Berhati-hatilah. Ada amaran daripada kerajaan untuk tidak mempromosikan iklan haram di internet, termasuklah di blog. Saya mahu kongsikan informasi dan fakta ini sebagai ingatan buat diri saya dan juga rakan-rakan online saya yang lain. Adalah penting untuk ambil kisah, dan bertanggungjawab dengan apa jua yang kita tulis, terbitkan, sebarkan dan promosikan.

Saya memetik daripada sumber sah KKM, bahawa pihak KKM sedang memantau secara serius promosi-promosi serta iklan haram yang disiarkan secara online. Ini bermaksud, blogger juga tidak terkecuali daripada peraturan ini.

Amaran Promosi Iklan Produk Ubat Haram di Blog

Amaran Promosi Iklan Haram di BlogAmaran Promosi Iklan Haram di Blog
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merasa dukacita dengan penglibatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan pelbagai iklan haram produk kesihatan melalui media cetak, elektronik, internet, tiang-tiang lampu dan pengedaran risalah ditempat-tempat tumpuan awam.

Iklan-iklan ini menawarkan janji-janji palsu seperti penawar kanser 100%, rawatan segera penyakit kencing manis, penurunan berat badan yang berterusan, peningkatan prestasi seksual, malahan sering memuatkan perkataan yang tidak sopan atau berunsur lucah semata-mata untuk mempengaruhi pengguna membeli produk mereka.

Kepentingan Semak Pendaftaran

Amaran Promosi Iklan Haram di Blog
Dalam hal ini, KKM mengawal pengiklanan produk dan perkhidmatan kesihatan melalui Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di bawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan)1956. Bagi ubatan, hanya produk berdaftar (mempunyai nombor MAL), yang telah dinilai selamat untuk dimakan atau digunakan sahaja dibenarkan untuk diiklan.

Maka, blogger Malaysia kena prihatin dengan maklumat di atas, kalau boleh jika anda ditawarkan peluang untuk pengiklanan di blog, pastikan perkara penting di atas dipatuhi oleh pengiklan. Anda tentu tidak mahu menjadi rakan subahat dan seterusnya dianggap sebagai melanggar peraturan yang ditetapkan.

Ok. Untuk info, setiap iklan yang diluluskan oleh LIU akan diberi nombor siri yang perlu dipaparkan pada iklan tersebut contohnya KKLIU/1234/ABCDE. Anda boleh nampak nombor ini pada iklan-iklan yang disiarkan di TV dan juga media cetak.
[Baca] 20 Jenis Penyakit Yang Tidak Boleh Diiklankan
Iklan-iklan yang diberikan kelulusan adalah seperti ubat-ubatan tanpa preskripsi, supplemen dan ubat tradisional yang berdaftar dengan KKM. Iklan-iklan produk tersebut telah melalui proses penapisan, penilaian dan semakan oleh LIU sebelum diluluskan. Ia penting supaya maklumat yang sampai kepada pengguna adalah tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti yang sahih.

Elakkan Produk Dengan Promosi Tuntutan Melampau

Manakala, tuntutan perubatan yang dibenarkan adalah berdasarkan indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan paparannya mematuhi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 serta Garis Panduan dan Polisi LIU.

Secara umumnya kawalan oleh LIU adalah seperti asas yang berikut:

  1. Semua iklan produk kesihatan perlu mendapatkan kelulusan dari LIU terlebih dahulu sebelum ia disiarkan dalam mana-mana bentuk media. Nombor kelulusan tersebut mesti dipaparkan di dalam iklan.
  2. Iklan produk kesihatan dan kecantikan dilarang sama sekali membuat tuntutan perubatan untuk tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis bagi 20 jenis penyakit yang telah disenaraikan di dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal, penyakit atau kecacatan jantung, diabetes (kencing manis), epilepsi atau sawan, lumpuh, tuberkulosis, astma, kusta, kanser/barah, pekak, penagihan dadah, hernia, penyakit mata, hipertensi (darah tinggi), kecacatan otak , kemandulan, kaku (Frigidity), lemah fungsi seks/impoten, penyakit venerus (cth AIDS, Hepatitis) dan kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan lain timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks
  3. Selain itu iklan tidak dibenarkan membuat tuntutan superlative seperti, “Paling Hebat“, “Terbaik”, “Nombor 1“ dan lain-lain tuntutan yang memperbesar.
  4. Iklan produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik di mana fungsi kosmetik adalah untuk membersih, menyegar dan mewangi dan mestilah tertakhluk kepada ‘Cosmetic Advertising Code’.
  5. Manakala iklan makanan/minuman kesihatan walaupun tidak di tapis oleh LIU tetapi perlulah mematuhi Akta Makanan 1983 dan iklan alat perubatan harus mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012.

