Pengalaman pertama setelah lebih 10 tahun. Ya, memang dah lama betul saya tak naik keretapi KTM. Sebelum ini, saya ada naik, tetapi komuter, jadi pengalaman kali ini sedikit berbeza. Mengapa? Sebab perjalanan saya menerusi KTM Intercity ini mengambil 6 jam masa perjalanan. Satu tempoh yang dikirakan agak memenatkan.
KTM Intercity - Parit Buntar Kl Sentral 8 Bandar Utama

8 Bandar Menerusi KTM Intercity

Tetapi, pengalaman menaiki keretapi KTM Intercity agak unik. Ini adalah kerana perjalanan saya merentas 8 buah bandar yang mempunyai keunikan sendiri. Bandar-bandar yang saya maksudkan itu ialah Parit Buntar, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Batu Gajah, Kampar, Tanjung Malim dan Kuala Lumpur. Saya menaiki Ekspress Rakyat yang merupakan keretapi ekspress yang telah lama ada, dan boleh dikatakan ia merupakan keretapi ekspress yang ada sejarah sendiri di negara ini.

Mengapa bandar-bandar tadi unik?

Taiping - Terkenal dengan lebih 10 perkara pertama dalam sejarah Malaysia. Di Taipinglah terdapatnya, Taman Rekreasi Pertama di Malaysia, Zoo pertama, tempat peranginan tanah tinggi pertama, malah pendaftaran kereta pertama di Malaysia juga bermula di Taiping. Di sini juga terdapat Muzium Keretapi, yang menempatkan gerabak pertama keretapi di Malaysia, serta menjadi lambang dan ikon bahawa di Taipinglah landasan keretapi pertama dibina.

Kuala Kangsar - Bandar Diraja Perak. Di sini bersemayam Sultan Perak, dan merupakan bandar yang mempunyai banyak kesan sejarah. Di Kuala Kangsar ada sekolah-sekolah bekas penjajah Inggeris seperti Malay College yang banyak melahirkan pemimpin zaman pra-kemerdekaan dan pasca-kemerdekaan. Di Kuala Kangsar juga ada tempat pembuatan Labu Sayong di Manong yang sangat terkenal.
Ipoh - Bandaraya yang dinamakan sempena nama Pokok Ipoh. Pokok Ipoh mempunyai getah atau damar beracun yang boleh membunuh. Ipoh merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri Perak yang mempunyai banyak tinggalan sejarah. Di Ipoh, anda boleh melihat banyak bangunan-bangunan cantik rekabentuk kolonial, termasuklah Stesen KTM itu sendiri. Di sini juga lahirnya kopi yang menjadi kebanggaan warganya - Ipoh White Coffee.

Batu Gajah - Tempat kelahiran saya. Di sini letaknya istana lama - Kellie's Castle yang penuh misteri. Kapal korek pertama juga terdapat di Batu Gajah dan antara kawasan di Perak yang mempunyai paling banyak bekas lombong tinggal. Di sini juga ada Bird's Sanctuary yang menjadi singgahan banyak burung yang bermigrasi.

Kampar - Ada sejarah tersendiri terutama ketika di zaman era penjajahan British dan antara lokasi panas bila disebut Bintang Tiga. Nama bandar ini diambil sempena nama bandar Kampar di Sumatera, Indonesia yang terkait akibat dari perniagaan tembakau dan tembikar tembaga satu ketika dahulu. Itulah sebab Perak antara negeri di Malaysia yang paling banyak mempunyai bahan tembaga seperti tepak sireh, penepung tawar, gong Kampar dan sebagainya. Di sini juga adalah tempat permulaan perpindahan masyarakat cina pelombong dari Pulau Pinang ke Perak.
Penumpang dalam KTM Intercity Ekspress Rakyat
Tanjung Malim - Merupakan bandar kelahiran pertama kereta nasional Malaysia - Proton Saga. Di sini juga terbinanya Universiti Pendidikan pertama di Malaysia iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sebelum ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris. Kini, terdapat sebuah muzium UPSI diwujudkan di mana tersimpan segala sejarah berkaitan pendidikan di Malaysia.

Perjalanan Serba Hijau

Perjalanan enam jam saya dijamukan dengan pemandangan serba hijau di kiri dan kanan landasan. Menerusi perjalanan dengan Ekspress Rakyat ini juga saya merasai pengalaman melintasi tengah Tasik Bukit Merah dan memasuki terowong keretapi yang baru disiapkan di Bukit Gantang.
8 Bandar Menerusi KTM Intercity
Intercity perjalanan ke utara dengan KTM Ekspress Rakyat ada jualan makanan di dalam gerabak dengan bantuan dua steward yang jelita yang akan sesekali menyusuri dari satu gerabak ke satu gerabak. Gerabak keretapi dilengkapi dengan kerusi boleh laras, penyaman udara serta ada tempat untuk mengecas bateri telefon bimbit.

Sayang sekali saya tidak berkesempatan untuk merakam banyak gambar perjalanan saya ini, tetapi in Sha Allah, berkemungkinan satu hari nanti.


Terbaru Lebih lama

Advertisement

Advertisement





CAPAI IMPIAN ANDA JADI KAYA BERJAYA!!

Impian Nak Jadi Founder Produk Jenama Sendiri? Nak Tahu Senarai Kilang yang Sediakan Produk OEM? Nak Belajar Tips Pasarkan Produk Sendiri? Segalanya Tersedia untuk Anda!! - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement