Apa Maksud Hibah Tabung Haji? Kenapa Marah Bila Cara Kira Hibah Berbeza?

AI Trade
Ohh rupanya ada isu berkaitan pemberian Hibah atau Bonus oleh Tabung Haji untuk tahun kewangan 2017 ye. Ish ish ish .. TH dah bagi Hibah sebanyak 6.25% (untuk yang belum pergi haji) pun dah sangat baik dah. Cuma simpan sendiri, belum tentu boleh dapat pulangan keuntungan sebegitu, apatah lagi dalam bentuk Hibah. Jadinya, apa maksud Hibah Tabung Haji ini?

Ramai yang tak tahu apa maksud istilah Hibah yang diguna-pakai oleh Tabung Haji. Jika sebelum ini kita biasa dengan perkataan dividen, tetapi kali ini istilah Hibah digunakan. Ia satu istilah dalam kewangan Islam. Jika nak tahu mendalam pasal benda ni, anda kena mengajilah ye pasal kewangan Islam.

Apa Maksud Hibah Tabung Haji?

Apa Maksud Hibah Tabung Haji?
Namun, untuk maksud yang mudah diterima oleh rakyat marhein macam saya dan anda, bolehlah lihat apa yang ingin saya kongsikan mengenai apa maksud Hibah .. dalam konteks ini, Hibah Tabung Haji. Kena faham maksud, baru kita sedar sejauh mana ilmu kita dalam mahu memberikan komen mengenai isu Hibah Tabung Haji untuk tahun kewangan 2017.

Ok. Saya pertama kali dengar perkataan Hibah ini daripada salah seorang sahabat sekolah lama saya, yang jalankan perkhidmatan menguruskan pusaka dan wasiat. Jadi, walaupun saya bukan seorang ilmuan dalam kewangan Islam, tetapi bolehlah terjemahkan sikit tentang pemahaman ini kepada anda - itupun jika anda nak tahulah.

Hibah ini membawa maksud Pemberian Hak atau Harta secara sukarela, tanpa dipaksa atau terpaksa daripada satu pihak kepada satu pihak yang lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, imbalan atau balasan.

Faham tak ni? Jadi dalam kes Hibah Tabung Haji ni .. bolehlah anda faham dengan demikian di bawah ..

Pemberian Hibah Tabung Haji ialah penyerahan langsung dan tidak bersyarat tanpa pemberian balasan atau senang nak faham .. .ia bermaksud HADIAH. Ia bukan wajib diberikan, dan boleh atas budi bicara pihak Tabung Haji untuk tidak memberikan Hibah ini kepada pendeposit. Ia berkaitan pemindahan hak atas harta milik itu sendiri oleh seseorang kepada orang lain (Tabung Haji) tanpa pemberian balasan.

Ini konsep dalam Islam, tujuan hakikinya adalah untuk mengelakkan amalan riba dalam penyimpanan wang dalam institusi, seperti Tabung Haji. 

Apa Tujuan Tabung Haji Ditubuhkan?

Tabung Haji ni kalau ikutkan cuma satu badan yang menguruskan simpanan anda sahaja dengan tujuan mempermudahkan anda untuk melaksanakan ibadah Haji yang merupakan rukun Islam. Bila dah ada simpanan dalam Tabung Haji, senanglah Tabung Haji nak uruskan perjalanan anda ke Tanah Suci Mekah, malah ia akan memastikan juga bahawa simpanan anda itu sumber yang halal dan diberkati.

Tabung Haji mahu lebih ramai rakyat Malaysia untuk mampu pergi Haji dan sempurnakan rukun Islam yang kelima ini.

Terdapat tiga syarat yang harus dipenuhi dalam hal melakukan Hibah menurut syariat Islam, aitu:
  1. Ijab, adalah pernyataan tentang pemberian tersebut dari pihak yang memberikan
  2. Qabul, ialah pernyataan dari pihak yang menerima pemberian hibah itu
  3. Qabdlah, merupakan penyerahan milik itu sendiri, baik penyerahan dalam bentuk yang sebenarnya maupun secara simbolis (duit kita)
Semasa anda buka akaun Tabung Haji, ketiga-tiga syarat itu dipenuhi .. ingat lagi tak masa buka akaun tu? 
Hibah Tabung Haji Ada Yang Marah

Sekarang anda ingat balik .. semasa anda buka akaun dengan Tabung Haji tu, anda buka akaun Simpanan ke .. akaun Pelaburan? Ya, kita buka akaun Simpanan Tabung Haji, akad di sini ialah menerima deposit wang dari kita sebagai simpanan atau wadiah.

