RinggitPlus Banner

43 Tempat Menarik Langkawi Untuk Percutian Seisi Famili

AI Trade
Pulau Langkawi. Merancang nak ke Pulau Langkawi musim cuti ni ke? Pulau Langkawi memang banyak tempat menarik untuk dilawati. Saya yang dah beberapa kali pergi pun belum habis melawat kebanyakkan tempat menarik yang ada di Langkawi tu.

Saya pasti ramai yang Google mencari tempat menarik di Langkawi ni. Dulu pun, semasa saya bawa famili bercuti ke pulau ini, pasti akan Google untuk ketahui lokasi-lokasi tempat menarik yang ada banyak di Langkawi.

43 Tempat Menarik di Langkawi

Antara tarikan utama Pulau Langkawi adalah himpunan pulau-pulau dan pantainya yang cantik dan memukau. Ia bukan sahaja menjadi lokasi percutian terkenal untuk pelancong tempatan, malah kepada pelancong asing.
Tempat Menarik Mesti Pergi di Pulau Langkawi
Jika anda ke Pulau Langkawi, pasti tak sah kalau tidak mengambil peluang untuk mencuba aktiviti menaiki bot dari satu pulau ke pulau yang lain (island's hopping). Rugi kalau aktiviti ini tidak dimasukkan ke dalam itenari percutian anda ke Langkawi.

Aha ...

Bukan itu sahaja tarikan yang ada di Pulau Langkawi.

Selain aktiviti Island's Hopping yang saya cadangkan, ada beberapa lokasi pilihan lain yang mesti anda pergi andai bercuti ke pulau peranginan ini.

Ohh lupakan pasal shopping coklat, barangan fabrik, periuk belanga semua-semua tu ..

Nak shopping, kat tempat anda pun boleh shopping .. uhhh shopping online lagi .. huhu.

Ok. Jom kita lihat beberapa tempat menarik lain yang ada .. aha, ini termasuklah tempat makan best, pantai yang ada di Langkawi selain lokasi menarik yang tidak memerlukan anda keluarkan kos untuk menikmatinya.

Semoga anda menyukai tempat menarik di Langkawi yang dicadangkan ini:

1. Langkawi Wildlife Park & Bird Paradise

Hari tu, semasa saya dan keluarga bercuti ke Langkawi, saya ada bercerita pasal tempat ni. Memang saya syorkan anda pergi ke sini, lebih-lebih lagi kalau anda bercuti membawa anak-anak. Di Wildlife Park & Bird Paradise, anda dan anak-anak dibenarkan memberi makanan kepada haiwan-haiwan yang banyak terdapat di sini seperti rusa, rakun, arnab, landak, dan burung.
Rakun Wildlife Park Langkawi
Keluarga anda pasti seronok kerana dapat membelai arnab-arnab yang jinak dan bermanja dengan rakun jinak yang dilahirkan di situ.

Aktiviti memberi makan burung-burung kecil comel dari spesies Budgerigar satu kemestian jika anda ke sini. Ia akan menjadi pengalaman tidak dilupakan sambil menyaksikan 1500 ekor burung comel tersebut bebas berterbangan dalam taman berbumbung.
Bird Paradise Pulau Langkawi
Dengan keluasan 5 ekar, taman ini menempatkan 2500 ekor burung dari 150 spesis berbeza. Memang banyak tu .. sampaikan ada jenis burung yang tak pernah anda lihat.

Kerana ianya agak luas, maka ambil masa untuk berehat di beberapa tempat rehat disediakan dalam ni. Ada tempat makan tau dalam taman ni ... bolehlah berehat makan-makan, minum-minum sambil melihat haiwan dalam taman ini.

Di dalam taman ini juga ada air terjun buatan setinggi 15m. Sejukkk dan nyamannn je .. huhu.
  • Harga tiket: RM24 (dewasa), RM12 (kanak-kanak dan warga emas) - pemegang MyKad.
  • Alamat: Lot 1485, Kampung Belanga Pecah, Jalan Ayer Hangat, 07000 Langkawi, Kedah.
  • Waktu operasi: 8:30 pagi - 6:00 petang setiap hari
[Baca] Pengalaman Menyeronokkan di Wildlife Park & Bird Paradise Langkawi

2. Air Terjun Telaga Tujuh

Satu destinasi yang memang dah lama popular di Pulau Langkawi. Ia digelar Telaga Tujuh kerana di sini terdapat 7 buah telaga kecil yang menurut mitosnya menjadi tempat puteri-puteri kayangan bermandi-manda.

Air Terjun Telaga Tujuh (Seven Wells) merupakan rangkaian air terjun yang berasal dari tujuh mata air, mengalir ke tujuh telaga semula jadi. Curahan dari telaga pertama membentuk sebatang sungai kecil dan menerusi ke telaga yang lain.

Ia terletak di tebing Gunung Mat Chinchang menghala ke Teluk Burau. Air Terjun Telaga Tujuh setinggi 91 meter ini boleh didaki melalui 900 anak tangga curam sehingga bahagian pertama air terjun.

Kalau anda dengan keluarga sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki .. hehe.. tak lama, in Sha Allah, dalam masa antara 45 minit sehingga sejam sampailah ke puncak air terjun ni. Anda akan sampai ke satu lokasi unik dan memang popular di kalangan pelancong luar negara.

Cuma, sukacita nak diingatkan, laluannya mungkin agak sukar bagi sesetengah individu yang baru atau tidak biasa dengan cabaran seperti ini.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Telaga Harbour Park, 07000 Langkawi, Kedah

3. Galeria Perdana

Galeria Perdana
Satu lagi lokasi mesti pergi kalau anda bercuti ke Pulau Langkawi. Di sinilah anda boleh melihat pelbagai jenis sumbangan yang telah diterima oleh Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memegang jawatan dalam kerajaan iaitu Tun Mahathir.

Sumbangan diterima oleh Perdana Menteri ke-4 Malaysia ini bukanlah sedikit. Segala anugerah, cenderahati dan hadiah yang diterima dari pemimpin-pemimpin dalam dan luar negara oleh Tun telah diabadikan di dalam muzium ini.

Tanpa perlu ke luar negara, anda boleh melihat kesenian dan kebudayaan unik yang tercetak pada setiap pemberian tersebut.

Minat kesenian .. inilah tempat yang wajar anda pergi. Berbaloi dengan harga tiket yang perlu anda bayar.
  • Harga tiket: RM5 (dewasa), RM2 (kanak-kanak), RM3 (pelajar IPT); RM10 (warga asing dewasa), RM4 (warga asing kanak-kanak)
  • Alamat: Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 8:30 pagi - 5:30 petang setiap hari

[Baca] Kagum Melihat Koleksi Hadiah Tun M di Galeria Perdana

4. Panorama Langkawi SkyCab @ Langkawi Cable Car

Panorama Oriental Village Langkawi
Pergilah ke Panorama Oriental Village. Di sinilah anda boleh merasai menaiki Langkawi SkyCab @ Langkawi Cable Car.

Anda pasti kagum melihat keindahan dan kecantikan alam semulajadi dari ketinggian 708 m di atas paras laut! Lupakan soal gayat .. anda perlu cuba menaiki kereta kabel di sini. Saya jamin, ia akan menjadi pengalaman yang 'menghantui' anda sepanjang usia .. haha.

Dari kereta kabel, anda sekeluarga akan menyaksikan panorama indah hutan, gunung dan pulau sekitarnya.
Langkawi SkyCab @ Langkawi Cable Car
Jangan lupa bergambar bila berada dalam kereta kabel. Ini caranya anda membawa kenangan mahal ini untuk tatapan di masa hadapan.

Di samping itu, terdapat juga aktiviti lain termasuk SkyRex, SkyDome,SkyBridge, SkyTrail dan SkyGlide. Jadi, anda bukan sahaja melakukan satu aktiviti di sini tetapi lebih 6 aktiviti dalam satu tempat! Cukup menarik bukan?
  • Harga tiket: RM30 - RM55 seorang (normal) dan RM90 - RM105 seorang (express Lane) Pakej-pakej lain juga disediakan.
  • Alamat: Cable Car Station, Oriental Village, Burau Bay, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 10:00 pagi - 7:00 petang (Isnin-Khamis), 9:30 pagi -7:00 petang (Jumaat-Ahad)
[Baca] Oriental Village - Mesti Pergi Jika ke Pulau Langkawi

5. Muzium 3D Langkawi (Art in Paradise Langkawi)

Anda patut berbangga mempunyai muzium 3D kedua terbesar di dunia yang berada di Langkawi. Tak perlu nak ke luar negara untuk merasai keunikan, kerana di Malaysia sendiri ada tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong dunia.

Jika bercuti ke Langkawi, anda bawalah keluarga anda merasai permainan ilusi optik menerusi lukisan dan mural 3D di 3D Art in Paradise ini.

Pastikan kamera anda punyai ruang yang cukup besar untuk merekodkan pengalaman di muzium 3D ini yang pernah dikunjungi Perdana Menteri Tun Mahathir ini. Anda mungkin terkejut apabila dapat tahu .. paling tidak mesti lebih 100 gambar dirakam hanya dalam muzium ini sahaja.
Tun Mahathir di Muzium 3D
Oh ya. Untuk yang tidak tahu, muzium ini berada di dalam Oriental Village. Jadi, tak perlu pergi jauh untuk merasai keseronokan bercuti di Langkawi. Paling tidak, mesti setengah hari berada di sini. 
  • Harga tiket: RM30 (dewasa), RM20 (kanak-kanak), RM38 (warga asing dewasa), RM28 (warga asing kanak-kanak).
  • Alamat: Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 9:00 pagi - 6:00 petang (Isnin-Jumaat), 9:30 pagi - 6:30 petang (hari cuti)
[Rujuk] https://artinparadise.com.my/

6. Buffalo Park

Unik. Kalau anda ke Pulau Langkawi, pergilah ke Buffalo Park yang menjadi pengeluar utama keju Mozarella terbaik di rantau ini.

Hah? Pengeluar keju? Ya. Jangan terkejut. Itu sebab anda kena pergi tempat menarik ini.

Tempat ini memang cantik, hijau je sejauh mata memandang. Menyaksikan hijau hamparan padi dengan kira-kira 100 ekor kerbau, pasti satu pengalaman menarik kepada mereka yang jarang atau tidak pernah menyaksikannya sebelum ini.

Di sini jugalah anda boleh mendapatkan keju Mozarella yang diperbuat daripada susu kerbau selain yogurt dan aiskrim pelbagai perisa, segar dari ladang. Terdapat juga aktiviti menunggang kerbau serta kafe yang menyajikan hidangan termasuk daging kerbau.
  • Harga tiket: RM3 (MyKad), RM5 (warga asing)
  • Alamat: Jalan Nyior Chabang, Kampung Nyior Chabang, 07000 Langkawi.
  • Waktu Operasi: 9:00 pagi -5:00 petang (Sabtu-Khamis)

7. Langkawi Mangrove Tour

Telusuri sungai dengan bot sambil menyaksikan keindahan flora dan fauna di kawasan berkeluasan 100 km persegi. Anda juga dibawa ke lokasi-lokasi lain seperti Gua Kelawar, ladang ikan, Gua Buaya, memberi makan kepada helang, dan sebagainya mengikut pakej.

Saya tak pernah lagi mengikuti Langkawi Mangrove Tour ini, tetapi anak-anak saya pernah pergi mengikut adik ipar saya.

Kata anak-anak saya, memang seronok ambil pakej ni .. boleh bagi ikan pari makan kat tangan! Ikan pari tu 'naik' ke darat weihhh ... pastu tengok helang diberi makan, jalan masuk gua .. dan macam-macam lagilah. Walaupun dah lebih 2 tahun anak-anak saya rasai pengalaman tu, sampai sekarang masih dok bercerita.
  • Harga tiket: Mengikut jenis pakej, bermula RM150 satu bot.
  • Alamat: Jetty Kilim, Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu operasi: 9:00 pagi - 5:00 petang setiap hari.

8. Taman Agroteknologi Mardi

Makan buah-buahan secara percuma dan menyewa tapak prkhemahan bersama keluarga adalah aktiviti yang anda boleh lakukan di sini. Ada lebih 20 jenis pokok buah-buahan tempatan termasuk pulasan, buah naga dan belimbing.
  • Harga tiket: RM7 (dewasa), RM3 (kanak-kanak); RM25 (warga asing dewasa), RM10 (warga asing kanak-kanak).
  • Alamat: Jalan Padang Gaong, Taman Harmoni, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu operasi: 8:30 pagi - 5:00 petang (Sabtu-Khamis)

9. Underwater World Langkawi

Peguin Underwater World Langkawi
Ikan Cantik di Akuarium Terbesar Underwater World Langkawi
Sharks Underwater World Langkawi
Jika anda menempah penginapan di zon Pantai Cenang, memang tak sah kalau tak pergi ke Underwater World Langkawi ini. Anak-anak mesti seronok masuk ke sini. Ia antara lokasi menarik di Pulau Langkawi yang sentiasa mendapat kunjungan ramai.

