9 Perkara Perlu Diketahui Untuk Ambil Anak Angkat

9 Perkara Perlu Diketahui Untuk Ambil Anak Angkat

Setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan zuriat sendiri. Namun begitu, bukan semua pasangan berkahwin itu akan dianugerahkan dengan anak sebaik sahaja mendirikan rumahtangga. Ada pasangan yang sudah lama bernikah, namun masih belum ada rezeki dikurniakan Allah untuk menimang cahayamata sendiri.

Kebiasaannya, mereka yang sudah berumahtangga ada kecenderungan rasa cinta dan sayang terhadap kanak-kanak. Dari situlah, hasrat untuk mempunyai anak sendiri akan meluap-luap. Apatah lagi apabila melihat ramai adik-beradik dan kawan-kawan yang bernikah dalam tempoh jangkamasa yang sama telah mempunyai deretan anak yang comel dan lincah.

9 Perkara Perlu Diketahui Sebelum Anda Ambil Keputusan Mengambil Anak Angkat

Panduan sebelum ambil anak angkat
Dek kerana rasa cinta dan keinginan untuk mempunyai anak, ada pasangan yang mengambil langkah untuk mendapatkan anak angkat.

Tiada salahnya untuk mengambil anak angkat. Malah, situasi ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Nabi Muhammad S.A.W sendiri turut mempunyai anak angkat iaitu sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Harithah.

Cuma proses nak mengambil anak angkat tidak seperti macam dahulu, ada beberapa peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya penganiayaan dan kezaliman kepada anak-anak ini.


Sekiranya anda merupakan salah satu daripada pasangan yang berhasrat untuk mengambil anak angkat, adakah anda rasa bahawa anda benar-benar telah bersedia? Adakah anda tahu prosedur yang betul untuk mengambil anak angkat?

Ikuti panduan di bawah ini untuk membantu anda memahami keadaan berkaitan anak angkat sebelum anda mula melakukannya. Baca dengan teliti dan fahami dengan betul ya ..

1. Ketahui Kemampuan Anda Dan Pasangan

Panduan sebelum ambil anak angkat
Proses pengambilan anak angkat adalah satu proses yang mengujakan, menakutkan dan beremosi. Kebanyakan kanak-kanak telah diambil daripada jagaan ibu bapa kandung mereka, dan berkemungkinan mempunyai pengalaman buruk seperti dipukul atau diabaikan.

Oleh itu, fikir sejenak, apa yang boleh anda boleh tawarkan yang bersesuaian dengan pengalaman yang telah mereka alami dan faktor-faktor lain untuk memastikan kegembiraan anak tersebut. Adakah anda benar-benar sesuai untuk mereka?

2. Adakah Anda Rasa Boleh Menyanyangi Mereka?

Ini berkaitan sama ada anda berkemampuan untuk menyayangi anak individu lain atau sama ada kanak-kanak tersebut berkeinginan untuk menyayangi anda. Anda tidak akan tahu kebarangkalian untuk kedua-duanya berlaku sebelum mengambil mereka sebagai anak angkat.

Anda hanya boleh berharap dan berusaha agar perasaan cinta dan sayang itu dapat dipupuk sepanjang mereka dalam jagaan anda.

[Dah Baca?] Ajar 6 Perkara Ini Untuk Bentukkan Anak Jadi Anak Soleh dan Solehah

3. Biasakan Diri Dengan Mereka

Jangan terus kongkong hidup mereka. Mereka bukan hak-milik mutlak anda walaupun anda menjaga mereka seperti anak sendiri. Biasakan diri dengan mereka, fahami tingkah-laku mereka kerana mereka tidak biasa dengan perubahan yang mendadak.

Jangan tentukan secara drastik apakah jenis pakaian atau wangian yang perlu dipakai oleh mereka. Kanak-kanak ini tidak terbiasa dengan persekitaran baharu dan mungkin akan mewujudkan rasa tidak selesa pada mereka.

Kekalkan jenis mainan, pakaian atau tempat tidur mereka dengan cara yang sama sehinggalah mereka terbiasa dengan persekitaran baharu.

4. Jangan Dedahkan Secara Melulu Mereka Adalah Anak Angkat

Panduan sebelum ambil anak angkat
Sekiranya anak angkat anda buat perangai seperti menjerit-jerit atau menangis di tempat-tempat awam, jangan gunakan alasan dengan mengatakan “dia anak angkat saya” untuk meredakan ketenteraman awam.