Walaubagaimana pun, KKM memahami keadaan yang dihadapi oleh blogger. Banyak keadaan di mana blogger terperangkap di dalam situasi dimana mereka telah dikelirukan oleh peniaga, usahawan dan golongan yang cuba mengaut keuntungan mudah; menerusi maklumat yang salah dan tidak tepat.

Mempromosi Produk Makanan Kesihatan, Alat Perubatan dan Kosmetik

Banyak di kalangan blogger yang sering membuat promosi dan iklan (review dan advertorial) berkaitan produk makanan kesihatan, alat perubatan dan kosmetik. Produk-produk ini tidak perlu melalui proses tapisan dan penilaian oleh KKM. Jadinya, blogger perlu bertindak lebih bertanggungjawab terhadap penulisan dan penerbitan sebarang promosi serta iklan berkaitan di blog masing-masing.

Iklan produk tersebut dengan tuntutan perubatan yang berlebihan harus ditolak atau sekurang-kurangnya dirujuk dahulu kepada KKM untuk dinilai.

Kes Promosi Iklan Haram

Amaran Promosi Iklan Haram di Blog
Namun demikian, pihak KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas iklan-iklan ini. Pada tahun 2011, KKM telah mengeluarkan sebanyak 204 surat amaran dan 42 kes lagi telah dirujuk untuk tindakan undang-undang.

Sebanyak 41 kes telah selesai didakwa pada tahun 2011 yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM 56,800.00. Sehingga bulan Mei 2012 pula, sebanyak 197 surat amaran telah dikeluarkan dan sebanyak 74 kes telah dirujuk untuk tindakan undang-undang. Sebanyak 24 kes telah selesai didakwa bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 dan jumlah denda adalah sebanyak RM 24,500.00. Tindakan boleh diambil ke atas pengiklan dan juga media penerbit iklan tersebut.

Amaran Pengiklanan Ubat Haram di Internet

Amaran Promosi Iklan Haram di Blog
Amaran ini juga ditujukan kepada mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam penyiaran iklan tanpa kelulusan daripada LIU yang boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Bukan hanya blogger boleh dikenakan tindakan, tetapi juga pemilik Instagram, dan juga Facebook yang mengiklan produk terlarang dan tiada pengesahan.

Sebagai panduan am, blogger Malaysia boleh menyemak senarai produk/kosmetik yang telah dirampas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melayari laman web www.pharmacy.gov.my->Awam ->Carian produk yang dicampurpalsu, dan status pendaftaran produk dan kosmetik bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM melalui laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my. Laman web tersebut turut mengandungi keterangan produk yang telah di tarik balik dari pasaran.

Jadilah blogger yang berinformasi tepat, bertanggungjawab dan prihatin. Semoga saya, dan anda dapat mengelakkan diri daripada terbabit dalam kes mempromosikan iklan haram di blog.

Moga apa yang saya kongsikan ini dijadikan panduan dan rujukan blogger Malaysia khususnya, dan kepada semua pengiklan produk dan bisnes amnya.

Penafian: Gambar, artikel ataupun video yang ada di blog ini adakala berasal dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya disini.

Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

6 Komen

thanks for sharing HH. boleh jadi guideline ni

Reply

erm...rupanya ada juga bgtu..ok tq dgn info no hh

Reply

Sama-sama. Saya harap ia akan bantu ramai peniaga dan pengiklan online. Beringat sebelum jadi apa2..

Reply

macam tu.. orang sekang ni demi duit sanggup buat macam2 bukan nk piker baik buruk jnji dpt duit da.. thk info HH

Reply
Peringatan: Komen adalah tanggungjawab anda. Saya tidak bertanggungjawab dengan sebarang ulasan dan komen yang anda tinggalkan. Komen berbaur lucah, provokasi perkauman serta berbentuk iklan adalah dilarang. Hubungi saya disini. andai timbul isu dan masalah.