6 Peringkat Pilihan Raya Harus Ketahui

AI Trade
Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 bakal tiba tak lama lagi. Ramai lagi yang masih lagi tidak tahu mengenai peringkat-peringkat dalam proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia. Proses pilihan raya di Malaysia dikemudikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

SPR adalah sebuah suruhanjaya yang menyelia, mengelola, dan bertanggungjawab dalam urusan pilihan raya di Malaysia. Tanggungjawab dan peranan SPR ini telah ditetapkan dalam Perkara 114 - Perlembagaan Malaysia.

6 Peringkat Dalam Proses Pilihan Raya Umum Perlu Diketahui

6 Peringkat Dalam Proses Pilihan Raya Umum Perlu Diketahui
Peringkat Dalam Proses Pilihan Raya Umum Perlu Diketahui
Dalam kemeriahan menghadapi PRU ini, saya suka nak berkongsi info dan fakta menarik berkaitan peringkat-peringkat dalam proses pilihan raya di Malaysia. Zaman sekarang, kena jadi pengundi yang bijak .. bukan takat hadir ke pusat PRU dan tanda kertas undi. Mesti sedikit sebanyak tahu bagaimana pilihan raya di Malaysia itu berlaku dan berjalan.

Kalau anda nak tahu, sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan 'First-Past-The-Post-System'. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan. Kata lain, siapa dapat paling banyak undi, dialah yang akan menang atau bakal dilantik sebagai wakil rakyat dalam Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam (6) peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.

Fuh, agak banyak juga ehh peringkat dalam pilihan raya ni. Sebelum ini, ramai terutama saya, yang cuma tahu bahawa proses pilihan raya cuba libatkan proses penamaan calon, mengundi pastu tunggu keputusan pengundian sahaja.

Meh tengok satu-satu peringkat yang ada dalam proses pilihan raya di Malaysia ini.

Pengeluaran Writ

Pengeluaran Writ Pilihan Raya
Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai.

Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

Ia juga akan dimaklumkan menerusi media elektronik dan media cetak untuk pemakluman kepada umum atau rakyat.

Aha .. ini adalah peringkat pertama dalam proses berkaitan pilihan raya. Saya pasti ramai tak tahu apa yang dimaksudkan writ tu .. kan kan? Hehehe...

Penamaan Calon

Penamaan Calon dalam Peringkat Pilihan Raya
Peringkat selepas pengeluaran writ adalah penamaan calon. Ia merupakan peringkat antara terpenting dalam proses dan peringkat mengadakan pilihan raya. Jika tak ada calon, maka tak ada tandingan dan proses mengundi tak boleh nak dijalankan .. betul? Jika satu kawasan tu cuma ada satu calon dinamakan untuk bertanding, maka calon tersebut akan diumum sebagai pemenang tanpa perlu pun diadakan pengundian.

Untuk proses ini, pada hari penamaan calon yang ditetapkan, di antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri.

Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem. Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.
[post_ads]

Kempen Pilihan Raya

Aha .. ini merupakan satu peringkat ibarat satu 'hari raya' dalam proses pilihan raya di Malaysia. Ia satu peringkat antara paling meriah melibatkan ramai orang. Dan kalau yang sedar, ia merupakan lubuk rezeki buat sesetengah orang yang berniaga atau buat bisnes, antaranya bisnes printing.

Baik, selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster, ceramah-ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah.

Aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.

Mengenai deposit ini, ada diterangkan di bawah ni nanti ... :)

Pengundian

Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih atau pengundi yang namanya ada di dalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan.

Kalau anda tak tahu di mana tempat anda untuk mengundi, boleh semak secara online di SINI. Hanya masukkan nombor kad pengenalan sahaja.

Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di seluruh negara. Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Buat mereka yang mungkin pertama kali mengundi, perlu juga tahu bahawa setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi. Jadi, jangan teragak untuk datang awal ke pusat pembuangan undi.

Pusat mengundi diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang pembantu. Boleh minta bantuan mereka jika perlu, terutama tentang cara nak menanda kertas undi, dan cara nak masukkan undi ke dalam peti undi yang disediakan.

Bagi pengundi-pengundi tidak hadir atau kalangan yang layak mengundi secara pos, mereka boleh mengundi lebih awal dari hari mengundi yang ditetapkan. Namun demikian semua kertas undi yang telah ditandakan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

Penjumlahan Rasmi Undi

Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan ke dalam Borang 14.

Semua Borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi.

Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramai satu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 Penyata Kertas Undi.
Proses Pengiraan Undi PRU
Apabila semua keputusan Borang 14 - Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 - Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.

Sedia maklum bahawa proses pengiraan undi dibuat secara manual, iaitu dikira satu persatu oleh para petugas dan pegawai SPR. Ia bukan dikira menggunakan mesin ... jadi, andai ada kesilapan terhadap jumlah undi pada awalnya tu, ia adalah perkara biasa.

Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Keputusannya tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.
[post_ads_2]
Ok. Tadi ada dinyatakan mengenai deposit pilihan raya .. meh ketahui serba sedikit mengenai apa itu yang dikatakan deposit pilihan raya.

Deposit Pilihan Raya

Bagi calon-calon yang hendak menyertai pilihan raya mereka dikehendaki membayar wang deposit pilihan raya berjumlah seperti berikut:
  • Pilihan Raya Parlimen RM 10,000.00
  • Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri RM 5,000.00
Wang deposit ini perlu dibayar kepada Pegawai Pengurus atau Pengarah Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya pada jam 10.00 pagi pada hari penamaan calon. Deposit Pilihan Raya boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank.

Jika wang deposit tidak disertakan, kertas penamaannya dianggap sebagai tidak lengkap dan Pegawai Pengurus berkuasa untuk tidak menerima kertas penamaan tersebut.

Calon-calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

Deposit Bahan Kempen Pilihan Raya

Calon-calon hendaklah membayar deposit bahan kempen pilihan raya seperti berikut:
  • Pilihan Raya Parlimen- RM5,000.00
  • Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri- RM3,000.00
Sekiranya calon gagal mengemukakan deposit bahan kempen adalah tidak dibenarkan untuk memasang atau mempamer sebarang bahan kempen pilihan raya.

Jika disabit kesalahan di bawah Sekyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan pekara tersebut, calon berkenaan boleh dihukum penjara selama tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Aha, saya harap info berkaitan PRU di atas akan memberikan pengetahuan lebih jelas buat semua termasuklah diri saya mengenai perjalanan atau peringkat dalam proses pilihan raya di Malaysia.

Saya sudah mengundi sebanyak 4 kali di Malaysia ... anda? Jika anda merupakan pengundi baru atau pertama kali, mungkin anda mahu tahu lebih banyak lagi mengenai PRU ini, jadi saya syor anda lawati laman web rasmi SPR.



Advertisement

Rahsia Shopee

Post a Comment

0 Comments