Tema Maal Hijrah 1438H/2016M

Salam Maal Hijrah buat semua pembaca blog saya yang tidak seberapa ini. Tema untuk sambutan Maal Hijrah 1438 untuk tahun 2016M ialah Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah. Hari ini 2 Oktober 2016 adalah bersamaan dengan 1 Muharram 1438H. Ia menandakan tahun baru buat umat Islam seluruh dunia.

Setiap tahun, sambutan untuk menyambut ketibaan tahun baru Hijrah diadakan di merata tempat. Saya pasti di tempat anda juga ada sambutan ini. Sambutan di peringkat kebangsaan pula selalunya dianjurkan oleh Jakim. Seperti kelaziman, setiap Maal Hijrah akan ada temanya tersendiri. Dan untuk 1438H, tema sambutannya adalah Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah.

Tema Maal Hijrah 1438H/2016M - Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah

Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah
Saya sukacita ingin berkongsi satu teks yang diambil daripada FB Jakim mengenai maksud tema Maal Hijrah 1438. Semoga kita sama-sama manfaatkan daripada teks ini, dan jadikan ia sebagai pedoman dan panduan.

Ukhuwah

Sebagai agama yang bersifat rahmat kepada sekalian alam (rahmatanlil ‘alamin), hubungan yang baik sesama individu, keluarga, masyarakat mahupun negara amat dititik beratkan. Kitab suci al-Quran banyak membawa ayat-ayat yang mengaitkan tentang kepentingan persaudaraan, perpaduan dan penyatuan dalam kalangan umat Islam dengan gesaan supaya hidup secara bersatu-padu, berkasih-sayang, mengambil berat antara satu sama lain dan menjauhi pertelingkahan serta perpecahan sesama mereka. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujurat, 49:10)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…" (Surah Ali Imran, 3:103)
Secara fitrahnya setiap manusia tidak boleh hidup bersendirian. Bahkan mereka sentiasa memerlukan orang lain demi kelangsungan sebuah kehidupan yang sempurna dan bahagia. Oleh itu, ukhuwah Islamiah yang dibina berasaskan iman dan taqwa akan menumbuhkan rasa persaudaraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Rentetan itu, akan terzahir sikap toleransi dan saling tolong-menolong serta lengkap-melengkapi sesama umat manusia.

Natijah daripada itu, penyatuan ummah yang mapan dalam kalangan masyarakat akan terjalin, hidup dalam bersatu padu, rukun harmoni dan penuh muhibah. Mereka saling menerima antara satu sama lain tanpa dibatasi perbezaan agama, bangsa, budaya mahupun adat. Bahkan perbezaan yang diikat dengan ukhuwah Islamiah menjadi rahmat dan bukti bahawa kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya terbentang luas.
[Baca] Apa Erti 12 Bulan Dalam Takwim Hijrah
Memang diakui perbezaan pemikiran, pandangan dan amalan merupakan perkara lumrah dalam kalangan masyarakat. Namun, kepelbagaian ini mesti disatukan di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama. Prinsip Islam mendidik umatnya bahawa mereka adalah bersaudara. Apa jua bangsa, bahasa, negara mahupun mazhab yang diikuti, semua umat Islam adalah saudara seagama. 

Justeru, perbezaan ini mesti dihargai dan diraikan sebagai sumber kekayaan dan bukannya sebagai punca persengketaan serta konflik yang membawa kepada perpecahan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(Surah al-Hujurat, 49: 13)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (H.R Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya sifat berkasih-sayang dan bersangka baik antara satu sama lain merupakan antara langkah awal ke arah usaha memupuk ukhuwah Islamiah yang erat dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, akan terbinanya sebuah ummah yang sejahtera, masyarakat yang harmoni dan negara yang stabil serta aman.

Mengimbau, hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah telah mempersaudarakan dua kaum iaitu Auz dan Khazraj yang sebelum ini sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Setelah dipersaudarakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, mereka dikenali sebagai Ansar. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling bantu membantu antara satu sama lain termasuk menghulurkan pertolongan kepada golongan Muhajirin yang baru berhijrah dari Mekah ke Madinah. 
Langkah yang diambil oleh Rasulullah S.A.W ini merupakan perancangan strategik Baginda demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia juga menjadi platform dan faktor utama kepada kejayaan pembinaan Sahifah Madinah yang maju dan makmur.

Hikmah Ukhuwah Islamiah

Ukhuwah Islamiah – Terbinanya Solidariti Yang Teguh

Kasih sayang dan ukhuwah antara seorang individu muslim dengan individu muslim yang lain berasaskan iman, taqwa dan ikhlas semata-mata mengharapkan redha Allah SWT, akan melahirkan rasa kebersamaan sebagai ummah yang bersatu atas panji-panji Islam. Dengan ukhuwah Islamiah, seseorang individu akan mengenepikan sikap mementingkan diri sendiri. Malah, sikap cakna dan kepedulian yang tinggi terhadap orang lain sentiasa menjadi keutamaan mereka.

Hasilnya, terbina solidariti dan penyatuan ummah yang teguh dalam kalangan umat Islam. Mereka menjadi ummah yang bersatu, sentiasa berganding bahu dan sama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mendepani setiap permasalahan dan cabaran hidup. Ibarat kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Ukhuwah Islamiah – Terciptanya Kesatuan Bangsa

Perpaduan umat Islam merupakan antara perkara utama yang perlu diberi perhatian kerana Islam amat menekankan persefahaman dan perpaduan demi kepentingan bersama. Justeru, ukhuwah Islamiah menjadi benteng ampuh menepis agenda jahat musuh-musuh Islam. Ummah yang bersatu tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha memecah belahkan penyatuan ummah melalui penyebaran fitnah, mengadu-domba dan pelbagai dakyah yang dirancang rapi demi melihat umat Islam berpecah belah dan agenda penyatuan ummah berkubur. Bahkan kesatuan bangsa yang diikat dengan ukhuwah Islamiah yang utuh menjadi salah satu faktor yang memastikan peradaban yang dibina kekal bertahan lama. Meski berbeza agama dan pegangan aqidah, ia tidak menjadi penghalang dalam usaha membina hubungan yang sejahtera dan aman dalam masyarakat majmuk atas slogan kesatuan dalam kepelbagaian.

Ukhuwah Islamiah – Terbinanya Kerukunan Hidup

Melalui ukhuwah Islamiah yang sebenar seorang muslim mampu menghargai dan menghormati orang lain dalam pelbagai aspek kehidupan mereka. Ini termasuk menghormati perbezaan agama dan kepercayaan, bahasa, budaya dan adat tradisi yang diamalkan. Bahkan dengan perbezaan tersebut ia menjadi satu peluang dan ruang untuk mereka saling berkenal mesra antara satu sama lain dan mengeratkan lagi perhubungan yang dijalinkan. Sikap saling mengenali, saling memahami dan saling membantu memikul beban seperti yang ditekankan dalam Islam, mampu mengikis prasangka dan salah faham dalam kalangan umat Islam mahupun bukan Islam. Semangat inilah yang diperlukan untuk memakmurkan negara demi melahirkan khaira ummah dan mewujudkan baldatun toyyibatun warabbun ghafur.

Sebagai ikatan jiwa yang ditautkan oleh akidah, iman dan takwa, ukhuwah Islamiah menjadi medium utama melahirkan penyatuan ummah dalam kalangan masyarakat sama ada penyatuan fikrah, penyatuan amal mahupun penyatuan wawasan dari sudut keagamaan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, perselisihan faham mahupun bibit-bibit perpecahan, kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam dengan mencari jalan penyelesaian terbaik secara berhikmah dan berhemah.

Sesungguhnya agenda membina sebuah negara bangsa yang makmur, aman, selamat dengan sahsiah yang terpuji bukanlah sesuatu yang mudah bahkan memerlukan dokongan dan sokongan padu rakyat keseluruhannya secara berterusan. Semoga ukhuwah Islamiah dalam kalangan umat Islam terus segar dan utuh demi mengukuhkan kesatuan wadah perjuangan ummah ketika dunia semakin dihimpit dengan isu-isu peperangan, keganasan, fitnah-memfitnah dan ketidakstabilan ekonomi semasa.

Doa Sejahtera - Maal Hijrah

Kredit: Daie Media Sosial

2 comments.. read them below or add one

Oyong Ilham Oyong Ilham October 02, 2016
semoga di tahun baru hijriah ini kita menjadi Insan yang lbih bertakwa lagi kepada Allah SWT

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact'. Terima kasih.