Akuarium terbesar di Malaysia ini (60,000 kaki persegi) memuatkan lebih 500 spesies haiwan laut termasuk penguin, jerung, dan arapaima Amazon gergasi. Ia meliputi 4000 haiwan laut dan pelbagai jenis batu karang.

Tarikan juga meliputi terowong dalam air sepanjang 15m, teater 3D dan galeri hidupan liar bagi tujuan pendidikan.
  • Harga tiket: RM36 (dewasa), RM26 (Kanak-kanak); RM46 (warga asing dewasa), RM36 (warga asing kanak-kanak).
  • Alamat: Zon Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu operasi: 10:00 pagi - 6:00 petang (Isnin-Jumaat), 9:30 pagi - 6:30 petang (hari cuti)

10. Pantai Cenang

Dikatakan pantai paling sibuk di Pulau Langkawi. Ini kerana terdapat banyak restoran, kedai-kedai cenderamata dan kedai-kedai bebas cukai di sini. Malah, ia antara tempat paling happening di waktu malam. Ada pertunjukkan tarian api dan muzik live .. aha .. yang bestnya, anda boleh tengok secara percuma sambil lepak tepi pantai.

Pantainya yang cantik pula menjadikan ia tempat pilihan pelancong untuk bersantai dan merakamkan memori percutian mereka.

Tambahan pula, jaraknya hanya 10 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Langkawi. Di sini juga terletaknya resort dan hotel untuk kemudahan tempat tinggal bagi pelancong serta tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.

Kalau saya dan famili bercuti ke Langkawi dan mahu menginap di zon Pantai Cenang ni, kami akan menempah Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) Langkawi. Ia merupakan banglo yang mengadap laut, cuma bayar RM132 untuk jenis Suite 2 bilik.

RPP Langkawi ni merupakan kemudahan penginapan dengan harga berpatutan untuk kakitangan awam. Ada banyak RPP di Malaysia ni. Kalau anda ada ahli keluarga yang kerja kerajaan, bolehlah buat tempahan secara online.

[Baca] Tempahan RPP 2018 Dibuka Untuk Kakitangan Awam

11. Pulau Payar Marine Park

Ia adalah lokasi snorkelling dan menyelam yang terkenal. Hidupan laut termasuk batu karang yang cantik dijaga dengan baik bagi mengekalkan kewujudannya.

Walaupun tiada penempatan di sini, pihak pengurusan tetap menyediakan meja perkelahan, alatan BBQ, gazebo dan tandas sebagai kemudahan kepada pengunjung.
  • Harga tiket: RM120 - RM200
  • Alamat: No.6 Kampong Bendang Baru, Kuah Langkawi, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu operasi: Dibuka 24 jam setiap hari
Cubalah, luaskan aktiviti percutian di Pulau Langkawi yang sememangnya kaya dengan jumlah pulau-pulau kecil lainnya. Kalau di masa akan datang anda nak ke Langkawi, ambillah pakej ke Pulau Payar Marine Park. Sekali je seumur hidup percutian ke sini .. hehe

[Baca] Pakej Lawatan Tempat Menarik di Langkawi - Harga Murah Berbaloi

12. Kilim Karst Geoforest Park

Dengan keluasan 100 kilometer persegi, Kilim Geoforest Park terkenal dengan pantainya yang bersih, hutan paya bakau serta bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun! Wow ...

Jaraknya hanya 5 minit pemanduan dari pantai Tanjung Rhu yang sememangnya sudah dikenali mempunyai pemandangan yang cantik.
The whole area is administered and protected by the Peninsular Malaysia Forestry Department. It is part of the larger Langkawi Geopark and one of the biggest hot spots of Eco tourism in the entire region.  
Selain pohon-pohon hijau, air yang jernih, pantai yang bersih, banyak haiwan liar ditemui di sini termasuk pelbagai jenis burung seperti helang dan burung raja udang. Pengunjung dapat menelusuri sungai dengan perkhidmatan bot yang disediakan untuk menikmati pemandangan sekitarnya.
  • Alamat: 3 kilometer Timur Laut Pantai Tanjung Rhu
  • Harga lawatan menaiki bot: RM200 – RM500 untuk sebuah bot

13. Tanjung Rhu

Anda tahu tak? Pernah watak lelaki dalam sebuah drama bersiri antarabangsa pernah memuji watak wanita dalam salah satu sirinya dengan mengumpamakan kecantikannya seperti matahari terbit di Tanjung Rhu.

Jadi, Tanjung Rhu adalah tempat menarik yang mesti pergi kalau anda ke Pulau Langkawi, apatah lagi kalau anda bawa anak-anak untuk menikmati keindahan pantai yang cantik.

Airnya sejernih kristal, pasirnya putih dan halus, sunyi dan tenang. Itulah tarikan utamanya. Apa yang ada di sekelilingnya adalah hiasan untuk menyerikan lagi kecantikan aslinya. Anda dan keluarga mesti akan rasa seronok bersantai di pantai Tanjung Rhu.

Oh ya, jangan lupa untuk mencuba salah satu makanan tempatan yang terkenal di Tanjung Rhu ini iaitu mee gulung.

Lokasi Tanjung Rhu adalah selepas Pantai Pasir Hitam.

14. Taman Buaya - Crocodile Adventureland Langkawi

Suka dengan spesies reptilia ini tak? Aha kat Crocodile Advertureland Langkawi ini ada lebih 4000 ekor buaya yang ditempatkan di dalam taman seluas 20 ekar. Perghhh memang cukup banyak tu.

Kalau nak tahu, kat sini ada beberapa spesies buaya terbesar iaitu Buaya Tembaga, di samping Buaya Siam dan banyak lagi.

Apa yang menarik selain tengok buaya?

