As-Salam.
Anda tahu bagaimana menguruskan jenazah? Tahukah anda bahawa menguruskan jenazah adalah mengikut keadaan jenazah. Seperti isteri HH ceritakan, kalau mayat itu seudah berkecai, atau hanya tinggal cebisan daging sahaja, selalunya pengurus mayat akan menggunakan tapis mengumpulkan segala cebisan daging dan tulang untuk dimandikan.
Manakala, seandainya mayat itu agak mudah rosak, mungkin dek kerana menjadi mangsa simbahan asid atau yang berkaitan yang menyebabkan dagingnya mudah terlerai dari badan, maka mayat tersebut akan dimandikan dengan hanya mengalirkan air mengikut jari secara perlahan. Dan bagi mengelakkan dari membuka aib si mati dan keluarga, boleh dilakukan terus sholat jenazah ketika air dilalukan.
Ini ada satu kisah benar, pengalaman dari 2 orang pengurus jenazah profesional daripada Darul Jenazah, Mohd. Yusni Ismail dan Nasharuddin Hassan.
Memetik daripada KOSMO!.
Kafankan Mayat Kerabat Yang Uzur
Tatkala diminta berkongsi pengalaman menguruskan jenazah uzur, kedua-dua pengurus jenazah profesional ini tidak keberatan untuk bercerita.
“Jangan salah sangka, cerita ini bukan untuk mengaibkan si mati, ia cuma perkongsian ilmu.
“Tidak lama dahulu, saya dan beberapa orang rakan dipanggil untuk menguruskan mayat seorang kerabat diraja.
“Menurut laporan bedah siasat daripada pakar forensik, jenazah telah meninggal dunia lebih kurang 12 hari akibat serangan jantung.
“Keadaan jenazah yang uzur cukup menyayat hati. Sudahlah ketika rohnya ditarik dia sendirian, sampaikan mayatnya busuk dan mereput pun tiada siapa yang tahu.
“Ketika diserahkan kepada kami, batang tubuhnya masih dihurung ulat berengga. Perutnya sudah tiada. Pastinya telah pecah dan habis dimakan oleh tikus dan ulat.
“Begitu juga dengan biji matanya. Kedua-duanya sudah tiada lagi.
“Apabila ingin memulakan urusan jenazah, saya lihat tiada apa lagi yang tinggal padanya kecuali kulit dan sedikit cebisan daging pada tulang,” cerita Yusni.
Tambahnya lagi, dalam keadaan mayat sebegini, baunya memang kuat malah boleh dihidu dari jarak di antara 300 hingga 500 meter.
“Seperti yang diterangkan pada awal tadi, untuk kes jenazah uzur, kami akan memandikan jenazah sama seperti jenazah yang normal tetapi perlu lebih teliti.
“Penggunaan serbuk cendana, air mawar, kapur barus, sabun, minyak atar, celak dan kain kapan juga sama seperti jenazah biasa.
“Cuma untuk jenazah uzur, mayat akan dibalut dengan plastik lut sinar terlebih dahulu sebelum dikafankan bagi mengelakkan cairan seperti darah daripada terkena kain kafan,” jelas Yusni lagi.
*p.s: Sekadar menambah pengetahuan sedia ada mengenai pengurusan jenazah. Urus jenazah adalah fardhu kifayah buat umat Islam.