Tips dan Panduan Persediaan Untuk Menunaikan Haji atau Umrah

Tips dan Panduan Persediaan Untuk Menunaikan Haji atau Umrah

Anda merancang untuk pergi menunaikan umrah tahun ini? Alhamdulillah dan tahniah kerana anda terpilih. Bukan semua orang mempunyai kemampuan untuk pergi menunaikan umrah.

Menunaikan ibadah haji adalah merupakan rukun Islam kelima. Ia merupakan ibadah yang wajib bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi tahap kesihatan serta kewangan untuk menunaikannya.

35 Tips Persediaan Untuk Menunaikan Ibadah Haji & Umrah

tips Persediaan Untuk Menunaikan Ibadah Umrah dan Haji
Menerusi rujukan Pejabat Mufti, dari penerbitan Bayan Li Al-Haj Siri 3, telah dinyatakan bahawa hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.

Ini bermaksud ia wajib dilakukan bagi umat Islam yang mukallaf iaitu memenuhi lima syarat iaitu Islam, baliqh, berakal, merdeka dan berkemampuan, Berkemampuan di sini bermaksud ada kenderaan pergi balik dan ada bekalan makan serta minum ketika melaksanakan ibadat umrah.

Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan.


Jika terpilih untuk menunaikan haji dan umrah, tumpulah perhatian untuk memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Buat persediaan dari tanah air untuk menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar berkunjung ke tanah suci Mekah sebagai tetamuNYA.

Dan jangan lupa tentang kelengkapan dan peralatan yang perlu dibawa untuk persediaan menjalani ibadah ini dengan sempurna.

Okey.