Kalau ke sini, anda sebagai pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan buaya, memancing buaya, memberi makan kepada buaya, dan pelbagai lagi termasuk pusat pendidikan yang memberi maklumat kepada pengunjung mengenai buaya.
  • Harga tiket: RM18 (dewasa) dan RM12 (kanak-kanak) *Harga tidak termasuk aktiviti. Pakej juga disediakan yang merangkumi aktiviti dan makanan.
  • Alamat: Jalan Datai, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi
  • Waktu operasi: 9:00 pagi – 6:00 petang setiap hari

15. Beras Terbakar di Padang Matsirat

Beras Terbakar Padang Matsirat
Tahu pasal Lagenda Mahsuri tak? Aha, nama Beras Terbakar merupakan lokasi bersejarah yang didakwa ada kaitan dengan Sumpah Mahsuri dalam lagenda terkenal Pulau Langkawi.

Terletak di Padang Matsirat, di mana pada tahun 1821, telah berlaku peperangan di antara Siam dengan Langkawi. Kesan peperangan itulah ada di sini, iaitu Beras Terbakar ini.

Ketika itu, Padang Matsirat adalah kawasan yang mempunyai banyak sawah padi berbanding kawasan lain di Pulau Langkawi. Ia menjadi sumber keperluan utama penduduk di pulau itu. Jadi, semasa peperangan tersebut, bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan musuh, penduduk diarahkan untuk mengumpulkan semua padi dan membakar beras yang mereka ada.

Kesan Beras Terbakar boleh anda lihat di perkarangan rumah Ku Halim Bin Ku Hassan, Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat. Ia diletakkan dalam bekas kaca, malah ada tapak asal beras terbakar di situ yang boleh anda lihat.
Rumah Ku Halim Bin Ku Hassan - Beras Terbakar Langkawi
  • Harga tiket: Percuma
  • Alamat: Kediaman Ku Halim Bin Ku Hassan, Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat
  • Waktu operasi: 9:00 pagi – 6:00 petang setiap hari
Oh ya, Padang Matsirat juga merupakan tempat shopping cenderamata seperti kain pelekat, kain batik, fridge magnet, buah-buahan, minyak gamat dan macam-macam lagi. Harga berpatutan, malah kalau anda pandai tawar-menawar .. boleh dapat harga yang berbaloi untuk dibawa pulang.

[Baca] Beras Terbakar Padang Matsirat - Tempat Menarik Untuk Shopping Cenderamata Harga Murah

16. Skytrex Adventure Langkawi

Jika anda pernah ke Skytrex Shah Alam, ini adalah cawangan mereka di Langkawi. Skytrex Langkawi terletak di Burau Bay. Mereka yang sukakan cabaran boleh menguji kecekapan diri mereka di sini.

Malah, kanak-kanak bermula usia 12 tahun juga dibenarkan untuk menyertai aktiviti di Skytrex Langkawi. Walaupun begitu, mereka yang berusia 17 tahun dan ke bawah memerlukan kehadiran ibu bapa.

Dengan aktiviti mencapai 30 meter dari tanah, di celah-celah hutan, kekuatan fizikal dan mental  diuji semasa anda berdiri, berjalan, memanjat, dan bergayut. Pengunjung disyorkan untuk membuat tempahan awal kerana ia sering dikunjungi ramai terutama mereka yang sukakan aktiviti lasak.
  • Harga tiket: RM53 (Little Legend Adventure), RM64 (Eagle Thrill), RM75 (Island Extreme) *Harga istimewa kepada yang membuat tempahan dalam talian.
  • Alamat: Barat Laut Langkawi, berhampiran Burau Bay
  • Waktu operasi: 9:00 pagi – 3 petang setiap hari

17. Pantai Pasir Tengkorak (Sandy Skull Beach)

Pantai Cantik di Langkawi
Nak berehat dan bersantai dengan keluarga? Aha .. Pantar Pasir Tengkorak adalah tempat menarik untuk tujuan itu. Walaupun nama macam seram-seram sikit .. tapi pantai ini memang best.

Untuk info, nama seram tempat ini diperolehi daripada sebuah legenda di mana anak-anak kapal ditemui mati lemas selepas ribut besar. Tengkorak mereka banyak terdampar di tepi pantai sehingga memberi nama kepada pantai yang mempunyai pasir putih dan air jernih ini.

Hanya 4km dari timur Teluk Datai, Pantai Pasir Tengkorak merupakan pantai yang paling sesuai untuk berehat. Ia amat sesuai untuk bermandi-manda, berkhemah dan juga trekking. Bagi pelancong asing, inilah tempat yang menjadi pilihan untuk berjemur....huhu.

Di sini juga terdapat pembentukan batu yang menarik berusia lebih 500 juta tahun!

Ramai pelancong yang dah pergi ke pantai ini menyamakan keindahan tempat ini dengan sebuah pulau indah di Thailand.

Nak ke sini cari je Hutan Lipur Pasir Tengkorak. Ok?

18. Pantai Pasir Hitam (Black Sand Beach)

Pantai ini mendapat namanya kerana ada habuk atau debu berwarna hitam yang bercampur dengan pasirnya. Ia antara pantai di dunia yang berpasir hitam, tersenarai unik dengan pantai-pantai pasir hitam terkenal lain seperti di California, Amerika Syarikat dan juga di Filipina.

Walaupun begitu, dari mana asalnya debu hitam itu sehingga menjadikan pantai ini berpasir hitam tidaklah dapat dipastikan. Ada yang dakwa ada kisah mistik di sebalik warna hitam pasir pantai ini.

Pun begitu, walaupun pantai ini tidak 'secantik' pantai-pantai lain di Langkawi, ia tetap menjadi pantai yang menjadi pilihan tempat menarik dan tempat hiburan untuk seluruh keluarga.

Ada taman permainan untuk kanak-kanak, ada bot untuk aktiviti bot, ada gerai menjual makanan ringan sesuai untuk berkelah, dan kedai-kedai yang menjual pakaian, cenderamata dan sebagainya.
Ini juga lokasi sesuai untuk mereka yang suka memancing.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Jalan Teluk Yu (20 km dari Bandar Kuah)

19. Pantai Teluk Yu

Ia tidak jauh dari Pantai Pasir Hitam dan boleh dikatakan merupakan sambungan kepada Pantai Pasir Hitam tapi tanpa pasir hitam... hehe .. pelik kan? Boleh dikatakan bersebelahan je, tapi di Pantai Teluk Yu, pasirnya berwarna putih perang macam pantai lain.

Anak-anak mesti akan rasa pelik bila tahu pasal ni.

Pantai Teluk Yu ni tak luas mana, jajarannya pun pendek je. Panjangnya cuma 200 meter sahaja. Lari 100 meter dua kali ulang-alik .. dah habis teroka pantai ni .. haha.

Tapi di sinilah tempat menarik yang ada pantai yang amat sesuai untuk bermandi-manda serta berkelah dengan keluarga. Kawasan ini dipanggil Taman Awam Teluk Yu. Ada banyak pokok kelapa di sepanjang pantai ini, yang membuatkan laluan pejalan kaki di sini redup.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Jalan Teluk Yu (bertentangan dengan Kompleks Kraf Budaya)

20. Pantai Tengah

Pantai Tengah Pulau Langkawi
Tidak jauh dari Pantai Cenang, ada sebuah lagi pantai yang indah yang juga merupakan sambungan kepada Pantai Cenang. Pantainya yang panjang menjadi tempat banyak resort dan hotel yang terkemuka.

Antaranya adalah Ambong-Ambong, Resorts World Langkawi, The Frangipani Langkawi Resort, La Pari-Pari dan Villa Del Porto. Ini kawasan yang paling sesuai untuk berehat.

Lokasi ini ada banyak spa dan tempat urut.

Hendak mendapatkan perkhidmatan ke pulau-pulau dan lawatan ke hutan paya bakau juga mudah dari sini.

21. Air Terjun Durian Perangin

Durian Perangin ialah air terjun setinggi 14 tingkat! Ya, 14 tingkat di mana anda dapat melihat 14 kolam air terjun yang bersih dan jernih airnya.

Airnya turun dari gunung tertinggi di Pulau Langkawi iaitu Gunung Raya. Anda akan menyaksikan keindahan flora dan fauna semasa berjalan kaki untuk sampai ke air terjun.

Sesuai dengan nama air terjun ini, anda akan dapat lihat banyak pokok durian di sini. Untung besar kalau anda ke sini semasa bercuti ketika musim buah durian luruh.

Air Terjun Durian Perangin menyediakan tempat letak kereta, gerai-gerai menjual makanan/minuman dan gazebo untuk kemudahan pengunjung. Ia menjadi antara tempat menarik dilawati seisi keluarga samada oleh penduduk tempatan mahupun pelancong.

22. Air Terjun Temurun

Air terjun tertinggi di Pulau Langkawi ini mempunyai ketinggian kira-kira 200 meter. Ia meliputi 3 tingkat air terjun yang mana air terjun pada puncaknya adalah setinggi kira-kira 30 meter.

Keindahan unik yang ada pada Air Terjun Temurun ialah batu syal dan batu pasirnya yang berusia 500 juta tahun! Air Terjun Temurun terletak di Gunung Mat Cincang.

Lokasi tempat ini adalah 42km dari bandar Kuah.

23. Dataran Lang (Langkawi Eagle Square)

Tak sah kalau tak bergambar di lokasi ini. Salah satu tempat menarik di Langkawi yang pertama akan dilihat oleh ramai pelancong jika masuk mengikuti jeti feri Kuah. Di sinilah letaknya arca helang gergasi berwarna coklat kemerahan dengan ketinggian mencecah 12 meter.

Dataran Helang adalah mercu tanda bagi Pulau Langkawi. Nama Langkawi itu sendiri merupakan gabungan Helang (Lang) dan Kawi (coklat kemerahan).

Samada anda baru tiba atau mahu pulang, tempat ini pasti akan disinggahi. Kalau tak singgah tu, mungkin anda dah pernah bergambar kenangan dengan arca burung helang di situ .. huhu.

24. Oriental Village Langkawi

Ohh saya terlupa nak bercerita mengenai Oriental Village Langkawi ini. Di sinilah tempat di mana anda dapat akses kepada Panorama Langkawi SkyCab serta Langkawi Cable Car, ia juga laluan untuk ke 3D Art in Paradise.

Ia juga merupakan tempat yang sesuai untuk mendapatkan cenderamata unik yang bertemakan Pulau Langkawi. Tempat menarik ini lebih dikenali sebagai kompleks beli belah terbuka di kalangan penduduk di sini.
Oriental Village Langkawi
Di sini juga anda boleh menikmati aiskrim gulung, selain menonton wayang 6D dan bermain dengan arnab jinak di Animal Farm.

Ada tasik besar di tengah-tengah tempat ini. Anda boleh memberi makan ikan yang banyak terdapat di dalam tasik ini.

Anak-anak pasti suka.

Selain itu, boleh juga mencuba aktiviti ATV dan juga mencuba Duck Tour - Kenderaan amphibia yang boleh menjadi sebuah kapal.
  • Tiket: Percuma
  • Lokasi: Burau Bay 

25. Langkawi Sky Bridge

Langkawi Sky Bridge
Satu lagi mercu tanda Pulau Langkawi. Jika anda mahu ke Langkawi Sky Bridge ini, anda perlu menaiki kereta kabel. Tiada bayaran masuk untuk ke Sky Bridge ini kecuali bayaran menaiki Sky Cable.

Sky Bridge ini sepanjang 410 kaki. Ia merupakan sebuah jambatan yang merentangi gunung.  Jambatan ini dibina secara melengkung di atas Gunung Mat Cincang. Pemandangan dari sini memang menakjubkan.

Jadi, anda berada pada ketinggian kira-kira 2300 kaki dari aras laut. Sejuk tempat ini (berbanding tempat lain) terutama di waktu pagi dan juga selepas hujan.
Langkawi Sky Bridge and Sky Cable
Ambillah gambar atau video kenangan bila berada di sini, ia pasti satu pengalaman yang akan diingati. Jika anda bersama keluarga, anak-anak pasti seronok kerana dapat berada di tempat tinggi, di atas gunung.

Oh ya, apabila berada di Sky Bridge ini, jagalah kebersihan ya ... jangan sesekali buang sampah merata-rata. Untuk info tambahan, anda dilarang membawa minuman atau makanan daripada bawah. Usah risau kerana di Sky Bridge terdapat gerai menjual air dan juga makanan ringan.

26. Elephant Adventure

Tidak ramai yang mengetahui ada gajah di Pulau Langkawi. Apa lagi peluang untuk menunggangnya. Gajah bernama Lasah telah dibawa masuk ke Pulau Langkawi pada tahun 2006.

Ia kemudian memberikan khidmatnya kepada mereka yang mahu merasai pengalaman menunggang gajah. Malah, Lasah juga pernah terlibat dalam filem antarabangsa iaitu Anna & The King.

