Salam Maal Hijrah 1440

Salam Maal Hijrah 1440 buat semua pembaca blog saya terutama sekali yang beragama Islam. Maal Hijrah adalah tahun permulaan baharu buat semua umat Islam seluruh dunia. Menyingkap kembali sejarah wujudnya kalendar Islam ini, ia sebenarnya satu anjakan paradigma dalam sejarah ketamadunan Islam itu sendiri, kerana semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W masih hidup, kalendar hijriah ini masih belum wujud.

Salam Maal Hijrah 1440 dari HasrulHassan.com

Selamat Tahun Baru 1440H dari HasrulHassan sekeluarga
Maal Hijrah atau 1 Muharram merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi atau Miladiah.

Pengiraan hari dan bulan hijrah dalam kalendar Hijrah adalah berdasarkan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Oleh sebab itu, tarikh hijrah juga dinamakan tarikh Qamariah.

Satu tahun Qamariah terdiri dari 12 bulan, 354 hari, lapan jam, 47 minit dan 36 saat. Setiap bulan terdiri dari 29 hari, 12 jam, 44 minit dan tiga saat.

Seperti awal saya beritahu, kalendar Hijrah atau Hijriah ini belum bermula semasa baginda Rasulullah S.A.W masih hidup.

Jadi, mereka guna kalendar apa sebelum adanya takwim Hijrah?

Sebelum ada penetapan tahun Hijrah ini, orang Arab suka menamakan sesuatu tahun mengikut peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut, misalnya Tahun Gajah adalah tahun pada kelahiran Nabi Muhammad S.A.W di mana ketika tahun tersebut juga berlakunya serangan tentera Abrahah (Tentera Bergajah) ke atas Mekah.

Tahun pertama (622) baginda Nabi Muhammad S.A.W berada di Madinah adalah disebut sebagai Tahun Azan kerana pada tahun itu, azan telah disyariatkan setiap kali tiba waktu untuk menunaikan solat.

Tahun ke-2 (623) Nabi Muhammad S.A.W di Madinah pula dinamakan Tahun Izin Perang, Tahun Puasa, Tahun Zakat (Tahun Korban) kerana pada tahun itu disyariatkan keizinan berperang, puasa, zakat dan korban.

Manakala, tahun ke-10 (630) disebut sebagai Tahun Perpisahan kerana Baginda S.A.W telah mengerjakan haji di Mekah pada tahun tersebut.

Tahun Gajah cuma salah satu daripada beberapa banyak kalendar lain yang digunakan oleh masyarakat dunia ketika itu.

Dalam kalangan bangsa Arab sendiri pun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan. Selain daripada Kalendar Tahun Gajah, bangsa Arab juga menggunakan Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.

Tahun Hijrah telah ditentukan oleh Khalifah Umar pada 17 H/638 M.

Seperti mana perkara lain yang berlaku dalam sejarah ketamadunan Islam, timbul juga isu ketika penetapan bermulanya kalendar pertama umat Islam ini.

Cadangan permulaan 1 Muharram bukan mutlak disebabkan oleh berlakunya peristiwa perpindahan Nabi dari Meka ke Madinah. Ia melalui perbincangan antara para sahabat ketika itu.

Sebenarnya, terdapat beberapa cadangan daripada para sahabat untuk penetapan tarikh ini ketika itu, ada yang mencadangkan tahun Islam bermula ketika kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, dan ada yang mencadangkan permulaan tarikh Islam ditetapkan pada hari Rasulullah dibangkitkan sebagai nabi dan rasul.

Namun, akhirnya Saidina Umar menetapkan bahawa permulaan tarikh kalendar atau takwim Islam adalah bersandarkan kepada peristiwa Hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah. Maka inilah juga sebabnya kalendar Islam disebut sebagai Takwim Hijrah/Hijriah.

Cadangan permulaan kalendar Islam ini telah diusulkan oleh sahabat Nabi, iaitu Saidina Ali bin Abu Talib a.s.

Saidina Umar menerima usul ini kerana hijrah merupakan titik pemisah di antara masa Mekah dengan Madinah dan merupakan perjuangan awal Nabi S.A.W dalam menyebarkan Islam.

Tentu ada tertanya-tanya, bagaimana boleh tercetusnya idea untuk mewujudkan satu kalendar baharu dan khas untuk umat Islam ketika itu? Walhal bukankah sudah ada kalendar digunakan ketika itu?

Telah diceritakan dalam satu riwayat yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asya'ari yang juga salah seorang sahabat Nabi berasal dari Yaman telah mengirimkan surat kepada Sayidina Umar r.a. meminta beliau untuk menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat atau arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.

Gabenor Abu Musa mahu tarikh tepat kerana tidak mahu tersalah mengikut arahan. Al maklumlah, waktu itu terlalu banyak tarikh serta tahun digunapakai dalam masyarakat.

Saidina Umar sedar akan kepentingan memilih satu takwim yang boleh digunakan oleh semua umat Islam ketika itu, dan pastinya adalah bagi membolehkan segala urusan kerajaan dan pentadbiran menjadi lebih lancar dan jitu.

Maka dengan ini beliau telah melakukan ikhtiar agar satu takwim Islam diwujudkan. Ia adalah satu kalendar atak takwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman tersebut.

Dari situlah lahirnya Takwim Hijrah yang telah digunakan oleh negara-negara Islam sekarang ini.

Anda tahu tak?

Pada mulanya orang Arab membahagikan satu bulan kepada tiga bahagian: masing-masing 10 hari dengan nama: Gurar, Nufal, Tusa', 'Usar, Bid, Dura', Zulam, Hanadis (Duhm), Da'adi dan Mihak.

Manakala, permulaan hari ditetapkan dengan kemunculan hilal (al-hilal: anak bulan). Seterusnya dipakai satuan yang terdiri dari tujuh hari yang dikenali dengan satu minggu dengan nama: Awwal (Ahad), Ahwan, Jubar, Dubar, Mu'nis, Aruba' dan Siyar.

Penamaan nama hari mengikut Islam, ialah al-Ahad, al-Ithnian, al-Thulatha', al-'Arabia, al-Khamis, al-Jumu'ah dan al-Sabt yang juga dikenali oleh kita sekarang menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.
Salam Maal Hijrah 1440

Salam Maal Hijrah 1440H.

Post a Comment

13 Comments

  1. Replies
    1. Terima kasih ... moga tahun baharu yang lebih baik dari sebelumnya.

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih ... moga tahun baharu yang lebih baik dari sebelumnya.

      Delete
  3. Replies
    1. Terima kasih ... moga tahun baharu yang lebih baik dari sebelumnya.

      Delete
  4. Salam Maal Hijrah Tn HH sekeluarga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih ... moga tahun baharu yang lebih baik dari sebelumnya.

      Delete
  5. Replies
    1. Terima kasih ... moga tahun baharu yang lebih baik dari sebelumnya.

      Delete
  6. Salam Maal Hijrah buat Tuan sekeluarga..
    Moga lembaran baru ni akan merubah niat penghijrahan kita semua ..

    ReplyDelete
  7. Salam Maal Hijrah ... Kisah yg menarik untuk dikongsi.

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.