12 March 2018

7 Tips Agar Anak Suka Membaca Al-Quran

Tentu seronok kan kalau anak-anak suka membaca Al Quran. Saya sebagai bapa kepada 4 orang anak memang nak sangat lihat anak-anak menjadikan Al Quran itu bacaan setiap hari. Bukan mudah nak mendidik anak untuk senang dan suka membaca Al Quran. Dalam didik anak untuk suka baca Quran ni, kena dilakukan secara istiqomah.

7 Tips Anak Suka Baca Quran

Didikan anak untuk suka baca Al Quran ni sebenarnya perlu dimulakan sejak anak itu berada di dalam kandungan si ibu lagi. Maka peranan ibu bapa dari awallah yang akan menerbitkan rasa minat anak-anak ini terhadap Al Quran. Bukan prasekolah, bukan ustaz, bukan sekolah .. tetapi ibu bapa.
Tips Anak Suka Baca Quran
Hafal dan membaca Al Quran dua perkara berbeza. Jika mahu anak senang hafal Al Quran, sebagai ibu bapa .. perkara paling penting ialah menjaga pemakanan anak itu sejak dari kandungan lagi. Ramai tahfiz menjaga pemakanan untuk mudah ingat hafal Al Quran. Soal pemakanan memang dititik-beratkan, apatah lagi untuk menjadi seorang huffaz.

Mungkin ramai tak tahu, seorang huffaz ialah mereka yang menjaga dan memelihara Al-Quran. Mereka bukan sekadar menghafal tetapi memahami, menghayati, mengamalkan dan menyebarkan Al-Quran dalam hidup.
Tips Anak Suka Baca Quran
Agak berbeza dengan seorang yang menghafaz Al Quran. Sesiapa pun boleh menghafaz Al Quran ini jika tahu cara dan tekniknya, termasuk seorang yang bukan beragama Islam. Pernah lihat seorang rahib Kristian yang boleh menghafaz ayat-ayat Al Quran?

Ok.

Saya nak kongsikan sedikit tips untuk menjadikan anak-anak agar suka membaca Al Quran ini.

Perdengarkan Bacaan Al Quran Sekerap Mungkin

Gunakanlah CD, DVD, atau kaset dan pasangkan ia di dalam kereta setiap kali bersama dengan anak-anak. Walaupun mereka mengaji dan belajar Al Quran di sekolah, mereka mungkin mudah lupa sesuatu ayat itu jika pengulangan tidak dilakukan.

Ulang bacaan ayat Al Quran ini penting supaya tidak mudah lupa selain membiasakan anak-anak dengan ayat-ayat yang diperdengarkan. Bila mereka sudah biasa dengar, maka setiap kali membaca Al Quran dan terjumpa ayat yang biasa didengar, mereka akan jadi suka membacanya berulangan.

Gunakan YouTube

Anak-anak zaman sekarang memang suka menonton video YouTube. Perlihatkan kepada mereka video anak-anak kecil yang lancar membaca Al Quran. Anak-anak ini mudah rasa kagum pada rakan sebaya yang ada kehebatan seperti lancar membaca Al Quran ini.

Anak-anak saya sendiri dapat baca banyak ayat Al Quran secara lancar dengan melihat video kanak-kanak membaca Al Quran di YouTube. Cubalah. In Sha Allah, akan nampak hasilnya dalam masa singkat.

Sediakan Al Quran dan Rehal Khas

Anak-anak ini suka pada pemilikan. Jadi jadikan Al Quran itu sebagai pemilikan peribadi dirinya. Dapatkan senaskah Al Quran khas untuknya, tidak dikongsi dengan sesiapa. Sediakan sekali rehal untuk memudahkannya membaca Al Quran.

Ini adalah salah satu cara untuk support mereka agar gemar dan sentiasa ada keinginan untuk membaca Al Quran dengan lebih kerap.

Sediakan Ruang dan Masa

Apabila anak anda mahu membaca Al Quran, berikan ruang dan masa sepenuhnya kepadanya. Jangan disekat; contohnya mintanya untuk makan dahulu atau pergi melakukan tugas lain. Biar anak-anak ini membaca Al Quran dengan keinginan mereka, dan bukan dipaksa. Selalunya apabila terlalu memaksa, anak-anak tidak akan memberatkan soal membaca Al Quran ini.

Mungkin awal-awal, anak-anak akan ada banyak ragam semata nak membaca Al Quran ni; layankan sahaja asalkan mereka mula membaca Al Quran. In Sha Allah, lama kelamaan anak-anak akan tahu cara dan adab yang betul untuk membaca Al Quran. Berikan ruang dan masa untuk mereka.

Cerita Dalam Al Quran

Untuk tambahkan minat anak untuk suka membaca Al Quran, carilah surah berbentuk cerita untuk mereka baca. Sebagai ibu bapa pula, anda haruslah tahu juga tentang cerita-cerita dalam Al Quran ni. Kalau boleh dapatkan buku cerita yang ada kisah dalam Al Quran ni. Ada banyak dijual di kedai buku.

Lepas tu bolehlah minta (bukan suruh) mereka untuk baca ayat Al Quran tentang cerita tersebut.

Cara ini juga saya dapati membolehkan anak-anak dapat tangkap makna serta maksud dalam sesuatu surah dibaca.

Pengaruh Persekitaran dan Kawan-Kawan

Wujudkan persekitaran untuk mereka suka baca Al Quran. Ada tips mengatakan, jika mahu anak-anak suka baca Al Quran, tempatkan mereka dengan kawan-kawan mereka yang juga suka membaca Al Quran.

Jika dalam kampung, ada kelas mengaji, maka tempatkan anak itu di kelas mengaji ini bersama kawan-kawan mereka. Kadang mereka suka berlumba mengaji yang secara amnya punyai kesan positif untuk anda gemar dan suka mengaji lebih kerap.

Anak-anak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan juga kawan-kawan. Maka, mengetahui hal ini, ibu bapa yang mahu anak suka baca Quran .. kena wujudkkan kesan pengaruh ini.

[Baca Juga] 3 Tips Untuk Baca Al Quran Dengan Rasa Tenang, Tanpa Risau Salah Silap

Pelihara Peribadi Anak-Anak

Di dalam kitab Al Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran. Imam al-Nawawi ada menuliskan kata-kata dari Fudayl ibn ‘Iyad:

حامِلُ القرآن حاملُ راية الإسلام، لا يَنْبغي أن يلهوَ مع مَن يلهو، ولا يسهوَ مع مَن يسهو، ولا يلغوَ مع مَن يلغو؛ تعظيمًا لحق القرآن

“Pembawa Al-Quran merupakan pembawa panji-panji Islam, tidak sewajarnya ia melakukan perkara yg sia-sia, leka dan lalai bersama-sama orang lain yang melakukannya, bagi mengagungkan hak Al-Quran.”

Seandainya anda mahu anak-anak anda terus suka membaca Al Quran, maka peliharalah dirinya dari membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan apa yang diajar dalam Al Quran. Jaga sebaiknya akhlak anak-anak dan pilih aktiviti yang hanya sesuai untuk dirinya sebagai seorang beragama Islam.

Tips ini dikongsi untuk sama-sama dapat membentuk generasi akan datang yang akan suka membaca Al Quran. In Sha Allah, bila mereka sering membaca, 'roh' dari bacaan Al Quran itu dapat diserap ke dalam jiwa.

Saya ajak anda semua untuk tonton video di bawah ini, semoga ia dapat memanfaatkan diri kita semua. Video ini antara video YouTube yang Maira (gambar atas) suka tonton bersama Zikri.

p.s: Sebaik-baik untuk didik anak adalah menerusi teladan ditunjukkan ibu bapa. Maka ibu bapa harus juga dan wajar agar suka membaca Al Quran.

Penulis blog freelance sejak 2010. Berkeluarga dan bekerja di rumah sebagai house husband.  Lulusan Ijazah. Menetap di Penang. Mesra dipanggil HH. Untuk berhubungan atau pertanyaan - klik looket.me/hasrulhassan

3 Komen

Ya Allah, terima kasih tips ni bro HH :)

Sama-sama kita amalkan untuk anak kita biar lancar baca dan suka dengan Al Quran.

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.
EmoticonEmoticon