Klik Sini Untuk Tempahan Rujukan
Foto: Harmony Guru
As-Salam.
Kisah ini merupakan sambungan kepada cerita berikut: KLIK SINI.

Apa yang diceritakan jadikan pedoman, mana baik dijadikan ikutan, dan mana yang tidak berapa baik dijadikan sempadan.
Mak sangkakan bahawa anak-anak mak akan mencontohi jejak langkah pakcik dan makciknya (adik beradik aruah ayah), malangnya air mata mak mengalir lagi. Lesu hatinya memikirkan kesuraman hidupnya. Hanya air mata terus mengalir menemani mak.

"Opah! Opah!" "Assalamualaikum!" "Opah! Opah!" Hati mak tersentak. Sudah meninggi matahari rupanya. Segera mak menyeka air matanya daripada terus mengalir. "Hah..Kamarul masuklah"

Mak melihat dengan sayu kedatangan cucunya yang rajin menziarahnya itu. Ditangannya dibawanya bekas makanan yang dibawa dari rumah Halimah, anak sulungnya yang duduk jauhnya 3 lorong dari rumahnya itu.

"Apa khabar opah, ni ada mak buatkan lauk gulai masam tempoyak yang opah hendakkan semalam tu," Kamarul dengan segera menyalinkan bekas-bekas makanan yang dibawanya ke dalam pinggan.

"Kenapa mata opah merah? Opah menangis ke?" Kamarul mula merapati mak.

Hati mak tersentuh lagi. Air matanya terus mengalir. Kalau tidak kerana Halimah, anak sulungnya, sudah lama dia mati kelaparan di sini. Tapi apa boleh buat, Halimah kini milik Bakar, suaminya. Mak masih ingat lagi kerana maklah nyaris Halimah dan Bakar berbalah sampai nak jatuh talak. Mujurlah mak segera ambil tindakan segera balik semula ke rumahnya. Apakah malang nasibnya. Ada anak yang mengambil berat tentangnya, menantunya pula tak suka. Hiba.

Mak memandang jauh keluar jendela rumah. Entahlah kenapa sejak kebelakangan ini hatinya begitu mudah terusik. Kenapa sekarang memori kenangan silam begitu ligat berputar di dalam lingkaran otaknya. Kenapa sekarang barulah mak benar-benar mengalami kesunyian itu.

Kerisauan mak semakin ketara bila Kamarul memberitahunya bahawa Usu akan melahirkan anaknya bila-bila masa sahaja. Hati mak begitu teringin melihat cucunya. Cucu yang mungkin akan ditatapnya buat kali terakhir. Kali terakhir sebelum nafasnya terhenti. Hati mak meronta-ronta untuk menghubungi Usu. Bagaikan diseru, anak mak Angah Kamariah singgah ke rumah hari ini. Mak gembira bukan kepalang. Hatinya meminta agar Angah Kamariah dapat menelefon Usu. Mak teringin sangat untuk bercakap dengan Usu. Mak teringin untuk melihat cucu mak yang bakal lahir itu. Mak benar-benar kepingin.

"Mak jangan buat tabiat! Duduk ajelah kat rumah ni. Janganle nak gatal nak berjalan ke rumah Usu," bentak Kamariah. Mak tergamam. Air mata mak mengalir lagi.

"Aku bukan apa, aku teringin sangat jumpa Usu, sekurang-kurangnya kau tolonglah tekankan nombor telefon dia.biar aku yang cakap dengan dia.."rayu mak pada Angah Kamariah. "Hish.menyusah aje orang tua ni..tak faham-faham ke.orang kata tak nak! Tak nak le! Jangan pandai-pandai nak telefon Usu, karang menyusahkan dia aje. Malu orang tengok mak nanti," Hati mak semakin hiba. Terguris pilu yang tiada berdarah tetapi kepedihan itu amat memeritkan. Adakah semua anak-anaknya malu sebab beribukan seorang perempuan kampung sepertinya.

Hati mak semakin diruntuh dengan sebak yang amat mendalam. Dalam hati kecilnya terselit seribu penyesalan yang teramat sangat. Menyesal kerana melahirkan anak-anaknya selama ini. Menyesal mengandungkan kesemua anak-anaknya selama 9 bulan 2 minggu selama ini. Air mata mak mengalir lagi. Sebak di dadanya tiada ubatnya. Keruan hatinya semakin melarat. Kekecewaan bergelinang di lubuk hatinya.

Hati tuanya kian terusik. Pusara ayah diziarahinya. Batu sungai yang menjadi nisan persemadian ayah, mak dakap, mak peluk. Air matanya mengalir. Empangan air matanya sendiri tidak dapat menahan rasa sebak di hati ini. Air mata itu semakin deras mengalir. Pada siapa lagi yang boleh mak luahkan. Pada pusara ayahlah tempat mak mengadu segala rasa sebak di dadanya. Mak berharap agar roh ayah dapat melihat betapa deritanya hidup mak kini. Mak harap roh ayah dapat merasakan kelukaan di hati tuanya kini. Itulah harapan mak. Walaupun mak tahu apa yang mak buatkan ini seolah-olah menyalahkan takdir yang menentukan tapi mak terpaksa meluahkan kekusutan hati tuanya itu. Sebak dalam dadanya yang kian bersarang. Semakin deras air mata mak melepasi empangannya. Semakin lama semakin deras. Kesyahduan petang ini berhiaskan kesuraman ufuk kirmizi bagaikan berkabung dengan penderitaan yang mak alami. Kemerahan suasana suram ini bagaikan bermurung dengan semua kesayuan yang mak pendamkan di hati tuanya.

"Mak ke mana tadi?" jerkah Angah Kamariah sebaik sahaja mak menjejakkan kakinya di ambang pintu.

Hati mak semakin merekah kesedihan.

"Mak tak dengar ke apa yang saya tanya ni?" semakin kuat jerkahan Angah Kamariah.

"Kau tak boleh tanya aku dengan baik ke Angah? Kau ingat aku ni pekak ke? Kau tak tahu aku ni siapa yang kau nak jerkah-jerkah? Aku ni kan mak kau!" dalam hiba mak melepaskan segala yang terpendam di dalam dadanya. Perasaan ini tidak dapat ditahannya lagi.

"Angah tanya mak tu dari mana? Mak bukannya sihat lagi. Kalau berlaku apa-apa siapa yang susah. Angah juga yang susah. Cubalah dah tua-tua tu duduk kat rumah. Janganle gatal nak berjalan ke sana sini. Nanti siapa yang susah!"

"Apa yang kamu susahkan. Kalau aku mati lagi kamu suka. Bukan begitu?" Luahan mak bagaikan gunung berapi yang meletus. "Apa yang mak cakapkan ni?" pintas Angah.

"Kamu dulu masa kecil aku jaga, aku tatang tapi kamu layan aku macam aku ni orang gaji. Kamu ndak herdik ke? Ndak marah ke? Kamu ingat aku ni tak ada perasaan ke? Kamu ingat aku ni orang tua tumpul ke?" Air mata mak semakin tidak boleh disekat. Jelas di raut mukanya mak ingin melepaskan segala-galanya. Melepaskan apa yang terbuku di dalam sanubarinya selama ini. Biarlah Angah mengatakannya sebagai mengungkit segala kisah silam tapi itulah yang ingin dilafazkan oleh mak. Mak inginkan ketenangan dulu maka biarlah mak meluahkan kebukuan dihati tuanya ini.

"Mak.. Angah tak kata begitu, mak jangan salah sangka!" Angah bagaikan terpana dengan hirisan hati mak. Cetusan yang mak sampaikan bagaikan halilintar yang menyentak keperibadian Angah Kamariah. Angah Kamariah bagaikan cuba berselindung di balik tirai yang jarang. Menipu keadaan memaksa perasaan. "Selama ini aku bersusah payah membesarkan kamu semua. Pernah kamu berterima kasih dengan segala apa yang aku berikan!" cetusan mak semakin menyala.

"Pernah kamu bertanya tentang perasaan aku? Kesepian aku selepas ayah kamu pergi? Pernah kamu kisahkan semua itu?" Air mata mak tidak dapat dikekang lagi. Mengalir sekali lagi. Harapannya untuk kali yang terakhir untuk tumpah menimpa bumi. Melepaskan perasaan yang terbukam sepi dalam sendu hatinya.

"Kau buat aku macam abdi sahaja dalam rumah ni. dan semua anak-anak yang aku lahirkan semuanya sama. Mentang-mentanglah aku ni hanya perempuan kampung. Selama ini aku bangga dengan semua anak-anak aku. Semasa kecil aku tatang bagaikan minyak yang penuh. Habis barang kemas aku gadaikan demi pelajaran anak-anak aku. Tapi aku silap... aku sebenarnya telah melahirkan tuan kepada aku. Tuan besar yang menganggap aku ni hamba abdi mereka. Seolah aku ni tidak layak dipanggil mak. Aku tidak layak menyatakan syurga itu di bawah telapak kakiku,"

Ketenangan hati mak yang tergugat akhirnya goyah. Kesetian hati tuanya pada kesuraman jiwa dan perasaan akhirnya meledakkan sebuah perasaan yang menggentaskan sanubari. Mak rebah selepas itu. Angah Kamariah tergopoh gapah. Air mata Angah Kamariah jelas mengalir. Jelas dalam kesamaran. Antara kesedaran dan keinsafan. Angah Kamariah bagaikan terpukul melihatkan dalam rebah mak yang dilinangi air mata tuanya, riak mukanya bagaikan tersenyum. Tersenyum kerana semuanya telah berakhir.

"Mak!!!!!!!" Hanya itu sahajalah yang mampu Angah Kamariah lafazkan.

-Tamat-

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

  1. speechless.. hanya airmata yang bergenang tiap kali membaca kisah ibu tau ayah.. sayangi dan hargai mereka selagi ada nyawa kita.. gunakan akal yang di anugerah Allah sebaik mungkin, walau tidak menjadi orang besar, tapi merekalah yang tak pernah jemu menyayangi kita...

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.


Klik Sini
Previous Post Next Post

Advertisement


Bisnes Shopee

Advertisement


Mudah Kerja Dengan 176 Template COPYWRITING - The Story Selling! Ayat Padu Hanya Isi Tempat Kosong Sahaja!! KLIK SINI untuk DOWNLOAD

Tawaran Sertai Kelas Online SHOPEE. Free Ebook Diberikan.KLIK SINI. Guna Telegram.

Advertisement