Awas dengan apa yang anda tulis, upload dan kongsi menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, mahupun Instagram. Dengan keseronokan berkongsi apa yang anda rasa di media sosial, anda sebenarnya membolehkan informasi mengenai diri anda serta yang berkaitan dibocorkan dan disalahguna dengan rela. Ada sahaja yang akan mempergunakan peluang itu untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Kita Tidak Tahu Niat Sebenar Pengguna Laman Sosial
Hati manusia siapa boleh tahu, walaupun di dunia nyata pun kita tidak tahu niat seseorang atas diri kita, apatah lagi dengan hati pengguna-pengguna laman sosial yang lain. Informasi diri seperti status perkahwinan, tempat kerja, jawatan, alamat tempat tinggal, lokasi anda pergi setiap hari, nama anak-anak, gambar rumah, gambar dalam rumah, gambar anak, jenis kenderaan anda pakai termasuklah bank-bank yang anda gunakan untuk urusan perniagaan boleh disalahguna oleh mereka yang bijak memanipulasi data dan informasi ini untuk tujuan tidak baik.
5 Perkongsian di Laman Sosial yang Mendatangkan Bahaya
Ok, mari saya simpulkan beberapa perkongsian menerusi laman sosial yang mungkin boleh memudaratkan dan membahayakan jika dikongsi secara meluas, apatah lagi seandainya ia menjadi viral dan berada dalam pengetahuan mereka yang berniat jahat ke atas diri anda.Berkongsi Gambar Anak-Anak Beserta Butiran Peribadi Mereka
Tidak salah berkongsi gambar anak-anak di laman sosial, tetapi awas - terkini terdapat satu perbuatan yang 'menculik' anak-anak anda secara maya. Mereka ambil gambar anak anda dan jadikan ia milik mereka. Paling teruk, ia dijadikan sumber untuk jenaka keterlaluan sehingga mengaibkan. Malah, ada kes di mana gambar anak-anak ini digunakan oleh orang lain untuk digunakan bagi meraih simpati kutipan derma (tanpa pengesahan). Terdapat juga laporan di mana gambar anak-anak digunakan untuk wujudkan page dan akaun sosial tertentu seperti Bayi Paling Hodoh dan sebagainya - ini adalah salah, dan ia merupakan salah satu dari jenayah buli siber.
Terdedah Bahaya Kepada Jadi Bahan Por_grafi
Gambar anak-anak yang diupload tanpa tapisan oleh ibu bapa juga boleh menjebakkan anak-anak ini kepada perbuatan tidak bertanggungjawab oleh mereka yang gila seks dan child por_grafi. Malah, baru-baru ini terdapat kes di mana gambar anak seorang pelakon telah dimuat-naik ke laman web luc_h tanpa disedari oleh ibubapa.Perkongsian Mengenai Masalah Rumahtangga
Elakkan dari memberitahu satu dunia mengenai masalah rumahtangga yang anda sedang alami. Mungkin tanpa sedar anda sebenarnya membuka aib pasangan anda. Apatah lagi jika anda seorang isteri dan wanita Muslim; si isteri boleh dianggap derhaka kepada suami jika bercerita mengenai 'kelemahan' si suami dalam urusan rumahtangga kepada umum, ia seperti membuka aib suaminya yang sangat-sangat dilarang dalam agama Islam.
Perkongsian Melampau Mengenai Kejayaan dan Kekayaan
Ada sesetengah mengatakan bahawa ini merupakan teknik pemasaran untuk menarik ramai menceburi sesebuah bisnes. Teknik ini sering kali digunakan oleh mereka yang terlibat dalam skim cepat kaya, MLM dan bisnes-bisnes online.
- Pertama - menjadi target untuk jenayah dilakukan seperti rompakan, pecah rumah, curi kenderaan dan sebagainya. Ini termasuklah membahayakan orang-orang yang tersayang dan keluarga.
- Kedua - disalahguna oleh pihak tertentu untuk menjerat orang lain dalam bisnes tidak sah, atau kata lain dalam penipuan bisnes online seperti skim cepat kaya, atau mempergunakan gambar dikongsikan untuk dijadikan modal bagi menarik perhatian pengguna lain melakukan jenayah seperti Keldai Dadah.
Mengulas Sesuatu Yang Tidak Ditapis
Ramai yang menggunakan laman sosial untuk meluahkan ketidakpuas hatian. Perbuatan ini mungkin dilihat untuk mendapatkan pembelaan ataupun simpati, namun ia juga boleh dijadikan alasan untuk anda dikenakan tindakan seperti tindakan undang-undang.Seorang pekerja berkongsi mengenai masalah dengan bosnya di pejabat. Dengan hanya klik Like dan Share oleh seseorang yang lain yang mungkin dikenali dan menjadi rakan kepada boss pekerja tersebut, maka kemungkinan besar status itu juga dilihat oleh boss pekerja itu dan akhirnya dijadikan alasan untuk tindakan tatatertib dikenakan, paling buruk .. pekerja itu mungkin dibuang kerja. Dan jika sikap itu diamalkan, pekerja itu mungkin susah nak dapat kerja di tempat lain kerana kecenderungan tersebut.
Ada pula yang suka mengulas sesuatu perkara yang diluar bidang pengetahuan dan kearifan. Tanpa sedar, status tersebut boleh mengundang salah faham dan menyebabkan informasi tidak benar dihebahkan sehingga menjatuhkan maruah dan kredibiliti orang lain - termasuklah organisasi. Apabila ini berlaku, seseorang dan sesebuah organisasi mungkin boleh menyaman dan mengenakan tindakan undang-undang atas apa yang telah dikongsikan itu.
Berkongsi Sesuatu Yang Menggugat Sensitiviti
Keghairahan berkongsi gambar nampaknya semakin menjadi menerusi laman Instagram, yang kemudian dimuat naik ke laman sosial lain terutama Facebook. Keghairahan ini sehingga melupakan akan sensitiviti masyarakat. Lihat apa yang berlaku kepada pelancong yang berkongsi gambar sedang berbogel di puncak Gunung Kinabalu. Pada mereka mungkin itu tidak salah, tetapi tidak buat penduduk setempat yang menganggap ia tempat suci.
Muat Naik dan Kongsi Gambar Mangsa Kemalangan
Satu lagi kes ialah perkongsian gambar-gambar kemalangan tanpa ditapis. Mungkin pada mereka yang upload gambar itu tidak beri kesan lansung, tetapi bayangkan kepada keluarga mangsa kemalangan tersebut, apatah lagi melibatkan kematian. Banyak kes yang telah berlaku dimana wakil keluarga mangsa-mangsa kemalangan maut memohon pihak yang upload gambar wajah kematian dan kemalangan waris mereka supaya memadam gambar tersebut kerana melibatkan hati perasaan dan sensitiviti. Namun, benda dah menjadi viral, sehingga sukar untuk dibendung.Kita Membuka Sesuatu Yang Selama Ini Kita Tutup Untuk Hidup Penuh Harmoni
Ini adalah hanya sebahagian daripada apa yang kebanyakkan kita lakukan menerusi laman sosial. Samada sedar atau tidak, apa yang kita buat adalah salah samada dari segi undang-undang mahupun moral. Aib dibuka seluas-luas alam, dan tanpa segan silu kita berasa seronok melakukannya setiap hari. Apatah lagi wujudnya laman-laman khas atau page tertentu yang membikin sesuatu perkara itu jadi lebih panas.Saya sendiri mengakui ada ketika saya juga melakukan perkara-perkara di atas. Makanya, blog post ini menjadi salah satu ingatan untuk diri saya sendiri dan berharap ia juga dijadikan iktibar dan peringatan untuk orang lain yang membaca dari awal sehingga habis.
Kita tidak terlepas daripada melakukan sesuatu perkara yang mungkin boleh memudaratkan samada diri kita mahupun orang lain. Adalah menjadi salah untuk kita memudaratkan diri kerana Allah S.W.T melarang kita melakukan kebinasaan atas diri sendiri.
Maka, di bulan mulia, Ramadhan ini mari kita insafi dan renungkan segala perkara yang kita lakukan menerusi laman sosial, samada telah, sedang atau mungkin akan berlaku di masa akan datang.
Sorong Papan Tarik Papan,
Buah Keranji Dalam Perahu,
Suruh Makan Kita Makan,
Status dikongsi Mudaratnya Tidak Kita Tahu ...
Banyak lagi perkara yang boleh membahayakan dengan perkongsian di laman sosial ini, cuba anda baca yang lainnya di sini - 8 Jenis Individu Yang Kongsikan Terlalu Banyak Informasi di Laman Sosial
Malah, di post berkenaan diberikan apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan menerusi laman sosial, termasuklah cara untuk mengelakkan sesuatu perkara tidak diingini dari berlaku.
Semoga bermanfaat.
harap ramai yang membaca entri ini akan dapat info yang sepatutnya. ramai yang suka share semuanya kepada public. mungkin sebab tak tau apa efek mereka berbuat demikian
ReplyDeletesetuju dengan perkongsian ini HH. sepatutnya perlu ada tapisan. Kita tidak kenal siapa musuh siapa kawan
ReplyDeleteYup.... bethati-hati agar ia tidak disalsjguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Beringat sebrlum kena. Saya pun mahu berhati-hati juga, lebih lagi berkaitan foto2 anak-anak.
ReplyDeletePost a Comment
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.