Tabung Haji Pinjam Duit Pendeposit Untuk Pelaburan Umat Islam

Dan apabila Tabung Haji gunakan duit kita untuk pelaburan mereka, makanya duit kita sebagai pendeposit akan bertukar akad menjadi akad hutang kepada Tabung Haji. Yakni, kita kini sebagai pendeposit bertukar menjadi pemberi hutang kepada Tabung Haji. Tabung Haji menjadi peminjam atas duit simpanan kita untuk melabur.
Dalam simpanan Tabung Haji dan urusan ini, pendeposit (kita) yang menjadi pemberi hutang tidak boleh mengharapkan apa-apa balasan atau menuntut apa jua lebihan pulangan daripada wang yang digunakan untuk pelaburan Tabung Haji. Ini adalah kerana, dalam syariat Islam .. sesuatu kontrak hutang, peminjam tidak boleh janjikan apa-apa lebihan daripada jumlah hutang. Kalau sebaliknya berlaku, maka ia jatuh dalam kategori riba!

Fahamkan betul-betul ya. Ini bermakna, jika Tabung Haji yang gunakan duit pendeposit (kita) untuk satu-satu pelaburan dan dapat untung, maka keuntungan itu adalah 100% milik Tabung Haji, dan pendeposit tidak layak hatta sesen pun daripada keuntungan itu. Ini dah termaktub dalam perjanjian atau akad apabila kita membuat simpanan dalam Tabung Haji.

Oleh itu, apabila Tabung Haji umumkan Hibah untuk tahun kewangan 2017, ia dalah bersandarkan kepada budi bicara pihak Tabung Haji untuk berikan sedikit kegembiraan untuk para pendeposit, yang asalnya tak layak pun terima apa-apa keuntungan dalam simpanan mengikut hukum syarak.

Hibah oleh Tabung Haji adalah hadiah. Dan bonus adalah bonus lah .. hehe. Sebab diberikan bonus adalah supaya orang akan terus menyimpan dalam Tabung Haji.
Maka, janganlah dimarahi kenapa terdapat beza dalam pengiraan Hibah oleh Tabung Haji ni, sebab ia hak Tabung Haji untuk berikan anda Hibah, ia bukan milik anda pun. Anda kena redha akan hakikat ini, kerana ianya bukan dibuat sesuka hati tetapi berlandaskan kepada hukum syariat. Anda harus faham konsep dan cara kewangan Islam itu berfungsi.

Mungkin ada yang tak perasan kenapa isu Hibah Tabung Haji menjadi isu dan perbualan hangat, meh saya tunjukkan kepada anda. Saya tunjuk je ye .. tak mahu kira sebab anda kena usaha sendiri untuk dapatkan kebenaran.
[post_ads]

Hibah Tabung Haji 2016 dan Cara Pengiraan Hibah

Cara pengiraan hibah Tabung Haji 2016

Hibah Tabung Haji 2017 dan Cara Pengiraan Hibah

Cara kira Hibah Tabung Haji 2017
Ramai pendeposit seolah marah dengan cara pengiraan Hibah untuk tahun kewangan 2017 yang berbeza dengan pengiraan Hibah Tabung Haji pada tahun sebelumnya (2016). Ini adalah kerana pengiraan untuk tahun kewangan 2017 mengambil kira baki minima tahunan dan bukan baki purata minima bulanan seperti pada tahun kewangan 2016.

Dalam hal ini, anda sebagai pendeposit juga harus faham beberapa perkara lagi:
  • Suasana dan keadaan ekonomi tak sama antara 2016 dan juga 2017.
  • Hibah dikira berdasarkan kemampuan kewangan Tabung Haji
  • Ditekankan kembali, Hibah adalah hadiah dari Tabung Haji, ia bukan wajib diberikan, maka adalah sangat baik sekali diberikan Hibah untuk tahun 2017 walaupun cara pengiraannya dah lain.
  • Cara pengiraan Hibah ini bukan tetap dan boleh berubah ikut budi bicara pihak Tabung Haji
  • Ia dah dizakatkan .. alhamdulillah, bersih hibah yang kita dapat. Allah S.W.T suka, in Sha Allah.

