Surat Terbuka - Isu Pembelian Tanah 1MDB oleh Tabung Haji

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji menjadi topik panas minggu ini. Ia mendapat perhatian ramai kerana Tabung Haji adalah organisasi yang menguruskan wang-wang simpanan umat Islam yang niatnya adalah untuk memudahkan peluang mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Saya sendiri merupakan penyimpan di Tabung Haji, malah isteri dan anak-anak saya juga mempunyai akaun simpanan di Tabung Haji. Jadi, sedikit sebanyak isu pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji mendapat perhatian serius daripada saya.

Bermulanya Isu Pembelian Tanah 1MDB oleh Tabung Haji

Isu ini timbul dan bermula daripada satu dokumen yang dikatakan merupakan perjanjian jual beli tanah yang dimaksudkan di Tun Razak Exchange (TRX) telah diterbitkan dan didedahkan dalam sebuah blog. Ia kemudian menjadi viral dan dikongsikan pula oleh blog-blog yang lain. Akhirnya, ia menjadi antara berita paling hangat diperkatakan di media massa arus perdana. Masakan tidak, kerana ia melibatkan wang-wang simpanan pencarum dalam Tabung Haji. Apatah lagi, apabila seluruh rakyat Malaysia sudah mengetahui akan kemelut masalah kewangan yang dihadapi oleh 1MDB - satu badan pelaburan entiti kerajaan.

Pengurusan TH Akui Beli Tanah dari 1MDB

Menerusi Sinar Harian, pihak TH telah mengesahkan akan pembelian sebidang hartanah di Tun Razak Exchange. Hartanah tersebut dibeli pada harga RM188.5 juta dan dikatakan dibeli pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa. Pihak TH menerusi  Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah juga memberitahu bahawa nilai tersebut dibeli berlandaskan kepada harga yang dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.
TH Sah beli tanah 1MDB

Kadar RM188.5 juta yang dibeli oleh Tabung Haji itu adalah 65 kali lebih mahal daripada harga asal yang dibeli oleh 1MDB.

Walau bagaimanapun pihak TH katanya menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu. Perkara ini juga telah dimaklumkan menerusi laman Facebook Tabung Haji.

Saya memetik daripada FB Official: Lembaga Tabung Haji, bertarikh 5 Mei 2015:

Kenyataan FB Official Tabung Haji

Assalammualaikum Tuan/Puan, Tabung Haji tidak melabur seperti yang dihebahkan melalui blog-blog. Kebocoran dokumen tersebut adalah merupakan kertas cadangan dan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut.

TH melabur dalam SATU hartanah menara kediaman di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik. Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

Pembelian hartanah (1.6 ekar) pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas professional. Hartanah tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd yang akan memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan.

TH menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu.
TH telah berkecimpung dalam pelaburan hartanah sejak dahulu lagi dan memiliki beberapa bangunan terutamanya di kawasan Segitiga Emas dan KL Sentral di Lembah Kelang - THCC 

Isu ini bukan sahaja panas menerusi blog-blog politik yang PRO-Pembangkang, malah kebimbangan dan kekhuatiran mengenai urusniaga ini turut dinyatakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan yang saya petik dari Malaysian Insider memohon kepada Perdana Menteri sendiri untuk merungkaikan isu ini memandangkan pembelian tanah oleh Tabung Haji dari 1MDB ini di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan.

Pencarum Diminta Untuk Mendesak Pengurusan TH Bertanggungjawab

Isu panas pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji telah membuatkan seorang pembaca blog saya mengirimkan satu surat yang meminta rakyat Malaysia untuk mendesak pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji meletakan jawatan atas terjadinya dan timbulnya isu ini.

Saya mohon kepada anda yang membaca untuk berfikir dan menghadam butiran-butiran surat ini, dan memahami isi hati penulis. Lihat sebab kenapa dan mengapa si penulis meminta pihak pengurusan Tabung Haji untuk meletakkan jawatan.

Surat Terbuka - Isu Pembelian Tanah oleh Tabung Haji - Pengurusan Tabung Haji Didesak Letak Jawatan

Kandungan surat ini tidak diedit. Harap maklum.

Pengenalan:

Saya adalah antara jutaan “majoriti yang diam” (the silent majority). Kebiasaannya, berdasarkan berita yang saya baca, saya hanya geleng kepala, mengucap dan menguatkan azam untuk memilih parti yang mengutamakan atau pentingkan rakyat apabila tiba masanya nanti. Bukannya mereka yang terlalu taksub dengan pemimpin. Pemimpin hanyalah manusia biasa, yang boleh dan wajar diganti dari semasa ke semasa.

Latarbelakang:

Tabung Haji (TH) adalah antara institusi kewangan yang penubuhannya tersangat unik di dunia. Tidak ada mana mana entiti kewangan yang sedemikian. Niat asalnya, terima wang dari rakyat jelata, simpan, labur uruskannya sebaik mungkin dengan mematuhi tuntutan syariah. Tahniah dan syabas kepada pemimpin terdahulu yang berjiwa rakyat dan mempunyai visi yang sangat jauh dalam membantu merialisasikan impian warga kampung dan desa untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan haji.

Kenapa saya bersuara:

Tabung haji telah melakukan kesilapan dengan melantik seorang pengerusi yang tidak pengetahuan, tidak berkelayakan dari segi akademik mahupun pengalaman dalam bidang kewangan. Ramai lagi warga melayu asli yang lebih layak. Namun, saya sepertu yang lain, hanya mengeluh dan menggeleng kepala apatah lagi pengerusi yang baru merayu di berikan peluang untuk menunjukkan kebolehannya. Pemilihan beliau terbukit silap berdasarkan kemelut pembelian tanah yang terbaru dari 1MDB.

Namun beliau tidak harus dipersalahkan bersendirian. Di mana ahli lembaga pengarah yang lain? Yang terpelajar, yang berpengalaman, di mana mereka? Yang, seperti yang di canangkan, sememangnya urusan pembelian ini “bersih” atas kertas. Tabung Haji boleh melabur dalam bidang hartanah seperti mana kebiasannya. Persoalanya, 1MDB beli pada harga yang teramat rendah.

1MDB, kini berdepan dengan masalah aliran tunai. Mana-mana ahli perniagaan yang mahir dan bijak akan cuba mendapatkan sesuatu pada harga yang terbaik. Harga yang dibayar untuk tanah yang dibeli bukanlah harga terbaik. 1MDB mempunyai terlalu banyak masalah dan terdapat kemungkinan untuk jatuh muflis. Tabung Haji sepatutnya tunggu sehingga 1MDB menjual asetnya pada harga lelong, lambat laun mereka terpaksa berbuat demikian, jika tidak dibantu oleh tangan-tangan ghaib. Kenapa tidak tunggu. Jika TH benar benar perlukan tanah tersebut kenapa tidak dibeli terus dari kerajaan. Tanah tersebut sedia wujud dan milik kerajaan sebelum ini. Bukankah TH wujud sebelum 1MDB lagi. Bukankah penaung TH Perdana menteri sendiri di mana terdapat wakil dari Jabatan Perdana Menteri selaku ahli lembaga pengarah?

Saya bersuara kali ini kerana berpendapat pengurusan TH telah berlaku tidak adil kepada pencarum. Duit yang disimpan oleh rakyat jelata yang 100% beragama Islam, yang dikumpul sen demi sen dengan menitiskan keringat dan darah, telah digunakan untuk tujuan yang mencurigakan.

Pengurusan Tabung Haji mesti dihukum.

Hukum Pengurusan Tabung Haji:

Jika anda berfikir ada pihak yang akan menghukum Pengurusan TH, anda silap. Kita yang harus menghukum mereka. Saya dan anda. Bagaimana? Beraturlah. Jangan pegang sepanduk, jangan bersuara, jangan marah, jangan maki. Hanya bawa buku pelaburan. Pindahkan caruman anda ke institusi kewangan yang lain. Saya cadangkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau mana-mana institusi kewangan yang menawarkan produk atau pelaburan yang mematuhi sistem perbankan Islam.

