Ketupat Daun Palas atau setengah tempat panggil Ketupat Pulut, memang satu hidangan yang istimewa di Hari Raya. Saya sendiri peminat ketupat ini. Kalau ikut sejarah raya saya, emak saya memang biasanya akan membuat ketupat daun palas ini setiap kali menjelang Hari Raya.

Tetapi memandangkan usia emak yang dah agak uzur, dan saya pula tak sempat nak membeli daun palas. Maka, dah agak lama la juga tak merasa ketupat daun palas hasil air tangan emak saya ni.

Cara Menyediakan Ketupat Palas atau Ketupat Pulut Sedap Berlemak

Cara Buat Ketupat Daun Palas

Ketupat Daun Palas agak berbeza dengan Ketupat Nasi atau Ketupat Daun. Ketupat Daun Palas mendapat nama kerana ianya menggunakan daun palas sebagai pembungkus, berbeza dengan Ketupat Nasi yang menggunakan daun kelapa muda.

Ketupat Daun Palas juga beza dan unik kerana isinya yang menggunakan pulut.

Dan lagi, bentuk Ketupat Daun Palas adalah tiga segi, manakala Ketupat Nasi adalah berbentuk empat segi atau berbentuk bawang.

Daun Palas untuk Hasilkan Sarung Ketupat Pulut

Namun, cara makan keduanya lebih kurang sama sahaja, enak dan sedap dimakan bersama rendang dan juga serunding di Hari Raya. Di Kelantan, ketupat ini turut dicicah bersama manisan cair.

Menu masakan tradisional ini sememangnya terkenal di bahagian utara Malaysia dan juga di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu. Ada ketupat palas yang dicampur dengan kacang merah bersama pulut.

Resepi Memasak Ketupat Palas

Jika anda teringin dan mahu mencuba memasak atau membuat Ketupat Daun Palas untuk Hari Raya ini, bolehlah gunakan panduan resepi di bawah ini:

Bahan-Bahan

  • 1 kilogram beras pulut
  • 500 gram santan pekat
  • 1 sudu besar garam
  • Setengah sudu besar gula
  • Daun palas secukupnya



Cara-Cara

  1. Pertama sekali kena rendam dahulu beras pulut paling kurang dalam 8 jam atau semalaman.
  2. Setelah dibiarkan berendam, basuh beras pulut sehingga bersih.
  3. Kukus pulut sehingga masak. Biarkan seketika.
  4. Masak santan pekat, garam dan sedikit gula sehingga mendidih. Jangan tambah air untuk kekalkan kepekatan santan.
  5. Campurkan pulut yang dah siap dikukus ke dalam santan tersebut. Gaul sehingga sebati.
  6. Kacau pulut sehingga airnya kering dan pulut tidak lagi melekat di kuali. Gunakan api sederhana dan sentiasa mengacau supaya pulut tidak melekat dan hangus.
  7. Kemudian, sejukkan pulut yang telah dimasak tadi.
  8. Isi ke dalam sarung atau pembalut ketupat menggunakan daun palas.
  9. Apabila dah dimasukkan ke dalam sarung ketupat, bolehlah kukus atau rebus selama 1 hingga 1 setengah jam untuk memastikan ketupat mampu bertahan lama dan rasa lebih sedap.
  10. Bila dah masak, buang air rebusan tersebut. Biarkan ia sejuk sekurang-kurang 3-4 jam sebelum dipotong dan dijamu. Bukan apa, takut nanti ia melekit dan melekat pada sarung ketupat.



Cara Membuat Sarung Ketupat Daun Palas

Tonton video di bawah dan ikuti panduan yang disediakan untuk membuat sarung Ketupat Daun Palas ..

Cara Buat Ketupat Pulut - Ketupat Daun Palas
Cara Menyediakan Ketupat Daun Palas ... ... Bahan-Bahan 1 kilo beras pulut (4 cawan) (revised : rendam pulut lebih kurang 2jam) 2 1/2 cawan santan pekat (pati santan) 2 cawan santan cair 1 cb gula 1 cb garam daun palas secukupnya Cara-cara 1. Beras pulut dibersihkan dan toskan airnya. Asingkan. 2. Tuang kedua dua santan ke dalam periuk dan didihkan. 3. Kemudian masukkan beras pulut, garam dan gula. 4. Kacau pulut sehingga 1/2 masak ataupun sehingga airnya kering dan pulut tidak lagi melekat di kuali. Gunakan api sederhana dan sentiasa mengacau supaya pulut tidak melekat dan hangus. 5. Padamkan api. Angkat kuali dari dapur dan biarkan pulut sejuk. 6. Ambil sehelai daun palas yang telah dibersihkan dan balut seperti biasa. Buat sehingga habis kesemuanya. 7. Rebus/kukus lebih kurang 1 ke 1 1/2 jam. 8. Angkat dan sejukkan sekurang kurangnya 4 jam sebelum dipotong. Cara Menyediakan 1. Bersihkan beras pulut dan toskan airnya. Masak bersama santan sehingga 1/2 masak dan pulut tidak lagi melekat di dinding periuk. 2. Beginilah rupa pulut yang telah dimasak. Pulut akan mengeluarkan minyak dengan sendirinya. Nampak tak minyak yg terhasil di bawahnya, ceduk dan buangkan minyak tersebut. Biarkan pulut sejuk. 3. Kemudian, lihat pulat cara membuka dan membalut ketupat. Ambil satu batang daun palas. Gunting sedikit hujung sebelah atasnya agar sama. Kemudian buka dan simpulkan seperti ini. Boleh juga dibuka banyak banyak dan simpulkan sekaligus. Daun palas boleh dibuka awal/sehari sebelumnya bagi memudahkan proses membalut ketupat nanti. Pilihlah daun yang panjang dan sederhana lebar bagi memudahkan proses membalut ketupat. 4. Ambil sehelai daun palas, lapkan depan dan belakang daun sehingga semua habuk2 halus tanggal dan bersih. 5. Simpulkan daun palas sehingga terbentuk kelongsong seperti ini. Lebih kurang macam kelongsong isi kacang putih yang ane india dok jual kat tepi jalan tu.... Biarkan ekor daun palas terjuntai. 6. Masukkan beras pulut yg telah dimasak tadi ke dalamnya. Tekan-tekankan sedikit dengan jari jemari halus anda biar pulut padat di dalam kelongsong. Jangan letak pulut melebihi paras daun kerana ianya akan menyukarkan anda untuk membalutnya nanti. Seelok eloknya biar sama paras dengan sisi daun. 7. Kemudian, tarik ekor daun palas menghala ke bawah bagi menutupi pulut tersebut 8. Rapatkan dan kemaskan daun tersebut. Biar betul betul ketat balutannya. 9. Pusing pula daun ke belakang kelongsong sambil menghala ke atas seperti ini. 10. Kemudian lipat lagi sekali seperti ini. 11. Alihkan kedudukan ketupat biar muncungnya menghala ke atas seperti ini. 12. Tarik ekor daun tadi dan sematkan di celah lipatan. Hati hati agar balutan tidak terbuka. 13. Kemaskan/ketatkan balutan dengan cara menarik ekor daun kuat sedikit. Jangan tarik terlalu kuat kerana daun palas akan terkoyak. Agak agakla ya. 14. Kemudian simpulkan ekornya seperti ini bagi mematikan balutan dan juga untuk mengelakkan air dari masuk ke dalam ketupat bila direbus. 15. Taraaaaa..... keetupat palas telahpun siap dibalut. Mudah bukan. 16. OOppppssss tak habis lagi ni.....Guntingkan sedikit tangkainya biar pendek supaya mudah untuk dimasukkan ke dalam periuk. 17. Lepas tuuu, apa lagi, rebus/kukus lerrrr..... Rebus/kukus selama lebih kurang 1 ke 1 1/2 jam hingga masak. Bila dah masak, buangkan air rebusan/kukusan dan biarkan ketupat sejuk lebih kurang 4 jam sebelum dipotong bagi mendapatkan hasil yang cantik dan memuaskan. . Nota : Ketupat yang betul2 elok/menjadi, akan tahan 2 hari pada suhu bilik. Ketupat yang telah siap dibalut boleh juga dimasukkan ke dalam bekas yang bersesuaian dan disimpan di bahagian sejukbeku dan direbus/dikukus bila perlu. . Resepi kredit to : Wattie's HomeMade
Posted by HASRULHASSAN.COM on Wednesday, 5 July 2017



Cara Menyediakan Sarung Ketupat Palas
Cara Menyediakan Sarung Ketupat Palas
Cara Menyediakan Sarung Ketupat Palas

  1. Ambil satu batang daun palas. Gunting sedikit hujung sebelah atasnya agar sama.  Buka daun palas. Lapkan depan dan belakang daun sehingga semua habuk-habuk halus dibersihkan. Kalau tak, takut nanti terselit rambut ke, bulu hidung ke dalam pulut .. naya je... hehe.
  2. Simpulkan daun palas sehingga terbentuk kelongsong seperti ditunjukkan dalam gambar. Biarkan ekor kelonsong daun palas terjuntai. Masukkan beras pulut yang telah dimasak tadi ke dalamnya. Tekan-tekankan sedikit dengan jari jemari anda biar pulut padat di dalam kelongsong. Jangan letak pulut melebihi paras daun kerana ianya akan menyukarkan anda untuk membalutnya nanti. Seelok eloknya biar sama paras dengan sisi daun. 
  3. Kemudian, tarik ekor daun palas menghala ke bawah bagi menutupi pulut tersebut. Rapatkan dan kemaskan daun tersebut. Biar betul betul ketat balutannya.
  4. Pusing pula daun ke belakang kelongsong sambil menghala ke atas seperti ditunjukkan dalam gambar di atas.
  5. Kemudian lipat lagi sekali.
  6. Alihkan kedudukan ketupat biar muncungnya menghala ke atas seperti ditunjukkan dalam gambar.
  7. Tarik ekor daun tadi dan sematkan di celah lipatan. Hati hati agar balutan tidak terbuka.
  8. Kemaskan atau ketatkan balutan dengan cara menarik ekor daun kuat sedikit. Jangan tarik terlalu kuat kerana daun palas akan terkoyak. Kena ada seni ni ya .. hehe
  9. Kemudian simpulkan ekornya seperti ditunjukkan di dalam gambar bagi mematikan balutan dan juga untuk mengelakkan air dari masuk ke dalam ketupat bila direbus.
  10. Guntingkan sedikit tangkainya biar pendek supaya mudah untuk dimasukkan ke dalam periuk.

Dah siap ....
Orait? Mudah ke susah? Benda sedap berlemak macam Ketupat Daun Palas memang kerja dia begitu. Ada sesetengah orang yang akan masak atau kukus pulut hingga separuh masak sebelum dicampur dengan santan. Ada pula yang buat sekali harung, masak terus pulut dengan segala bahan sebelum dimasukkan ke dalam sarung ketupat dan dikukus atau direbus semula.

Cara masakan ini memang ada sedikit berbeza, begitu juga dengan penyediaan sarung ketupat ini.

Ketupat Palas Jantan dan Ketupat Palas Betina

Tahukah anda, bahawa sarung ketupat palas ada jantan dan betinanya.

Di kalangan penduduk utara Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand, sekiranya ikatan dan balutan ketupat daun palas itu adalah kemas maka ia adalah Ketupat Palas Jantan. Jika balutannya kurang kemas, maka ia Ketupat Palas Betina.

Ketupat Palas Jantan mempunyai isi atau pulut lebih dibahagian akhir balutan, manakala ketupat palas betina, saiznya kecil dan tidak mempunyai isi atau pulut lebih di bahagian ikatan atau balutan.

Hehehe ...

Tapi janganlah ambil serius sangat pasal Jantan Betina pada Ketupat Daun Palas ini. Ia hanyalah satu gurauan sahaja, sengaja diwujudkan bagi memeriahkan proses membuat sarung ketupat bersama keluarga terutama bersama anak-anak lelaki dan perempuan.

Apa yang dibuat adalah agar memastikan balutan yang disediakan kelihatan kemas, rapi dan mengikut tradisi.

Tips Menyediakan Resepi Ketupat Palas atau Ketupat Pulut

Oh ya, saya ada sedikit tips dalam penyediaan dan cara membuat Ketupat Daun Palas ini ..
  1. Cari dan pilih daun palas yang cukup lebar untuk dianyam. Pastikan ada lebih daripada lima ruas pada daun agar mudah untuk mengayam dan memasukkan pulut dalam kelonsong.
  2. Ketupat Daun Palas yang elok dimasak akan bertahan sekurang-kurangnya dua hari pada suhu bilik. Maka, kena pastikan ia tidak berair atau mempunyai lebihan minyak.
  3. Jika mahu disimpan, boleh sahaja disimpan dalam ruang sejuk beku dalam petiais yang kemudiannya dikukus atau direbus kembali apabila hendak dimakan.
  4. Pulut akan mengeluarkan minyaknya tersendiri, jadi pastikan pulut benar-benar kering dan buang air rebusan/kukus yang berlebihan. Jangan dicampurkan dengan pulut.
  5. Daun palas boleh dibuka awal atau sehari sebelumnya bagi memudahkan proses membalut ketupat nanti. Pilihlah daun yang panjang dan sederhana lebar bagi memudahkan proses membalut ketupat. 
  6. Elok menggunakan santan segar. Dari pengalaman menggunakan santan kotak, ketupat tidak dapat bertahan lama dan rasanya juga kurang berlemak. 

Semoga perkongsian ini dimanfaatkan bersama. Jangan lupa cuba resepi ini ya.

Sumber olahan: Fanpage Hasrulhassancom dan Blog Watie's Homemade

Komen Anda

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

**Jika anda menggunakan Google Crome, tetapi tidak boleh meninggalkan komen, anda kena ENABLE THIRD PARTY COOKIES pada setting Privacy and Security Crome anda.**

Bisnes Tudung Online
Sebelumnya Seterusnya
Lubuk Bundle Gred AA

Dropship USD