Anak-anak merupakan aset paling berharga buat suami-isteri. Manakala ibubapa adalah aset tak ternilai buat anak yang mahukan doa terbaik daripada mereka. Kedua-duanya adalah anugerah dari Allah. Maka, ia adalah harta buat kita yang mahukan segala kebaikan di dunia.

Mungkin ramai pernah mendengar perkataan pneumokokal, namun tidak semua yang tahu apa itu penyakit pneumokokal yang sebenarnya. Maka, saya ingin berkongsi fakta kesihatan ini untuk pengetahuan semua, terutama buat ibubapa.

Pneumukokal, Penyakit Berbahaya Membawa Maut Kepada Kanak-Kanak dan Warga Emas

Bakteria Penyakit Pneumukokal

Pneumokokal merupakan suatu penyakit yang berpunca daripada kehadiran bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumokokus). Ia adalah salah satu antara penyakit berjangkit. Ia boleh menjangkiti semua golongan umur tetapi lebih sering menjangkiti golongan kanak-kanak dan warga emas.

Ia biasanya ditemui di dalam saluran pernafasan kanak-kanak dan warga emas. serta mudah disebarkan melalui batuk mahupun bersin.

[ads id="ads1"]

Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan lain termasuk jangkitan dan keradangan pada paru-paru, meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan pada sinus) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat lebih daripada 90 jenis pneumokokal yang diketahui, namun hanya lebih kurang 10 peratus daripadanya boleh menyebabkan penyakit yang serius.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit pneumokokal mengakibatkan sehingga satu juta kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun di seluruh dunia. Ia meragut lebih banyak nyawa kanak-kanak berbanding penyakit AIDS, malaria dan campak secara bergabung.

Walaupun terdapat rawatan antibiotik bagi penyakit pneumokokal, beberapa jenis penyakit ini mempunyai ketahanan terhadap antibiotik.

Tetapi jangan risau ya para ibubapa sekalian, penyakit pneumokokal yang merbahaya ini boleh dicegah melalui pemberian vaksin. Maka, cara paling berkesan untuk menghalang jangkitan pneumokokal ini adalah menerusi kaedah pelalian berjadual yang telah disediakan oleh pihak KKM.

Mengapa Pelalian atau Imunisasi Diperlukan?

Pelalian Vaksin Penyakit Pneumukokal

Pelalian atau imunisasi adalah cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan kesan penyakit ini yang boleh menyebabkan kematian, terutama sekali kepada golongan kanak-kanak dan juga warga emas.

Jangkitan pneumokokal paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak dan juga orang tua atau warga emas (terutama mereka yang melebihi 65 tahun). Ia juga mudah dijangkiti pada orang-orang yang mempunyai penyakit kronik. Kebanyakan jangkitan ini adalah serius dan boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, hilang upaya secara kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian.

Untuk pengetahuan anda semua, di Malaysia, penyakit pneumokokal adalah sangat kerap berlaku. Satu-satunya cara nak mencegah penyakit ini adalah melalui imunisasi. Malah kaedah ini merupakan baris pertahanan pertama menentang jangkitan ini. Penggunaan vaksin (imunisasi) boleh membantu melindungi daripada penyakit yang lebih serius, komplikasi jangkitan di samping menyelamatkan nyawa.

Vaksin Pneumokokal di Malaysia

Sehingga kini terdapat dua jenis vaksin pneumokokal yang digunakan iaitu vaksin polisakarida pneumokokal dan vaksin konjugat pneumokokal.

Vaksin ini memberi perlindungan terhadap strain Streptococcus pneumoniae yang terkandung di dalamnya yang merupakan jenis-jenis yang paling penting dan yang paling mungkin menyebabkan penyakit yang serius. Imunisasi atau pemberian vaksin bagi golongan dewasa dan kanak-kanak adalah mengikut jadual yang disyorkan untuk kumpulan umur mereka.

Anda boleh semak jadual imunisasi atau pemberian vaksin penyakit ini di sini - http://www.myhealth.gov.my/vaksin-pneumokokal/



Seperti dengan vaksin lain, adalah penting untuk sedar bahawa vaksin pneumokokal in tidak akan melindungi semua individu yang menerima vaksin ini secara keseluruhannya. Ini adalah kerana imunisasi dengan vaksin ini hanya menawarkan pencegahan terhadap penyakit pneumokokal yang disebabkan oleh strain Streptococcus pneumoniae yang terkandung dalam vaksin tersebut.

Kesan Sampingan Pengambilan Vaksin Pneumokokal

Vaksin pneumokokal adalah selamat dan kesan sampingan jarang berlaku. Namun demikian, terdapat kesan sampingan yang mungkin berlaku, walaupun bukan kepada semua orang.

Kesan sampingan yang paling biasa ialah sakit, merah dan bengkak pada tempat suntikan dan demam gred rendah.

Kanak-kanak yang menerima vaksin berkonjugat pneumokokal juga mungkin akan mengalami kurang selera makan, cepat marah, mengantuk dan tidur yang tidak lena .

Kesan-kesan sampingan ini biasanya berlaku dalam masa beberapa minit sehingga beberapa jam selepas suntikan dan bantuan perubatan perlu didapatkan dengan segera seandainya berlaku.

Vaksin Pneumokokal Kini Diwajibkan

Bajet 2020 Pelalian Vaksin Penyakit Pneumukokal

Imunisasi atau pemberian vaksin terhadap penyakit pneumokokal ini pada asalnya adala secara pilihan dan tidak menjadi sebahagian daripada jadual imunisasi rutin (Program Imunisasi Kebangsaan) Kementerian Kesihatan Malaysia, namun pihak kerajaan Malaysia menerusi pembentangan Bajet 2020 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk penyediaan vaksin ini kepada kanak-kanak di Malaysia.

Program pemberian vaksin ini dijangka bermula pada pertengahan tahun 2020. Ianya akan diberikan secara percuma kepada bayi yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya.

Vaksin ini akan diberikan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan, dan boleh didapati di Klinik Kesihatan KKM.

Semoga bermanfaat.

2 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**



Sebelumnya Seterusnya
Rahsia Penginapan Harga Murah di Hotel

Lubuk Bundle