Sejarah Takwim Hijrah Kalendar Islam

Tahukah anda akan sejarah bermulanya Kalendar Hijrah atau Takwim Hijrah? Saya sukacita ingin berkongsi ilmu dan pengetahuan ini bersama anda. Mungkin, anda pernah tahu dan pernah baca di mana-mana sebelum ini, maka entri ini sekadar untuk menambah mana yang perlu (jika ada) pada pemikiran anda semua yang sudah lebih tahu daripada saya.... erkkk ayat belit ular sawa betul ni .. hehehee

Sejarah Takwim Hijrah Kalendar Islam

Asal usul kalendar atau takwim hijrah dalam Islam
Secara ringkasnya, permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah atau disebut Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a.

Asbab Perutusan

Menurut satu riwayat, diceritakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan sepucuk surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar sebelumnya. Oleh kerana ketiadaan tarikh atau kalendar yang jelas dan boleh dirujuk dengan baik ketika itu, maka Saidina Umar r.a telah meminta untuk diadakan satu kalendar/takwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Pada ketika itu, tersangat banyak rujukan kalendar yang digunakan oleh bangsa Arab termasuklah Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah S.A.W untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar atau takwim Islam tersebut.

Apakah Peristiwa Besar Dijadikan Awal Bulan Islam?

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah S.A.W dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, beberapa kejayaan besar Islam telah dicapai termasuklah menumbangkan kerajaan Kisra, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.

Takwim Hijrah kekal digunakan sebagai kalendar Islam yang rasmi.

Infografik Takwim - Kalendar Hijrah Islam

Infografik takwim hijrah kalendar Islam

Dalam al-Quran ada disebutkan juga mengenai hal ini, yang mana telah dijadikan sebagai asas untuk penetapan jumlah bulan dalam takwim Islam yang dipelopori oleh Saidina Umar

At-Taubah: 36-37 yang bermaksud:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Semoga perkongsian ini memberikan sesuatu kepada anda, khususnya sebagai seorang Muslim. Dewasa ini, agak kurang dari kita yang gunapakai sistem kalendar Islam dalam kehidupan seharian. Mungkin, dengan apa yang telah dipaparkan ini, ada jihad untuk menggunakan sistem ini sebagai sistem utama pentarikhan dan penentuan hari serta tahun.

Boleh bermula dengan penentuan umur menggunakan sistem Hijrah... hehehe. In Sha Allah, ayat 36-37 At-Taubah boleh dijadikan dalil untuk menggunakan sistem takwim hijrah kalendar Islam ini, in Sha Allah.

Sumber: Wikipedia


Copywritting template

Post a Comment

1 Comments

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komenlah dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com