Alasan seperti itu tidak boleh diterima!

Mereka telah menjadi sebahagian daripada keluarga anda, oleh itu, anggaplah dan sayangi mereka seperti anak kandung anda. Jangan sisihkan mereka kerana kesilapan mereka untuk belajar menjadi seorang anak.

5. Adakah Anda Layak Dipanggil ‘Ibu’ Atau ‘Ayah’

Sebagai ibu bapa baharu kepada anak angkat, anda bukan sahaja perlu bersedia atau belajar bagaimana untuk menjadi seorang ibu dan ayah, tetapi juga bagaimana untuk mendapatkan panggilan itu.

Anda perlu bersedia dan berusaha untuk memenangi hati anak angkat anda agar mereka berasa selesa dan akhirnya menggelar anda sebagai ibu dan bapa mereka daripada hati mereka sendiri.

Panggilan Ibu atau Ayah bukan perlu dipaksa, ia perlu diperoleh (you have to earn to get the title).


6. Bersedialah Dengan Sebarang Kemungkinan

Bersedia untuk menerima sebarang soalan-soalan janggal daripada individu yang tidak dikenali, kenalan dan rakan yang tidak sensitif atau kanak-kanak yang ingin tahu. Mereka mungkin akan bertanya seperti, “Anak angkat baharu ke?”, atau “Ambik anak angkat kat mana?”.

[Dah Baca?] Apa Maksud Saudara Susuan

Bersedia untuk menjawab pertanyaan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menceritakan sejarah hidup kanak-kanak tersebut kepada orang lain.

7. Terbuka Dengan Anak Angkat Anda

Panduan sebelum ambil anak angkat
Sekiranya anak angkat anda telah membesar dan boleh berfikir dengan baik, bercakap dengannya berkenaan status mereka sebagai anak angkat daripada permulaan. Berikan respon kepada setiap pertanyaan mereka dengan cara dan jawapan yang bersesuaian.

Hati-hati dalam memberikan jawapan, jangan sehingga menyinggung perasaan.

Ini mungkin agak sukar pada permulaannya, tetapi ia amat membantu mereka menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

8. Lakukan Secara Bersama-sama Dengan Pasangan Anda

Jangan cuba memenangi hati anak angkat tersebut secara sendirian. Ia ibarat anda sedang berlawan dan cuba memenangi pertandingan dengan pasangan anda. Ini sangat tidak sihat kerana kanak-kanak tersebut mungkin akan lebih cenderung kepada satu pihak sahaja.

Seperti contoh, anda boleh bekerjasama dengan pasangan anda seperti bergilir-gilir memandikan anak tersebut atau bersama membawanya pergi membeli-belah atau menonton wayang. Kaedah ini adalah lebih baik dan sihat.

9. Nikmati Tempoh Pertama Anda Bersama Anak Angkat

Panduan sebelum ambil anak angkat
Tahun-tahun pertama merupakan satu tempoh masa penyesuaian dan peralihan untuk kanak-kanak dan anda sebagai penjaga baharu. Pasti terdapat banyak kesukaran dan kejanggalan yang akan berlaku untuk menemukan titik persamaan antara anda dan anak angkat anda.

Walau bagaimanapun, nikmatilah tempoh tersebut sebagai satu tempoh masa pembelajaran untuk anda kerana ia adalah tempoh di mana anda lebih rapat dengannya. Apabila dia sudah meningkat dewasa, percayalah bahawa anda akan mula merindui zaman di mana anda membesarkannya.

[Dah Baca?] 4 Tingkatan Mendidik Anak Mengikut Sunnah Nabi Muhammad S.A.W

Tips Terakhir



Anda tidak perlu untuk menjadi seorang yang kaya atau mempunyai kemewahan untuk membahagiakan anak angkat anda. Kasih sayang dan perhatian sudah cukup untuk membahagiakan seorang kanak-kanak yang mungkin sudah lama tidak dapat merasainya.

Buka hati anda untuk menerima kanak-kanak ini dengan sepenuhnya, dan anggaplah dia sebagai anak kandung anda sendiri. Kasih sayang boleh dipupuk selagi mana anda ikhlas dalam satu-satu hubungan, in Sha Allah.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Sumber Asal - Hello Doktor
Bisnes Kambing

Post a Comment

0 Comments