Petua Cara Tanggani Anak Bersikap Kurang Ajar atau Degil. Baru-baru ini, saya telah kongsikan beberapa petua dan tips mengenai cara nak didik anak. Tips dan petua tersebut bukanlah niat untuk saya ajar anda semua cara nak didik anak yang betul, tapi lebih kepada perkongsian dan juga ingatan untuk diri saya sendiri sebagai seorang bapa yang berhadapan dengan kerenah anak-anak setiap hari.

Saya sebagai house husband perlu tenangkan diri dalam mendidik anak-anak. Bukan mudah sebenarnya nak didik anak dengan teknik yang betul untuk hasil yang bagus. Kata orang tua-tua, susah-susah dahulu senang kemudian, hatta berat mata memandang sekalipun.

Apa yang saya tulis adalah bersandarkan kepada pembacaan, yang mungkin boleh dipraktikkan oleh ibu bapa yang lain. Semoga dapat sama-sama dijadikan panduan ...

7 Petua Serta Panduan Cara Tanggani Anak Bersikap Kurang Ajar

In Sha Allah, kali ini saya nak kongsikan sedikit tips dan petua tentang bagaimana untuk tanggani masalah anak yang adakala nakal dan bersikap 'kurang ajar'.
Petua Cara Tanggani Anak Bersikap Kurang Ajar

Sentiasa Bertenang, Tunjukkan Nilai Kesabaran Anda

Bab paling sukar untuk kebanyakkan bapa. Saya sebagai bapa memang tak boleh tahan bila anak-anak buat perangai, lebih-lebih lagi depan orang ramai atau di tempat awam. Nak selesaikan cara dibuat di rumah memang tak bolehlah, tak pasal karang ada video viral mengenai tindakan yang dibuat.

Apa yang boleh dibuat ialah .. ibu bapa perlu bertenang dalam hadapi situasi ini. Kedengaran mudah tetapi hakikatnya, inilah yang paling sukar. Perbuatan negatif tak boleh bertindak dengan cara negatif. Seandainya kita lakukan benda yang sama, orang akan melihat kita tidak jauh bezanya pun dengan anak kita yang disifatkan kurang ajar.

Pimpinlah melalui tauladan yang baik, sabar itu sebahagian daripada iman. Tunjukkan bahawa anda sebagai seorang bapa atau ibu yang ada iman, dan sentiasa ingat bahawa Allah Maha Memerhati. Sejauh mana sikap kurang ajar anak-anak itu, boleh ditanggani dengan cara yang baik. Tarik nafas dalam-dalam, zikir dan istifar.

Melihat Masalah Anak Dari Sudut Pandangan Mereka

Cuba ambil tempat anak-anak. Fikirkan dalam dua tiga minit, adakah kita juga akan memberikan respon sedemikian sekiranya kita berada ditempatnya? Contohnya, ditarik-tarik tangan, dicubit-cubit, ditengking dan dimaki? Pastilah akan lebih melawan, dan akan lebih nampak kurang ajar.

Kadang tindakan yang agak keterlaluan menyebabkan anak-anak ini berasa dimalukan dihadapan orang ramai? Jangan tambah emosi yang sedang membara pada anak.

Fikirkan, adakah anak anda itu terlalu penat? Adakah apa yang anda suruh dilakukan oleh anak itu sesuatu yang sukar untuk dia lakukan?
7 Petua Serta Panduan Cara Tanggani Anak Bersikap Kurang Ajar
Anda kena faham, anak anda sedang belajar untuk hidup, dia dalam proses untuk membesar. Ada perkara yang dia masih tidak tahu untuk meluahkan. Jadi, anda kena usaha untuk fahami keadaan mereka dan lihat dari perspektif mereka.

Menyelami Dan Fahami Perasaan Anak

Bantulah anak anda untuk memahami sendiri perasaannya dengan memberi respon yang berbentuk empati. Anak-anak kadang bertindak atas emosi yang mereka sendiri tidak faham akan sebab musabab. Cuba contoh berikut:

Anda nak ambil anak anda balik dari tadika, tetapi anak merampuh dan tidak mahu balik. Anak cuba nak tarik tangan anak anda, tetapi dia menendang2 anda dan menjerit-jerit.

"Ok, abah faham susah Angah nak balik umah ikut abah sebab ramai kawan-kawan tak balik lagi. Seronok bermain kan? Kat rumah tak ada kawan kan? Abah tahu ... tapi esok-esok boleh jumpa lagi ... betul tak?"

Tidak semestinya anda kena bersetuju dengan semua tindakannya. Tetapi sekurang-kurangnya, anda boleh cuba untuk menyelami perasaannya dan cuba buatnya tahu bahawa anda memahami perasaannya.

Cari Punca Masalah

Ada punca sebab sesuatu tu berlaku. Anak kita tetiba jadi kurang ajar, tak ikut nasihat ... jerit-jerit segala bagai depan orang ramai .. mesti ada punca dan sebab. Cuba fikirkan sebentar, apa sebenarnya yang tidak kena. Adakalanya anak terlalu leka bermain dan terlupa untuk makan sehingga mereka akhirnya baru tersedar mereka terlalu lapar atau dahaga.

Anak singa pun yang nampak kiut miut .. boleh main timang-timang akan bertukar jadi 'bapak singa' sebab lapar.

So, kena ringankan mulut tanya dengan baik, cari punca masalah. Kadang anak tak cukup tidur, dan penat juga akan buatkan mereka buat hal macam-macam. Hanya anda mengetahui karekter anak anda.

Dengar Apa Yang Dia Luahkan

7 Petua Serta Panduan Cara Tanggani Anak Degil
Lebih mudah untuk mengamuk dan marah dalam situasi itu. Tetapi adalah lebih baik sekiranya anda mendengar apa yang anak anda mahu luahkan. Jadilah orang atau ibu bapa yang sentiasa mendengar. Dalam perhubungan manusia, mendengar itu penting untuk lebih faham akan orang lain, anak-anak juga perlukan ibu bapa yang mendengar selain asyik berikan arahan dan larangan.
[Rujukan] Bagaimana Untuk Didik Anak Yang Bermasalah, Perangai Degil?
Cuba minta dan suruh anak anda bertenang, dan beritahu padanya untuk meluahkan apa yang terbuku dihati. Uhh dalam hal bercinta dan dalam rumahtangga pun, perlu lebih mendengar daripada mulut bebel terkeluar perkara tidak sepatutnya.

Abaikan Sahaja

Saya selalu lakukan petua dan tips ini. Apabila anak-anak saya meragam, merampuh, merengek dan menangis nak sesuatu benda yang saya larang, saya akan abaikan sahaja. Bayangkan, anda ada RM100 dalam dompet, dan anak anda nakkan barang mainan yang harganya RM99.90 .... duit itulah anda nak beli barangan dapur untuk masak tengahari. Takkan nak dengar cakap anak ye tak?

Adakalanya, tidak memberi respon lansung adalah respon yang terbaik – lebih-lebih lagi apabila anda tahu anak anda berperangai sedemikian akibat terlalu lapar atau penat. Anak-anak kalau mereka lapar dan penat memang akan buat perangai ... uhh dalam perut semasa isteri mengandung pun macamtu .. jadi ...

Abaikan sahaja.

Pastu nanti, barulah terangkan kenapa tak boleh, dan kenapa tindakannya itu tidak anda persetujui. Cakap elok-elok naaa ... jangan lak pi hempuk kepala anak tu pulak. Be polite .. kalau dengan awek/pakwe cun leh sembang lembut .... takkan dengan anak tak boleh? Huhuhu....
Bagaimana nak behadapan masalah anak degil?

Peluklah Si Anak

Kalau ditanya ramai ibu bapa, bila anak bersikap kurang ajar .. mesti nak dibalun atau dirotan. Yelah, geram punya pasal sebab berkelakuan memalukan. Tolong, jangan rotan sebab anda mahu puaskan hati sendiri.

Peluklah anak anda. Anda adalah pelindung buat mereka. Jadi, jangan sampai mereka hilang percaya pada diri anda sebagai pelindung dan penyelamat. Jika lama-lama anda lakukan perkara seperti merotan ikut nafsu amarah anda .. nanti mereka dah tak mahu luahkan masalah mereka ... dan jejaskan psikologi mereka. Anda yang sepatutnya jadi pendamping ketika mereka ada masalah, akan jadi sebaliknya, dijauhkan diri pula dari anda.

Api dibalas dengan api akan menyemarakkan lagi api tersebut. Menghukumnya dengan cara yang kasar boleh menyebabkannya lebih menyimpan dendam di dalam hati. Ia tidak akan mengubahnya menjadi insan yang lebih baik. Maka beringatlah. Nak rotan pun mesti ada sebab yang sangat-sangat bagus.

Tahukah anda, ikatan (peluk) yang kuat adalah perkara yang paling dia perlukan di saat itu. Peluklah dia dan tenangkannya dengan membaca ayat suci al-Quran padanya.

Ketepikan ego anda. In Sha Allah anda akan dapati anak anda boleh bertenang dengan cepat.

Kesimpulan

7 Petua Serta Panduan Cara Tanggani Anak Degil
Daripada tips didik anak kurang ajar di atas, bolehlah disimpulkan agar ibu bapa janganlah bersikap terburu-buru untuk menghukum apabila anak bersikap kurang ajar. Ini bukan bermakna, tidak terus menghukum menjadikan anda ibu bapa yang dipijak anak atau tidak tegas. Bukan juga bermakna anda bertolak ansur dengan sikap tersebut.

Emosi dan perasaan yang rapuh sering diambil kesempatan oleh Iblis dan Syaitan. Mereka akan mudah tertekan. Laksanakan pendekatan-pendekatan supaya emosi dan perasaan mereka tenang. Bila anak-anak ini tenang, otak boleh berfikir dengan baik. Mereka akan mudah menyerap informasi dan menerima nasihat dengan lebih baik.

Dalam Islam, tugas ibu bapa adalah menghukum anak dengan bertujuan untuk mendidik mereka, bukan untuk membalas perbuatan mereka atau melepaskan geram kita. Ramai ibu bapa yang tersilap langkah dalam hal ini, saya sendiri pun kadangkala lupa dan bertindak ikut amarah.
[Baca] 10 Petua Mudah Dari Seorang Ustazah Agar Anak Mudah Hafal Quran di Usia Muda
Walau apa pun, mereka masih anak-anak – individu yang belum mencapai kematangan seperti orang dewasa. Di mana kematangan kita sebagai orang dewasa, jika tidak mampu menahan nafsu dan amarah sendiri?

Semoga dengan perkongsian ini, sama-sama kita dapat didik anak menjadi insan lebih baik. In Sha Allah, semoga anak-anak kita akan mudah menerima dan lebih menghormati anda sebagai ibu bapa.

Kongsikan kepada ibu bapa yang lain.


p.s: Maaf sebab tajuk post kelihatan agak keras. Dan gambar dalam post ini adalah sekadar hiasan sahaja.

Previous Post Next Post

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement