Kurikulum yang akan diperkenalkan pada tahun 2016 merupakan kurikulim KSSR yang telah disemak semula oleh pihak kementerian, yang difahamkan telah mengambil input dan maklum balas daripada guru-guru dan golongan pendidik di Malaysia.
Saya tak pasti samada anak saya sekarang yang sedang berada di tahun 4 Sekolah Permatang Tok Mahat, Penang terlibat dalam kurikulum baru ini. Namun berdasarkan maklumat yang saya peroleh dari bahagian kementerian, perlaksanaan KSSR akan melibatkan beberapa fasa.
Fasa KSSR
Ia akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran.Kurikulum baru ini adalah sejajar dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.
Saya difahamkan kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
UPSR Mansuh?
Mulai tahun 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.Jika anda ada baca perkongsian saya mengenai Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, anda akan sedia maklum akan perancangan teliti yang telah dibuat. Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian.
Video Penerangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah 2016 (KSSR)
Ok, jika anda kurang faham, boleh tonton video yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia ini.Semoga informasi ini bermanfaat buat semua bagi memastikan terutama ibu bapa memahami konsep KSSR seperti juga saya yang mahu tahu akan arah tuju pendidikan formal anak-anak saya kelak. Saya tidak mahu anak-anak saya ketinggalan dalam pelajaran dek kerana ketidak-fahaman saya sebagai bapa dalam hal pendidikan anak-anak di sekolah.
Seharusnya ibu bapa ambil tahu mengenai apa yang dipelajari oleh anak-anak supaya kita boleh sama-sama kembangkan ilmu pengetahuan yang anak-anak kita diajar di sekolah dengan persekitaran di rumah.
In Sha Allah, moga apa yang dihasratkan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah 2016 ini akan tercapai dengan jayanya, asalkan kita semua berganding bahu merealisasikannya.
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.