Elakkan Berhutang Dengan Courts Mammoth Malaysia

Ramai juga yang minta saya tulis kisah ini, dan berikan pendapat mengenai dakwaan bahawa Courts Mammoth memperdaya pelanggan dengan tawaran pembayaran menarik tetapi sebenarnya merugikan pembeli. Ok, secara jujurnya saya tiada pengalaman sebenar membeli belah di Courts, tetapi saya pernah dua kali berurusan dengan mereka.

Pengalaman Dengan Courts Mammoth

Saya dan isteri pernah cuba nak membeli perabut dari Courts Mammoth. Tempahan masa tu dibuat di Courts Mammoth Bukit Mertajam memandangkan di Parit Buntar tiada lagi pasaraya ini ketika itu. Tawaran diberikan memang menarik, apatah lagi ia menyediakan sistem pembayaran yang sekali pandang nampak melegakan poket yang tidak selalunya penuh.

Kami memang teliti melihat cara dan kadar pembayaran yang ditetapkan. Malahan, kami membuat kira-kira samada pembelian itu benar-benar berbaloi atau sekadar kami membeli sesuatu yang merugikan dalam jangkamasa panjang. Setelah agak lama, kami buat keputusan untuk beli satu set perabut yang saya pun dah lupa apa bendanya tu.

Tapi, nak dijadikan cerita. Setelah tempahan dibuat, kami diberitahu bahawa stok perabut yang kami tempah dan beli itu telah habis di gudang. Mereka minta saya dan isteri untuk berikan tempoh masa lebih panjang, tetapi kami ntah macamana menolak tawaran tersebut. Maka, terselamatlah kami dari berhutang dengan Courts Mammoth.

Pengalaman kedua saya dengan Courts Mammoth adalah apabila saya telah menang baucer tunai Courts Mammoth daripada salah satu peraduan yang saya sertai. Memang tidak sangka saya telah menang peraduan tersebut. Kisah pengalaman saya membeli di Courts Mammoth ada saya ceritakan di sini - Kami Dulu Obses Dengan Segala Macam. Ketika itu, Courts Mammoth telah membuka cawangannya di Parit Buntar. Tetapi cawangan itu beroperasi tidak lama. Saya fikir dalam 3 tahun kot. Apa sebab, itu saya tak pasti.

Jadi, setakat dua pengalaman saya ini, secara amnya tiada ada apa yang tidak kena dengan Courts. Tetapi, saya dapati ramai pelanggan dan pembeli yang membeli di Courts telah menyuarakan ketidak-puashatian berkaitan apa yang telah mereka hadapi.

Isu Terhangat Berkaitan Courts Mammoth

Isu terhangat mengenai Courts atau Courts Mammoth ini adalah mengenai sistem dan tawaran pembayaran kredit yang diberikan. Sekali baca, sekali tengok, sekali pandang memang nampak menarik dan mengiurkan. Cuba lihat contoh di bawah ini.


Selalunya untuk kempen-kempen tawaran harga terendah Courts Mammoth, anda akan lihat dan dapati bahawa tawaran-tawaran itu 'dibenarkan' jika anda membayar secara ansuran dengan pembayaran sistem kredit mereka iaitu Flexi-Credit. Sistem yang diperkenalkan pula memberikan interest atau faedah yang berbeza-beza mengikut bilangan bulan kadar pembayaran yang anda mahu buat.

Sistem Kredit Courts Mammoth Merugikan Pembeli

Sistem kredit ini bukan hanya digunakan oleh Courts Mammoth sahaja, malah banyak lagi kedai dan pasaraya elektrik dan perabut seumpamanya menggunakan sistem yang sama, cuma nama je lain, kadar faedah lain, dan pengurusan kredit itu juga lain. Tapi sistem kreditnya, pada dasar dan asas adalah sama.

Sistem hutang memang merugikan, dalam apa jua pembelian sekalipun. Kita beli minyak petrol contohnya, dengan kad kredit, kita rugi sebab kena bayar caj kad kredit. Jika lambat bayar, kita akan kenda denda lewat atau caj tambahan.

Elakkan berhutang dengan Courts Mammoth jika anda tidak mahu terperangkap dengan masalah kewangan di masa akan datang. Eloklah bayar secara tunai, walaupun ada kes bilamana Courts Mammoth seperti bertangguh dan kurang memberikan priority kepada pembelian secara tunai ini.

Perkongsian Cerita Dari Bekas Pelanggan dan Pembeli Courts Mammoth

Namun, ini bukan hanya isunya. Ada isu lain juga berkaitan pembelian di Courts Mammoth ini. Seorang rakan blogger telah berkongsi pengalaman membeli barangan di Courts Mammoth. Kisah ini ditulis dan diterbitkan sekitar tahun 2013; dan kejadian atau kisah yang diceritakan pula berlaku pada tahun 2010.

Bapa aku ada membeli barangan Courts yang berjumlah hampir RM2,2**.00 tahun 2010. Aku pun tak tau ape yang menyebabkan ayah boleh terjebak membeli barangan Courts ni. Mungkin disebabkan dulu tempat kerja dia dekat dengan kedai Courts ni. Dan yang pasti tindakan tu adalah salah sama sekali tapi apakan dayaku masa itu, hanya mampu berkata tidak. Masa tu ayah masih berkemampuan dan sihat..

Barangan dia aku rasa barangan reject kot, sebab tak sampai 3 bulan macam-macam rosak. Bila mintak service baikpulih dia suruh hantar sendiri lah, nanti lah dia hantar orang. Yang paling best dah sampai depan umah dia taknak pun amik barang, lagi aku tak faham..

Aku dan family berbincang nak settle kan bayaran Courts memandangkan, ayah dah sakit dan tidak lagi berkerja. Bila aku tengok balik transaksi faedah dia berjumlah lebih RM 4,000.00. Total bayaran ikut agreement RM 6,318.85. Gulp.. T_T Tu belum dia caj ko, bayaran collecter ke denda ke dan ape ape lah. - Selanjutnya ....

Ok. Itu satu cerita. Saya nak kongsikan lagi satu kisah yang diambil dari sebuah blog yang lain pula. Sebuah cerita pengalaman membeli juga, dan beli pakai hutang dengan Courts Mammoth.

Kitorang pun gie lah courts mammoth kat DAMANSARA sebelah IKEA. survey punya survey ...tak jumpa pulak tv yang kitorang nak...then sambung pi cari TV kat courts mammoth PJ. at last jumpa jugak TV yang kitorang nak beli..SAMSUNG 5 series 42 inch! Mula2 ingatkan nak beli 32 inch je, pastu tak jadi. Husband aku cakap alang2 beli besar terus je lah baru puas main game KATANYEEE..! Then kitorang tanya lah staff courts mammoth kat situ, nama dia Faizal kalau tak silap aku lah...boleh buat installment without credit card ke tak? Then dia cakap boleh...pastu aku tanya dokumen yang diperlukan. dia cakap "PHOTOSTAT IC & PAYSLIP SEBULAN JE"..hah! kan senang. tak payah nak banyak sangat dokumen. So, tanpa berfikir panjang & berbincang, both of us terus setuju & GRAB! Staff tu cakap "kita masukkan data u dalam computer dulu. Payslip bagi kemudian".. Aku pun apaaaa lagi...senyum lebarrr lahhhhh ingatkan dah boleh angkut terus TV tu balik rumah. rupanya tak. Dia cakap lebih kurang dalam seminggu kemudian baru diorang hantar.Lagi cepat aku bagi payslip lagi cepat lah diorang hantar.

Pastu, bila dia dah masukkan data aku ke dalam computer tu..Tetibe, dia suruh aku sign kat satu agreement ni..TERMS & POLICY. Selalunya jarang orang nak  baca TERMS & POLICY yang panjang lebar tu kan.? Aku pun terus sign. Ish! silap aku gak time tu. main terus sign je...Pastu husband aku tanya pasal free gift... Yelah, kata beli TV besar dan mahal kan. RM4500 gituww...takkan takde free gift kut. Pastu mamat tu cakap ada. "Kita bagi HDMI cable free. tapi kita hantar skali ngan TV nanti" Husband aku suka lah tu bila dengar dapat free HDMI cable. Boleh main game!

Then bila dah gerak balik rumah tu, aku baru terperasan kat agreement tu.

Agreement loan 3 years.
TV : RM4,500.00
Interest : RM 2,710.20
Insurance : RM 119.00 (cover untuk setahun je)
Delivery : RM 49.00
Another charges lebih kurang RM700 ++  aku tak ingat ape..

TOTAL : RM8,126.20 !!- Selanjutnya ....
Ok. Rasanya dua cerita ini sudah cukup kot untuk anda semua faham mengenai pembelian secara berhutang itu merugikan pembeli. Bukan hanya membeli di Courts Mammoth sahaja, malah di mana-mana kedai yang seumpamanya.

Jalan Penyelesaian Isu Hutang Dengan Courts Mammoth

Nasihat terbaik yang boleh saya berikan ialah, elakkan berhutang. Dan jika tak boleh nak elak juga, baca terma dan syarat yang diberikan. Kenalpasti dengan teliti jumlah anda perlu bayar samada secara bulanan, tahunan dan akhir sekali jumlah yang sebenar anda bayar dengan interest dan caj lain jika ada.

Mungkin ada rakan dan pembaca yang telah mungkin terlanjur dengan pembelian di Courts Mammoth, dan kemudian hadapi masalah membayar. Kemudian, didatangkan dengan masalah pengutip hutang (syarikat lain atau pejabat guaman) yang desak anda untuk langsaikan hutang kredit Courts Mammoth; ada jalan penyelesaian kepada isu ini.

[Ads] Ketahui cara nak handle agen pengutip hutang - Download Ebook Ini Sekarang!

Ok. Pertama sekali, seandainya anda dihubungi dengan permasalahan kutipan hutang oleh agen yang dilantik oleh peguam Court Mammoth, saya nasihatkan anda untuk hubungi pihak kredit Courts Mammoth sendiri untuk penjelasan. Anda juga boleh hubungi peguam yang dilantik oleh pihak Courts Mammoth untuk butiran hutang tertunggak. Terutama sekali untuk kes-kes di mana anda sebagai penjamin atau rujukan oleh peminjam (yang selalunya dari orang yang kita kenal contohnya adik beradik dan sedara mara).

Kedua, mohon pertimbangan dari pihak Courts Mammoth untuk menyelidik masalah kredit anda dan cuba dapatkan penyelesaian. Lagipun, nama hutang pun FlexiCredit; takkan tak ada tolak ansur kot? Disarankan anda bertemu pegawai kredit/hutang dan pergi ke cawangan Courts Mammoth yang dinyatakan dalam pembiayaan pembelian.

Namun, seandainya gagal dan anda merasakan ada agen kutipan hutang Courts Mammoth mendesak dan bertindak sehingga dirasakan satu ugutan telah dilakukan, anda boleh mengemukakan laporan kepada pihak polis. Selain itu, anda juga boleh membawa isu ini ke bahagian tribunal pengguna untuk disiasat dan diperincikan. Untuk membawa kes ke bahagian tribunal pengguna, anda mestilah menjadi pembeli dan bukan sebagai perujuk (rujukan) atau penjamin.

Cara Membuat Aduan Pengguna

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Aras 5, Podium 2,
No. 13, Persiaran Perdana,Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62623 Putrajaya.
Toll Free : 1-800-88-9811
Telephone No. :  03-8882 5822
E-Tribunal

Anda juga boleh kemukakan aduan jika dirasakan teraniya dengan sistem hutang Courts Mammoth kepada National Consumer Complaint Centre (NCCC). Aduan boleh dilakukan secara online di sini - E-Aduan NCCC
E-Aduan Pengguna ke Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan
Orait? Faham? Saya dah sampaikan motif saya iaitu elakkan berhutang dengan Courts Mammoth Malaysia. Saya tak minta anda untuk tidak membeli atau boikot pasaraya Courts ini; cuma anda sebagai pengguna seperti saya perlu berhati-hati supaya tidak terjebak di dalam kancah yang kelak akan merugikan kita.

Sebagai kali akhir, saya nak kongsikan satu kisah yang mana mangsa terlibat iaitu  Puan Oya Noraini yang menjadi penjamin atau rujukan tanpa diketahui telah didatangi masalah seperti yang saya ceritakan di atas. Kisah Puan Oya Noraini ini telahpun diselesaikan dengan cara yang baik, walaupun ambil masa dan menghadapi banyak kekangan.

Apapun semoga ia dapat menjadi pengajaran berguna buat semua.

Untuk kisah lengkap cerita dan penyelesaian kepada masalah Puan Oya Noraini ini, anda boleh ikuti di sini - https://www.facebook.com/groups/787953661237699/

Boleh juga baca ini - Sila Berhati Hati Dengan Tawaran Jualan

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

p.s: Saya mengambil masa selama 2 jam untuk menulis artikel ini. Jika sudi kongsikan kepada semua. Lebih ramai orang tahu, adalah lebih baik. Bukan untuk memburukkan pihak yang dinyatakan tetapi sebagai peringatan buat kita semua agar menjadi pengguna yang lebih bijak!