Tiada Tambah Nilai Di Exit Toll PLUS Mulai 5 November

Ingatan mesra untuk semua pengguna lebuh raya PLUS, mulai 5 November 2019, tiada lagi perkhidmatan tambah-nilai untuk baki yang tidak mencukupi di semua laluan keluar tol PLUS. Ia satu langkah yang dilakukan oleh pihak PLUS bagi memastikan kelancaran trafik terutama ketika musim perayaan.

Apa yang dilakukan oleh pihak PLUS ini adalah berdasarkan kepada hasil 'percubaan' yang telah memberikan impak positif sejak Ogos lalu.

Tambah-Nilai di Exit Tol PLUS Dihentikan Mulai 5 November 2019

Tambah-Nilai di Exit Tol PLUS Dihentikan Mulai 5 November 2019
Berikut adalah kenyataan dikeluarkan oleh pihak PLUS berkaitan penutupan atau penamatan perkhidmatan tambah-nilai di semua lorong keluar tol.

Kenyataan PLUS Berkaitan Penutupan Servis Tambah Nilai di Semua Lorong Keluar Tol

Bagi membantu melancarkan perjalanan pelanggan di plaza tol ketika keluar dari lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch 'n Go di semua lorong keluar di plaza tol di lebuh raya seliaannya mulai 5 November 2019.

Langkah ini juga merupakan pendekatan yang diambil untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di Wilayah Utara (melibatkan laluan Hutan Kampung – Ipoh Utara) dan Wilayah Selatan (di antara Seremban dan Skudai).

Walau bagaimanapun, Pusat Khidmat Pelanggan di sesetengah plaza tol dan Lorong Tambah Nilai di Lorong Masuk di plaza tol terpilih masih disediakan dan beroperasi seperti biasa.

Menurut rekod PLUS, sebanyak 8 peratus daripada 253,000 purata trafik harian di wilayah utara dan 9 peratus daripada 189,000 purata trafik harian di wilayah selatan tidak mempunyai baki yang mencukupi untuk melaksanakan transaksi tol di lorong keluar. Ini menyebabkan perjalanan pelanggan yang lain sering terganggu kerana setiap transaksi tambah nilai akibat baki rendah boleh mengambil masa sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan.


Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat merempuh pondok tol kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Di antara tahun 2016 hingga 2018, terdapat 81 kes di mana kenderaan berat merempuh pondok tol yang dikendalikan oleh pembantu perkhidmatan pelanggan.

Terdahulu, PLUS telah melaksanakan inisiatif ‘Tiada Tambah Nilai’ di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan sejak 1 Ogos 2019.

Setelah tiga bulan pelaksanaan inisiatif tersebut, PLUS telah berjaya merekodkan pengurangan melebihi 60 peratus melibatkan kesesakan trafik dan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah.


Justeru, pelanggan PLUS dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch 'n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya. PLUS bersama Touch ‘n Go Sdn Bhd akan memastikan semua kiosk tambah nilai Touch 'n Go berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Pada ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai yang disediakan oleh Touch ‘n Go di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat beli-belah.


Maka, wahai sahabat dan rakan pembaca yang sering menggunakan lebuhraya PLUS, sila pastikan kad Plusmiles dan Touch n Go mempunyai baki yang mencukupi. Untuk memudahkan anda menyemak baki kad anda, bolehlah muat-turun secara percuma aplikasi Plusmiles dan Touch n Go di smartphone anda.

App Store - https://itunes.apple.com/my/app/plus-app-official/id1439887531?mt=8
Google PlayStore - https://play.google.com/store/apps/details?id=com.tverve.PLUS


Post a Comment

1 Comments

  1. utk elak trafik sesak mmg bagus, cuma kalau terlupa topup susah lah kan..

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com