28 Jun 2018

23 Ciri Menarik Nissan Serena S-Hybrid 2018 Setelah Saya Pandu Uji

Kerja Kosong Sambilan
HASRUL HASSAN Online Blog

Sejak Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan mengambil-alih pentadbiran negara Malaysia, beberapa perkara menarik telah dilaksanakan. Antara yang menarik perhatian saya ialah penetapan kadar GST pada sifar peratus. Ini telah menyebabkan banyak pengeluar dan pengedar kereta di Malaysia menurunkan harga kenderaan baru di pasaran.

Antara kereta yang menarik perhatian saya dengan harga baru kadar GST sifar ini ialah Nissan Serena baru, edisi 2018. Ia merupakan versi kelima Nissan Serena yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Mei 2018. Disebabkan itu, saya telah ambil peluang untuk memandu uji Nissan Serena S-Hybrid Highway Star baru, edisi 2018 baru-baru ini sempena promosi GST sifar peratus.

Pandu Uji Nissan Serena S-Hybrid Baru 2018

Pandu Uji Nissan Serena Highway Star Baru 2018
Saya dan keluarga telah berkesempatan untuk pergi memandu uji kereta baru dari Nissan ini semasa bulan Ramadan yang lalu. Ia bukanlah satu aktiviti yang dirancang, tetapi lebih kepada aktiviti ad-hoc memandangkan anak-anak dah mula berasa bosan berada di rumah sepanjang awal Ramadan.

Pergi Showroom Nissan di Butterworth Pandu Uji Serena

Jadi, saya pun bawalah keluarga ke showcase Nissan yang kebetulan memang diadakan di Nissan Jalan Baru, berdekatan dengan Mydin Mall Bukit Mertajam. Tak jauh pun dari tempat kami ni, hanya ambil masa dalam 45 minit melalui lebuhraya PLUS.

Sampai-sampai sahaja ke Pusat Pameran Edaran Tan Chong Motor, Jalan Baru, Butterworth ini .. kami disambut oleh kakitangan pusat jualan dan servis Nissan. Salah seorang yang menyambut mesra kami sekeluarga adalah seorang jurujual bernama Ravi.
Ciri menarik ada pada Nissan Serena S-Hybrid 2018
Uhh .. bila masuk sahaja, terus sahaja dibawa ke tempat Nissan Serena Highway Star baru keluaran 2018. Memang cantik kereta ni dari sudut pandangan sayalah, jika nak dibandingkan dengan versi-versi Serena sebelum ini.

Sekali pandang, ada gaya rekabentuk seperti Toyota Vellfire atau Alpard...hehehe.

Cuma mungkin saiz Nissan Serena lebih kecil, dan nampak macam Toyota Vellfire/Alpard versi kompak.

Kami diberikan penerangan panjang lebar oleh Ravi mengenai kelebihan dan ciri-ciri menarik yang ada pada Serena 2018 ini. Sambil-sambil tu, anak-anak .... hmm biasalah ... keluar masuk, keluar masuk .. test itu ini di dalam kereta.
Pandu Uji Nissan Serena S-Hybrid Baru 2018


Pandu Uji Nissan Serena S-Hybrid Baru 2018

23 Ciri-Ciri Menarik Pada Nissan Serena S-Hybrid 2018

Antara ciri menarik yang ada pada Nissan Serena baru, edisi 2018 ini ialah:
  1. Ia merupakan kenderaan Semi-Hybrid (S-Hybrid). Ia bukan 100% hibrid seperti ramai sangkakan.
  2. Ia kenderaan dengan kapasiti tempat duduk 7 orang, dengan kombinasi 2-2-3.
  3. Serena S-Hybrid dilengkapi lampu projektor LED serta lampu LED berbentuk S di bahagian belakang yang membuatkan kereta ini nampak lebih sporty berbanding versi sebelumnya.
  4. Nissan Serena versi baru 2018 ini nampak lebih luas dari segi dimensi berbanding Serena terdahulu.
  5. Ada kerusi kapten dengan ciri sifar graviti untuk baris pertama dan kedua serta ciri perehat tangan terbina. Memang cukup selesa duduk di kerusi ini, malah dikatakan ia mampu mengurangkan rasa kepenatan ketika memandu.
  6. Kerusi barisan ketiga pula menawarkan tempat yang cukup muat untuk tiga orang penumpang.
  7. Barisan kerusi kedua dan ketiga boleh disusun mengikut beberapa konfigurasi pilihan untuk tambahan ruang jika perlu.
  8. Serena ini ada corong penghawa dingin pada baris kedua dan ketiga dengan suis digital berasingan daripada suis utama. Jadi, penumpang belakang tak perlu nak arah-arah pemandu atau penumpang hadapan untuk laraskan suhu penghawa dingin.
  9. Yang ni best, kereta Serena ini ada bukaan pintu belakang dengan dua cara yang berbeza untuk mengakses ke ruang kargo. Ciri ini memang memudahkan pengguna terutamanya ketika berada di tempat parkir yang agak sempit.
  10. Ciri paling menarik yang ada pada Serena 2018 ialah ciri pengesan sensor kaki di bahagian bawah pada pintu tepi, jadi pengguna hanya perlu menghayunkan kaki dengan perlahan pada bahagian bawah pintu sahaja. Dengan syarat, kunci kereta ada bersama.
  11. Kerusi barisan kedua mudah dilaraskan untuk kemasukan mudah ke dalam kereta, ia lebih luas dan akses keluar dari kereta juga dipermudakan dengan satu tombol pada kaki di kerusi bahagian tengah.
  12. Pintu automatik berhenti jika ada halangan pada pintu. Ini bagus kalau ada bawa anak kecil ke bahagian belakang.
  13. Nissan Serena ini didatangkan dengan enam beg udara SRS, kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS, sistem bantuan brek, bantuan mula mendaki (HSA), electronic brake distribution (EBD), sistem kawalan cengkaman (TCS) serta cagak ISOFIX. Semuanya dengan fungsi tersendiri yang baik untuk sebuah kenderaan keluarga.
  14. Satu lagi yang best mengenai Nissan Serena baru 2018 ini ialah ia ada kamera 360 darjah bagi memberikan visual pada keadaan sekeliling kenderaan dari arah atas. Ia memudahkan pemandu melihat persekitaran ketika nak masuk mana-mana parking memandangkan ia adalah sebuah MPV yang agak panjang. 
  15. Ciri best lain yang turut disertakan ialah ciri I-MOD yang mampu mengesan pergerakan objek di sekitar kenderaan serta I-DA yang memberikan amaran apabila sistem mengesan ketidakstabilan pengendalian yang disebabkan oleh pemandu yang mengantuk.
  16. Stereng pula daripada kemasan kulit yang nampak elegan dan mewah. Ia dikuasakan dengan elektrik dan agak ringan buat saya.
  17. Konsul tengah pula nampak kemas, walaupun ia tidak mempunyai pemain DVD atau CD. Ia hanya mempunyai fungsi radio, dan juga paparan penunjuk arah.
  18. Pandangan hadapan sangat luas, malah dari tempat duduk pemandu, boleh lihat persekitaran kiri dan kanan dengan selesa dan 'membuka' mata.
  19. Ia tidak menggunakan kunci, tetapi butang push-start untuk menghidupkan enjin.
  20. Ketersambungan telefon pintar melalui Apple CarPlay™ dan Android Auto™. Jadi, pemandu boleh kekal fokus di atas jalan dan pada masa yang sama boleh mendapatkan arahan navigasi, menerima dan membuat panggilan, mendengar dan menjawab mesej serta memainkan muzik menggunakan arahan suara.
  21. Ada dua versi, iaitu Premium Highway Star dan Highway Star. Namun, perbezaan hanya pada rekabentuk dalaman iaitu kerusi kulit, pemain DVD dan skrin LCD di tempat duduk belakang, pelapik pada pengalas/meja di tempat duduk kedua dan ketiga, serta kamera perakam.
  22. MPV ini turut didatangkan dengan tujuh port USB, selain tray makanan, 10 ruang botol air, serta 6 cangkuk ... aha .. memang sebuah kenderaan untuk keluarga besar .. haha.
  23. Tahap penggunaan minyak yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l (kitaran NEDC). Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya - seperti apa yang dicatat pada brosur ... :)
Pandu Uji Nissan Serena S-Hybrid Baru 2018
Saya dibawa untuk memandu uji Nissan Serena 2018 versi Premium Highway Star di jalanraya. Awal-awal tu memang agak kekok sedikit kerana saya diminta oleh Ravi untuk menggunakan paparan LCD untuk keluar parkir. Memang mencabar sikitlah untuk kali pertama.

Pengalaman Memandu Uji Serena Versi Premium Highway Star

Awal pergerakkan kereta ini, memang terasa sedikit slow. Kata Ravi, ini adalah kerana ia dihidupkan dan menggunakan kuasa elektrik. Kemudian, setelah menekan minyak, barulah rasa Serena baru ini bergerak lebih lancar.

Walaupun saiz Serena agak besar, tetapi saya tidak berasa sukar untuk mengendalikan kereta ini yang menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD yang digandingkan dengan kotak gear CVT XTRONIC. Huhu .. inilah pertama kali saya memandu sebuah kenderaan dengan kotak gear sebegini.

Ketika membelok juga tiada masalah besar. Seperti awal saya katakan tadi, pandangan cukup jelas kiri dan kanan. Cuma ketika saya membuat u-turn, Serena perlu mengambil sedikit jarak untuk pusingan penuh.


Lagi satu yang tidak berapa best buat saya ialah kesukaran untuk melihat meter digital kelajuan pada dashboard sebab ia sedikit terlindung dengan stereng kereta. Mungkin juga kerana posisi tempat duduk saya agak rendah, atau mungkin juga saya tidak cukup tinggi .. hahaha.

Secara amnya, saya dan isteri setuju ia sebuah kenderaan yang sesuai untuk sebuah keluarga. Malah, kereta ini ada ciri-ciri keselamatan yang baik tanpa abaikan keselesaan.

Anak-anak saya boleh ke depan dan kebelakang dengan mudah tanpa ada halangan. Malah, penumpang di sebelah tempat duduk pemandu juga boleh beralih ke tempat duduk belakang tanpa ada halangan di tengah. Ia seperti sebuah bas mini .. hahaha....

Nissan Serena S-Hybrid ini didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Dan untuk promosi hari tu, ia turut ditawarkan dengan promosi Servis Penyelenggaraan Percuma selama tiga tahun/60,000 km (yang mana terdahulu)

Untuk info lanjut boleh ke mana-mana Nissan showroom berdekatan, atau intai-intai je di laman web rasmi Nissan Malaysia.

Oh ya, harga permulaan untuk Nissan Serena S-Hybrid 2018 ini ialah RM127,874.84 dengan GST 0%. Satu harga yang menarik untuk sebuah MPV yang ada ciri-ciri premium dan sesuai untuk keluarga.


23 Ciri Menarik Nissan Serena S-Hybrid 2018 Setelah Saya Pandu Uji Hasrul Hassan 4.5 of 5
Sejak Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan mengambil-alih pentadbiran negara Malaysia, beberapa perkara menarik telah dilaksanakan. Ant...

Artikel Terkait

2 Komen

aida berkenan tau serena ni.
kebetulan dah naik 3-4 kali serena member.
aduhai. tapi tu la, dah ada livina. tak terasa sesuai plak ada 2 kereta panjang, kan.
nak merasa beli sedan besar plak.
serena is really kat kepala otak ni hu hu hu

Trade-in la .. masa saya pergi hari tu, ramai yang trade-in Livina dengan Serena ni. :)

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.
EmoticonEmoticon