Kantoi Tak Puasa

Kantoi dah tak puasa. Aduhai ... sekali masuk ke dapur, nampak bukti-bukti ada insan yang tak puasa. Siapa la agaknya. Tinggal kesan je.

Anak-anak memang perlu diasuh sejak awal untuk hormati bulan Ramadan. Kalau boleh, kena didik mereka sebelum di bangku sekolah supaya selesa dengan ibadah puasa di dalam bulan Ramadan.

Ahh Sudah .. Kan Dah Kantoi Tak Puasa..

Kantoi Tak Puasa
Kantoi Tak Puasa

Anak-anak saya memang didedahkan dengan amalan berpuasa di bulan Ramadan ni. Mereka dah diasuh sejak tadika lagi supaya boleh tunaikan ibadah ini tanpa rasa beban. Awal-awal lagi saya dan isteri akan cuba minta anak-anak berpuasa penuh setiap kali bulan Ramadan datang.

Cara paling mudah untuk mereka rasa seronok berpuasa ialah dengan memberikan ganjaran selepas tamat puasa bulan Ramadan.

Tapi itulah, bila dah semakin membesar dan boleh berfikir ni, ada je alasan mereka untuk berbuka puasa lebih awal. Terutama di waktu sekolah yang ada jadual yang panjang, ditambah pula dengan sekolah petang untuk KAFA.

Rasanya di bulan puasa ini, dah beberapa kali kot anak-anak saya ponteng kelas KAFA di waktu petang. Tak larat nak sambung pergi ke sekolah balik, selepas pulang jam 1:30 petang. Kelas KAFA di bulan puasa bermula dari jam 2:30 petang sampai jam 5:00 petang

Ada jugalah dimarahi tetapi kadang kesian juga sebab balik sekolah dah nampak tersangat penat. Tak sampai hati nak paksa dalam keadaan begitu. Jadi, apabila mereka minta izin untuk berbuka puasa lebih awal, saya akan cuba lengahkan seboleh mungkin...tapi dengan syarat-syarat tertentulah. Ehh mana boleh ponteng puasa sesuka hati tanpa penalti, ye tak?

Anak kita, tahulah setakat mana kemampuan.

Pun begitu, dah beberapa tahun anak-anak saya yang masih berada di tahun 2 dan tahun 4 berpuasa penuh. Alhamdulillah.

Sebenarnya tak ada istilah kantoi tak puasa pun untuk anak-anak saya ni. Mereka kalau tak larat nak puasa, in Sha Allah akan minta izin dan berikan sebab untuk berbuka.

Ajari Perkara Ditegah Ketika Tak Puasa

Paling penting, ibadah itu telah dimulai dengan baik. Tahu perkara-perkara ditegah bila tak puasa.

  • Jangan makan di tempat awam.
  • Jangan makan atau minum depan orang sedang berpuasa.
  • Tahu adab ketika waktu berbuka, hormati orang lain yang berpuasa.
  • Jika nak makan, minta izin dahulu.

Selalunya anak-anak saya andai tak puasa penuh, mereka akan berada di ruang dapur. Di situlah tempat 'bersemayam' kalau tak dapat nak puasa. Memang jaranglah nak tunjuk mereka tak puasa, apatah lagi pada Opah mereka yang tinggal bersama dengan kami sekeluarga.

Yang bagusnya, kalau Angah tak puasa, belum tentu si Kakak akan ikut tak puasa. Begitulah sebaliknya. Sesekali je mereka berdua tak puasa sama-sama.

Dan bila mereka ni tak puasa, mereka akan rajin buat kerja dalam rumah dan bantu saya serta isteri melakukan kerja-kerja rumah.

Tak puasa sebab tak larat, tapi jangan pula tinggalkan sholat - itu nasihat saya bila mereka rasa nak kantoikan puasa mereka hari tu.

Post a Comment

0 Comments