Malam Nisfu Sya'ban adalah malam pertengahan bulan Sya'ban iaitu 15 haribulan. Malam Nisfu Sya'ban ada keberkatannya tersendiri, malah para ulama menyifatkan malam tersebut adalah malam terbaik untuk umat Islam menggandakan amalan kerana keistimewaan yang ada padanya. Bulan Sya'ban mempunyai beberapa kelebihannya tersendiri disebabkan ia hampir dengan bulan Ramadan.

Untuk tahun 2019, malam Nisfu Sya'ban bermula pada petang 20 hb April (Sabtu). Hari Nisfu Sya'ban ialah pada 21 April 2019 bersamaan 15 Sya'ban 1440H. Tarikh ini mungkin berbeza ikut geografi atau kedudukan negara, samada awal atau lewat sehari.

Keberkatan dan Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban

Keberkatan dan Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban
Malam Nisfu Sya'ban merupakan malam yang penuh keberkatan. Kelebihan malam Nisfu Sya'ban disebutkan dalam beberapa banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain dan mengangkat martabat hadis kepada hasan dan kuat. Pun begitu, tiada amalan yang khusus yang dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam.

Di kebanyakkan negara, terutama di Asia Tenggara, umat Islam biasanya akan mengadakan majlis sambutan untuk memperingati malam Nifsu Sya'ban ini. Ia adalah bagi menghidupkan malam tersebut dengan amalan yang sesuai dengan tuntunan agama, disebabkan beberapa kelebihannya yang ada diceritakan di dalam banyak hadis.

Amalan Malam Nisfu Sya'ban

Keberkatan dan Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban
Antara amalan yang boleh kita lakukan untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban adalah solat sunat tasbih, membaca al-Quran, mendengar tazkirah, berzikir, berpuasa, berselawat dan berdoa.

Biasanya, di Malaysia, amalan membaca Surah Yasin sebanyak 3 kali adalah yang sering dilakukan. Ianya diselangi dengan doa khusus. Antara niat yang diterapkan semasa berdoa termasuklah:

  1. Meminta umur dipanjangkan dan agar kesihatan baik untuk sentiasa taat dan beribadah kepada Allah.
  2. Dielakkan daripada bala, musibah dan wabak penyakit
  3. Agar rezeki yang diterima adalah Halal dan agar kita akan pulang kepadaNya dengan kesudahan yang baik.

Amalan ini bukan satu kewajipan, sama juga dengan amalan berpuasa pada hari Nisfu Sya'ban ini. Ia digalakkan, malah seharusnya dilakukan pada malam-malam lain juga.

[Dah Baca?] 12 Bulan Islam - Ketahui Setiap Maksud Bulan Islam Ini

Kelebihan dan Keberkatan Malam Nisfu Sya'ban

Di antara hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan malam Nisfu Sya'ban ini ialah:

Hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a, katanya, yang bermaksud:
"Pada suatu malam, aku tidak menemui Rasulullah S.A.W (di dalam rumah). Lalu aku keluar untuk mencari Baginda. Akhirnya, aku menemui Baginda di perkuburan Baqi' dalam keadaan sedang menghadapkan wajahnya ke langit. Baginda lalu berkata, "Adakah engkau khuatir jika Allah dan RasulNya melakukan kezaliman terhadapmu?" Aku (‘Aisyah) menjawab, "Bukan itu yang aku fikirkan, akan tetapi aku menyangka bahawa engkau pergi ke tempat salah seorang daripada isterimu."
Lalu Baginda S.A.W bersabda;
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ

"Sesungguhnya (rahmat) Allah S.W.T turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban dan mengampuni hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing milik kabilah Bani Kalb." (H.R al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad).
Bani Kalb adalah kabilah yang terkenal memiliki kambing paling banyak.

Daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا؛ فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ فَأَغْفِرَ لَهُ ؟ أَلاَ مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ ؟ أَلاَ مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ ؟ أَلاَ كَذَا أَلاَ كَذَا ...؟ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْر

"Jika datang malam Nisfu Sya'ban, maka laksanakanlah solat pada malamnya dan berpuasalah pada siang harinya, kerana sesungguhnya rahmat Allah S.W.T turun ke langit dunia ketika matahari terbenam pada malam itu. Allah S.W.T berfirman, "Adakah sesiapa yang meminta ampun sehingga Aku mengampuninya. Adakah sesiapa yang meminta rezeki sehingga Aku memberikan kepada rezeki. Adakah sesiapa yang sakit sehingga Aku sembuhkan penyakitnya. Adakah orang yang demikian? adakah orang yang demikian? Dan seterusnya sehingga terbit fajar."(H.R Ibn Majah).

Hukum Berkaitan Amalan di Malam Nisfu Sya'ban

Al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lataif al-Ma'arif mengatakan;

واختلف علماء أهل الشام في صفة إحيائها على قولين

أحدهما : أنه يُستحب إحياؤها جماعة في المساجد ، كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم ويتبخرون ويكتحلون ويقومون في المسجد ليلتهم تلك ، ووافقهم إسحاق بن راهويه على ذلك ، وقال في قيامها في المسجد جماعة : ليس ذلك ببدعة ، نقله عنه حرب الكرماني في مسائله .

والثاني : أنه يُكَرَهُ الاجتماع فيها في المساجد للصلاة والقصص والدعاء ، ولا يكره أن يُصلي الرجل فيها بخاصة نفسه ، وهذا قول الأوزاعي إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم

"Para Ulamak Negeri Syam berbeza pendapat dalam menentukan (hukum) menghidupkan malam Nisfu Sya'ban kepada dua pendapat: Pendapat pertama mengatakan bahawa dianjurkan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah (beramai-ramai) di dalam masjid. Adalah (pada malam itu), Khalid bin Mi'dan, Luqman bin 'Amir dan selain daripada mereka, memakai pakaian terbaiknya, menggunakan minyak wangi dan memakai celak mata kemudian berdiam di dalam masjid.

Apa yang dilakukan tersebut dipersetujui oleh Ishaq bin Rahawaih. Beliau turut menyatakan bahawa mengerjakan solat secara berjamaah di masjid pada malam Nisfu Sya'ban bukanlah termasuk amalan bid'ah. Hal ini sebagaimana dinukil oleh Harb al-Kirmani dalam kitab al-Masai.

Pendapat kedua pula mengatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Sya'ban untuk melakukan solat, memberikan nasihat dan berdoa adalah perbuatan makruh. Tetapi, jika seseorang melakukan solat secara bersendirian, maka ianya tidak dimakruhkan. Ini merupakan pendapat al-Awza'i yang merupakan seorang Imam, faqih dan ‘alim Negeri Syam."

Oleh yang demikian, menghidupkan malam Nisfu Sya'ban dengan cara yang disebutkan di atas merupakan amalan dan perbuatan yang disyariatkan, bukan bid'ah atau makruh.

Dengan syarat perkara tersebut dilakukan dengan tidak berpegang atau meyakini bahawa amalan tersebut wajib dilakukan.

[Dah Baca?] 5 Projek Raya untuk Tambah Pendapatan

Jika sekiranya amalan (sambutan) tersebut dilakukan dengan memaksa orang lain untuk turut serta melakukannya dan menyalahkan mereka jika tidak mengikutinya, maka perbuatan itu menjadi amalan bid'ah kerana telah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya.

Ini antara faktor dan sebab yang membuatkan beberapa ulamak Salaf tidak bersetuju atau menganggap makruh amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah. Justeru itu, tidaklah makruh menyambut atau menghidupkan malam Nisfu Sya'ban seandainya tidak wujud paksaan atau anggapan bahawa ianya wajib dilaksanakan.

Apapun amalan baik yang dibuat pada malam Nisfu Sya'ban.... buat dengan niat untuk perbaiki diri menjadi muslim yang lebih baik. Dan kalau boleh, janganlah hanya dilakukan kerana ianya malam Nisfu Sya'ban semata-mata, seeloknya dilakukan menjadi amalan harian. In Sha Allah.

Sumber: Dar al-Ifta', Mesir.

4 Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Catat Ulasan

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement