14 Februari 2017

Biarkan Anak Belajar Mengenai Lebah Dari Dekat

Anak-anak saya cukup teruja dapat melihat lebah dan sarang lebah dari dekat. Perkara begini tak boleh dibuat di rumah. Anda perlu ke suatu tempat yang ada persekitaran terkawal untuk melihat lebah lebih dekat, khususnya untuk anak-anak. Kehidupan lebah adalah sesuatu yang perlu dipelajari oleh anak-anak.

Salah satu destinasi terbaik untuk anak-anak belajar mengenai kehidupan sebuah koloni lebah ialah Cameron Highlands. Saya sering bawa keluarga ke Cameron Highlands kerana di situ terdapat pelbagai tempat dan destinasi cuti yang membolehkan mereka belajar mengenai alam. Kat pekan, kat bandar malahan kat kampung pun belum tentu mereka dapat ketahui benda-benda macam ni - terutama kehidupan koloni lebah.

Belajar Menjadi Insan Terbaik Menerusi Lebah

Mengapa saya bawa anak-anak melihat koloni dan sarang lebah? Saya ada banyak sebab, tapi paling utama ialah saya mahu biarkan anak-anak belajar mengenai lebah lebih dekat, melihat bagaimana cara mereka membina koloni (sarang), berkomunikasi, dan menghasilkan madu yang memberikan 1001 manfaat terbaik buat manusia dan makhluk lain.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
"Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merusak atau mematahkan (yang dihinggapinya)." - H.R Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar.

Lebah adalah makhluk Allah yang hebat. Ramai orang takutkan lebah tetapi hakikatnya ia makhluk yang tidak merosakkan dan mendatangkan bahaya andai tidak diganggu. Jika seseorang mahu menjadi insan yang terbaik, maka eloklah melihat akan kehidupan lebah.

Sebaik-baik manusia ialah menjadi manusia yang dapat memberikan manfaat pada orang lain. Anda biasa kan dengan perumpamaan ini? Nabi Muhammad S.A.W dah beritahu ... jadi ambillah pengajaran dari lebah.
Lebah memberi manfaat di sebalik persepsi kita bahawa lebah ini bahaya untuk didekati; risau takut disengat dan dihurung. Tapi lebah tidak bahaya, lebah ada banyak jenis, ada yang mempunyai sengat, dan banyak yang tidak. Lebah tidak hidup sorang-sorang, ia berkomuniti. Setiap lebah ada tanggungjawab dan tugas. Ia tidak merungut, dan ia tidak membunuh sesama mereka. Bila terbang jauh, ia akan berjemaah. Ia jaga pemimpin dan setia pada satu pemimpin yang betul. Lebah bekerja kuat.

Walaupun lebah menuju pada bunga yang sama - ia tidak membunuh sesama sendiri demi untuk madu. Walaupun hidup dalam tempat yang sempit, ia tidak memijak yang lain sampai mati.

Hebat kan lebah?
[Destinasi Cuti] Cantiknya Bunga Daisy di Lavender Garden Cameron Highlands
Begitulah hakikat kehidupan lebah. Ia bermasyarakat, menjaga koloni. Ia mengambil madu pada bunga dan menjadikan ia makanan paling berkhasiat buat manusia. Ia tidak merosakkan bunga, malah membantu bunga dan pohonan yang lain untuk membiak ke kawasan baru. Ia berikan makhluk lain peluang untuk terus hidup ... dan paling hebat ...  makhluk lain itu pula berikan manfaat pada makhluk lain khususnya manusia.
Allah S.W.T berfirman, "Dan Rabbmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: 'Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Rabbmu yang telah dimudahkan (bagimu).' Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang-orang yang memikirkan." - An-Nahl (68-69).

Zaman sekarang, ramai antara kita lupa kebaikan yang telah alam sekeliling berikan. Saya berani kata sebab tak ramai yang endahkan akan kempen cintai alam sekitar, ramai yang merungut bila ada pihak yang cuba melakukan sesuatu untuk alam sekitar - contohnya isu beg plastik, pengasingan sisa pepejal dan kempen kitar semula.

Kita merosak dan membinasa sesuatu yang telah berikan kita udara segar, keindahan, kenikmatan.

Cuba Ajar Anak Untuk Hargai Kehidupan Alam Sekitar

Saya bukanlah aktivis alam sekitar. Namun, saya sedar alam sekarang sudah sangat uzur, ditambah pula dengan kerakusan kita yang tidak pernah berhenti untuk mengambil tanpa memberikan sesuatu kembali kepada alam.

Sebab itulah saya bawa anak-anak saya belajar mengenai lebah. Saya mahu mereka lihat kehidupan lebah dari dekat, pelajari sesuatu yang boleh dijadikan iktibar dan panduan. Dan sebagai ibu bapa, saya bertanggungjawab memastikan ilmu pengetahuan ini disampaikan kepada anak-anak agar mereka faham bagaimana untuk menjadi seorang insan terbaik kepada dunia dan juga untuk akhirat.
[Destinasi Cuti] Green View Garden Cameron Highlands
Kita masih bernasib baik kerana Malaysia masih ada Cameron Highlands, Bukit Tinggi, Bukit Fraser, Hutan Belum, Taman Negara dan beberapa destinasi lain yang berikan kesempatan untuk melihat alam semulajadi lebih dekat.

Pelihara selagi kita mampu, dan belajar sesuatu selagi ada kesempatan. Allah S.W.T bila-bila masa sahaja akan tarik nikmat dan anugerah ini selagi kita masih belum sedar.

Blogger berusia 40an dari Penang. Sudah berumahtangga dan mempunyai 4 cahayamata. Menulis sejak tahun 2007.


EmoticonEmoticon