Traveloka Banner

Melihat Sendiri Proses Cetak Quran Mushaf Malaysia di Nasyrul Quran

Anda pernah lihat dari dekat bagaimana kitab suci umat Islam, iaitu Al-Quran dicetak tak? Aha, kalau belum pernah, dan teringin mahu melihat sendiri proses percetakan Al-Quran itu dilakukan, bolehlah berkunjung ke Nasyrul Quran yang terletak di Putrajaya.

Nasyrul Quran adalah merupakan sebuah kompleks yang lengkap dengan ruang pameran, dewan penerangan dan juga kilang percetakan Al-Quran. Kompleks Nasyrul Quran ini adalah merupakan kilang percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia.

Nasyrul Quran - Pusat Percetakan Kedua Terbesar di Dunia

Melawat Nasyrul Quran - Pusat Percetakan Kedua Terbesar di Dunia
Saya sekeluarga berkesempatan untuk melawat ke Nasyrul Quran semasa kami bermalam singgah sebentar di Putrajaya.

Kompleks ini walaupun belum lengkap sepenuhnya, tetapi sudah berfungsi dan telah mula menerima kunjungan daripada orang ramai, termasuklah dari luar negara. Malah, beberapa penulis khat Quran daripada Mesir dan India turut berada di sini untuk projek percetakan Quran di negara masing-masing.

Kompleks ini cukup cantik. Jika anda masuk ke dalam, anda pasti akan terpesona dengan pelbagai khat bermotif yang diukir dan dilukis dengan ketelitian.

Untuk info, kompleks Nasyrul Quran ini berfungsi bukan hanya setakat sebagai pusat percetakan, bahkan sebagai pusat penyelidikan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan pengagihan al-Quran.
Ruang pameran dalam Nasyrul Quran Putrajaya
Saya bawa anak isteri saya ke Nasyrul Quran setelah mendengar cerita dari emak saudara isteri saya yang sebelum ini pernah ke sini bersama rombongan surau di tempatnya. Dari cerita tersebut, saya teringin nak lihat bagaimana proses cetak Al Quran itu dibuat, lebih-lebih lagi Al Quran mushaf Malaysia yang baru diperkenalkan.

Memang tak rugi bila ke sini.

Ketahui Proses Quran Dicetak di Nasyrul Quran

Di sini, saya, isteri dan anak-anak diberikan pendedahan bagaimana proses untuk menghasilkan cetakan senaskah al-Quran itu dari awal hingga akhir.

Anda boleh lihat menerusi ruang yang disediakan di dalam kompleks ini. Malah, kalau anda mengikuti rombongan khas yang diaturkan oleh pihak Nasyrul Quran, anda mungkin boleh melihat lebih dekat dan masuk ke dalam kilang percetakan itu sendiri.
Tahukah anda? Terdapat 10 langkah penting untuk proses pembuatan Al-Quran di kompleks ini.

Ia melibatkan pembangunan struktur dan motif, pengimbasan struktur dan motif menggunakan perisian AutoCAD, strategi pewarnaan dan lembaran diterap daun emas tulen.


Lambaran itu pula kemudian diwarnakan satu persatu oleh sekumpulan pewarna, manakala ayat Al-Quran disalin oleh para penulis khat.

Semasa saya melawat ke Nasyrul Quran ini, ada diperlihatkan dua orang penulis khat dari India dan Mesir sedang menyalin Al Quran, dengan menulisnya semula dalam satu lembaran yang cukup besar mengikut teknik khat negara masing-masing.

Penulis Khat/Al Quran dari India

Penulis khat, salin Al Quran dari India
Cara Al Quran disalin semula mengikut mushaf

Penulis Khat/Al Quran dari Mesir

Penulis khat dan Al Quran dari Mesir
Cara Al Quran dihasilkan di Nasyrul Quran Putrajaya


Cantik weihhh ... best boleh tengok secara berdepan bagaimana Quran itu disalin. Memang cukup teliti tu. Anak saya, Amri yang belajar di sekolah Tahfiz pun kagum.

Selepas Al Quran itu disalin dengan menggunkan seni khat tertentu, lembaran ayat- ayat Al-Quran kemudiannya disemak dan ditasbih.

