A Gift of Life - Saya Sudah Mendaftar

Anugerah Kehidupan (A Gift of Life) - Saya berikrar untuk menderma organ saya selepas meninggal dunia. Alhamdulillah, saya sudahpun mendaftar sebagai salah seorang penderma organ di Malaysia. Bagaimana dengan anda? Kesempatan menjadi penderma organ terlaksana semasa hadir di Majlis Sepetang Bersama Blogger (SBB2014 SBBYEOS2014).

Isteri saya awal-awal lagi telah menjadi sebahagian daripada komuniti penderma organ di Malaysia. Dan pernah sekali isteri meminta saya melakukan perkara yang sama, tetapi tertangguh dan menangguh. Alhamdulillah, Allah S.W.T telah membuka peluang dan laluan saya untuk menjadi sebahagian insan yang lain untuk menjadi penderma organ.

A Gift of Life - "Saya Sudah Mendaftar"

Fatwa Berkaitan Pendermaan Organ bagi Umat Islam

Ramai yang salah tanggapan mengenai pendermaan organ di Malaysia, terutama sekali daripada kalangan warga Malaysia beragama Islam. Dalam hal yang demikian, saya ingin berkongsi beberapa fakta berikut daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.
Di Malaysia , isu pemindahan organ telah dibincangkan sejak 1960-an. Hasilnya, fatwa mengenai pemindahan organ telah dikeluarkan pada tahun 1970 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (pada 23 dan 24 Jun 1970 ): mata dan pemindahan jantung daripada penderma kepada penerima mati hidup adalah dibenarkan dalam Islam , di bawah perkara berikut:
  • Ia dijalankan dalam keadaan kritikal dan penting di mana kehidupan penerima bergantung kepada pemindahan organ, dan pemindahan yang mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya. 
  • Dalam pemindahan jantung, kematian penderma mestilah dipastikan. 
  • Tindakan yang perlu hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan organ yang terlibat 
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma sebelum transplantasi (dalam kes-kes kematian biasa) atau dari ahli keluarga (dalam kes-kes kematian akibat kemalangan). 
Keharusan menderma organ juga terikat kepada syarat-syarat berikut yang bertujuan untuk melindungi semua kepentingan selaras dengan undang-undang Islam:
  • Tidak memudaratkan penderma yang masih hidup seperti menyebabkan kematian atau hilang upaya (kehilangan pendengaran, penglihatan dan morbility); 
  • Pemindahan dilakukan dengan kebenaran daripada penderma; 
  • Kebenaran diperoleh daripada penderma yang mengikut undang-undang dan mampu untuk berbuat demikian. Oleh itu , kebenaran tidak boleh diberikan oleh kanak-kanak, pesakit mental yang tidak boleh membuat keputusan rasional, di bawah tekanan atau dipaksa untuk menderma; 
  • Tidak dijalankan dengan cara yang boleh melanggar martabat manusia seperti perdagangan organ. Ia perlu dilakukan atas sebab-sebab altruistic; 
  • Doktor yang terlibat dalam pemindahan organ mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menilai penderma dan penerima berdasarkan prinsip maslahah (manfaat) dan mafsadah (kemudaratan) mengikut undang-undang Islam. 

Pada 13 Disember 1989, mati otak diterima sebagai kematian dan dengan itu pendermaan organ adalah dibenarkan.

Pada 21 Jun 1995, penggunaan graf tisu untuk tujuan perubatan adalah diharuskan.

Dosa Penerima Organ 'Jangkit' Pada Penderma Organ?

Ada yang takut akibat derma organ, nanti akan datang dosa kerana melakukannya, seperti contoh atau dermakan organ pada seseorang yang suka melakukan jenayah. Dalam hal ini, apabila seseorang telah meninggal dunia, hanya 3 perkara yang akan berikan kesan - iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan, dan anak yang soleh yang mendoakannya. Maka, tidak timbul isu tersebut.

Malah, Dr. Yusuf al-Qaradawi (ulamak terkenal) berpandangan bahawa orang yang menderma organ akan diberikan ganjaran pahala kerana perbuatan menderma organ terangkum di bawah sedekah jariah yang merupakan salah satu daripada tiga perkara yang akan memberi ganjaran berterusan selepas kematian.

Perdermaan organ bukan hanya jadi harus dan dibolehkan di Malaysia sebagai sebuah negara Islam, malah banyak negara Islam lain menggalakkannya. Pertubuhan Negara Islam (OIC), Majma’ al-Fiqhi al-Islami al-Hind (1989), Fourth Majma’ al- Fiqh al- Islami (1988), Islamic Syaria Council of United Kingdom (1995), Saudi Arabian Council of Grand Scholars (1982), Fatwa of Muslim World League (1985) adalah antara yang membincangkannya dan mengharuskan pemindahan organ.

Oh ya, bukan semua organ pada badan kita boleh didermakan. Hanya organ yang sihat dan sesuai dengan penerima sahaja akan 'digunakan'. Malah, anda boleh memilih organ apa yang anda sanggup atau diizinkan untuk didermakan.

Setiap pengikrar derma organ akan diberikan satu kad khas yang ada dinyatakan jenis organ yang sedia untuk didermakan, jadi bukan semua organ yang ada di tubuh anda boleh dan layak didermakan.
Ramai blogger Malaysia telah menjadi dan berikrar sebagai penderma organ di Malaysia, termasuklah Ustaz Hasrizal pemilik blog SaifulIslam.com - "Saya melakukannya supaya kematian tidak mematikan saya."

Saya sudah berikrar, isteri juga sudah berikrar. Anda pula bagaimana? Mahu mendaftar sebagai penderma organ? Anda boleh lakukan dengan menghubungi:

Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur
1-800-88-9080 atau email ntrc@moh.gov.my

Boleh juga lawati laman web dan laman sosial berikut:
Saksikan sedikit persembahan visual video untuk berikan anda lebih kesan apa itu pendermaan organ dan maknanya kepada mereka yang memerlukan.


Sebaik menjadi manusia adalah menjadi manusia yang boleh memberikan manfaat kepada semua, walaupun setelah menghembuskan nafas terakhir. Anda memberikan 'kehidupan' atas ilham Allah S.W.T .... kepada mereka yang lain untuk meneruskan kehidupan.

Ebook - Pemindahan Organ dari Perspektif Islam (JAKIM)


Jadilah penderma organ, tiada apa yang perlu dirisaukan apabila anda telah berikrar untuk memberi. Sesungguhnya tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima.

In Sha Allah.



{ 9 comments.. read them below or add one }

Maria Firdz Maria Firdz March 28, 2014
nice info HH... tak ramai berani nk derma... tapi jika bdn mmg sihat walafiat, apa salahnya manfaatkan bersama... saham pahala juga tu...
HASRUL HASSAN HASRUL HASSAN March 28, 2014
Terima kasih. Saya menulis ni kerana permintaan pihak mereka sendiri .... sbb di Malaysia masih kurang orang nak derma organ.
Salam Yahya Salam Yahya March 28, 2014
sungguh besar pengorbanan mereka yang menderma organ.........saya salute bro HH
Mia Liana Mia Liana March 29, 2014
wahhh... terbaik ni.... HH..
Invisible Me Invisible Me March 30, 2014
Terbaik HH. Moga ramai dapat buat perkara yg sama.
Pokok Manggis Depan Rumah Pokok Manggis Depan Rumah March 31, 2014
Bagus jadi penderma organ macam ni..
zarulfarhana zarulfarhana March 31, 2014
pernah terniat... tapi perasaan takut tue still ada...
ain samadi ain samadi April 01, 2014
alhamdulillah sudah mendaftar juga semasa di sbb2014
Shafiq Shafiq April 01, 2014
HH pun dah daftar sebagai penderma organ? huhu ..

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact'. Terima kasih.