>
bisnes shopee
Durian Duri Hitam. Durian Duri Hitam antara durian yang sering dicari oleh penggemar Raja Buah ini disebabkan rasanya yang enak berbanding durian jenis lain. Malah, ada penggemar buah durian yang mengatakan rasa buah durian ini lebih sedap dari durian Musang King atau Durian Udang Merah yang nyata lebih popular.

Buah Durian Duri Hitam atau D200 juga dikenali sebagai Durian Ochee. Ia merupakan antara durian terbaik keluaran negeri Pulau Pinang dan telah berjaya merangkul anugerah sebagai durian terbaik selama 2 tahun berturut-turut bagi negeri Pulau Pinang.

Pertama Kali Merasa Buah Durian Duri Hitam

Buah Durian Duri hitam

Buat mereka yang tak pasti rasa buah durian ini macam mana ... hmm ... Durian Duri Hitam mempunyai rasa lemak, manis dan berkrim serta meninggalkan sedikit rasa pahit selepas memakannya.

Yang menjadi antara tarikan selain rasanya yang unik ialah Durian Duri Hitam tidak mengeluarkan bau aroma yang menusuk atau kuat malah sedikit wangi berbanding jenis durian yang lain.

Isinya pula berbentuk lebih bulat jika dibandingkan dengan durian lain dan biasanya mempunyai warna kuning keemasan. Selain itu, isi Durian Duri Hitam juga agak tebal walaupun tidak setebal isi durian Musang King.



Tekstur isi juga lebih ringan kerana seratnya tidak terlalu banyak. Itu sebab jika makan buah ini, anda takkan rasa mudah kenyang. Malah, rasa nak makan lagi dan lagi dan lagi .. huhu. Beza dengan Musang King yang bila makan terlalu banyak, anda akan rasa mual.

Sesetengah penggemar durian tidak sukakan rasa pahit yang ada pada kebanyakan buah durian, tetapi spesies durian ini walaupun ada rasa pahit, ianya tidaklah sepahit durian kampung atau Durian XO.


Buat yang pertama kali nak mencuba makan buah durian yang ada rasa yang sedap, memang disyorkan untuk mencuba Duri Hitam kerana baunya yang tidak tajam dan aromanya lebih wangi berbanding durian lain.

Baru-baru ni, saya dengan keluarga berkesempatan la untuk merasa buah Durian Duri Hitam. Walaupun tempat saya ni, Nibong Tebal memang popular dengan buah durian ini .. dan memang ada dusun komersil yang menanam Duri Hitam, agak sukar nak mendapatkannya dari peniaga durian tempatan.

Hurmmm ... Tak tahu pasal apa susah nak dapat... uhhh... jika ada pun, biasanya buah ini sangat terhad dan dijual dalam kuantiti yang sedikit. Siapa cepat dia dapat gitu....huhu.

Yang saya dapat rasa ni pun disebabkan rakan kerja isteri saya yang carikan di Selama, Perak. Jauh makan buah Duri Hitam ni. Itupun hanya tiga biji dikongsi bersama 5-6 keluarga yang lain. Durian free .. hehe.

Apa yang boleh saya kata dari pengalaman pertama seumur hidup dapat makan buah ini ... fuhhhh ... memang sedap terangkat. Rasa seulas pun rasa nikmat sedap ya amat. Beza sikit dengan Musang King. Tapi jujur cakap, memang puas hatilah dapat makan seulas dua buah Durian Duri Hitam ni.

Unik pada rasa ialah anda cuma akan rasa pahit selepas menikmati rasa manis berkrim Duri Hitam. Kata omputih, the bitter came aftertaste the sweet cream.

Bagaimana Nak Kenal Buah Durian Duri Hitam?

Bentuk Buah

Buah Durian Duri Hitam datang dalam pelbagai saiz yang berbeza tetapi ia agak mudah dikenalpasti kerana berbentuk seperti labu. Kebanyakkan buah durian lain kurang ciri ini, malah ada durian yang berbentung sedikit lonjong atau bulat elok.

Kulit Durian

Kebiasaannya kulit Durian Duri Hitam berwarna hijau kelabu.

Bentuk dan Warna Duri

Seperti saya, awal anggapan bahawa durian ini mempunyai duri berwarna hitam tetapi sebenarnya ia kurang tepat. Durian Duri Hitam mempunyai warna duri yang sama seperti durian yang lain iaitu hijau. Cuma, pada hujung duri tersebut, terdapat warna perang gelap di mana terdapat teori yang mengatakan bahawa ciri tersebutlah yang menjadi ilham bagi nama durian ini.

Bahagian Bawah Durian

Cara Nak Kenal Durian Duri Hitam

Bahagian bawah buah jenis ini adalah berwarna perang gelap dan tanpa sebarang duri di kawasan tersebut. Ia nampak macam satu tompok tanpa duri.

Biasanya, terdapat satu tangkai berwarna hitam bahagian tengah di mana ia dikatakan sebab durian ini diberi jolokan Durian Duri Hitam. Garisan berwarna perang gelap juga kelihatan bersambung dengan bahagian bawah di mana ia boleh digunakan sebagai penanda bagi mengopek durian jenis ini.

Tangkai Durian

Duri Hitam biasanya mempunyai tangkai yang pendek atau kontot.

Ok, sekarang saya dah berikan beberapa tips untuk mengenali buah durian ini yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Harga buah Durian Duri Hitam agak mahal ketika ini kerana kesukaran untuk mendapatkannya, apatah lagi buah durian ini tak banyak ditanam di dusun tempat atau negeri lain.


Jika anda ke Pulau Pinang, dan kebetulan pula adalah musim buah durian, bolehlah cuba mencari dan merasai sendiri kesedapan yang ada pada Durian Duri Hitam. Ianya boleh didapati di sekitar Nibong Tebal, Pulau Pinang, area Seberang Perai/Seberang Jaya dan juga di beberapa kedai menjual durian di Bandar Baharu, Kedah.

Sempat Merasa Durian Tekka

Anda nak tahu satu lagi durian yang saya sempat rasa? Aha .. ni haa .. Durian Tekka atau juga dikenali sebagai Musang Queen.

Durian Tekka

Kata isteri saya, rasa buah durian Tekka lagi sedap dari Musang King dan juga Duri Hitam. Ia terkenal dengan rasa manis-manis pahit. Tekstur juga berkrim seperti Duri Hitam.

Buah Tekka lebih lonjong, dan isi tebal seperti Musang King. Ia juga dikenali sebagai Zhu Jiao dan berasal dari Banting, Selangor.

Okeh, cukup cerita pasal durian .. meleleh lak air liur, risau kot ada ibu sarat yang mengidam nak makan buah durian ni .. huhu.

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**

  1. Saya kalau cari durian, mesti cari yang pahit. Kalau tak pandai cari, tanya pada tukang belah durian.

    Duri hitam ka duri terpeleot ka. Tak kisah. Janji pahit dah

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**



Sebelumnya Seterusnya
Panduan Shopee

Klik Sini Untuk Tahu Caranya