Semasa saya dan keluarga melawat Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya hari tu, saya telah mengetahui mengenai penghasilan al-Quran mushaf Malaysia yang cukup unik dan indah. Jadi, dalam post kali ini, saya nak kongsikan serba sedikit pengetahuan yang telah saya dapat mengenai mushaf al-Quran.

Saya juga akan kongsikan beberapa gambar kitab suci al-Quran mushaf Malaysia yang telah diusahakan. In Sha Allah, anda akan dapat serba sedikit pengetahuan mengenai al-Quran mushaf Malaysia ini, serta perkembangan Mushaf di rantau ini.

Al Quran Mushaf Malaysia di Nasyrul Quran, Putrajaya

Al Quran Mushaf Malaysia di Nasyrul Quran, Putrajaya
Sebagai umat Islam yang tinggal di Malaysia, seharusnya kena tahulah serba sedikit perkembangan percetakan dan kewujudan al-Quran mushaf Malaysia ni, ye tak? Hehehe... tu yang saya tulis blog post ini sebagai berkongsi fakta hangat mengenainya.

Tapi sebelum tu, mari singkap balik mengenai sejarah awal kewujudan mushaf al-Quran ini.

Sejarah Awal Mushaf

Sejarah awal perkembangan Mushaf Al-Quran
Al Quran diturunkan kepada Rasulullah S.A.W melalui malaikat Jibril a.s secara berperingkat dalam tempoh 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari. Kitab suci umat Islam ini sehingga sekarang telah melalui jalan berliku yang panjang dan sejarah tersebut perlu diketahui oleh seluruh umat Islam, terutama sekali umat Islam di nusantara ini.

Jelas, al-Quran ialah kitab suci terakhir yang sentiasa berada dalam jaminan dan pemeliharaan Allah S.W.T sehinggalah hari kiamat. Isi kandungannya tidak akan berubah atau diubah, apatah lagi diselewengkan dan dicampur-aduk dengan yang lain.

al-Quran cukup unik, tak ada yang seumpamanya di dunia. Malah, andai ada 1000 orang yang mahir dalam sastera dan penulisan arab sekalipun tidak dapat menghasilkan hatta sebaris ayat yang menyerupai ayat-ayat al-Quran.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud; "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Al-Hijr:9)
Saya nak kongsikan serab sedikit sejarah awal wujudnya Mushaf al-Quran. Ada banyak mushaf telah wujud sejak mulanya al-Quran itu dikumpulkan dalam bentuk tulisan.

Perkataan mushaf adalah berasal dari perkataan sahifah dan jamaknya saha’if, suhuf. Istilah mushaf merupakan perkataan bahasa arab yang secara harfiah bermaksud “kulit” iaitu kulit buku tetapi digunakan dalam konteks ini merujuk kepada senaskhah kitab al-Quran.

Terdapat tiga peringkat pengumpulan al-Quran iaitu sewaktu zaman Nabi Muhammmad S.A.W dan zaman khalifah Abu Bakar r.a serta khalifah Uthman r.a.

Pengumpulan al-Quran atau wahyu dari Allah pada zaman Nabi S.A.W berlaku melalui dua cara:
  • al Jam'u fis Sudur - mengumpul menerusi hafalan
  • al Jam'u fis Suthur - pengumpulan menerusi tulisan
Antara sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang paling banyak menulis wahyu  ialah Zaid bin Thabit r.a, Mu'awiyah bin Abi Sufyan r.a, Abdullah bin Mas'ud r.a dan Ali bin Abi Talib r.a.

Zaman Khalifah Abu Bakar r.a

Perang al-Yamamah yang berlaku pada tahun ke 12 Hijrah bagi menentang golongan yang murtad sejurus selepas kewafatan Rasullullah S.A.W menyebabkan lebih 70 orang sahabat yang menghafaz al-Quran telah gugur syahid.

Maka, pada waktu tersebut, saidina Umar r.a mencadangkan kepada khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a supaya al-Quran dikumpulkan secara bertulis. Jika tidak, wahyu Allah yang telah dihafal ramai para sahabat tentu tidak dapat disampaikan kepada orang lain. Saidina Abu Bakar r.a akur dengan keadaan yang berlaku dan bersetuju pengumpulan ayat-ayat al-Quran dikumpulkan.

Usaha pengumpulan itu telah diamanahkan oleh khalifah Abu Bakar r.a kepada Zaid bin Thabit r.a. Tugas Zaid r.a adalah untuk meneliti semula al-Quran yang pernah disalin di atas pelepah kurma, kepingan kayu, kulit, permukaan batu dan sebagainya termasuklah meneliti setiap hafalan para sahabat yang lainnya.

Hasilnya, al-Quran berjaya dikumpulkan secara lengkap di dalam sebuah mushaf. Mushaf al-Quran pertama itu disimpan oleh Saidina Abu Bakar r.a sehinggalah beliau wafat, yang kemudiannya pula disimpan oleh saidina Umar r.a dan seterusnya oleh Hafsah binti Umar r.a.

Zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a

Perluasan wilayah Kerajaan Islam yang berlaku pada zaman Saidina Uthman bin Affan r.a pada 30H telah membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan di kalangan umat Islam waktu itu.

Pertelingkahan adalah berpunca dari cara membaca sebahagian ayat-ayat al-Quran di negeri-negeri Islam ketika itu. Huzaifah Ibn al-Yaman r.a telah mencadangkan kepada saidina Uthman r.a agar penyalinan al-Quran dilaksanakan sekali lagi dengan melihat pada aspek qira'at (cara baca).

Pengumpulan dan penyalinan semula al-Quran ini berlaku pada tahun 25H dan telah diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. Beberapa nashkah telah disalin dan dihantar ke Basrah, Kufah, Syam, Madinah dan satu nashkah untuk khalifah Uthman bin Affan r.a.

Mushaf yang telah disalin semula dan diberikan kepada khalifah Uthman r.a ini dinamakan Mushaf al-Imam.

Dari permulaan inilah, al-Quran sentiasa disalin dan ditulis berdasarkan qiraat di negara atau negeri yang berbeza dengan maksud dan penafsirannya serupa. Sejak dari adanya al-Quran Mushaf al-Imam tersebut, muncullah banyak mushaf al-Quran lainnya, termasuklah al-Quran mushaf Malaysia.

Sejarah Mushaf Al Quran di Malaysia

Penulisan atau penyalinan al-Quran di nusantara dijangkakan telah bermula sekurangkurangnya sekitar akhir abad ke-13 Miladiah. Ia berlaku ketika Pasai iaitu suatu negeri yang terletak di hujung kepulauan Sumatera menjadi kerajaan pertama di nusantara Melayu yang memeluk Islam setelah pengislaman Sultan atau Raja mereka.

Walau bagaimanapun penulisan manuskrip ilmu-ilmu Islam yang menggunakan kertas di Asia Tenggara hanya bermula daripada abad ke-16 Miladiah dan kebanyakannya bermula di awal abad ke-19 Miladiah. Manakala manuskrip al-Quran yang sempurna pada aspek hiasan iluminasinya yang dijumpai setakat ini dipercayai dihasilkan pada abad ke-17 Miladiah.

Implikasi daripada kedatangan pedagang-pedagang Islam ke tanah Melayu yang membawa bersama kitab suci al-Quran mereka, proses penyalinan al-Quran telah diperbanyakkan salinannya melalui penulis tempatan.

Tradisi penyalinan al-Quran ini terus berlangsung hingga pertengahan atau akhir abad ke-19.

Setelah teknologi semakin berkembang, barulah ianya dicetak dengan menggunakan teknologi percetakan. Teknik dan cara salinan al-Quran menggunakan kaedah ini boleh anda saksikan sendiri di Kompleks Nasyrul Quran yang merupakan pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas di Madinah.

Tradisi penyalinan mushaf al-Quran berlaku secara meluas sehingga hari ini dan terdapat di beberapa pusat simpanan seperti di Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, kepulauan Maluku, Patani, Malaysia, Brunei dan sebagainya.

Foto Berkaitan Al-Quran Mushaf Malaysia

Al-Quran mushaf Malaysia
Al-Quran mushaf Malaysia
Al-Quran mushaf Malaysia
Al-Quran mushaf Malaysia
Al-Quran mushaf Malaysia

Kesimpulan

Perkembangan industri mushaf di Malaysia menjadi penanda aras bahawa kepelbagaian mushaf yang mempunyai kriteria hiasan dan tulisan khat yang cantik adalah satu pendekatan yang boleh menarik minat masyarakat untuk mendekati al-Quran seterusnya membaca, mentadabbur dan mengamalkan al-Quran.

Keberadaan mushaf al-Quran dan keunikan corak hiasan serta tulisan khat yang terukir padanya menjelaskan kekayaan seni tradisi Islam inilah yang menceritakan keistimewaan yang dimiliki oleh mushaf-mushaf al-Quran di Malaysia.

Kewujudan mushaf ini bukan sekadar corak tulisan wahyu bahkan ia menjadi rujukan golongan cendekiawan, seniman, karyawan dan sebagainya dalam mengangkat keindahan karya dan tradisi Islam.

Jika anda nak tahu lagi mengenai percetakan dan penerbitan al-Quran di nusantara khususnya kepelbagaian al-Quran Mushaf Malaysia, bolehlah singgah ke Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14 Putrajaya.

Masuk adalah percuma, dan saya galakkan anda untuk pergi secara berkumpulan atau join mana-mana kumpulan pelawat andai ke sini supaya informasi lebih baik berkaitan al-Quran dapat disampaikan lebih baik.

Rujukan Fakta: Kepelbagaian Mushaf Al-Quran di Malaysia Masakini

Post a Comment

Komen adalah tanggungjawab anda. Tertakluk pada Akta 588 SKMM. Untuk pengiklanan, boleh email ke editor@hasrulhassan.com.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement