Tak pernah lagi seumur hidup saya melihat sebuah kapal selam dari dekat. Apatah lagi masuk ke dalam binaannya yang memang mengagumkan. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah membawa balik kapal selam ini yang sebelum ini dijadikan kapal selam latihan, yang merupakan bekas milik Tentera Laut Peranchis.
Pengalaman Pertama ke Muzium Kapal Selam
Muzium Kapal Selam ini adalah asalnya sebuah Kapal Selam FS Quessant Agosta 70. Ia merupakan kapal selam latihan untuk krew-krew Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kapal selam ini telah dibawa pulang ke tanahair oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk diabadikan sebagai muzium di Kompleks Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang, Melaka.Kapal selam ini merupakan pemerolehan milik Tentera Laut Peranchis.
Kerja-kerja untuk membawa pulang kapal selam FS Ouessant Agosta 70 ini dari pengkalannya di Brest, Perancis telah dimulakan pada 9 Oktober 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November 2011. Jika anda ada menonton Majalah 3, tentu dapat melihat bagaimana proses pemerolehan kapal selam ini dilakukan sehinggalah di bawa ke Melaka.
Saya memang suka belajar dan mengetahui perihal sejarah Malaysia. Jika anda ikuti blog saya, ada banyak post berkaitan fakta menarik serta sejarah Malaysia yang saya kongsikan. Ini juga jadi sebab mengapa saya sering bawa keluarga semasa percutian untuk melawat muzium.
Lokasi Muzium
Agak jauh juga lokasi Muzium Kapal Selam ini. Tanpa bantuan Waze dan Google Map, saya mungkin tak jumpa lokasi muzium ini yang terletak di Pantai Klebang, Melaka. Ia sebenarnya agak tersorok kerana terletak agak jauh dari jalan utama.Berlokasi di kawasan berpantai, selain menempatkan Kapal Selam FS Quessant Agosta 70, muzium ini juga menempatkan dua buah jet pejuang yang pernah berada di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Salah sebuah jet pejuang tersebut adalah dari jenis Hornet (Tebuan) yang pernah menjadi kebanggaan TUDM.
Wajib Masuk Dalam Kapal Selam
Apabila anda ke sini, anda wajib masuk ke dalam perut Kapal Selam FS Quessant Agosta 70.Saya dan keluarga merasa pengalaman berada di dalam sebuah kapal selam. Ia sememangnya sempit. Kalau ada masalah fobia pada ruang, pengalaman berada dalam perut kapal selam mungkin akan menjadi satu mimpi ngeri.
[Dah Baca?] Cari Homestay Strategik serta Selesa di Melaka? Dekat Lapangan Terbang
Saya tak dapat nak bayangkan bagaimana krew kapal selam boleh survive dan menjalankan tugas dalam perut kapal selam ini.
Ia amat berbeza dengan apa yang saya lihat dan tonton di kaca TV.
Apabila berada di dalam Kapal Selam FS Quessant Agosta 70 ini, anda akan lihat bahagian-bahagian penting dalam sebuah kapal selam iaitu bahagian persenjataan, bahagian navigasi, bahagian dapur dan juga bilik krew yang memuatkan sekadar tubuh badan.
Ia menyedarkan saya betapa susah dan mencabarnya bertugas menjaga keamanan negara dalam sebuah kapal selam. Mungkin teknologi dan rekabentuk kapal selam terkini tak sama dengan apa yang saya rasa di dalam FS Quessant Agosta 70 ini, tetapi saya pasti ia tidak jauh beza.
Apatah lagi, tanggungjawab seorang anggota krew kapal selam adalah beratus dan beribu meter di dalam laut.
[Dah Baca?] Percutian Main Air di Gold Coast International Melaka
Anak Kagum Bila Berada Dalam Kapal Selam
Anak-anak saya cukup kagum dengan apa yang mereka lihat dan rasa di dalam perut kapal selam di Muzium Kapal Selam Melaka ini. Ia satu pengalaman tak berharga kerana peluang seperti ini bukan mudah untuk dapat, apatah lagi negara kita masih jauh ketinggalan dalam teknologi kapal selam.Jadi, jika anda berpeluang bercuti ke Melaka bersama anak-anak, bawalah mereka ke Muzium Kapal Selam ini. Tiket masuk adalah RM5 untuk dewasa manakala kanak-kanak adalah RM2 (2019).
[Dah Baca?] Pengalaman Pertama Naik Menara Taming Sari Melaka
Tarikan Lain di Muzium Kapal Selam
Selain adanya kapal selam, jet pejuang .. ada juga tarikan lain seperti aktiviti menunggang kuda dan menaiki kereta kuda. Aktiviti paint ball juga ada disediakan. Ada juga kedai-kedai yang jual produk negeri Melaka dan juga cenderamata unik untuk pengunjung ke Muzium Kapal Selam ini.Oh ya, jika ke sini .. pastikan ada bekalan air masak sendiri atau sediakan payung kerana takut hujan dan bagi melindungi dari cuaca panas. Satu lagi pesanan saya ialah .. nak masuk ke dalam kapal selam, anda perlu menaiki tangga yang agak curam. Suhu dalam kapal selam agak panas begitu juga dengan suhu di sekitar muzium ini. :)
Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Post a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.