Ada 3 pakej disediakan kepada pengunjung iaitu Ride Adventure on Elephant, Elephant Fun Ride, dan Geopark / Jungle Adventure. Pakej-pakej ini memberikan anda peluang menunggang gajah di dalam hutan, memberi makan kepada gajah dan melalui sungai bersama gajah.
  • Alamat: Lot 529, Jalan Tujuh, Oriental Village, Burau Bay, 07000 Langkawi
  • Waktu operasi: 10:00 pagi – 6:00 petang setiap hari
  • Harga Pakej: RM240 (Fun Ride), RM370 (Geopark), RM420 (River Adventure)


27. Gunung Raya

Gunung Raya adalah gunung tertinggi di Langkawi pada ketinggian 881 meter. Ia berkeluasan 5000 hektar dan di dalamnya penuh dengan flora dan fauna yang menakjubkan.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin dapat bertemu dengan burung enggang yang boleh mencapai panjang sehingga 1.3 meter.

Gunung yang menempatkan hutan hujan ini sudah tentu menjadi pilihan kepada mereka yang suka mendaki dan mendamaikan jiwa dengan alam semulajadi. Dari puncaknya, anda dapat melihat Laut Andaman dan juga Thailand!

28. Gunung Mat Cincang

Dengan ketinggian 850 meter, ia menjadi gunung kedua tertinggi selepas Gunung Raya. Sebagaimana indahnya pemandangan di Gunung Raya, begitu juga dengan Gunung Mat Cincang.

Kerana itulah ia menjadi tempat untuk aktiviti menaiki kereta kabel yang terkenal di Langkawi. Pemandangannya yang menakjubkan memukau pengunjung yang menaiki kereta kabel dari ketinggian 709 meter dari aras laut.

Di sini juga letaknya Sky Bridge. Gunung Mat Cincang berjiran dengan Gunung Raya.

Ada kisah menarik mengenai dua gunung ini, yang akan saya ceritakan nanti di post yang lain. Jika nak tahu, pastikan anda langgan blog ini secara percuma dengan memasukkan email anda di ruangan yang telah disediakan (lihat sidebar/bawah post).

Kerana nama dua gunung inilah, kebanyakan tempat di Pulau Langkawi mendapat nama. Menarik bukan?

29. Telaga Harbour Marina

Telaga Harbour Marina
Pelabuhan dengan pangkalan khas tempat kapal layar ini mempunyai keluasan 27 ekar. Tempat yang asalnya sebuah perkampungan nelayan telah dibangunkan menjadi ruang mewah untuk kapal-kapal layar.

Di sini juga terletaknya restoran-restoran masakan antarabangsa seperti masakan Jepun, Itali dan Rusia. Jadi, Telaga Harbour Marina cukup terkenal di kalangan pelancong asing.

Ada juga bank, dan juga masjid berdekatan.

Kedudukannya yang berhadapan dengan lautan luas menjadikan ia sebuah tempat yang menarik dan sibuk terutama pada waktu malam.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Pantai Kok

30. Makam Mahsuri

Anak-anak saya cukup suka dengan kisah Mahsuri ini. Kisah Mahsuri merupakan kisah lagenda terkenal yang berasal dari Langkawi. Siapa yang bercuti ke Langkawi patut tahu akan kisah ini.

Mahsuri binti Pandak Maya adalah seorang wanita yang cantik dan lemah lembut serta taat kepada suaminya. Kerana kejelitaan dan kecantikannya, beliau disayangi oleh suaminya, malah disenangi penduduk kampung.

Namun, kejelitaan yang ada pada Mahsuri dan rasa sayang suaminya yang menebal telah membuatkan ibu mertuanya merasa cemburu. Beliau menjadi mangsa fitnah atas rasa cemburu ibu mertuanya sendiri yang menuduhnya berzina dengan lelaki lain semasa suaminya pergi berperang.

Akibat tuduhan dan fitnah itu, Mahsuri telah diseret untuk diadili oleh orang kampung yang tidak tahu kisah sebenar.

Mahsuri kemudian dihakimi dengan tidak adil oleh penduduk kampungnya dan dihukum bunuh.

Semasa tombak mengenai tubuhnya, darah putih mengalir daripada tubuhnya, seperti menandakan yang beliau tidak bersalah, dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya adalah berdasarkan fitnah semata-mata.

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafas terakhirnya, wanita jelita ini telah menyumpah Langkawi supaya tidak kekal aman dan akan jadi huru-hara dan penuh masalah untuk selama tujuh keturunan.

Samada ia memang akibat sumpahan atau merupakan satu kebetulan, tidak lama kemudian, Siam menyerang Langkawi. Sejak itu, kehidupan penduduk di Langkawi tidak pernah aman dan sering dilanda masalah dan bencana.

Kini, makam mahsuri iaitu lokasi di mana Mahsuri dibunuh telah dijadikan lokasi bersejarah. Ia menjadi tempat menarik yang dikunjungi ramai orang terutama mereka yang mahu mendalami kesan penjajahan Siam dan sejarah serta kebudayaan penduduk Pulau Langkawi.
  • Tiket: RM7 dewasa, RM3.50 kanak-kanak
  • Alamat: Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka

31. Nusantara Gamat

Nusantara Gamat Pengusaha Terbesar Minyak Gamat Langkawi
Gamat bukan nama asing bagi rakyat tempatan di Langkawi. Biasanya ia dijadikan minyak mengubat luka dan kini mulai berkembang sebagai produk kecantikan dan kesihatan.

Jika anda ke Langkawi, anda patut singgah ke perusahaan memproses Gamat ini. Nusantara Gamat adalah syarikat memproses Gamat paling besar di Langkawi, diasaskan oleh sepasang suami isteri.

Nak tengok bagaimana Gamat diproses menjadi pelbagai produk kesihatan dan kecantikan, memang wajar anda ke sini.
Nusantara Gamat Kilang
Ramai pelancong datang ke sini untuk mengenali dan mempelajari bagaimana proses menghasilkan minyak gamat dilakukan selain membeli produk mereka. Terdapat bilik pameran disediakan dengan kemudahan termasuk tandas, surau dan kafe.

Nak borong minyak Gamat dan mendapatkan beberapa produk unik hasil Gamat, bolehlah dapatkan di Nusantara Gamat ini.

Di sini juga ada replika botol Minyak Gamat yang boleh dijadikan sebagai latar menarik untuk bergambar.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Lot 3042, Kg Mata Ayer, Jalan Bayas, Mukim Ulu Melaka
  • Waktu operasi: Isnin – Sabtu (8:30 pagi – 5:30 petang), Ahad (8:30 pagi – 7:00 malam)

32. Kompleks Kraf Langkawi

Ini tempat yang digemari pelancong kerana di dalamnya ada pelbagai produk kraf tempatan seperti ukiran kayu, batik, anyaman dan seramik.

Ada tiga bahagian di dalamnya yang mempunyai fungsi masing-masing. One Stop Center disediakan khas untuk usahawan kraf tempatan menjual produk kraf mereka di sini.

Di dalam kompleks ini ada dua muzium iaitu Muzium Adat Istiadat Perkahwinan dan Muzium Warisan. Kalau nak bawa keluarga mengenali budaya dan kaum di Malaysia, bolehlah bawa ke kompleks ini.

Selain itu, ada aktiviti yang boleh disertai. Aktiviti Interaktif Kraf disediakan untuk pelancong yang mahu mencuba mencanting batik, mendirikan keris dan menyumpit.
  • Tiket: RM10 (tempatan), RM15 (pelancong asing)
  • Alamat: Teluk Yu, Mukim Bohor
  • Waktu operasi: 10:00 pagi - 6:00 petang setiap hari

33. Laman Padi Langkawi

Beberapa sawah padi, taman-taman herba, galeri dan muzium berkaitan padi. Lawatan ke kompleks yang besar ini amat sesuai bagi mereka yang meminati bidang pertanian.

Lebih-lebih lagi jika anda mendapatkan lawatan berpandu dari Laman Padi. Anda dijamin akan pulang dengan ilmu penuh di dada.

Ia mungkin bukan untuk semua orang tetapi amat berbaloi kepada mereka yang benar-benar meminatinya. Kira-kira 2 jam lawatan berpandu memberikan anda ilmu tentang menanam padi secara tradisional.

Anda juga akan dibawa ke sawah padi dan muzium yang menyimpan sejarah padi. Laman Padi juga mempunyai dua buah restoran yang dikelilingi pepohon hijau bagi menamatkan penerokaan ilmiah anda.
  • Tiket: Percuma
  • Alamat: Laman Padi, Pantai Cenang, Mukim Kedawang
  • Waktu operasi: 10:00 pagi - 6:00 petang setiap hari
Saya dan keluarga belum ada kesempatan untuk ke Laman Padi ini lagi, walaupun pernah anak-anak saya mengajak untuk ke sini. Selalu saya akan miss tempat ini dalam itenari percutian Pulau Langkawi.

34. Rumah Terbalik Langkawi (Langkawi Upside Down House)



Ada beberapa rumah terbalik di Malaysia. Tapi rumah terbalik di Langkawi ini merupakan yang terbesar di Asia dengan ketinggian 5 tingakt. Wow .. jenuh nak jelajah kalau masuk ke sini.

Saya masih belum ada kesempatan lagi untuk pergi. Ramai kata berbaloi untuk masuk ke Langkawi Upside Down House ini.

Rekabentuk rumahnya menarik, siap dengan laman yang cantik. Ia juga mempunyai restoran dan kedai cenderahati yang terbalik. Sesuatu yang tak ada di rumah-rumah terbalik lain di Malaysia.
  • Tiket: RM18 (dewasa), RM12 (kanak-kanak), RM25 (pelancong asing)
  • Alamat: Kampung Bayas, Jalan Padang Matsirat, Ulu Melaka, 07000 Langkawi
  • Waktu operasi: 9:00 pagi - 9:00 malam setiap hari

35. Believe Langkawi

Muzium 5D ini ialah muzium pertama yang seumpamanya di Malaysia. Tujuannya adalah untuk menguji deria bau, rasa, dengar, lihat dan sentuh sebagai salah satu satu cara mempelajari perkara baru.

Muzium ini mempunyai pelbagai karya seni termasuk lukisan, kraf 3D, seni cetak dan arca pelbagai tema. Pengunjung disyorkan untuk datang ke sini dan alami sendiri pengalaman ini.
  • Alamat: Lot No. FF 2 & FF 3, Phase 1, Langkawi Fair Shopping Mall, Kuah, 07000 Langkawi
  • Harga Tiket: RM20 (dewasa), RM15 (kanak-kanak dan warga emas), RM60 (pakej keluarga)

36. Herbwalk Langkawi

Berminat nak tahu berkaitan herba? Herbawalk adalah lokasi menarik yang wajar anda pergi kalau bercuti ke Pulau Langkawi. Bila anda ke Herbwalk, maksudnya anda mahu mempelajari tentang lebih daripada 500 spesis tumbuh-tumbuhan yang digunakan bagi tujuan perubatan.

Anda dijamin pulang dengan ilmu yang dikongsi oleh Dr Abdul Ghani Hussain atau lebih dikenali sebagai Dr Ghani. Dr Ghani merupakan seorang pengamal perubatan yang sudah menetap di Langkawi selama lebih 30 tahun! Memang banyak pengalaman doktor ini mengenai herba.

Sekarang, beliau lebih tumpukan kajiannya dalam perubatan tradisional Melayu dan perubatan Islam.

Waktu operasi Herbawalk Langkawi adalah dari 9:00 pagi – 11 pagi setiap hari kecuali ketiadaan Dr Ghani.

37. Island Horses

Mereka yang mahu menunggang kuda, dijemput datang ke Island Horses. Apa yang menarik mengenai menunggang kuda di sini adalah anda mempunyai beberapa pilihan lokasi menunggang termasuk pantai, hutan dan pergunungan/perkampungan.

Ini pasti suatu pengalaman menunggang yang berbeza daripada kebiasaannya. Island Horses bukan sebarang lokasi. Mereka turut memiliki pusat ekuestrian yang dinamakan Perdana Stables.
  • Tiket: RM60 (Fun Ride selama 30 minit), RM240 (Beach Rides selama 1 – 2 jam), RM240 (Jungle Rides selama 1 – 2 jam), RM440 (Mountain Trail)
  • Alamat: The Perdana Stables, Air terjun Telaga Tujuh, 07000 Langkawi
  • Waktu operasi (menunggang): 7:00 pagi – 11:00 pagi,  4:00 petang – 6:00 petang setiap hari

38. Taman Lagenda

Taman Lagenda mempunyai landskap yang sangat indah. Pohon-pohon hijau dan 4 buah tasik dan pantai buatan menjadikan ia lokasi perkelahan pilihan penduduk tempatan dan pelancong asing.

