment

2 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com