Banyak Keistimewaan Hibah

Barangkali, perkataan 'Hibah' ini jarang-jarang kita dengar dan ketahui. Namun, hakikatnya ia mempunyai banyak keistimewaan, kelebihan, hikmah dan manfaatnya kepada kita, jika kita mampu melaksanakannya. Dan kalau anda lihat betul-betul konsepnya, ia juga ibarat satu sedekah amal jariah. Kan bagus anda imarahkan amalan seperti ini, dari anda marah-marah sebab cara kira Hibah oleh Tabung Haji. :)

Syabas pada Tabung Haji yang masih mahu menghargai pendeposit yang sudi menyimpan dalam Tabung Haji dalam bentuk pemberian Hibah ini. Dan tahniah buat pendeposit yang masih setia menyimpan dalam Tabung Haji untuk permudahkan urusan pergi haji kelak, in Sha Allah.

Dan satu lagi perkara yang saya nak beritahu anda juga. Apabila anda menyimpan dalam Tabung Haji, selain anda menyokong cara kewangan Islam itu berfungsi, anda sebenarnya telah membantu Tabung Haji untuk meningkatkan aset kepunyaan orang Islam. Hasilnya nanti, dikembalikan dalam bentuk zakat yang bakal membantu ramai penerima dan memajukan orang Islam itu sendiri.

Niat anda kena betul. In Sha Allah, Allah S.W.T redha dan akan berkati apa yang kita lakukan.

Sekali lagi saya nyatakan, saya ni bukanlah pakar dalam kewangan Islam. Tetapi ada bab tertentu yang saya belajar semasa di IPT dahulu, apatah lagi saya ambil minor dalam pengurusan yang melibatkan soal kewangan ini. Walaupun ilmu dan pengetahuan saya ini sangatlah cetek, tetapi paling tidak saya tak adalah nak meroyan dan menyalahi pihak Tabung Haji.

Setiap dari kita ada amanah diberikan, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tabung Haji pegang amanah kita sebagai pendeposit dan juga sebagai pemberi pinjaman untuk mereka buat pelaburan. Kita bantu Tabung Haji, kita bantu orang Islam.
Banyak kita simpan dalam Tabung Haji, kita akan bantu saudara seagama kita untuk dapat lebih banyak Hibah di masa akan datang dan bolehkan mereka tunaikan Haji dengan aman. Usah fikir berapa yang anda boleh dapat untung asbab keuntungan pelaburan Tabung Haji ni, tetapi fikirkan apa yang boleh Tabung Haji lakukan untuk bantu umat Islam yang lain.
[post_ads_2]
Terima kasih sebab sudi membaca dari pengetahuan yang tak seberapa ini. Mudah-mudahan ada manfaat untuk semua, sudikan untuk berkongsi kepada mereka yang lain ye supaya jangan mudah melatah dan bersifat negatif.

Ehemm .. tetapi kalau anda nak cari cara lain supaya duit yang anda ada, digunakan dan dilaburkan untuk dapat keuntungan yang tinggi, maka elok anda baca ni - Teknik Pelaburan Jana Pulangan Tinggi

UPDATE 9 Februari 2018
Dengan menggunakan saluran betul menyampaikan rasa tidak puas hati pendeposit, akhirnya pihak Tabung Haji keluarkan kenyataan di bawah.
Kiraan Hibah Terkini Tabung Haji 2017



Advertisement

Rahsia Shopee

Post a Comment

2 Comments

  1. Oh begitu! Takpelah saya pun dah keluarkan simpanan saya dari TH. Pengurusan tinggi TH boleh phuiii!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Janganlah marah. Kenapa nak marah .. tak berkat kang nanti semua simpanan dalam TH sebelum ni. Redha je la.

      Delete

Komen adalah tanggungjawab anda. Sebarang komen yang ditingalkan tertakluk pada Akta 588 SKMM. Komen dengan nada ilmiah, dan lakukan dengan niat yang murni. Untuk pengiklanan, boleh gunakan borang 'hubungi saya' atau looket.me/hasrulhassan.