50 hektar laman dihias dengan tema kisah-kisah lagenda atau kisah rakyat di Langkawi. 17 monumen indah disesuaikan dengan kisah gergasi, raksasa yang jahat, burung mistik, dan puteri-puteri yang rupawan.

Antaranya adalah kisah terkenal Mahsuri dan dua gergasi iaitu Mat Chincang dan Raya. Setiap kisah ditulis pada batu untuk bacaan dan pengetahuan pengunjung.
  • Alamat: Bersebelahan Dataran Lang dan Jeti Kuah
  • Waktu operasi: 9:00 pagi – 7:00 malam setiap hari

39. Taman CHOGM (CHOGM Park)

Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel telah diadakan di Langkawi pada bulan Oktober 1989.
Taman CHOGM ini dibina bagi memperingati peristiwa tersebut. Delegasi dari pelbagai negara itu telah menanam pelbagai jenis pokok di taman awam ini dengan setiap satunya ditandakan dengan nama negara yang diwakili.

Taman yang berkeluasan 10 ekar ini dihias dengan pepohon landskap untuk menjadikannya sebuah taman yang indah. Terdapat sebuah monumen yang dibina berpandukan logo CHOGM.

Suatu ketika dulu, bendera-bendera negara Komanwel diletakkan di situ.

Ketika saya masih belajar di universiti, Taman CHOGM dan Taman Lagenda adalah antara tempat menarik untuk bergambar kenangan. Waktu itu, tiada lagi Sky Bridge, Sky Cable mahupun Kilim Geopark.

40. Pulau Beras Basah

Pulau Beras Basah Antara Tempat Menarik Langkawi



Island Hopping adalah antara aktiviti wajib buat jika bercuti ke Pulau Langkawi. Jika anda terlibat dengan aktiviti island hopping ini, anda sudah pasti akan dibawa ke Pulau Beras Basah ini.

Ia sebuah pulau yang mempunyai pantai yang cantik tanpa diganggu gugat dengan pembangunan.
 Hanya biru lautnya, pasir putihnya dan pepohon hijau. Di sini juga tiada penempatan kecuali kumpulan monyet-monyet liar. Awas monyet-monyet ini suka mencuri barang tetamu pulau. Maka, ini bukan pulau untuk anda bermalam.
Pulau Beras Basah Tempat Menarik Langkawi
Tapi, ia lokasi terbaik untuk anda mandi-manda, menaiki banana boat, parasail, dan menunggang jet-ski.

41. Pulau Dayang Bunting

Tasik Pulau Dayang Bunting
Selain Pulau Beras Basah, Pulau Dayang Bunting juga bukan pulau yang berpenghuni. Ia mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai wanita hamil.

Ia mengambil masa 15 minit dari jeti untuk mendaki ke tasik yang paling digemari pelancong di pulau ini. Ramai pelancong tidak melepaskan peluang untuk mandi di tasik dengan kedalaman 10 meter dan dikelilingi hutan bakau dan batu kapur.

Kerana ia terlalu dalam, mereka yang tidak mahir berenang dan kanak-kanak disyorkan untuk memakai jaket keselamatan. Mereka yang suka jungle trekking pula boleh cuba meneroka hutannya.

42. Pasar Malam Langkawi

Pasar Malam bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Ia ada di seluruh negara dan dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia adalah antara keunikan budaya masyarakat di rantau ini.

Apa yang menarik mengenai pasar malam adalah barangan dan makanan tempatan yang dijual. Jika anda mahu ke Pasar Malam di Langkawi, berikut adalah lokasi dan masanya:
  • Pasar Malam Ulu Melaka
    • Lokasi: Ulu Melaka, Jalan Padang Matsirat
    • Waktu Operasi: Isnin (6pm -10pm)
  • Pasar Malam Padang Matsirat
    • Lokasi: Tempat Letak Kereta Beras Terbakar, Padang Matsirat
    • Waktu Operasi: Ahad (6pm – 10pm)
  • Pasar Malam Air Hangat
    • Lokasi: Berdekatan Bulatan Simpang 4, Ayer Hangat
    • Waktu Operasi: Jumaat (6pm – 10pm)
  • Pasar Malam Padang Wahid
    • Lokasi: Simpang Tiga Dimat / Padang Wahid
    • Waktu Operasi: Selasa (6pm – 10pm)
  • Pasar Malam Kuah
    • Lokasi: Depan Hotel Baron, Kuah
    • Waktu Operasi: Sabtu dan Rabu (6pm – 10pm)

43. Idaman Suri dan HIG Langkawi

Hmm .. tak lupa dua tempat menarik kalau nak shopping di Langkawi .. iaitu Idaman Suri dan juga HIG Langkawi. Dua-dua lokasi ini berada di pekan Kuah.

Jika nak mudah, anda menginaplah di HIG Hotel. Hotel ini pun bagus dan selesa. Ia bersebelahan dengan Kompleks HIG Langkawi, malah terdapat kedai-kedai cenderamata, bazar dan kedai makan di hadapan hotel ini.

Kali terakhir saya ke Langkawi bersama keluarga, kami memang menginap di hotel ini. Anda boleh tempah hotel ini dengan harga murah menerusi aplikasi Agoda mahupun Traveloka. Jika tak dapat carian harga penginapan termurah, cuba gunakan Booking.com.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberikan panduan berguna kepada anda yang nak pergi bercuti ke Pulau Langkawi.

Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan anda ye ... dan LIKE FB blog ini untuk berikan semangat untuk saya berkongsi lebih banyak kisah percutian dan tempat menarik.

Advertisement

Rahsia Shopee

Post a Comment

6 Comments

  1. banyak tempat menarik di Langkawi saja. seronok bercuti bersama keluarga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul ... ada je benda baru kat Langkawi ni. Biasalah tempat percutian happening mesti nak kena ada benda baru. Tak puas lagi nak ke Langkawi, in Sha Allah akan pergi lagi.

      Delete
  2. rindunya langkawi antara tempat yang best utk dilawati dan shoping hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang best kalau pergi langkawi dengan bajet mewah. Leh shopping macam-macam tapi jangan lupa, tak boleh bawa balik banyak sangat barang .. hehe

      Delete
  3. banyaknyaa tempat boleh lawat di sana..")

    ReplyDelete
  4. Banyak sebenarnya tempat-tempat menarik dekat Langkawi ni ye. Kita tahu dua tiga tempat je. yang lebihnya pasal shopping

    ReplyDelete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.