Kolam Ayer Panas Batu 9 Jalan Trong

Syok juga layan Kolam Ayer Panas Batu 9 Jalan Trong ni. Bagi mereka yang tinggal sekitar Taiping, tentu dah familiar dengan kolam air panas ini. Saya telah kesempatan dengan keluarga saya dan ipar merasai betapa panasnya kolam ini. Hot Spring Batu 9 Jalan Trong Taiping, jika belum pernah merasa, saya syorkan anda pergi.

Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping

Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping
Bila badan rasa sengal-sengal, otot pun rasa kurang mantap; maka alternatif mandi dan berendam dalam kolam air panas memang menyegarkan. Dan untung penduduk sekitar Taiping, kerana Kolam Air Panas Batu 9, Jalan Trong ini adalah salah satu kolam air panas yang dikatakan tempat alternatif untuk merawat pelbagai jenis penyakit berjangkit. Kolam ini juga dinamakan sebagai Telaga Air Panas Perubatan.

Telaga?

Di Kolam Ayer Panas Batu 9 Jalan Trong ini, sememangnya asal air panas yang ada adalah dari telaga yang dibina di sini. Dari telaga inilah, air panas yang dikatakan berubat ini disalurkan kepada 3 jenis kolam yang ada di sini.
Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping
Mengikut sejarahnya, kolam air panas di Jalan Trong ini telah wujud sejak 100 tahun lalu dan ianya diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya. Tetapi ia tidaklah dikomersilkan seperti sekarang. Ia mula dikenali untuk tujuan komersil pada tahun 2002 oleh salah seorang ahli keluarga generasi keempat; Samsudin Ahmad 63 tahun ketika itu. Sebelum itu, kolam atau telaga air panas di sini dijaga oleh Mydin Nana Ibrahim (generasi kedua) dan Ahmad Mydin (generasi ketiga).

Ramai juga pengunjung ke kolam air panas yang merupakan kolam air panas perubatan pertama di Taiping ini. Selalunya ramai  berkunjung pada waktu malam di mana cuaca yang agak sejuk membolehkan pengunjung berendam dengan agak selesa. Al maklumlah, Taiping merupakan tempat di Malaysia yang mempunyai taburan hujan yang tinggi dan memang waktu malam agak sejuk di sini.

Keunikan Hot Spring Batu 9 Jalan Trong

Yang uniknya tempat ini ialah suhu air panasnya. Ia kekal tetap walaupun berada di kawasan terbuka dengan cuaca malam yang sejuk. Lagi satu, ialah ketinggian paras airnya yang melebihi ketinggian paras bumi (yang ni saya tak faham sangat, main tulis je).

Tapi apa yang best saya dan keluarga datang ke sini ialah sebab ia ada kolam peribadi, ala macam Yakuza .. erkkkk Yakuzi yang tertutup. Jadi, anda dan keluarga boleh berendam dengan aman dan selesa tanpa ada mata yang dok tengok. Malah, tandas dan tempat salin baju juga asing bagi setiap kolam tertutup.

Memandangkan suhu air yang kekal tetap ini, pihak pengurusan kolam ada sediakan air paip khusus untuk kurangkan sikit kepanasan air. Jadi, anak-anak kecil boleh turut sama berendam dan berenang-renang. Jika lama berendam, anda akan terhidu bau sulfur yang cukup kuat dalam kandungan air kolam panas anda.
Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping
Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping
Kolam Ayer Panas (Hot Spring) Batu 9 Jalan Trong, Taiping

Kemudahan yang ada di Kolam Air Panas Jalan Trong Batu 9 ini termasuklah ada kemudahan tempat sholat, kolam berendam, bilik berendam (sauna), kedai makan mini, tempat riadah, tempat santai, kawasan rendaman kaki, kolam peribadi serta kemudahan tempat letak kereta yang luas.

Saya dan keluarga merasai berendam kolam peribadi yang boleh muatkan sehingga 5 orang dewasa dengan bayaran cukup menarik (boleh deal dengan pemilik) dikira ikut jam. Badan-badan yang rasa sengal segera rasa segar, dan kulit terasa lebih anjal dan padat selepas berendam.

Kredit Foto: www.kualasepetang.com