Ia kemudiannya dihantar ke Bahagian Kawalan Penerbitan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri untuk pengesahan, pruf akhir (komputer) dan percetakan (ozalid) sebelum proses percetakan dilakuan di Kompleks Nasyrul Quran itu sendiri.
Nasyrul Quran Putrajaya - Pusat Percetakan Kedua Terbesar di Dunia
Nasyrul Quran Yayasan Restu Putrajaya - Pusat Percetakan Kedua Terbesar di Dunia
Mesin yang digunakan pula adalah mesin berteknologi tinggi. Malah, setiap kali cetakan dibuat, ianya akan disemak semula takut-takut tersilap atau tertinggal bahagian yang sepatutnya dicetak.

Di Kompleks Nasyrul Quran ini juga, anda akan lihat siri terbaik Al Quran Mushaf Malaysia. Ia dihasilkan dengan seni budaya Islam di Malaysia mengikut negeri. Ada ruang pameran khas untuk anda melihat mushaf Al Quran Malaysia ini, iaitu berhadapan dengan Kedai Restu di tingkat bawah kompleks utama.

Al Quran Mushaf Malaysia

Al Quran mushaf Malaysia
Erkk .. alamak .. tak cerita pula pasal kompleks ini ehh.

Ok.

Lokasi Kompleks Nasyrul Quran

Kompleks Nasyrul Quran terletak di Presint 14, Putrajaya. Tak susah nak mencarinya kerana kompleks ini cukup besar, dan biasanya ramai pengunjung dengan deretan bas pelancong parking di hadapan kompleks.

Tempat letak kereta di kompleks ini agak terhad, jadi pandai-pandailah mencari ye.

Kompleks ini terdiri dari dua bangunan. Satu bangunan pameran, jualan serta kedai menjual pelbagai produk Al-Quran. Satu lagi bangunan yang dihubungkan oleh satu 'jambatan' adalah letaknya kilang percetakan Al Quran kedua terbesar di dunia.

Bangunan utama adalah 3 tingkat. Untuk ke setiap tingkat, ada escalator disediakan. Bagi golongan warga emas dan OKU, ada lif disediakan pada setiap paras. Tangga juga disediakan.

Anda cuma boleh ke bangunan kedua menerusi tingkat atau paras terakhir di kompleks utama. Ini bermakna, anda perlu ke bahagian pameran berkaitan Al Quran dahulu sebelum dibenarkan untuk ke bahagian percetakan.

Sebelum ke bahagian pameran, ada dewan penerangan yang akan terangkan mengenai kompleks ini dan cara percetakan Al Quran dibuat. Malah, penerangan secara terperinci turut diberikan sebelum anda boleh melihat lebih dekat Al Quran itu dicetak menggunakan mesin di bangunan kedua kompleks ini.

Harga Tiket Masuk Nasyrul Quran

Tiada bayaran masuk dikenakan bila anda ke kompleks ini. Tetapi anda digalakkan untuk melakukan wakaf Al Quran yang disediakan kepada para pengunjung. Ia adalah cara untuk kita bantu sedara seagama kita di tempat lain untuk memperoleh dan membaca Al Quran.

Banyak lagi tempat umat Islam di dunia ini, terutama di mana Islam adalah minoriti yang tidak mendapat akses kepada nashkah Al Quran yang bermutu tinggi dan berkualiti.

Malah, anda juga turut menyumbang kepada penghasilan Al Quran mushaf Malaysia yang diusahakan oleh Yayasan Restu yang juga mentadbir Nasyrul Quran ini.

Kalau anda ke Putrajaya, rebut peluang untuk ke Kompleks Nasyrul Quran ini. In Sha Allah, banyak ilmu pengetahuan akan anda dapat semasa berada di sini.

Facebook Nasyrul Quran - https://www.facebook.com/nasyrulquranyrestu/



Advertisement

Rahsia Shopee

Post a Comment

2 Comments

  1. Pengalaman menakjubkan ni tuan.. SubhanaAllah. Dah la tak ada bayaran masuk dikenakan..

    ReplyDelete
  2. Bestnyaaa Tuan, satu pengalaman yang indah, lagi-lagi bawa anak.
    Selalu beli dah siap dan baca aje, tak tau cara membuatnya..
    One day saya pun nak ke sana juga melihat sendiri ..

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.