Jika anda pernah tiba di bumi Mekah, salah satu tempat menarik yang wajar anda kunjungi ialah Masjid al-Jin. Masjid ini juga dikenali sebagai al-Haras atau al-Bai'ah. Ia terletak di kampung Ma’la dan tidak jauh dari pemakaman Muslimin.

Saya pernah sampai ke Masjid al-Jin ini. Ia memang tidak jauh dari Masjidil Haram. Boleh berjalan kaki andai ada tenaga dan kemampuan. Cara lain tentunya dengan bertambang teksi atau kereta 'sapu' yang banyak di sekitar Masjidil Haram.

Sejarah Wujudnya Masjid Al-Jin atau Al-Haras

Asal Usul Masjid Jin di Mekah

Masjid ini berada 1.5 km di sebelah utara Masjidil Haram. Masjid ini tidak besar. Jika dibanding saiz dengan apa yang ada di Malaysia, keluasannya menyamai sebuah surau.

Lebih tepat keluasan Masjid al-Jin ini sekitar 20×10 meter sahaja. Ia terdiri dari bangunan dua tingkat dengan warna abu abu. Ada tulisan kaligrafi yang memaparkan ayat Al-Quran, Surah Jin (ayat 1-9) menghiasi kubah masjid.

Sepertimana ramai, berkemungkinan anda yang sampai ke blog saya ini, nak tahu serba sedikit sejarah asal-usul Masjid al-Jin ini. Ia masjid dengan sejarah yang unik. Bukan kisah mitos tanpa ada sumber dipercayai.

Saya kongsi satu artikel berkaitan asal-usul Masjid al-Jin ini kepada anda.

Artikel ini telah ditulis oleh Ibrahim Abdullah, dan diterbitkan dalam akhbar Berita Harian.

Tiada sebarang pindaan besar dilakukan. Ia adalah tulisan penuh saudara Ibrahim Abdullah, andai ada silap dan salah, saya bagi pihaknya memohon maaf.

---

Kisah Rasulullah Dengan Jin dan Asal Usul Masjid al-Jin

FIRMAN Allah SWT bermaksud: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zariyaat, ayat 56)

Begitu penegasan Allah dalam al-Quran mengenai tujuan-Nya menciptakan jin dan manusia, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah Yang Maha Esa. Golongan jin dan manusia terbahagi kepada dua, iaitu Islam dan kafir.

Dalil Wujudnya Jin Islam

Jin menyatakan keIslaman mereka yang diterangkan dalam al-Quran surah Jin bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sudah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin sudah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran yang susunan (ayatnya) dan kandungannya sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.” (Surah Jin, ayat 1-2)

Peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah S.A.W bersama sahabat sedang melaksanakan solat Subuh. Ketika itu Baginda membaca surah ar-Rahman, ayat 1-78. Dalam surah ar-Rahman ini ada beberapa ayat yang bermakud: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?”

Ketika ayat ini dibacakan, jin yang hadir saat itu langsung menjawabnya dengan kalimah: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami tidak mendustakan nikmat-Mu sedikit pun. Segala pujian hanya bagi-Mu yang sudah memberikan nikmat zahir dan batin kepada kami.”

Masjid Al-Jin Jadi Monumen Pengislaman di Kalangan Jin

Ibnu Masud menyatakan bahawa ia turut menyaksikan malam turunnya ayat Jin ini. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi juru dakwah daripada kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya dan aku bacakan al-Quran kepada mereka.”

Peristiwa ini terjadi di sebuah masjid yang terletak di Kampung Ma'ala, tidak jauh dari perkuburan kaum Muslim di kota Makkah. Kini masjid itu dinamakan Masjid al-Jin atau Masjid al-Bai'ah atau juga Masjid al-Haras

Masjid ini telah dibaik pulih kembali pada 1421 Hijrah. Di sini jin berbai'ah atau menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah S.A.W untuk beriman kepada Allah S.W.T dan al-Quran.

Ada mengatakan, di masjid itu Nabi Muhammad S.A.W mengislamkan jin kafir. 

Khurafat Tiang Jin Di Dalam Masjidil Haram

Ada juga menceritakan, dekat Masjidil Haram ada sebatang tiang dinamakan tiang jin. Ketika Masjidil Haram sedang dibina, tidak cukup sebatang tiang, kemudian jin mendatangkan sebatang tiang dari alam mereka. Mereka yang boleh jumpa tiang ini mungkin boleh nampak alam jin. Ada yang khurafat memeluk tiang jin ini ketika orang lain wukuf di Arafah kononnya untuk menjadi tuan jin.

Masjid Jin menjadi monumen terpenting antara Rasulullah dan jin.

Diterangkan, jin ketika itu bercadang menuju Tihamah. Namun, mereka mendengar bacaan al-Quran. Mereka sangat takjub mendengarnya dan kemudian berdialog dengan Rasulullah, lalu menyatakan keimanan mereka. 

Kemudian mereka menyampaikan hal itu kepada jin lain.

Ketika Rasulullah sedang membaca ayat al-Quran, terdapat beberapa jin. Sebahagian riwayat menyatakan jumlahnya ada sembilan jin dan sebahagian lain menyebutkan tujuh jin yang turut mendengarkan bacaan al-Quran tersebut.

Kemudian salah satu daripada jin itu mengingatkan temannya dan berkata: “Diamlah, perhatikan bacaannya.” Setelah itu mereka kembali kepada kaum mereka untuk mengingatkan pada jalan yang benar. Salah satu daripada jin itu bernama Zauba'ah. Demikian menurut Ibnu Masud.

Dalam kitab Fathul Bari, disebutkan, jin itu berasal dai Nasibain, iaitu sebuah daerah yang terletak di perbatasan antara Iraq dan Syria, iaitu dekat Mosul.

Jin Islam vs Jin Kafir

Jin terbahagi dua iaitu jin kafir dan jin Islam (mukmin). Jin yang beriman ditempatkan di syurga, manakala jin kafir ditempatkan di neraka. 

Rasulullah S.A.W menggambarkan jin itu terbahagi tiga golongan iaitu yang boleh terbang di udara, golongan ular dan anjing serta golongan bermukim dan hidup berpindah-pindah. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi Dunya, dalam Maqasid as-Syaitan)

Jin Hidupnya Seperti Manusia

Seperti manusia dan haiwan, jin juga makan dan minum, berkahwin, beranak serta mati.

Menurut Syeikh Abdul Mun'im, jin penghuni dunia yang hidup di tempat sepi daripada manusia dan di padang pasir. Ada jin yang hidup di pulau di tengah laut, di tempat sampah dan bersama manusia.

Jin memiliki kemampuan yang tidak dimiliki manusia, seperti terbang, naik ke langit, mendengar apa yang tidak boleh didengar manusia dan mereka juga melihat apa yang tidak dapat dilihat manusia.

Wallahualam.

Dalil dalam Al-Quran berkaitan pengislaman jin-jin kafir .. surah al-Ahqaf 29-32:

Surah Al-Ahqaf ayat 29-32

Maksud ayat:

29. Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

30. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

31. "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

32. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata".

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama
PENAFIAN (DISCLAIMER)

Konten ini adalah pendapat serta perkongsian peribadi penerbit berdasarkan pengetahuan, pengalaman, serta dari sumber dipercayai. Sebarang persamaan mahupun percanggahan adalah secara kebetulan.

Sila rujuk Disclaimer untuk penafian penuh.