Sah. Perodua Axia 1.0 (AT) Advance Version bermasalah sistem ABS. Jika anda ada mengikuti kisah saya mengenai kereta Perodua Axia 1.0 (AT) Advance Version yang isteri saya baru beli tak sampai pun dua minggu menggunakannya, tentu mahu tahu akan kesudahannya.

In Sha Allah, dalam entri ini saya akan tulis akan penamat cerita pengalaman saya ini, dan apakah yang telah berlaku kepada kereta Perodua Axia Advance Version milik isteri saya. Atas nasihat daripada salesman, saya telah menghantar kereta tersebut untuk diperiksa di Pusat Servis Perodua Nibong Tebal.

Saya telah daftarkan kereta Axia untuk diperiksa pada jam 9:00 pagi. Dan ia diperiksa oleh ketua mekanik di situ dalam jam 10:00 pagi memandangkan banyak kenderaan yang perlu diservis ketika itu. Lagipun, saya tidak melakukan temujanji secara khusus.

Axia Advance Version Sah Masalah ABS

Axia Advance Version Sah Masalah ABS
Lebih kurang 2 jam diperiksa, ketua mekanik memberitahu saya bahawa terdapat masalah pada sistem ABS kereta Perodua Axia milik isteri saya. Punca masalah tidak dapat diketahui secara khusus, jadi dia meminta saya untuk tinggalkan kereta Axia semalaman untuk terus diteliti. Hendak tak hendak, terpaksalah tinggalkan kereta di pusat servis.

Saya terpaksa meminta isteri saya untuk ambil saya di pusat servis tersebut supaya dapat ambil anak-anak dari sekolah. Ketika itu, waktu tengahari, lebih kurang jam 12. Rasanya jam 11:30 pagi. Ini bermakna saya telah berada di pusat servis itu selama hampir 3 jam - yang keputusan akhirnya saya perlu tinggalkan kereta di pusat servis.

Nasi Kandar Pengubat Jiwa Hangat

Hangat juga di hati, tetapi nasib baiklah pusat servis tersebut ada sediakan sedikit refreshment. Lagipun, ada sebuah restoran Nasi Kandar Mohammad di sebelah pusat servis. Sebelum sempat isteri ambil saya, layan jugalah Ayam Kampung Masak Kari di restoran Nasi Kandar Mohammad yang memang marvelous!

Oh ya, menurut ketua mekanik di pusat servis tersebut, mereka terpaksa 'buka' semua untuk mencari punca kenapa lampu brek tangan dan lampu ABS tidak terpadam setelah enjin dihidupkan dan kereta dipandu. Ia merupakan kejadian dan kes pertama mereka di situ. Dan mereka terpaksa berpandukan kepada buku manual, dan menghubungi pihak HQ untuk mengesahkan apa jua tindakan yang mereka lakukan.
Axia Advance Version Sah Masalah ABS
Uhh serius bila diterangkan rasa kronik sangat masalah kereta Axia 1.0 (AT) Advance Version yang baru je dibeli beberapa minggu ... uhh kereta baru dah ada masalah kronik macam ni .. apa kes?

Saya balik dengan isteri, dengan rasa tertanya-tanya.

Keesokkannya, saya dihubungi oleh pusat servis Perodua tersebut. Mereka kata, kereta Axia boleh diambil.

Ingatkan Dah Settle Masalah ABS

Pada ketika itu, saya fikir masalah kereta Axia telah dapat diselesaikan; tetapi rupa-rupanya ... masalah tersebut tidak dapat diselesaikan oleh pihak mereka. Walaupun kereta ditinggalkan semalaman, lampu break tangan dan lampu ABS masih tidak boleh dipadamkan.

Lalu, mereka mencadangkan kepada saya untuk gantikan set ABS yang baharu, dan kemungkinan saya terpaksa tinggalkan kereta Perodua Axia Advance Version sekali lagi. Saya pun bertanya, bila dapat gantikan sistem ABS kereta milik isteri saya tersebut, dan jawapan mereka dalam 2 minggu, paling cepat seminggu tengok pada HQ samada hantar cepat atau lambat.

Selamat Dipandu Walaupun Lampu ABS Menyala

Saya pun tanya, adakah selamat kereta Perodua Axia dipandu dengan masalah yang berlaku? Dan jawab mereka ia selamat, kerana telah diuji bahawa sistem brek biasa masih lagi berfungsi dengan baik, dan lampu brek tangan serta ABS yang menyala tidak ganggu sistem pemanduan. Cuma disarankan supaya tidak memandu laju, dan hanya gunakan untuk pergi ke destinasi jarak dekat.

