Ketahui Fakta Hangat Mengenai Wau Tradisi Malaysia di Muzium Wau Tumpat

Klik sini untuk TIPS TEMUDUGA
Kalau anda dalam percutian di negeri Kelantan, jangan lupa untuk menjenguk tempat menarik yang ada di daerah Tumpat. Tumpat bukan sekadar terkenal dengan lokasi untuk bershopping di kompleks bebas cukai iaitu di Pengkalan Kubor. Ia ada banyak tarikan sejarah tersendiri seperti Masjid Kampung Laut, yang dikenali sebagai masjid tertua masih wujud di Nusantara selain adanya Muzium Wau yang menyimpan segala fakta penting mengenai wau tradisi di Malaysia.

Muzium Wau ini terletak di Pantai Sri Tujoh. Ia sebuah muzium yang kecil namun cukup lengkap dengan fakta-fakta menarik untuk tambah pengetahuan berkaitan sejarah wau di Malaysia, terutama sekali untuk mengenali lebih mendalam mengenai wau tradisi setiap negeri di Malaysia.

Muzium Wau, Tumpat, Kelantan - Destinasi Menarik Untuk Ketahu Fakta Menarik Wau Tradisi Malaysia

Muzium Wau Tumpat Kelantan
Saya dan keluarga telah berkesempatan buat pertama kalinya pergi melawat Muzium Wau ini semasa kami bersiar-siar sekitar Pantai Sri Tujoh Tumpat. Ketika itu, kami dalam perjalanan untuk ke kompleks bebas cukai Pengkalan Kubor.

Sejarah Kewujudan Muzium Wau Tumpat

Sejarah Kewujudan Muzium Wau Tumpat
Buat mereka yang mungkin tak tahu, Pantai Sri Tujoh ni merupakan destinasi popular antarabangsa untuk menaikkan wau dan layang-layang. Malah, ia telah menjadi lokasi pilihan utama untuk pertandingan dan juga karnival serta penganjuran Festival Wau Antarabangsa.

Pengajuran Festival Wau Antarabangsa di Malaysia bermula di sini seawal tahun 80an lagi. Ia menjadi satu kebanggaan bagi negeri Kelantan dan juga penduduk tempatan di daerah Tumpat. Setiap kali festival wau diadakan, ia telah menjadi fokus antarabangsa dan menarik penyertaan pelbagai negara.

[Dah Baca?] Masjid Beijing, Masjid Cina Pertama di Malaysia

Jadi, Pantai Sri Tujoh, di daerah Tumpat ni bukan lokasi biasa-biasa ye. Ia lokasi dikenali penggemar dan pencinta layang-layang seluruh dunia!

Dek kerana itulah, Muzium Wau ditempatkan di sini.

Lawatan ke Muzium Wau Tumpat


Permainan wau sejak berzaman lamanya berkait rapat dengan budaya rakyat di Kelantan. Ia telah diangkat sebagai salah satu khazanah tradisi negeri Kelantan yang setanding dengan tradisi lain, seperti Mak Yong, Dikir Barat, Gasing dan Wayang Kulit.

Muzium Wau di Pantai Sri Tujoh telah dibina pada tahun 2011. Tujuannya cuma satu, iaitu memelihara khazanah dan tradisi budaya tempatan, bukan setakat budaya masyarakat Kelantan, tetapi juga negeri lain.

Di muzium ini, anda akan mengetahui mengenai jenis-jenis wau yang ada di Malaysia. Anda akan belajar tentang warisan, namanya dan keunikan yang ada pada setiap wau tradisi negeri yang unik.

Anak-anak saya cukup teruja bila dapat tahu setiap bentuk wau dan layang-layang yang pernah mereka lihat mempunyai nama tersendiri. Memang tak silap saya bawa anak-anak ke destinasi cuti menarik di Kelantan ini.

Ketahui Fakta Hangat Mengenai Jenis Wau Tradisi di Malaysia

Wau Bulan dan Wau Puyuh
Di muzium ini, anda boleh tahu mengenai sejarah kewujudan wau tradisi negeri seperti Wau Bulan, Wau Kucing, Wau Puyuh, Wau Daun dan pelbagai lagi. Menariknya ialah, menerusi apa di pamerkan di muzium ini, baru saya tahu bahawa Wau Puyuh adalah merupakan wau tradisi baharu untuk negeri Kelantan selepas Wau Bulan dijadikan wau kebangsaan Malaysia.

Jenis-jenis wau terdapat di Malaysia
Saya juga baru tahu bahawa negeri Perak, negeri kelahiran saya mempunyai wau tradisinya sendiri dinamakan Wau Seri Bulan atau Layang-Layang Seri Bulan. Nama wau tradisi negeri Perak ini dipercayai telah diberikan ketika zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah.

Gambar-Gambar Muzium Wau Kelantan

Meh saya kongsikan beberapa gambar dalam muzium ini.

Wau tradisi negeri Pahang, Johor dan Melaka
Wau tradisi Perlis, Sarawak


Wau-wau tradisi kebangsaan Malaysia
Lawatan ke Muzium Wau Tumpat
Sejarah layang-layang dan wau di Malaysia


Harga Tiket Masuk

Jika anda ke Kelantan, dan mahu menambah pengetahuan mengenai budaya dan tradisi Melayu di Malaysia, maka datanglah ke Tumpat, dan singgahlah ke Muzium Wau ini. Muzium Wau di Tumpat dibuka setiap hari, kecuali Jumaat. Pelawat dikenakan caj RM2 bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.
Harga tiket masuk Muzium Wau
Jika anda seorang pencinta tradisi dan mahu anak-anak anda juga belajar mengenai tradisi dan kebudayaan Melayu di Malaysia, maka bolehlah ke sini dan mengetahui berkaitan wau dan layang-layang. Seharusnya anak-anak kena ada pengetahuan penting tentang permainan warisan ini, bukan sekadar menaikkannya di awam biru. :)

Post a Comment

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.