Menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara, larangan ini dimuat-naik untuk mengingatkan para penjawat awam agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terutama di media sosial mengenai tindakan, rancangan dan keputusan kerajaan.
Larangan Membuat Sebarang Pernyataan Awam oleh Penjawat Awam Kerajaan
Peraturan yang terpakai untuk semua penjawat awam ini bukannya satu peraturan baharu, tetapi ianya telah terpakai mulai tahun 2016 lagi. Larangan ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan penjawat awam bertanggungjawab dengan tugasan yang telah diamanahkan untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya.
Larangan ini adalah selaras dengan Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam rujukan JPA.BK(S) 343/7-4(14) bertarikh 15 Julai 2016.
Seorang penjawat awam tidak boleh secara lisan atau bertulis membuat pernyataan awam yang boleh:
- memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu dan/atau
- memalukan atau memburukkan nama Kerajaan.
Larangan berkaitan perkara ini telah dinyatakan secara terang dan jelas di dalam Peraturan 19 (1) dan (2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].
Pelanggaran kepada peraturan ini membolehkan tindakan tatatertib dikenakan ke atas pegawai awam berkenaan.
Peraturan 19 (1) dan 19 (2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)(Pindaan) 2002 menyatakan bahawa :
19 (1). Seseorang pegawai tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain:
- (a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu;
- (b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan;
- (c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan; atau
- (d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.
19 (2). Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain:
- (a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan;
- (b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi Kerajaan;
- (c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Kerajaan; atau
- (d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,
- melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.
Makanya, buat para penjawat awam dan juga bakal penjawat awam, anda diingatkan bahawa jawatan dan kerjaya anda dalam perkhidmatan awam adalah tertakluk dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Peraturan ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan kerajaan mendapat kepercayaan rakyat dan integriti kerajaan tidak tercalar atau dimalukan, baik pada pandangan mata rakyat mahupun antarabangsa.
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.