Tips Persediaan Buat Umrah Haji
Berikut adalah tips dan panduan sebagai persediaan rapi melakukan ibadah haji dan juga umrah. Sebaiknya, pilih khidmat dan servis menunaikan haji dan umrah daripada syarikat yang sah dan dipercayai. Tabung Haji (TH) misalnya, bukan setakat menguruskan jemaah menunaikan haji tetapi juga ibadah umrah.
  1. Bawak berus & sabun cap buruh/buku untuk basuh baju dan lain-lain. Sebab dia tahan kena air. Sabun serbuk di sana kuat boleh reput kain. Di hotel ada servis dobi kena bayar.
  2. Bawa extension cord. Banyak jasanya berkongsi dengan kawan sebilik untuk caj telefon, terutama sekali apabila berada di Mina.
  3. Bawak juga adapter pelbagai pin atau internasional adapter two pin.
  4. Bawa tali ampai & penyepit baju. Ia digunakan untuk buat gantung baju dalam bilik. Dan juga untuk keringkan baju di bumbung hotel. Boleh juga nanti dibuat ampaian di tangga.
  5. Bawa ubat sakit kepala dan demam dll. Banyak gunanya untuk diri sendiri dan kawan-kawan, terutama ketika berada di khemah Mina.
  6. Bawa Quran kecik sendiri punya. Senang nak dibaca di mana-mana. Niat nak khatam di Mekah.
  7. Makanan di sana tak pedas, banyak guna sos tomato. Bawa cili sos, kicap, sambal dah siap dibotolkan/diplastikkan, itupun jika anda rasakan yang makanan di sana tak tepati citarasa. Pun begitu, ia boleh jadi pahala sebab akan bantu jemaah lain nanti.
  8. Masa ke Muzdalifah bawa sudu untuk korek tanah cari batu kecil (untuk melontar) dan jangan cari di Mina. Ada yang cari di Mina tapi sukar disebabkan ramai orang. Kumpul batu bagi lebih sikit masukkan ke dalam uncang. Jangan lupa lampu suluh kecil. Siap melontar, batu yang berlebihan perlu dibuang. Haram batu-batu tersebut dibawa balik ke Malaysia.
  9. Di dalam Masjidil Haram tidak boleh duduk dekat suami isteri waktu solat. Polis dan pegawai masjid akan arah isteri ke saf lain, jadi jika takut terpisah bila isteri disuruh ke saf lain, buat benda ni - berjanji dengan isteri untuk bertemu di luar masjid di satu tempat yang ada satu mercu tanda yang senang dilihat. Jika nak iktikaf pada waktu bukan waktu solat, tiada masalah untuk bersama suami isteri, namun elok pergi dalam kumpulan rakan sebilik. Jika terpisah pun tak risau.
  10. Ingat mercu tanda dan bangunan semasa ke masjid, supaya tak sesat. Jika ada telefon lagi baik, mudah dan senang untuk dihubungi, pastikan anda simpan nombor telefon samada dalam telefon itu sendiri atau ditulis dalam buku nota kecil.
  11. Pilih rangkaian telefon yang senang nak top-up saperti Zain dan Mobily tetapi STC agak susah sikit. Biasanya TH akan bagi simkad Mobile, kena top up. Jika top up 100 Riyal boleh guna Whatsapp untuk whatsapp ahli keluarga. Pakej Mobily dan Zain ada yang 10 GB data berharga 120 Riyal. Boleh topup di kaunter Mobily/Zain di dalam Zam Zam Tower.
  12. Di hotel ada perkhidmatan telefon guna kad iTalk. Ini lagi jimat jika nak telefon keluarga di Malaysia. Jika pandai, anda boleh gunakan line internet di hotel untuk melakukan panggilan video.
  13. Di hotel ada klinik dan perkhidmatan untuk mengeluarkan duit dari akaun Tabung Haji, boleh keluar duit hari-hari buat mereka yang mampu untuk membeli-belah. Jika ada duit lebihan selepas bershopping tu, elok simpan balik ke dalam akaun.
  14. Masa taklimat sebelum flight ada kaunter untuk tukar duit Saudi Riyal di TH. Gunakan servis tu untuk duit poket.
  15. Bila ke masjid pakat dengan kawan-kawan sebilik untuk bergilir mengambil nasi makanan tengah hari dan malam mengikut bilangan kawan-kawan dalam sebilik. Ambil dan letakkan di dalam bilik.
  16. Ketika bershopping, tok Arab di sana ramai yang dah pandai cakap Bahasa Melayu. Maka. tidak perlu risau jika nak beli apa-apa, malah jangan segan untuk minta tawar-menawar.
  17. Patuh pada arahan TH. Masa pergi melontar jangan ikut jalan lain atau turun tangga. Nanti sesat.
  18. Jika nak beli Al Quran untuk wakaf di Masjid pastikan yang ada tali kuning dicetak di Madinah. Jangan beli yang tali biru dan hijau. Jika diletak di masjid akan diambil oleh pekerja masjid. Hanya Al Quran cetakan Madinah dibenarkan diletak didalam masjid.
  19. Sebelum pergi kena banyak buat solat hajat, solat sunat taubat dll dan minta juga dipermudahkan segala urusan. Mudah mudahan dimaqbulkan.
  20. Seelok nya sepanjang masa menunaikan Haji, jangan banyak bercakap dan cuba ‘vow of silence’, bercakap jika perlu sahaja.
  21. Sabar, sabar dan sabar. Kesabaran setiap jemaah Haji akan diuji di tanah suci.
  22. Semasa di Mina tentu ada jemaah degil yang akan melaksanakan lontaran dahulu dan tidak mengikut nasihat TH. Jangan ikut mereka ini dan tunggu arahan TH bila masa sesuai untuk melontar.
  23. Bawa botol spray air kecil jika selalu terbatal wudhuk dalam masjid. Belajar cara mengambil wudhuk menggunakan sapuan air dari botol spray.
  24. Jangan menolak jemaah lain dengan sengaja walaupun ditolak. Setiap niat buruk, Allah akan balas secara cash.
  25. Jangan terlalu gigih melaksanakan umrah sunat sebelum wuquf kerana dikhuatiri demam urat semasa wuquf. Selepas haji, buatlah seberapa banyak umrah yang boleh
  26. Ada makanan/minuman ‘diuretic’ yang menyebabkan kerap untuk buang air kecil dan menyusahkan semasa didalam masjid saperti teh, tembikai, limau dll. Cuba elakkan.
  27. Belajar berkompromi dengan rakan satu bilik selama lebih sebulan bersama. Ada yang tak tahan sejuk aircon dan ada yang tak tahan panas.
  28. Semasa wuquf di Arafah jangan buang masa bersembang kerana waktu sangat suntuk untuk beribadah/berdoa/berzikir antara gelincir dan terbenam matahari.
  29. TH ada menyediakan bilik baraqah untuk jemaah yang berkelamin tetapi queue nya panjang.
  30. Kedai money changer yang paling bagus rate adalah di GF Safwa tower bersebelahan pintu masuk ruang parking.
  31. Datang awal ke masjid sebelum masuk waktu untuk elakkan kesesakan.
  32. Kalau nak ubah selera ada food court di Hilton Tower menjual ikan yang digoreng bersama bawang, lada dan rempah ratus di atas hot plate bersesuaian dengan selera kita dengan harga 25 Riyal.
  33. Selipar jepun adalah selipar yang paling tidak comfy dan orang jepun sendiri tidak memakainya. Cari selipar yang comfy di Malaysia kerana akan memakainya setiap masa ditanah suci. Lagi pun 50% jemaah haji serata dunia (1 juta orang) akan memakai flip flop serupa dan akan senang hilang atau bertukar.
  34. Sekarang pendaftaran simcard perlukan nombor visa dan pengimbasan cap jari. Sila ambil gambar visa dengan hp sebagai rekod kerana paspot akan disimpan oleh muassasah. Ada pekerja bangla menjual simcard ‘Lebara’ telco tanpa perlu pendaftaran. Celcom ada pakej Haji unlimited data (bersama Mobily) dengan rate yang berpatutan.
  35. Download apps IMO (penganti aplikasi Whatsapp)


Sila share untuk panduan semua. Boleh je simpan dalam telefon sebagai note.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan sebaiknya buat mereka yang terpilih oleh Allah S.W.T untuk ke Mekah dan Madinah. Selamat menunaikan haji dan juga umrah.

Sumber: Ir.Haji Zainuddin Bin Haji Omar
Bisnes Kambing

Post a Comment

0 Comments