Hmm .. nak tak nak, kenalah akur. Saya pun bawalah kereta Axia keluar dari pusat servis... dan tunggu sahaja panggilan daripada mereka jika sistem ABS baru yang ditempah dari HQ tiba, untuk digantikan.

Mohon Bantuan Rakan di HQ Perodua Rawang

Saya balik sahaja ke rumah, terus hubungi rakan saya yang bekerja di HQ Perodua di Rawang. Nasib baiklah beliau merupakan orang yang bertanggungjawab soal after sales ni. Dia berjanji untuk settlekan masalah saya secepat mungkin, dan akan minta seorang ketua mekanik/technician Perodua kawasan utara untuk lihat masalah yang dihadapi oleh Axia milik isteri saya.

Kurang seminggu, pihak pusat servis menelefon mengatakan bahawa part sistem ABS dari HQ sudah tiba, dan saya boleh datang untuk gantikan sistem ABS yang bermasalah dengan segera. Saya pun bawalah kereta Axia ke pusat servis selepas hantar anak-anak saya ke sekolah pada pagi tersebut.

Technician Kanan Perodua Kawasan Utara Bantu Selesai Masalah

Tiba je ke pusat servis, saya diberitahu bahawa ada technician kanan kawasan utara dihantar oleh HQ untuk periksa sistem ABS kereta Axia. Saya tanyalah, berapa masa perlu diambil? Mereka kata dalam 2 jam. Hendak tak hendak, saya tegaskan bahawa kereta Axia itu perlu disiapkan sebelum jam 11:30 pagi; kerana isteri saya ketika itu outstation, jadi tidak dapatlah nak bantu untuk ambil anak-anak dari sekolah.

Lalu, ketua technician kawasan utara yang dihantar menemui saya; katakan bahawa kereta akan diberikan servis percuma (walaupun belum sampai waktu) sebaik sahaja sistem ABS diganti dan diuji sepenuhnya. Dan dia berjanji segalanya akan settle tepat jam 11:30 pagi.

Dibelanja Makan di Restoran Nasi Kandar Mohammad

Semasa menunggu kereta Axia Advance Version siap diproses, ketua technician tu bawalah saya makan dan minum di restoran Nasi Kandar Mohammad yang terletak bersebelahan. Banyak juga perkara yang saya tidak tahu mengenai Perodua Axia yang didedahkan kepada saya. Almaklumlah, saya memang suka bertanya, apatah lagi apabila ketua technician tersebut mengetahui bahawa saya merupakan rakan baik bossnya di HQ...haha...

Dia nak belanja saya makan, tapi saya menolak; cuma order air segelas.

Kes Unik, Pertama Kali Berlaku

Dia mengatakan kes yang dihadapi oleh kereta Perodua Axia Advance Version milik isteri saya adalah kes pertama di utara Malaysia. Jadi, memang agak gelabah jugalah pihak technician di Pusat Servis Perodua Nibong Tebal kerana tidak mampu nak settle pada awalnya; sehingga terpaksa buka buku manual dan hubungi HQ untuk bantuan.

Masalah sebenar yang berkemungkinan berlaku adalah pada kotak sistem ABS itu sendiri. Dia mengandaikan kemungkinan ada wayar yang putus atau mungkin tidak bersambung dengan betul sehingga menyebabkan sistem lampu brek ABS tidak kembali normal.

Jalan penyelesai ialah dengan tukarkan satu set sistem ABS pada Perodua Axia Advance Version dengan set yang baharu.

Alhamdulillah, tepat jam 11:30 pagi, kereta siap ditukarkan sistem ABS yang baru, dan diservis buat pertama kalinya, selain diuji dengan pemanduan oleh technician terlibat.

Sekalung Terima Kasih

Terima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali mekanik dan technician di Pusat Servis Perodua Nibong Tebal, juga kepada rakan saya, saudara Tuan Akmal Samsuri di HQ Perodua Rawang; selain ketua technician Tan Ching Yee yang bertugas di Perodua Sales and Services Butterworth.

Jadi, seandainya kereta Perodua anda bermasalah, pastikan anda mendapat khidmat nasihat daripada pihak Perodua Sales and Service itu sendiri. Biar mereka yang fikirkan, dan settlekan masalah yang dihadapi.

Oh ya, ada juga rakan blogger yang menghadapi masalah yang berlainan dengan Axia, anda boleh baca di sini - Masalah Bunyi Pada Perodua Axia

Semoga artikel ini bawa sedikit info bermanfaat kepada anda yang membacanya.


p.s: Ada rakan isteri saya .. baru beli kereta, tapi jenama import, hadapi masalah yang sama- lampu sistem ABS tak hilang selepas enjin kereta dihidupkan.... tu lagi haru... sebab dah berbulan guna kereta tersebut.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement