Resepi Tom Yam asli dari Satun Siam. Tom Yam adalah antara menu makanan laut yang paling popular di Thailand serta dalam masyarakat Lao, malah ia menjadi kegemaran rakyat Malaysia yang sukakan rasa masam-masam pedas disebatikan dengan kemanisan kesegaran hasil laut. In Sha Allah, dalam entri ini saya suka nak kongsikan satu resepi terbaik dari rakan blogger +Karlisa Halim - Resepi Tom Yam Asli pasti terangkat punya.

Tom Yam adalah makanan tradisional daripada Thailand terutama untuk masyarakat berketuruan Lao. Ia sangat popular di negara rantau Asia Tenggara sehingga menu ini telah dipelbagaikan dalam masakan negara-negara berhampiran, terutama sekali Malaysia. Dek kerana permintaan daripada pelancong, bahan-bahan di dalam Tom Yam telah dipelbagaikan, dan diberikan nama-nama tertentu mengikut bahan utama di dalamnya.

Di Malaysia, masakan menu makanan laut ini telah dipelbagaikan dengan menambah aneka jenis bahan di dalam masakan Tom Yam, antaranya daging dan ayam, serta sayuran-sayuran. Walaupun ditambah dengan bahan-bahan lain, Tom Yam kekal sebagai masakan dengan rasa masam-masam pedas. Lebih pedas, lebih sedap.

Maksud Tom Yam

Menurut Wikipedia, perkataan Tom Yam atau Tom Yum berasal dari dua perkataan Thai iaitu 'tom' dan 'yam'. 'Tom' bermaksud proses mereneh atau merebus, manakala 'Yam' merujuk kepada sejenis salad masam pedas dalam masyarakat Thai dan Lao.
Resepi Tom Yam Asli Satun Siam
Rasa masam pedas di dalam Tom Yam adalah rasa yang unik, ditambah dengan keharuman herba yang terkandung di dalamnya, ia menjadikan antara menu klasik yang unik, yang memberikan ciri khusus kepadanya. Tom Yam bagi saya diibaratkan sebagai duta masakan negara Thai ke seluruh dunia.

Resepi Tom Yam Asli Satun Siam

Ok. Dah habis serba sedikit info mengenai Tom Yam, sekarang kita melihat pula akan resepi Tom Yam Asli dari rakan blogger Satun Siam ini.

Bahan-Bahan Utama (Makanan Laut)

  • Udang
  • Sotong
  • Ikan Siakap

Bahan-Bahan Sup

  • Pes Tom Yam - terbaik mestilah dibuat dari negara asalnya iaitu Thailand
  • 1 batang kecil Lengkuas yang diketuk
  • 2-3 batang Serai juga diketuk-ketuk
  • 10-15 biji Cili Padi atau Cabai Burung diketuk
  • 1 labu Bawang Besar dihiris nipis
  • 3-5 helai daun Limau Purut
  • Semangkuk besar air
  • Sebiji Limau Nipis yang diperah airnya
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara Memasak

  1. Panaskan air di dalam periuk dengan api sederhana besar.
  2. Masukkan Lengkuas, Serai dan Cili Api.
  3. Apabila air mendidih, masukkan bahan utama iaitu udang, sotong dan ikan.
  4. Biarkan sehingga bahan utama masak.
  5. Masukkan pes Tom Yam secukupnya, jangan terlebih kerana ia boleh menjadikan rasa sup Tom Yam menjadi pahit.
  6. Masukkan perahan limau, garam dan gula secukup rasa.
  7. Akhir sekali, masukkan daun Limau Purut dan hirisan bawang.
Dah siap. Hidangkan bersama nasi panas ... fuhh ... pasti menyelerakan.

Sebagai tambahan, anda mungkin mahu menambah sayur-sayuran lain seperti Tomato, Kobis Bunga, Putik Jagung, mahupun batang Saderi. Ada juga yang suka menambah Cendawan Butang dan Cendawan Tiram.

Tom Yam Dengan Pelbagai Nama Tersendiri

Sekarang, menu tradisional masakan laut ini telah dipelbagaikan dengan nama-nama khusus, berdasarkan kepada bahan-bahan utama yang ada di dalamnya. Antaranya:
  • Tom Yam Goong atau Tom Yam Kung, bahan utamanya ialah udang segar.
  • Tom Yam Paa atau Tom Yam Pla, bahan utamanya ialah ikan segar. Ikan yang digunakan mestilah ikan yang mempunyai isi yang pejal dan sukar terlerai. Antara ikan yang sesuai - ikan Siakap (laut), Jenahak (laut), Patin (sungai), Kap (sungai), Baung (sungai).
  • Tom Yam Gai atau Tom Yam Kai, bahan utamanya ialah ayam.
  • Tom Yam Po Taek atau Tom Yam Thale ialah Tom Yam campuran makanan laut.
  • Tom Yam Kung Maphrao, Tom Yam dengan isi udang segar, tetapi ditambah dengan isi kelapa  muda serta sedikit santan.
  • Tom Yam Kha Mu (ต้มยำขาหมู), Tom Yam dengan bahan utamanya kaki khinzir.
Ciri utama Tom Yam asli Thai ialah warna kuahnya, iaitu kelihatan lebih pekat dan merah. Jika Tom Yam yang kuahnya lebih jernih, selalunya isi utamanya ialah ikan.

Daun Limau Purut adalah satu kemestian untuk masakan ini, tanpanya anda tidak akan dapat aroma yang sebetulnya untuk sebuah masakan Tom Yam Asli Siam.

Sudikan mencuba, kerana resepi Tom Yam asli dari Satun Siam ini adalah resepi yang paling mudah nak dibuat, dan ia mampu menambat selera sesiapa sahaja. Jika mahu hidangkan kepada anak-anak, pastikan anda kurangkan sikit penggunaan cili api dalam masakan.

p.s: Gambar digunakan dari Wikipedia. Gambar dari saya ntah mana hilangnya...

Sumber: Wikipedia, Blog Satun Siam

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement