Langkau ke kandungan utama

47 Perkara Perlu Tahu Jika Lahirkan Anak Secara Pembedahan Caesarean

Perkara perlu tahu yang akan berlaku pada si ibu jika anak perlu dilahirkan secara pembedahan caesarean atau c-section. Ramai ibu-ibu terutama ibu muda yang tidak mengetahui mengenai kelahiran secara pembedahan c-sect ini. Kelahiran secara pembedahan boleh berlaku atas dua sebab, samada secara pilihan dan keduanya kerana kecemasan.

Dalam post saya terdahulu, saya ada ceritakan secara am mengenai pengalaman isteri saya yang perlu melahirkan anak secara pembedahan ini. Ianya merupakan pengalaman pertama kali isteri saya, setelah ketiga-tiga kelahiran anak kami sebelum ini adalah secara normal.

47 Perkara Perlu Tahu Mengenai Ibu Jalani Pembedahan C-Section (Caesarean)

Perkara Perlu Tahu Mengenai Pembedahan C-Section
Jika anda pernah baca mengenai kelahiran anak perempuan saya, tentu anda sedar kenapa isteri saya berisiko untuk lahirkan anak secara normal. Dan untuk kelahiran keempat ini, kami sangat berhati-hati dengan keadaan anak dalam kandungan.

Alhamdulillah, isteri saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 27 Mac 2017 di Hospital Taiping dengan pembedahan c-section. Kenapa c-section? Anda boleh baca di sini - Hasif 'Baru' Sudah Lahir

Pengalaman Pertama Isteri Lahirkan Anak Dengan Pembedahan

Dengan pengalaman pertama isteri saya ini, maka saya ingin kongsikan serba sedikit perkara yang berlaku sepanjang proses kelahiran c-section ini. Ia mungkin boleh dijadikan panduan am kepada ibu-ibu yang terpaksa atau mengambil pilihan untuk lahirkan anak secara c-section.
Perkara Perlu Tahu Mengenai Pembedahan C-Section

Untuk si ibu yang akan lahirkan anak secara c-section ini, perkara-perkara di bawah anda akan lalui...

Sebelum Pembedahan

  1. Anda akan dipakaikan dengan baju untuk pembedahan.
  2. Tidak dibenarkan memakai sebarang alat solek.
  3. Tidak dibenarkan memakai sebarang barang kemas, cermin mata, kanta lekap, gigi palsu.
  4. Sampel darah akan diambil untuk tujuan seandainya berlaku kecemasan kehilangan darah ketika proses pembedahan. Darah perlu diuji untuk keserasian bagi elakkan komplikasi darah tidak sepadan jika tambahan darah diperlukan.
  5. 'Drip line' akan disediakan di kedua-dua belah tangan anda, satu untuk antibiotik dan satu lagi untuk IV Drip.
  6. Ubat tahan muntah juga akan diberikan.
  7. Tiub kencing akan dimasukkan ke dalam pundi kencing, untuk kosongkan pundi kencing.
  8. Anda akan diterangkan oleh doktor mengenai side-effect pembedahan dan juga pembiusan.
  9. Waris akan dikehendaki untuk tandatangan beberapa dokumen berkaitan sebelum pembedahan dijalankan.
  10. Peralatan untuk memantau tekanan darah anda akan diletakkan pada lengan anda dan elektrod akan diletakkan pada dada anda untuk mengawasi degupan jantung anda. Alat pengesan nadi juga akan diletakkan pada jari anda.
  11. Plat plastik yang berpelekat akan diletakkan pada kaki anda. Ia digunakan oleh pakar bedah anda untuk membumikan aliran elektrik yang dihasilkan oleh peralatan elektrik yang digunakan ketika pembedahan caesarean tersebut. Ini tidak membahayakan.
  12. Bahagian abdomen/perut yang akan dibedah akan dicukur untuk hilangkan sebarang bulu atau rambut. Ia juga akan dibersihkan dengan antiseptik.
  13. Anda mungkin diberi stoking putih, cecair tambahan atau suntikan penipisan darah untuk mengurangkan risiko terbentuknya darah beku di dalam saluran darah kaki anda (deep vein thrombosis). 
  14. Anda akan dimasukkan ke dalam dewan bedah (operation theater).
  15. Proses bius akan dilakukan oleh pakar bius. Selalunya ubat bius akan disuntik pada bahagian tulang belakang anda. Proses ini sangat penting dan kritikal, sebarang kesilapan pembiusan boleh mendatangkan mudarat yang berkemungkinan kekal.
  16. Semasa bius, anda akan dikehendaki untuk memeluk bantal dengan erat, menegakkan badan, dan melonggarkan bahu.
  17. Pakar bius akan memeriksa bahagian tulang belakang anda sebelum menyuntik ubat bius. Jarum ubat bius agak besar, jadi elakkan anda melihat jarum tersebut kerana dikhuatiri anda akan pitam ..
  18. Dalam kes isteri saya, pembiusan berlaku hanya separuh badan, iaitu dari bahagian pinggang ke bawah.