Ini harus berterusan sehingga pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang terlibat meletak jawatan. Jika anda mengeluarkan semua wang anda, mereka tiada pillihan, selain daripada melepaskan jawantan mereka. Ini adalah hukuman kepada TH dan amaran kepada yang lain.

Kesimpulan:

Jika anda beragama Islam, mempunyai kesedaran bahawa wang yang disimpan oleh rakyat jelata di TH adalah untuk menunaikan tuntutan Islam. Bertindaklah. Bertindaklah menghukum mereka sekarang sebelum berbilion ringgit hilang. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Yang Benar,

Noor Mohamed. B Mohamed Haniba
BSc, MBA, ICSA (MAICSA:706746)
Bidor, Perak

Ok. Selesai.

Pendapat yang disampaikan oleh Noor Mohamed adalah pendapat peribadi beliau. Saya hormati pendapat yang diberikan dalam surat terbuka untuk rakyat Malaysia, khususnya kepada pencarum-pencarum Tabung Haji.

Mungkin akan ada input daripada perkongsian saya ini. Malah, sewaktu saya menulis entri ini, ada rakan yang menghantar satu pesanan teks yang mengatakan bahawa ahli-ahli lembaga pengarah dalam TH itu sendiri ada kepentingan di dalam 1MDB. Sejauh mana kebenarannya, biarlah orang lain yang mengkaji dan menyusulkan kebenaran.

Dan ... nah, selesai sahaja yang terbitkan separuh entri ini, ada seorang sahabat mengirimkannya menerusi laman Facebook.

Perkara ini perlu diambil berat kerana ia melibatkan wang simpanan pencarum orang Islam yang niat mereka itu menyimpan dan mencarum adalah untuk menunaikan ibadah haji. Jadi, sudah pastilah pelaburan 'kecil' yang dilakukan oleh Tabung Haji ini 'memikat' perhatian mereka, apatah lagi ia melibatkan sebuah syarikat pelaburan yang nyata diambang masalah kewangan yang teruk.

Apapun, semoga kebenaran akan disingkap dan kita doa semoga Allah S.W.T memberikan petunjuk atas apa yang sedang berlaku.

3 comments.. read them below or add one

Adi Adi May 08, 2015
Cnp from another chat grp:
Wallahua'lam.

JANGAN POLITIKKAN TABUNG HAJI,BUKAN TABUNG HAJI BELI TETAPI ANAK SYARIKAT TABUNG HAJI BELI TUJUAN PELABURAN DALAM PERNIAGAAN HARTANAH

Sejak malam semalam tersebar di media sosial mendakwa Tabung Haji membeli dua bidang hartanah di kawasan Segitiga Emas KL dari 1MDB untuk menyelamatkan 1MDB. Satu bidang hartanah untuk Residential Tower yang bernilai RM 188.5 juta dan satu bidang untuk Signature Tower yang bernilai RM 577 juta.

Itu adalah satu laporan yang tidak benar yang cuba membakar sentimen pendeposit-pendeposit TH.
Dakwaaan tersebut tidak benar 100 %.

Tanah tersebut tidak dibeli oleh Tabung Haji (TH). Ianya dibeli oleh Tabung Haji Properties (THP). Sebuah anak syarikat TH yang beroperasi dalam bidang hartanah. Di sini orang ramai perlu faham perbezaan antara TH dengan THP. Bidang THP adalah beli tanah, jual tanah, bina bangunan, beli bangunan dan jual bangunan. Pernahkah anda dengar pendeposit-pendeposit pergi menyimpan duit di THP ? Pernahkah anda dengar THP yang menguruskan jemaah-jemaah haji ke Tanah Suci ?

THP tidak membeli kedua-dua bidang tanah seperti yang didakwa. THP hanya membeli SEBIDANG SAHAJA untuk pembangunan Residential Tower dengan harga RM 188.5 juta. Pembelian itu dibuat setelah THP membuat kajian dengan teliti merangkumi pelbagai aspek. Selain daripada untung rugi sebarang aspek bisnes melibatkan THP antara yang utama diambil kira adalah urusniaga yang dijalankan adalah mestilah mengikut syarak.

Kenapa THP membeli tanah 1MDB ?

Perniagaan melibatkan hartanah adalah perniagaan teras THP. Apabila ada peluang yang baik untuk mendapat untung maka sudah tentulah peluang harus diambil.

Tanah yang ditawarkan berada di kawasan Segitiga Emas yang mana ianya tanah yang bernilai tinggi dan peluang mendapat untung yang lumayan. Pelabur-pelabur lain daripada dalam dan luar negara berebut-rebut membeli tanah di kawasan berkenaan dengan harga yang lebih tinggi kerana potensi pulangan yang lumayan. Salahkah jika sebuah agensi umat islam membeli tanah dikawasan yang menjadi rebutan pelabur ?

Tambahan pula THP ditawarkan dengan harga yang lebih rendah. THP telah melantik sebuah penilai bebas untuk menilai pasaran di kawasan berkenaan. Kajian yang dijalankan mendapati apabila siap kelak nilai bangunan itu RM 828 juta. Manakala modal yang THP keluarkan untuk pembelian tanah (RM 188.5j) dan modal pembinaan bangunan (RM 456j), dimana kos keseluruhannya RM 644.5j. THP akan mendapat untung RM 183.5j dalam masa 3 tahun.

Dimana dengan wang keuntungan RM 183.5j , ianya boleh menanggung seramai 25’171 orang subsidi jemaah haji.

Disini umat islam perlu faham, setiap tahun kos menunaikan haji semakin meningkat. Di Malaysia jemaah kali pertama hanya perlu membayar RM 9980.00 untuk menunaikan haji. Sedangkan kos sebenar untuk menunaikan haji sekarang adalah RM 17’270.00 seorang. TH perlu menanggung subsidi sebanyak RM 7290 seorang jemaah. Bayangkan sebanyak 40 ribu jemaah yang perlu ditanggung. Kosnya mencecah 300 juta setahun. Itu belum diambil kira lagi kos petugas, pembimbing haji, kesihatan dan sebagainya. Subsidi hanya untuk menanggung penginapan dan pengangkutan sahaja.

Atas dasar itulah anak-anak syarikat TH termasuklah THP perlu agresif mencari peluang-peluang perniagaan yang menguntungkan. Kerana setiap tahun setiap anak syarikat akan membayar dividen kepada syarikat induk iaitu TH. Wang itu yang digunakan untuk menanggung subsidi haji serta membayar dividen yang mencecah 8 % setahun kepada penyimpan.

Jika tidak ada perniagaan bagaimana mahu membuat untung. Jika tidak membuat untung bagaimana mahu menolong umat-umat islam di Malaysia menunaikan haji ? Bagaimana mahu membayar dividen kepada penyimpan ?

Jika THP menolak tawaran yang ditawarkan 1MDB mereka telah terlepas satu peluang perniagaan yang menguntungkan. Perlu diingat bukan senang untuk anak-anak syarikat TH mencari perniagaan. Kerana mereka terikat dengan syarak. Setiap sen yang dilaburkan mereka perlu tahu halal
BANYAK KERJA KOSONG DI SINI BANYAK KERJA KOSONG DI SINI May 09, 2015
Tlg jangan politikkan Lembaga Tabung Haji ni...Kita minta pehak yang berwajib agar memperhaluskan setiap pembelian projek tanpa mencampuradukkan politik dalam urusan jual beli sebegini..
Sani Sani May 10, 2015
Pastikan maklumat yang hendak disebarkan adalah betul dan tepat. Jangan kita pula jadi penyebar fitnah sudahlah..

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact'. Terima kasih.