Budaya Sharenting Yang Merbahaya, Ramai Ibubapa Moden Kurang Prihatin

Budaya berkongsi kisah beserta gambar anak di media sosial adalah satu budaya terkini yang sebenarnya membawa bahaya dan mudarat tanpa ibubapa sedari. Saya sendiri baru sahaja membaca satu artikel berkaitan bahaya ini.

Sekarang ni, apabila kita buka sahaja media sosial, pasti akan ada banyak gambar atau video yang dimuatnaik oleh ibu bapa untuk menunjukkan pencapaian anak-anak mereka. Perbuatan ini dinamakan sebagai “sharenting”.

Adakah mereka melakukan ini dengan niat untuk berlagak atau sekadar ingin berkongsi? Selain itu, apakah risikonya? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Budaya Sharenting Diamalkan Ramai Ibubapa Adalah Sangat Merbahaya!

Sebuah kajian bersama berkaitan “sharenting” telah dilakukan oleh Marie Grubbs Hoy yang merupakan profesor di College of Communication and Information dan Alexa K. Fox yang merupakan pembantu profesor di University of Akron.

Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa masih terdapat ramai di kalangan ibubapa yang mungkin belum menyedari mengenai bahaya perkongsian cerita dan gambar anak-anak mereka di media sosial.

Kajian Menggunakan Platform Media Sosial


Hoy dan Fox menggunakan data daripada laman media sosial syarikat Carter’s Inc iaitu sebuah syarikat pakaian kanak-kanak untuk kajian ini. Ianya dilakukan bertujuan untuk mengetahui sejauh manakah pasangan ibu bapa terutamanya yang masih baru sanggup berkongsi informasi peribadi anak-anak mereka jika ia melibatkan bisnes.

Untuk pengetahuan anda, memang banyak syarikat yang akan menggunakan media sosial sebagai salah satu daripada teknik pemasaran mereka. Media sosial seperti Facebook dan Instagram mempunyai banyak tools yang boleh mengumpul data berkaitan pelanggan.

Sebagai contoh, mereka mungkin akan membuat satu peraduan yang meminta ibu bapa untuk berkongsi cerita, gambar atau video berkenaan anak mereka kepada syarikat.



Data ini menyediakan peluang untuk pengkaji melihat bagaimana sesuatu jenama itu menggunakan media sosial untuk memperdaya ibu kepada kanak-kanak yang masih muda untuk berkongsi informasi peribadi anak mereka.

Data ini melibatkan 116 peserta wanita yang kesemuanya adalah ibu.

Sebelum itu, pihak syarikat telah awal lagi memaklumkan kepada semua peserta, menyatakan bahawa pihak syarikat akan mempunyai hak terhadap kesemua informasi yang diberikan dan boleh dikongsikan kepada sesiapa sahaja tanpa persetujuan.

Hanya 10 Soalan & Kupon Sebagai 'Umpan'

Syarikat ini bertanya 10 soalan dan akan menawarkan kupon serta memberikan pautan di media sosial mereka. Jika ada ibu bapa yang berkongsi gambar anak mereka, pihak syarikat akan memancing mereka dengan meninggalkan komen seperti “kami ingin berjumpa dengan si kecil anda ini satu hari nanti”.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa 69 peratus daripada peserta kajian ini memberi komen bahawa mereka agak bimbang dengan keselamatan anak mereka. Manakala 47 peratus pula sewenang-wenangnya mendedahkan informasi peribadi anak mereka hanya selepas satu soalan sahaja.

Dalam erti kata yang lain, kurang daripada separuh peserta kajian ini terpedaya dengan kaedah pemasaran ini manakala majoriti daripada peserta sedar akan bahaya yang mungkin menimpa anak mereka sekiranya informasi peribadi mereka terdedah di atas talian.

Satu Budaya Yang Bahaya

Budaya yang bahaya!

Menurut Hoy dan Fox, keterujaan mereka dalam mempamerkan pencapaian anak di dalam media sosial adalah perbuatan yang salah.

Ini lebih-lebih lagi jika mereka turut menulis informasi peribadi anak seperti nama, hari lahir, alamat tempat atau foto. Kini, kesilapan seperti ini tidak lagi dianggap sebagai kesilapan kerana sudah menjadi norma sosial masyarakat kita.

Namun apa yang kita mungkin tidak sedar adalah ia akan mendedahkan privasi anak dan mungkin akan menyebabkan anak-anak berada dalam keadaan bahaya!

Bahaya yang kadangkala kita tak sangka.

Ibubapa Moden Hari Ini Mungkin Tidak Kisah

Ibubapa hari ini terutamanya yang masih baru dan membesar dengan cara berkongsi hidup mereka di media sosial mungkin tidak akan begitu memahami impak dan kesan jangka masa panjang terhadap pendedahan informasi peribadi anak-anak mereka.

Seperti awal tadi, ia sudah menjadi perkara normal, apatah lagi ianya hanya dikongsi untuk penglihatan "Friends Only".

Pernah dengar perumpamaan "Haruan Makan Anak" ?

Eloklah berwaspada sentiasa dan peka mengenai perkongsian informasi berkaitan anak-anak di media sosial.

Hakikatnya, berkongsi informasi peribadi anak di media sosial sememangnya akan mengundang bahaya kepada mereka. Ini akan mendatangkan pelbagai kesan negatif dan yang paling penting antaranya adalah salahguna informasi tersebut.

Informasi anak anda mungkin akan dicuri dan disunting atau disimpan oleh golongan pedofilia serta pelbagai lagi pemangsa atas talian yang lain. Siapa yang tahu .. anda sebagai ibubapa seperti saya mungkin tidak sedar.

Konklusinya, apa yang ibubapa perlu tahu adalah budaya “sharenting” ini sebenarnya adalah sangat berbahaya terutamanya kepada anak jika tidak berhati-hati. Jadi, ambil langkah berjaga-jaga setiap kali anda ingin berkongsi sesuatu di dalam media sosial tidak kira berkaitan apa-apa sekalipun untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku!

Sumber: Hello Doktor

Bisnes Kambing

Post a Comment

3 Comments

  1. baiklah.. mama kena lebih berhati2 lepas ni

    ReplyDelete
  2. sangat setuju! sebab kita tak tau gambar anak2 kita tu sapa yg akan amek guna

    ReplyDelete
  3. terima kasih utk perkongsian ni, betul tu, kadang2 kita terlepas pandang perkara macam ni😌

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com