Tiada siapa dapat menjangkakan mengenai kesan dan akibat secara langsung yang telah dibawakan oleh Pandemik Covid-19 ini. Selain faktor kesihatan, sektor ekonomi juga turut terjejas akibat situasi semasa menanggani penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Di Malaysia, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan untuk mengekang dan menghentikan penularan Covid-19 ini telah menjejaskan banyak perniagaan samada kecil, sederhana mahupun besar. Perniagaan terganggu, kerana urusan jual-beli menjadi terhad.

Langkah-Langkah Penangguhan dan Penstrukturan Semula Kemudahan Pinjaman dan Pembiayaan Diumumkan Bank Negara Malaysia

Kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini. Menerusi Bank Negara Malaysia (BNM), beberapa langkah kawal selia dan penyeliaan telah diumumkan, sebagai panduan dan rujukan buat bank-bank yang ada di Malaysia.

Ia adalah untuk menyokong usaha institusi perbankan bagi membantu individu, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat untuk menguruskan kesan wabak COVID-19.

Apa yang diumumkan oleh Kerajaan dan di bawah kawal selia BNM adalah bagi membolehkan institusi perbankan terus memberi tumpuan kepada usaha menyokong ekonomi semasa dalam keadaan yang luar biasa dan luar jangkaan ketika ini, iaitu dengan memberikan kelonggaran kepada institusi perbankan untuk bertindak balas dengan pantas kepada keperluan pelanggan mereka.

Berikut adalah langkah yang telah diumumkan oleh BNM dalam usaha ini:

Penangguhan dan Penstrukturan Semula Kemudahan Pinjaman/ Pembiayaan

Pinjaman/pembiayaan kepada individu dan PKS

Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Tawaran ini diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh 3 tahun (3-year term loan) dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan.

Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada.

Pinjaman/pembiayaan kepada syarikat korporat

Institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka dengan cara yang membolehkan syarikat korporat berdaya maju mengekalkan pekerja dan menyambung semula aktiviti ekonomi dengan cepat apabila keadaan menjadi bertambah baik. Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit syarikat korporat.

Bank telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS), dengan mengambil kira gangguan bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan.

Keadaan Mudah Tunai Lebih Daripada Mencukupi

Aktiviti pengantaraan kewangan dalam tempoh ini disokong oleh mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem perbankan. Bank akan terus membekalkan mudah tunai harian ringgit kepada bank-bank melalui pelbagai alat di bawah operasi pasaran terbuka Bank, termasuk pembelian terus sekuriti kerajaan, swap pertukaran asing (FX swaps), repo berbalik (reverse repo) dan kemudahan pinjaman (standing facility).

Bank juga telah mengambil langkah awalan untuk menambahkan mudah tunai, melalui pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirements, SRR) sebanyak 100 mata asas baru-baru ini.

Bersama-sama dengan fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama, langkah ini telah menambah kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan. Selain itu, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem berjumlah RM160 bilion. Daripada jumlah ini, kira-kira RM100 bilion yang ditempatkan di Bank. Jumlah yang dipinjamkan kepada Bank di bawah operasi pasaran terbuka boleh digunakan untuk memenuhi keperluan mudah tunai sistem perbankan.

Bank akan terus memantau rapi perkembangan ini dan memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan adalah mencukupi sepanjang masa.

Langkah-langkah Penyeliaan dan Kehematan Tambahan

Sistem perbankan negara berada pada kedudukan yang kukuh ketika berdepan kesemua cabaran tersebut. Hal ini kerana terdapat penampan modal lebihan yang melebihi paras minimum pengawalseliaan sebanyak RM119.7 bilion pada akhir Januari 2020.

Bagi membolehkan institusi perbankan menyokong keperluan pelanggan mereka serta mengurus secara proaktif risiko yang berbangkit daripada perkembangan semasa, Bank telah mengkaji semula pelan aktiviti pengawalan dan penyeliaannya bagi tahun 2020 untuk memudahkan pematuhan dan meringankan beban operasi institusi perbankan. Sebagai sebahagian daripada kajian semula ini, inisiatif dasar dan penyeliaan akan ditumpukan semula pada pemantauan dan respons terhadap perkembangan risiko serta memastikan institusi perbankan akan terus menjadi salah satu tunjang kepada ekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, institusi perbankan akan dibenarkan untuk menggunakan penampan modal dan penampan mudah tunai mereka yang terkumpul sejak sekian lama bagi menyokong kegiatan pemberian pinjaman.

Bagi tujuan ini, institusi perbankan boleh menggunakan penampan modal mereka sebanyak 2.5%, serta beroperasi di bawah paras purata nisbah perlindungan minimum mudah tunai pada 100% dan menggunakan rizab pengawalseliaan yang dikumpulkan semasa tempoh pertumbuhan pinjaman kukuh. Bank menjangkakan institusi perbankan akan mengembalikan semula penampan mereka kepada paras yang baik dalam tempoh yang wajar selepas 31 Disember 2020.

Pelaksanaan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NSFR) yang dirancang untuk dimulakan pada 1 Julai 2020 akan diteruskan. Walau bagaimanapun, paras minimum NSFR akan diturunkan kepada 80% dan institusi perbankan dikehendaki mematuhi keperluan 100% bermula dari 30 September 2021.

Bank Negara Malaysia akan melanjutkan tempoh masa bagi semua rundingan kertas perbincangan yang sedang berjalan dan draf dedahan sehingga 30 Jun 2020 dan selanjutnya. Institusi perbankan juga diberikan fleksibiliti terhadap tarikh penghantaran laporan pengawalan mereka untuk mengambil kira usaha yang diambil Kerajaan untuk membendung penularan COVID-19.

Dengan semua fleksibiliti yang diberikan dan sistem perbankan terus berdaya tahan, hasil sokongan amalan pengurusan risiko dan kehematan yang teguh, institusi perbankan di negara ini berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengambil langkah tindak balas yang selaras dengan keperluan negara dalam tempoh yang mencabar ini.

Fleksibiliti ini merupakan sebahagian daripada langkah baharu yang akan disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2020, untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh individu dan sektor perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19, selain mengekalkan pekerja dan memastikan kelangsungan perniagaan yang berdaya maju.

....

Baik. Untuk rakyat biasa seperti saya dan anda, perkara yang penting untuk dilihat dalam pengumuman oleh BNM ialah pada perenggan awal iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan individu. Ini termasuklah pinjaman perumahan, pinjaman pembelian kenderaan dan juga pinjaman peribadi.

Ia jelas menyatakan bahawa bank perlu memberikan penangguhan pembayaran balik kepada individu yang terbabit, namun ia tertakluk pada ketetapan yang telah dibenarkan sahaja (syarat). Ia akan dilaksanakan oleh pihak bank secara automatik kepada pelanggan yang layak bermula 1 April 2020.

Untuk mendapatkan lebih penjelasan, atau butiran lengkap mengenainya, boleh layari laman web bank-bank yang telah memberikan pinjaman kepada anda.

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement