Info GST dan Cukai Pendapatan Dalam Bajet 2016. Pembentangan belanjawan atau Bajet 2016 telahpun disempurkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 23 Oktober 2015. Antara intipati penting Bajet 2016 kali ini adalah melibatkan GST iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Mungkin ramai yang ingin tahu apakah perubahan yang ada atau informasi terkini mengenai GST yang ada dalam Bajet 2016. Untuk itu, saya kongsikan sedikit sebanyak info GST dalam Bajet 2016 sebagai pengetahuan untuk semua.

Info GST dan Cukai Pendapatan Dalam Bajet 2016

Info GST dan Cukai Pendapatan Bajet 2016
Antara berita gembira yang boleh saya katakan mengenai GST dalam Bajet 2016 ialah mengenai ubat-ubat terkawal. Sebanyak 8630 jenis ubat terkawal dalam kategori Racun Kumpulan A,B,C dan D dikenakan cukai GST sifar peratus (0% GST). Ubat-ubat yang dimaksudkan adalah melibatkan ubat-ubat untuk 30 jenis penyakit, termasuklah Kencing Manis, Darah Tinggi, Kanser, dan Sakit Jantung. Penyakit-penyakit ini adalah antara penyakit 'pembunuh' terbanyak di Malaysia.

Senarai Barangan Baru Tidak Dikenakan GST 2016

Dalam Bajet 2016 juga dinyatakan beberapa tambahan untuk senarai barang yang tidak dikenakan cukai GST. Cadangan barangan yang tidak dikenakan cukai GST atau GST 0% adalah seperti berikut:
  1. Susu bayu berasaskan soya dan susu organik.
  2. Dhal (parpu) yang berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih.
  3. Akar Teratai (lotus root)
  4. Sengkuang Air (water chestnut).
  5. Biji sawi.
  6. Gula merah.
  7. Mee kolok kering.

Info Lain Mengenai GST

Perkara-perkara lain mengenai cukai GST dalam Bajet 2016 adalah seperti berikut:
  • Threshold pendaftaran skim kadar rata di bawah GST bagi petani yang berskala kecil diturunkan dari RM100 ribu menjadi RM 50 ribu.
  • Petani kecil boleh kenakan tambahan 2% ke atas nilai jualan
  • Syarikat MRO dibenarkan menyertai Skim Pedagang Diluluskan (Approved Trader Scheme) dan tidak perlu membayar GST ke atas pengimportan barang.

Pelepasan GST dan Rebat Tunai

Dan berikut adalah beberapa cadangan mengenai pelepasan cukai serta rebat tunai GST untuk usahawan dan syarikat:
  • Pelepasan GST bagi import semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.
  • Pelepasan GST pengimportan semula peralatan yang layak dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti pelantar minyak dan platform terapung.
  • Pelepasan GST bagi perolehan bahan peralatan latihan oleh pusat latihan kemahiran di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
  • Rebat tunai bersamaan amaun GST yang dibayar akan dikredit kepada pengguna bagi pengaktifan mulai 1 Januari 2016 sehingga Disember 2016.

Kadar dan Had Pelepasan Cukai Pendapatan Baru 2016

Info Bajet 2016 Berkaitan Cukai Pendapatan
Kadar cukai pendapatan juga melihatkan pertambahan untuk kategori pendapatan tertentu. Berikut adalah dua kategori cukai pendapatan dan kadar yang telah diumumkan dalam Bajet 2016:
  1. Pendapatan RM600,001 hingga RM1,000,000 dinaikan menjadi 26% daripada 25%
  2. Pendapatan melebihi RM1,000,000 dinaikkan menjadi 28% daripada 25%.
Turut dinyatakan di dalam Bajet 2016 ialah berkaitan had pelepasan cukai pendapatan bagi golongan M40. Secara amnya, golongan M40 adalah golongan rakyat yang berpendapatan sekitar RM3,860 hingga RM8,320 sebulan.
  1. Menaikkan had pelepasan cukai kepada RM2,000 bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai cukai taksiran 2016.
  2. Menaikkan had pelepasan cukai kepada RM4,000 bagi pembayar cukai individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan.
  3. Memperkenalkan pelepasan cukai baru sebanyak RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa bagi meringankan kos saraan anak yang menyara ibu bapa.
  4. Menaikkan had pelepasan cukai kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur lebih 18 tahun yang sedang melanjutkan pengajian di IPT dalam dan luar negara mulai cukai tafsiran 2016.
  5. Menaikkan had pelepasan cukai kepada RM8,000 bagi ibu bapa kepada anak OKU yang sedang melanjutkan pengajian dalam dan luar negara mulai tahun taksiran 2016.
  6. Pelepasan cukai pendapatan diberi ke atas caruman skim PERKESO mulai tahun taksiran 2016
    • Kelayakan caruman wajib dinaikkan menjadi RM4,000 berbanding RM3,000 sebulan.
Alhamdulillah, saya fikir ramai golongan yang berpendapatan dalam kategori M40 akan menerima banyak manfaat dari pelepasan cukai ini, terutama mereka yang menggunakan skim potongan gaji untuk pembayaran cukai pendapatan. Ada banyak potongan kali ini untuk golongan ini, jadi ia pasti melegakan kerana tidak perlu membayar cukai terlalu tinggi jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Saya juga sangat gembira bahawa turut dinyatakan dalam Bajet 2016 ialah berkaitan ubat-ubatan, iaitu lebih banyak ubat-ubatan untuk penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan sakit jantung diberikan kadar 0% GST. Ia penting sebab ramai rakyat Malaysia yang mengidap penyakit berbahaya ini termasuklah diri saya (kencing manis), dan beberapa ahli keluarga terdekat termasuklah emak saya yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Harga ubat-ubatan untuk penyakit ini memang mahal, dan pastilah ia agak membebankan bagi sesetengah rakyat yang adakala perlu mendapatkannnya di kedai-kedai ubat atau farmasi.

Selain itu, saya nampak Bajet 2016 adalah baik untuk golongan usahawan dan peniaga; ada banyak pelepasan cukai diberikan selain memberikan kelegaan bagi institut-institut kemahiran di Malaysia bagi mempertingkatkan modal insan.

Begitulah adanya sedikit sebanyak info yang boleh saya kongsikan kepada anda berkaitan GST dan juga berkaitan cukai pendapatan 2016 menerusi bajet yang telah dibentangkan. Nak tak nak, kita sebagai rakyat terpaksalah menerima Bajet 2016 kali ini dengan hati terbuka. Ianya telah dirangka oleh mereka yang bijak pandai yang telah kita semua pilih semasa pilihanraya.

Apa yang akan kita hadapi pada 2016 adalah satu cabaran yang mendatang.


Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement