Pertama Kali Merasa Buah Durian Hutan dari Selama, Perak

Borong Online dari China
Anda pernah makan Durian Hutan tak? Aha, kalau kat Semenanjung ni, Durian Hutan memang sukar nak ditemui, berlainan dengan di Sabah atau Sarawak. Di hutan Borneo, anda boleh jumpa banyak spesies Durian Hutan, tetapi kalau kat Semenanjung ni, nak jumpa satu spesies Durian Hutan pun susah.

Kalau anda jenis suka masuk hutan, mungkin akan jumpa Durian Hutan. Nama pun Durian Hutan, ye tak? Ia bukannya ditanam, tetapi tumbuh liar macam pokok kayu balak tu .. huhu.

Merasa Durian Hutan dari Selama, Perak

Durian Hutan Selama Perak
Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk merasa buah Durian Hutan ini. Pertama kali ooo dalam hidup. Selama ini saya tak pernah rasa pun, malah tak pasti sangat rupa buah Durian Hutan ni.

Saya dan keluarga dapat buah durian ni dari pemberian seorang kenalan isteri saya. Beliau ni berasal dari Selama, Perak. Seorang berbangsa Cina tetapi amat akrab dengan penduduk tempatan yang kebanyakkannya Melayu di Selama. Dan dia juga akrab dengan isteri saya sebab pernah bekerja di bawah satu jabatan.

Kami terima dua biji buah Durian Hutan.

Kata kenalan isteri saya tu (nama dirahsiakan), beliau terpaksa booked buah durian ini semasa pertama kali jumpa. Yelah, nak merasa ... mesti kena tempah dulu. Beliau pun secara tak sengaja terjumpa orang menjualnya di tepi jalan di Selama.

Durian Hutan memang mendapat permintaan tinggi. Bukan sebab kerana kesedapannya yang unik, tetapi sebab ia sukar untuk ditemui.

Saya tak pasti berapa harga buah Durian Hutan tu. Saya pun tak berani nak tanya... hehehe.... mesti harganya mahal, memandangkan kesukaran untuk mendapatkannya.

Ciri-Ciri Buah Durian Hutan (Semenanjung)

Bentuk buah Durian Hutan
Buah Durian Hutan ini rupanya sama je seperti durian-durian lain, namun ada beberapa ciri unik yang boleh membezakan buah durian ini dengan buah-buah durian lain yang popular di Malaysia.

Antaranya:
  1. Warna kulit lebih hijau. Malah warna hijau pekat berbanding warna kulit durian lain.
  2. Durinya panjang dan tirus.
  3. Buahnya bulat
  4. Alur pangsa dari luar agak sukar nak dilihat
  5. Kurang berbau berbanding kebanyakan durian

Rasa Buah Durian Hutan

Ciri dan rasa buah Durian Hutan Semenanjung
Itu ciri fizikal dari luar, manakala dari segi rasa, buah Durian Hutan rasanya manis lemak, tetapi tak ada rasa pahit. Ia lebih kepada manis berlemak dengan rasa sedikit payau. Seperi saya katakan tadi, ia juga tidak kuat berbau, malah anda tak perasan pun bau durian pada buah hutan ini.

Isinya berwarna kuning pucat, sedikit berserat dan berkrim.

Mungkin disebabkan baunya yang tidak berapa kuat menyebabkan buah Durian Hutan sukar untuk dijejaki di dalam hutan.

Aha .. nampak tak? Ia seperti Buah Durian yang eksklusif di dalam hutan, hanya mereka yang dapat menjejakinya sahaja akan dapat merasa kesedapan yang ada pada buah durian ini.

Ini mungkin satu andaian daripada saya.

Kena tanya orang yang selalu masuk hutan dan cari buah Durian Hutan ini, mungkin mereka dapat terangkan lebih lanjut akan keistimewaan buah ini.

Juga Terdapat di Sungkai, Cameron Highlands dan Bentong

Kata seorang sahabat sekolah lama saya, buah Durian Hutan juga boleh didapati di kawasan Sungkai, Perak. Ianya boleh dibeli dari penduduk Orang Asli, yang biasanya menjual buah Durian Hutan ini di tepi jalan.

Ada juga buah Durian Hutan ini dijual di sepanjang jalan ke arah Cameron Highlands, dari Simpang Pulai, selain pernah dibeli oleh rakan saya semasa menuju ke Bentong, Pahang.

Jika anda bernasib baik ketemui buah durian dijual di tepi jalan di kawasan yang saya maksudkan tu, jangan segan untuk bertanya, samada ia buah durian biasa atau buah Durian Hutan.

[Baca] Kenali 11 Jenis Buah Durian Popular dan Sedap di Malaysia

Ingat tips di atas untuk kenali buah Durian Hutan ini ye. Dan cubalah tanya harganya. Jangan terkejut pula sebab ia biasanya memang mahal.

Tengok beza buah durian ni di bawah, satu buah Durian Hutan dan satu lagi Durian D2 (Dato Nina) yang berwarna lebih cerah dan bujur tepi macam buah Pear.
Beza buah Durian Hutan dengan buah Durian D2




Samsung Galaxy Note 9

Post a Comment

0 Comments