Doa Pilihan Hadapi Peperiksaan. Tidak lama lagi, ada di kalangan anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan. Anak saya adalah antara ribuan murid sekolah yang bakal hadapi peperiksaan UPSR. Sebagai ibu bapa, pastilah kita mahukan kejayaan untuk anak-anak, paling tidak lulus dengan baik agar membolehkan mereka meneruskan pembelajaran dan pengajian ke peringkat seterusnya.

Untuk ibu bapa dan anak-anak yang beragama Islam, digalakkan untuk mengamalkan doa-doa sebagai salah satu cara ikhtiar dengan memohon pertolongan daripada Allah S.W.T. Setelah berbulan-bulan membuat persediaan dan ulangkaji untuk menghadapi peperiksaan, langkah akhir buat seorang murid atau pelajar ialah dengan berdoa.

Amalan berdoa, bukan sahaja akan menguatkan jiwa dan psikologi, tetapi sebagai 'makanan' rohani yang sangat baik untuk menghadapi apa jua keadaan. Setelah berusaha dengan gigih, seharusnya doa dijadikan pelengkap atas segala usaha serta pengorbanan.

Doa-Doa Pilihan Ketika Hadapi Peperiksaan

Doa Pilihan Hadapi Peperiksaan
Berikut adalah beberapa doa-doa pilihan yang boleh diamalkan untuk menghadapi peperiksaan, tak kiralah peperiksaan UPSR, PT3, SPM, peperiksaan penggal, peperiksaan IPT, peperiksaan online SPA ... malah sesiapa sahaja yang akan hadapi peperiksaan boleh amalkan doa-doa ini, in Sha Allah ... Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Yakin dengan doa yang diucapkan ... dan redha akan pengakhirannya nanti.

Doa Sewaktu Masuk ke Dewan Peperiksaan

Ketika memasuki dewan peperiksaan, bolehlah diamalkan doa di bawah ini:
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: "Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku dengan kemasukkan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku."

Doa Sewaktu Menerima Kertas Soalan Peperiksaan

Setelah masuk ke dewa peperiksaan, atau sedang menunggu kertas peperiksaan diberikan, maka elok dibaca doa berikut:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku."

Doa Tatkala Sukar Menjawab Soalan

Kadangkala, apabila berada di dalam dewan peperiksaan, perasaan akan gugup dan seringkali hilang fokus, lalu soalan yang sebenarnya mudah, sukar untuk dijawab dengan baik. Maka, ketika sukar untuk menjawab, bacalah doa ini:
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.
Maksudnya: "Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan."

Atau doa ini:
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
Maksudnya: "Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki."

Doa Ketika Lupa Jawapan

Jika tiba-tiba terlupa jawapan:
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.
Maksudnya: "Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku"

Dalam minggu peperiksaan, jangan berhenti untuk ulangkaji. Buat ulangkaji walaupun sedikit, anggap sebagai sekadar menyemak input yang telah masuk dalam ingatan. Ketika ini, elok dibacakan doa-doa berikut:

Doa Memulakan Ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: "Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki."

Doa Selepas Selesai Buat Ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu."

Sebagai tambahan, boleh juga diamalkan doa berikut ketika hari peperiksaan, terutama semasa keluar rumah untuk ke tempat peperiksaan atau pada doa sholat suboh. Baca doa pilihan hadapi peperiksaan di bawah, dimulai dan diakhiri dengan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad S.A.W serta pujian-pujian kepada Allah S.W.T.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Terangilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu sebagaimana Engkau menerangi bumi dengan matahari-Mu selama-lamanya

Ya Allah, Ya Hakim Ya Halim. Kami pertaruhkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, maka kembalikanlah semula kepada kami jika kami memerlukannya dan janganlah Engkau buat kami melupainya

Ya Allah Ya Ghaffar. Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa guru-guru kami dan seluruh umat Islam, lengkapkanlah budi pekerti kami, sempurnakanlah usaha kami, puaskanlah hati kami terhadap rezeki pemberian-Mu dan jangan biarkan hati kami terpedaya oleh apa yang Engkau hindarkan daripada kami.

Ya Allah. Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami rahsiakan dan yang kami nyatakan. Semoga Engkau terima keuzuran kami, Engkau mengetahui hajat kami. Semoga Engkau kabulkan permohonan kami, Engkau mengetahui dosa yang ada dalam diri kami, justeru itu kami mohon keampunan-Mu Ya Ghaffar."
Saya harap doa-doa pilihan ini akan dapat membantu sedikit sebanyak anak-anak dan pelajar serta sesiapa sahaja yang bakal berhadapan dengan peperiksaan.

Semoga kejayaan yang baik milik mereka, milik anda, milik semua... in Sha Allah.

Terbaru Lebih lama

Advertisement

Bisnes Shopee

Advertisement

BERMASALAH DENGAN HARTA PUSAKA?

Panduan Mengurus Harta Pusaka dan Hibbah. - Nak Tahu? Klik Sini Sekarang!!


Advertisement