Semasa Pembedahan

  1. Semasa dalam bilik pembedahan, anda akan terasa tersangat sejuk. Ia disebabkan oleh kegagalan fungsi tubuh untuk berinteraksi dengan suhu. Dan memang keadaan dalam bilik pembedahan adalah sejuk untuk elak infection.
  2. Sebuah skrin akan diletakkan di atas dada anda supaya anda tidak dapat melihat prosedur pembedahan tersebut.
  3. Anda mungkin akan diletakkan blower untuk bantu memanaskan badan. Blower ini diletakkan ke dalam baju pembedahan.
  4. Pakar bius akan memeriksa ubat tahan sakit anda berfungsi dengan betul.
  5. Apabila bahagian untuk pembedahan sudah kebas, doktor akan melakukan pemotongan melintang (garis bikini) pada kulit perut anda, kira-kira dua ke tiga jari jaraknya daripada tulang pubis anda. Beberapa lapisan tisu dan otot perlu dibuka untuk memberi laluan ke uterus anda.
  6. Otot-otot perut dipisahkan dan tidak dipotong. Anda tidak akan merasa apa-apa kesakitan semasa proses pembedahan ini kerana kesan bius.
  7. Pundi kencing anda akan diinjak ke bawah agar doktor boleh mencapai bahagian bawah uterus anda.
  8. Pemotongan ke atas uterus selalunya adalah kecil dan doktor akan membuatnya lebih besar menggunakan gunting atau jari. Ini mengurangkan pendarahan berbanding pemotongan yang lebih tajam.
  9. Pembukaan uterus anda selalunya terletak di bahagian bawah, kerana itulah kadangkala pembedahan ini juga dikenali sebagai "lower segment caesarean section" (LSCS).
  10. Anda mungkin boleh merasa cecair keluar daripada pembukaan tersebut.
  11. Nurse akan menekan perut anda untuk membantu bayi anda lahir. Bila bayi berjaya dikeluarkan, nurse akan memberitahu ... "Baby sudah lahir ..."
  12. Jika bayi anda dalam kedudukan songsang, doktor akan mengangkatnya daripada bawah ke atas. 
  13. Kadangkala forsep digunakan untuk menarik keluar kepala bayi dengan lebih teliti. Forsep cuma diperlukan jika bayi anda lahir dalam keadaan songsang atau pramatang.
  14. Anda akan berada di dalam bilik pembedahan selepas kelahiran lebih kurang selama sejam. Proses ini mungkin ambil masa yang lebih lama seandainya pernah menjalani pembedahan sebelum ini. Proses untuk menutupi pembukaan adalah lebih rumit dari proses membuka.
  15. Bagi proses penutupan, doktor akan membuat jahitan berganda untuk memperbaiki uterus anda. Insisi di dalam perut anda akan ditutup secara berperingkat. 
  16. Akhir sekali, kulit luar akan ditutup dengan jahitan atau kokot. Dalam kes isteri saya, doktor menggunakan gam atau plaster. Jadi, bahagian yang dibedah tiada kesan jahitan tetapi akan berparut seperti lipatan.
[Dah Baca?] Pilihlah Hospital Bersalin Ada Pakar Jika Ianya Anak Sulong Anda ...

Selepas Pembedahan

  1. Sebaik sahaja pembedahan, anda akan diproses untuk dimasukkan ke dalam wad. Dalam kes isteri saya, terpaksa dialihkan ke katil berlainan sebanyak 3 kali.
  2. Anda akan merasa kesakitan yang amat sangat selepas enam jam pembedahan berakhir. Ini adalah tempoh di mana kesan bius pada tubuh akan hilang.
  3. Ketika dalam tempoh enam jam selepas pembedahan, anda dilarang sama sekali untuk banyak bergerak. 
  4. Tiub kencing akan dipasang untuk bantu mengosongkan pundi kencing.
  5. Anda akan berbaring secara mendatar (lying flat) untuk elak sakit kepala.
  6. Ketika ini, anda perlu memastikan bekas jahitan tidak tertanggal, bersih, dan kering. Sebarang jangkitan kuman akan memberikan kesan yang sangat buruk pada bahagian tersebut.
  7. Selepas enam jam, anda perlu bergerak untuk memastikan peredaran darah berjalan dengan sempurna dan kembali normal. Gerakan ini perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan. Anda akan terasa sakit pada bahagian dibedah.
  8. Kesakitan pada bahagian jahitan akan berlarutan selama beberapa hari, malah sehingga berminggu-minggu.
  9. Anda dilarang sama sekali memakan makanan yang berikan kesan kegatalan.
  10. Anda juga dilarang sama sekali untuk mengambil pati ikan haruan, mahupun makanan berasaskan ikan haruan.
  11. Anda akan dibenarkan pulang selepas tiga hari (minima), iaitu selepas anda disahkan telah kembali normal.
  12. Anda perlu memastikan bahawa anda boleh kencing dan boleh kentut seperti biasa. Jika dalam tempoh 24 jam tersebut, anda tidak kencing dan kentut, ini menunjukkan bahawa kesan bius belum habis, atau ada masalah lain.
  13. Jika anda berisiko tinggi mengalami darah beku, pakar obstetrik mungkin mencadangkan supaya anda mengambil suntikan heparin low-molecular-weight (LMWH) selama 10 hari selepas bersalin. LMWH ialah sejenis penipis darah yang dipanggil anticoagulant. Isteri saya menyuntik sendiri di 2 kali sehari di bahagian peha, ia mungkin akan memberikan kesan lebam.

Ok. Saya fikir saya sudah senaraikan semua perkara berkaitan proses kelahiran c-section ini. Mungkin pengalaman ini tidak sama dengan orang lain.

Contohnya macam adik ipar saya yang melahirkan bayi kembar pramatang menerusi proses pembedahan. Ada prosedur tambahan yang saya tak berapa pasti untuk kelahiran seperti ini.

In Sha Allah, di post lain, saya akan kongsikan mengenai risiko kelahiran secara pembedahan c-section ini.

Rujukan tambahan: Baby Center


Komen Pembaca ...

  1. patutlah ramai bagitau sakit melahirkan cara c-ser lagi sakit daripada sakit melahirkan cara normal.. gerun fae ....

    BalasPadam
  2. macam tu rupanya baby keluar dari perut..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact Me'. Terima kasih.