Salah satu kerjaya dalam Perkhidmatan Awam yang popular dan menjadi dambaan ramai graduan dan lepasan IPT adalah kerjaya sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik. Ia merupakan perjawatan di bawah gred M41. Ini bermakna, mereka yang mahu menjawat jawatan ini mestilah mempunyai kelulusan akademik minima Ijazah Sarjana Muda.

Kerjaya ini mempunyai banyak kelebihannya, malah antara jawatan yang mempunyai laluan kerjaya yang luas dan pelbagai dalam Perkhidmatan Awam. Ia satu jawatan yang penting dalam bidang tugas pentadbiran dan pengurusan dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia.

Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (M41)

Kerjaya PegawaiTadbir Diplomatik M41

Apa itu Pegawai Tadbir Diplomatik atau PTD? Adakah ia satu jawatan yang tertumpu kepada bidang politik atau perhubungan antarabangsa? Jom ketahui serba-sedikit fakta hangat berkaitan kerjaya PTD ini.

Dalam konteks sektor awam di Malaysia, PTD merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Ia sememangnya satu kerjaya yang mencabar dan menggalas tanggungjawab yang besar lagi penting.

Kerjaya PegawaiTadbir Diplomatik M41

Ada banyak cabang kerjaya di dalam kerjaya PTD ini.

Sebagai teras perkhidmatan awam negara, pegawai-pegawai PTD akan mengisi kebanyakan jawatan-jawatan utama di pelbagai peringkat dalam pengurusan dan pentadbiran:

  • kementerian dan jabatan
  • badan berkanun persekutuan dan negeri
  • pihak berkuasa tempatan
  • syarikat milik kerajaan

Ini termasuk juga dalam badan-badan antarabangsa.

[Dah Baca?] Gaji Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik M41

Saya ada beberapa sahabat sekolah menengah yang bertugas sebagai PTD ni. Antaranya sebagai Pegawai Kanan di Kedutaan Luar Negara dan juga Ketua Pegawai di Universiti Malaya. Tugasan mereka memang mencabar, malah perlu berhadapan dengan situasi-situasi sukar melibatkan pengurusan dan pentadbiran profesional.


Sejarah Perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik

Anda tahu sejarah PTD ini bermula tak?

Dari Perspektif Sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum kemerdekaan. Jadi, ia satu jawatan besar dalam kerajaan yang cukup lama sudah terbentuk.

Ia bermula seawal tahun 1896 apabila perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil Service (MCS) telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial untuk mentadbir Tanah Melayu dan telah mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya.

Pada tahun 1929, Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS ini.

Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam Malaysia tetap kekal berterusan, malah tugasan yang digalas semakin besar dan mencabar.

Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.

Peranan & Tanggungjawab PTD

Kerjaya PegawaiTadbir Diplomatik M41

Sebagai pegawai yang mengetuai barisan hadapan dalam pentadbiran negara, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik amatlah berat. Tiga tugasan dasar dalam PTD adalah:


  1. Merancang
  2. Menggubal
  3. Melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

PTD bertanggungjawab secara langsung dalam pengurusan dan pentadbiran. PTD memastikan kerajaan ditadbir dan berfungsi dengan sebaiknya. Dasar-dasar tersebut bukan sahaja meliputi pengurusan sumber tenaga manusia dan organisasi di peringkat Persekutuan. Ia lebih daripada itu.

Peranan dan tanggungjawab PTD juga merangkumi hal-hal ehwal dalam negeri yang berkaitan dengan:

 

  1. Kewangan
  2. Ekonomi
  3. Pentadbiran
  4. Pembangunan sosial.

Selain itu, PTD juga terlibat secara langsung mengenai hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri (termasuk perkhidmatan luar negeri), keselamatan atau ketahanan negara serta pengurusan teknologi maklumat.

Kelayakan & Cara Memohon PTD

Permohonan untuk menjadi seorang PTD mestilah dilakukan menerusi saluran rasmi permohonan secara online di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerusi borang online SPA8i.

Untuk menjadi seorang PTD, seseorang itu mestilah memenuhi kriteria atau syarat permohonan berikut:
  • Ijazah Sarjana Muda Kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; dengan PNGK 3.0 ke atas.

Atau

  • Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya;

Atau

  • Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya;
Selain itu, calon PTD perlu memenuhi beberapa syarat tambahan lain, iaitu:

  • Lulus peperiksaan memasuki perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
  • Hadir dan lulus kursus Diploma Pengurusan Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN);  dan
  • Memiliki Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya;

Manakala, calon bagi lantikan hendaklah memiliki kepujian dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

Proses Kemasukan ke PTD

Kerjaya PegawaiTadbir Diplomatik M41


Calon yang telah disaring dari segi kelayakan akademik menerusi borang permohonan SPA8i akan kemudiannya dipanggil untuk menjalani peperiksaan khas. Untuk yang terkini, peperiksaan khas ini dijalankan secara online meliputi silabus berkaitan pengetahuan am, penyelesaian masalah serta ujian Psikometrik.

Kemudian, calon yang berjaya lulus dengan baik mengikut ketetapan SPA akan dipanggil untuk proses selanjutnya iaitu masuk ke Akademi Intan untuk pemerolehan Diploma Pengurusan Awam INTAN. Calon yang melepasi semua tapisan ini kemudiannya akan dipanggil untuk temuduga bagi penempatan kerjaya dalam sektor Pentadbiran Awam negara.

[Dah Baca?] 5 Tips Persediaan Peperiksaan Pegawai Tadbir Diplomatik M41

Sekarang, anda dah tahu serba sedikit info penting berkaitan kerjaya seorang Pegawai Tadbir Diplomatik gred M41 ini. Ia sememangnya kerjaya idaman ramai terutama lepasan Universiti.

Jika nak tahu lagi berkaitan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik M41 ini, boleh tonton satu video di laman berikut - https://www.facebook.com/watch/?v=2205858496297823

Dapatkan tips kemasukan ke kerja kerajaan menerusi blog Rujukan Kerja Kerajaan Untuk Graduan.

2 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. Dulu pernah la jugak try exam ptd tp x lepas good luck pd yg apply :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Exam PTD susah bro .. al maklumlah kerjaya ni glamor ..haha

      Padam

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement